Laporan Kebebasan Beragama Malaysia 2015

Ringkasan Eksekutif

Perlembagaan mengisytiharkan bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.”  Kerajaan negeri dan persekutuan mempunyai kuasa untuk “mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam. “  Kerajaan yang mengawal selia hal ehwal agama Islam menggalakkan ajaran Islam Sunni berbanding kumpulan agama lain.  Ajaran Islam dalam bentuk lain adalah haram dan boleh dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa agama.  Kerajaan mengekalkan sistem undang-undang yang “selari”di mana hal sivil tertentu untuk umat Islam juga diliputi oleh undang-undang syariah. Pertikaian hubungan antara undang-undang syariah dan sivil masih tidak dapat diselesaikan dalam sistem perundangan, walaupun mahkamah sivil umumnya mengelak daripada membuat penghakiman yang bertentangan dengan mahkamah syariah apabila bidang kuasa mereka bertembung, khususnya dengan kes undang-undang keluarga yang melibatkan orang Islam dan bukan Islam.  Kerajaan terus menghalang orang Islam daripada memeluk agama lain dan mengenakan denda, penahanan dan hukuman sebat terhadap orang yang dikelaskan di bawah undang-undang sebagai orang Islam yang melanggar undang-undang syariah.  Orang Kristian terus menghadapi kesukaran untuk menggunakan perkataan “Allah” untuk Tuhan.  Pada bulan April, kerajaan meminda undang-undang hasutan.  Pindaan termasuk menjadikan ucapan yang “menggalakkan hasutan berunsur jahat, permusuhan atau kebencian atas alasan agama” sebagai jenayah.  Malah sebelum pindaan itu, undang-undang hasutan telah digunakan terhadap mereka yang disifatkan sebagai menghina Islam,  seorang ahli politik pembangkang telah dijatuhi hukuman penjara 16 bulan kerana tulisannya di media sosial. Pada bulan April, kerajaan mengumum akan menyokong negeri yang mahu melaksanakan undang-undang jenayah Islam iaitu hudud. Pada tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui ucapannya beberapa kali menggambarkan Malaysia tidak menerima takrifan “liberal” yang menyimpang daripada ajaran Islam dalam hak asasi manusia.

Pertubuhan hak asasi manusia tempatan dan pemimpin agama menyatakan bahawa masyarakat menjadi semakin tidak bertolak ansur terhadap kepelbagaian agama.  Masyarakat menyatakan bantahan awam terhadap kumpulan Islam bukan Sunni. Kumpulan Islam konservatif melakukan kutukan terbuka tentang acara dan aktiviti yang “tidak Islam” dan juga menghantar mesej media sosial yang menyasar kumpulan Islam dan bukan Islam.  Berbanding tahun-tahun sebelumnya, terdapat pengurangan laporan insiden keganasan terhadap orang yang mempunyai pendapat berbeza daripada pandangan rasmi dalam hal agama.  Sebuah gereja menaggal tanda salib di luar premisnya selepas penunjuk perasaan menuntut ia berbuat demikian.  Serangan ke atas kebebasan beragama di media sosial meningkat, dengan wanita Islam selalu menjadi sasaran komen negatif kerana mereka tidak bertudung atau tidak berpakaian sopan.

Wakil rasmi A.S. mengekalkan dialog yang aktif dengan pegawai kerajaan dan pemimpin mengenai isu berkaitan termasuk jaminan perlembagaan untuk kebebasan beragama, cadangan undang-undang yang melibatkan kumpulan agama dan meningkatkan toleransi agama.  Wakil kedutaan juga bertemu dengan  kumpulan keagamaan, termasuk mereka yang tidak diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan.  Kedutaan mendekati organisasi kerajaan dan keagamaan secara berterusan termasuk melalui program ceramah dan lawatan untuk menggalakkan toleransi  dan kebebasan beragama.  Antara yang dijalankan termasuk program pertukaran yang membawa rakyat Malaysia ke Amerika Syarikat untuk program pertukaran tentang toleransi agama. Kedutaan juga menyokong lawatan penyanyi country Amerika Syarikat yang beragama Islam.  Antara program lawatan termasuk perbincangan tentang pengalaman mengenai toleransi agama di Amerika Syarikat.

Bahagian I. Demografi Agama

Kerajaan Amerika Syarikat menganggarkan penduduk Malaysia berjumlah 30.5 juta (anggaran Julai 2015).  Data banci menunjukkan 61.3 peratus daripada penduduk mengamalkan agama Islam, 19.8 peratus Buddha, 9.2 peratus Kristian, 6.3 peratus Hindu, dan 1.3 peratus Konfusianisme, Taoisme, atau falsafah dan agama tradisional Cina yang lain.  Kumpulan agama minoriti lain termasuk animisme, Sikh dan Baha’i.  Etnik Melayu, yang ditakrifkan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai orang Islam sejak lahir, membentuk kira-kira 55 peratus daripada penduduk.  Di kawasan luar bandar – terutamanya di pantai timur Semenanjung Malaysia – kebanyakannya didiami oleh orang Islam, manakala negeri Sabah dan Sarawak di pulau Borneo mempunyai jumlah orang bukan Islam yang lebih tinggi.

