Kenyataan Bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump dan Pengerusi Republik Rakyat Demokratik Korea, Kim Jong Un Di Sidang Kemuncak Singapura

Kenyataan Bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump dan Pengerusi Republik Rakyat Demokratik Korea, Kim Jong Un Di Sidang Kemuncak Singapura

 

Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump dan Pengerusi Suruhanjaya Hal Ehwal Negara Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK), Kim Jong Un mengadakan sidang kemuncak pertama yang bersejarah di Singapura pada 12 Jun 2018.

Presiden Trump dan Pengerusi Kim Jong Un telah mengadakan pertukaran pendapat yang menyeluruh, mendalam dan ikhlas tentang hal-hal berkaitan mewujudkan hubungan A.S.-DPRK yang baharu dan membina rejim keamanan yang kukuh dan berpanjangan di Semenanjung Korea.  Presiden Trump komited untuk menyediakan jaminan keselamatan kepada DPRK dan Pengerusi Kim Jong Un telah menyatakan komitmen yang kukuh dan tidak berbelah bahagi untuk menyempurnakan penghapusan senjata nuklear di Semenanjung Korea.

Yakin bahawa kewujudan perhubungan A.S.–DPRK yang baharu akan menyumbang kepada keamanan dan kesejahteraan di Semenanjung Korea dan juga dunia, serta menyedari bahawa pembinaan keyakinan bersama dapat menggalakkan penghapusan senjata nuklear di Semenanjung Korea, maka Presiden Trump dan Pengerusi Kim Jong Un membuat kenyataan berikut:

  1. Amerika Syarikat dan DPRK komited untuk mewujudkan hubungan A.S.-DPRK menurut kehendak rakyat kedua-dua buah negara ke arah keamanan dan kesejahteraan.
  1. Amerika Syarikat dan DPRK akan sama-sama berusaha untuk membina rejim keamanan yang kukuh dan berpanjangan di Semenanjung Korea.
  1. Sebagai mengesahkan Deklarasi Panmunjom pada 27 April, 2018, DPRK komited untuk berusaha ke arah penghapusan senjata nuklear yang sepenuhnya di Semenanjung Korea.
  1. Amerika Syarikat dan DPRK komited untuk menemui mayat POW/MIA, termasuk membawa pulang mereka yang sudah dikenal pasti.

Menyedari bahawa persidangan A.S.-DPRK—yang pertama dalam sejarah—merupakan satu peristiwa zaman yang penting dalam mengatasi ketegangan dan permusuhan selama beberapa dekad antara kedua-dua buah negara dan bagi membuka era masa depan yang baharu, Presiden Trump dan Pengerusi Kim Jong Un komited untuk melaksanakan apa yang terkandung dalam kenyataan bersama ini secara sepenuhnya dan pantas.  Amerika Syarikat dan DPRK komited untuk mengadakan rundingan susulan yang diketuai oleh Setiausaha Negara A.S., Mike Pompeo, dan pegawai tinggi DPRK yang berkaitan, pada tarikh yang terdekat, untuk melaksanakan keputusan persidangan A.S.-DPRK.

Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump dan Pengerusi Suruhanjaya Hal Ehwal Negara Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK), Kim Jong Un komited untuk bekerjasama bagi membangunkan hubungan A.S.-DPRK yang baharu dan menggalakkan keamanan, kesejahteraan dan keselamatan di Semenanjung Korea dan di dunia.

DONALD J. TRUMP
Presiden Amerika Syarikat

KIM JONG UN
Pengerusi Suruhanjaya Hal Ehwal Negara Republik Rakyat Demokratik Korea

12 Jun, 2018
Pulau Sentosa
Singapura

###