UNTUK SIARAN SEGERA
Sumber: Jabatan Perdagangan
Kenyataan Bersama Setiausaha Perdagangan A.S. Gina Raimondo dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Mohamed Azmin Ali
PERHATIAN: PENGARANG
Semalam, susulan meja bulat yang memberi tumpuan kepada rantaian bekalan semikonduktor dengan pemimpin kerajaan dan perniagaan, Setiausaha Perdagangan A.S. Gina Raimondo dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Mohamed Azmin Ali mengeluarkan kenyataan bersama berikut:
“Kami menyokong hubungan komersial yang kukuh antara Amerika Syarikat dan Malaysia melalui perdagangan yang berkekalan, pelaburan, memudah cara industri dan kerjasama teknikal. Kami berhasrat untuk mengukuhkan lagi hubungan ini dengan mewujudkan hubungan antara kerajaan dan sektor swasta sambil memacu ekonomi kami melepasi kesan buruk pandemik COVID-19. Kami percaya bahawa perdagangan, pelaburan dan rantaian bekalan yang mampan menjadi asas untuk memulihkan pertumbuhan ekonomi.
“Dalam memperkukuh daya saing jangka panjang, Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) Malaysia akan memacu pembaharuan menyeluruh yang menggalakkan kewujudan pendorong pekerjaan bernilai tinggi, berteknologi tinggi, berpengetahuan, bermodal, berintensif kemahiran dan berpendapatan tinggi. Dalam semangat ini, kami berhasrat untuk bekerjasama dalam bidang dengan struktur bekalan yang saling menguntungkan antara Amerika Syarikat dan Malaysia. Ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada, produk pengurangan fenomena perubahan iklim, perdagangan digital, peranti perubatan dan elektronik. Malaysia telah mengenal pasti industri tenaga dan alam sekitar sebagai sektor strategik yang akan mengukuhkan asas utama pertumbuhan mampan. Oleh itu, kami percaya perkongsian A.S.-Malaysia yang kukuh akan membantu kedua-dua negara mencapai potensi maksimum untuk pertumbuhan bersama yang teguh. Kapasiti sumber manusia Malaysia menyediakan asas yang kukuh untuk kerjasama dalam pelaburan berimpak tinggi dan berteknologi tinggi seiring dengan kemajuan teknologi Amerika Syarikat dalam bidang ini. Kami ingin melihat peningkatan kerjasama dan kewujudan platform perkongsian maklumat yang akan memberikan ketelusan yang lebih baik dan penglibatan yang berkesan dalam memajukan usaha kepentingan bersama.”
“Sebagai hasil daripada meja bulat semikonduktor 18 November yang dianjurkan bersama oleh Setiausaha Perdagangan AS Gina Raimondo dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Mohamed Azmin Ali, Jabatan Perdagangan AS dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia merancang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi industri dalam soal ketelusan, keselamatan dan daya tahan rantaian bekalan semikonduktor. Kedua-dua negara juga akan bekerjasama dengan rakan industri A.S. dan Malaysia untuk membangunkan lebih banyak ketelusan dan kepercayaan dalam sektor pembuatan dan sektor berkaitan serta rantaian bekalan mereka.”
“Memandangkan peranan penting Malaysia dalam rantaian bekalan global untuk semikonduktor, elektronik, produk kesihatan dan barangan utama lain, pengumuman ini merupakan langkah pertama yang penting dalam kerjasama menghadapi cabaran rantaian bekalan semasa dan jangka panjang untuk kedua-dua negara dan ekonomi global. Kami berhasrat untuk memulakan perbincangan mengenai Memorandum Kerjasama dengan sasaran ia boleh ditandatangani pada awal 2022.”
Gambar boleh didapati melalui akaun Flickr Kedutaan A.S. KL
Pejabat Hal Ehwal Awam, Jabatan Perdagangan: publicaffairs@doc.govPertanyaan khusus mengenai Malaysia: klusembassypress@state.gov