Kem Click! 4.0: Bersedia Memperkasakan Generasi Pemimpin Muda

Pasukan pemenang dari SMK Siburan Kuching meraikan kemenangan mereka di Grand Finale Click! 4.0 bersama DCM Edgard Kagan dan Dr Elizabeth Lee, Pengarah Eksekutif Kanan Pengerusi Sunway Education Group. (Foto Kedutaan AS)
Pasukan pemenang dari SMK Siburan Kuching meraikan kemenangan mereka di Grand Finale Click! 4.0 bersama DCM Edgard Kagan dan Dr Elizabeth Lee, Pengarah Eksekutif Kanan Pengerusi Sunway Education Group. (Foto Kedutaan AS)

Program keusahawanan sosial perdana tahunan Kedutaan yang disasarkan kepada pelajar berumur 14-16 telah melabuhkan tirainya untuk siri keempat pada 23 September di Grand Finale yang diadakan di Sunway University Kuala Lumpur.  Susulan Kem Click! di Pulau Pinang, Terengganu dan Sarawak yang dianjurkan oleh LifeChamp Sdn Bhd dan Persatuan Alumni Malaysia (MAAP), enam pasukan telah dipilih daripada 43 pasukan pelajar sekolah menengah untuk terbang ke Kuala Lumpur ke peringkat akhir.

Timbalan Ketua Perwakilan Edgard Kagan menyampaikan trofi dan sijil yang ditandatangani oleh Duta Besar Joseph Yun kepada kesemua enam pasukan.  SMK Siburan merangkul kejuaraan tahun ini, sekolah pertama dari Malaysia Timur yang memenangi Pertandingan Click!. Pelajar SMK Siburan Kuching menerima hadiah biasiswa penuh untuk melanjutkan pelajaran di Sunway University, bernilai RM150,000.  Pemenang turut menerima iPod Touch, dan peluang untuk mengambil bahagian dalam kem pemilihan untuk Program Pertukaran dan Pembelajaran Belia Kennedy Lugar (YES) AFS yang boleh membawa mereka untuk belajar dan tinggal di Amerika Syarikat selama enam bulan.  Hadiah kedua dan ketiga dimenangi oleh peserta dari Sekolah Islam Al-Amin, Kemaman, dan SMK Maran Pahang yang masing-masing memenangi biasiswa bernilai RM75,000 dan RM50,000.

Dalam ucapan beliau, Encik Kagan mengucapkan tahniah kepada peserta Kem Click dengan berkata mereka akan menjadi pemimpin untuk menyelesaikan masalah-masalah pada masa hadapan.  Beliau mengucapkan terima kasih kepada penaja, Sunway Education Group, Boston Consulting Group, AFS Malaysia, dan Khazanah Nasional Berhad kerana menyumbang hadiah tahun ini.  Beliau turut menambah bahawa Program Click! kekal menjadi salah satu program kerjasama kerajaan-swasta dan mendekati belia yang paling berjaya untuk Kedutaan.

Photo of a group of students
Para peserta dan rakan kongsi Kem Click 4.0 (Foto Kedutaan AS)

Enam pasukan tersebut datang dari SMK Kota Masai 2, Johor; SMK Maran, Pahang; Sekolah Islam Al Almin Kemaman, Terengganu; SMK Mahang, Kedah; SMK Padang Polo, Pulau Pinang; dan SMK Siburan, Sarawak.  Pada acara kemuncak, mereka mempersembahkan projek-projek mereka di hadapan panel hakim dari Boston Consulting Group, Sunway Education Group, dan Yayasan myHarapan. Para peserta Kem Click 4.0 termasuk pelajar dari sekolah yang mengikuti program Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA), program English Access Microscholarship, Teach for Malaysia, dan madrasah Islam.  Pasukan terakhir telah dibimbing oleh ETA dari Amerika, guru, dan perunding dari Boston Consulting Group.

Setiap pasukan yang terdiri daripada lima anggota telah merancang dan melaksanan projek usaha sosial mereka selama lapan minggu, dan pada masa sama menemui kemahiran baru seperti mencipta model perniagaan, membangunkan garis masa projek, mencipta slaid persembahan, dan menggunakan Facebook dan video promosi untuk mempromosikan projek mereka.  Pelajar membangunkan kemahiran pemikiran kreatif dan kritis, menggalakkan kerja berpasukan, dan meningkatkan keyakinan mereka bercakap dalam bahasa Inggeris.

Sejak penubuhannya pada tahun 2010 di Cherating, Pahang, siri Kem Click telah melibatkan lebih 900 belia Malaysia dan telah memupuk minda global dan perasaan tanggungjawab sosial ke dalam diri peserta belia.  Program ini juga menggalakkan hubungan tiga hala yang kuat antara Amerika Syarikat, komuniti perniagaan dan masyarakat tempatan.

Rakan kongsi Kem Click 4.0 termasuk Kementerian Pendidikan, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Pusat Latihan Bahasa Inggeris (ELTC), Pusat Bahasa ELS, Teach for Malaysia (TFM), Suruhanjaya Malaysia-Amerika bagi Pertukaran Pendidikan (MACEE ), Persatuan Keusahawanan Sosial, dan Matrix Research.