Bahagian II. Status Penghormatan Kerajaan terhadap Kebebasan Beragama

Kerangka Perundangan

Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “setiap orang mempunyai hak untuk menganut dan mengamalkan agamanya,” tetapi memberikan kerajaan negeri dan Persekutuan kuasa untuk “mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam.”  Perlembagaan juga menyatakan “Islam adalah agama bagi Persekutuan” dan “Parlimen melalui undang-undang boleh membuat peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam.”  Perlembagaan mengiktiraf pemerintah traditional, juga dikenali sebagai sultan sebagai “Ketua Agama Islam” di negeri masing-masing.  Sembilan daripada 13 buah negeri di Malaysia mempunyai Sultan atau Raja.  Untuk empat buah negeri dan Wilayah Persekutuan pula, pihak berkuasa Islam tertinggi adalah Agong.  Sultan mengawal selia mahkamah syariah dan melantik hakim berdasarkan cadangan jabatan dan majlis Agama Islam yang mengendalikan mahkamah tersebut. Di negeri dan Wilayah Persekutuan yang tidak mempunyai sultan, Agong bertanggungjawab untuk proses ini.  Undang-undang membenarkan rakyat dan organisasi untuk menyaman kerajaan bagi pencabulan perlembagaan dalam soal kebebasan beragama.  Perlembagaan Persekutuan diberi keutamaan mengatasi undang-undang negeri, kecuali dalam perkara berkaitan undang-undang Islam.  Fatwa 1996 yang mempunyai kesan undang-undang di bawah undang-undang syariah mewajibkan negara untuk mengikuti hanya ajaran Sunni dan melarang pemilikan, penerbitan, atau pengagihan bahan yang bertentangan dengan ajaran Sunni.

Mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa ke atas orang Islam dalam hal ehwal undang-undang keluarga dan pengamalan agama.  Pindaan perlembagaan memperuntukkan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah syariah.  Orang bukan Islam tidak mempunyai kedudukan dalam prosiding mahkamah syariah, yang seterusnya menyebabkan beberapa keputusan mahkamah syariah memberi kesan kepada bukan Islam yang tidak mempunyai keupayaan untuk mempertahankan kedudukan mereka atau membuat rayuan ke atas keputusan mahkamah – kes selalunya berkenaan keputusan yang melibatkan penjagaan dan penukaran agama dalam keluarga yang mempunyai anggota dengan pegangan agama berlainan.  Hubungan antara undang-undang syariah dan sivil masih tidak dapat diselesaikan dalam sistem undang-undang.  Dua negeri, Kelantan dan Terengganu, secara simbolik telah menggubal undang-undang hudud untuk orang Islam, walaupun kerajaan pusat tidak pernah membenarkan undang-undang itu dilaksanakan.

Pada bulan Oktober, mahkamah tertinggi di negara ini menolak keputusan Mahkamah Rayuan pada 2014 bahawa undang-undang syariah tentang larangan pemakaian silang jantina sebagai tidak mengikut perlembagaan.  Walaupun keputusan Mahkamah Rayuan itu mengatakan undang-undang itu melanggar kebebasan bersuara dan berpersatuan yang merupakan sebahagian daripada hak perlembagaan , keputusan Mahkamah Persekutuan memberi tumpuan kepada isu prosedur.  Perkara yang masih menjadi persoalan adalah sama ada undang-undang Islam negeri mengatasi perlembagaan.

Undang-undang hasutan mengawal dan menghukum, contohnya perbuatan, ucapan yang dianggap mencela kumpulan etnik, termasuk ucapan menghina Islam sebagai agama untuk orang Melayu seperti yang ditakrifkan oleh perlembagaan. Undang-undang memberi perincian lebih khusus dengan pindaan pada April yang menjadikan ucapan yang “menggalakkan hasutan jahat, permusuhan, atau kebencian atas alasan agama” sebagai jenayah.

Undang-undang melarang penyebaran agama kepada orang Islam oleh orang bukan Islam, tetapi membenarkan dan menyokong penyebaran Islam kepada orang lain.  Undang-undang tidak menyekat hak orang bukan Islam untuk menukar kepercayaan agama dan fahaman mereka.  Seorang bukan Islam yang ingin berkahwin dengan orang Islam, bagaimanapun, mesti memeluk agama Islam agar perkahwinan itu diiktiraf secara rasmi.  Seorang minor (mereka di bawah umur 18 tahun, menurut undang-undang persekutuan) secara amnya tidak boleh menukar kepada agama lain tanpa mendapat keizinan yang jelas daripada penjaganya.  Walau bagaimanapun, undang-undang di beberapa negeri membenarkan penukaran kepada Islam tanpa kebenaran selepas berumur 15 tahun.

Orang Islam yang mahu menukar agama hendaklah terlebih dahulu meminta kebenaran daripada mahkamah syariah untuk mengisytiharkan mereka “murtad.”  Mahkamah syariah jarang membenarkan permintaan itu dan boleh mengenakan hukuman ke atas si murtad, termasuk memaksa pemulihan.  Di negeri Perak, Melaka, Sabah dan Pahang, mereka yang keluar daripada agama Islam dan memeluk agama lain adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum dengan denda atau penjara. Di Pahang, sebatan sehingga enam kali juga boleh dikenakan.  Di peringkat kebangsaan, mahkamah sivil biasanya menyerahkan kuasa kepada mahkamah syariah dalam kes berkaitan keluar daripada agama Islam, dan mahkamah syariah tetap tidak bersedia untuk membenarkan penukaran agama untuk mereka yang dilahirkan Islam, dan enggan membenarkan penukaran untuk mereka yang sebelum ini telah memeluk agama Islam.  Di negeri Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Sarawak, dan Melaka, undang-undang syariah membolehkan seorang ibu atau bapa untuk menukar agama anak kepada Islam tanpa persetujuan pasangan mereka.

Umur sah perkahwinan adalah 16 tahun untuk kanak-kanak perempuan Islam dan 18 tahun untuk lelaki Islam.  Namun mereka boleh berkahwin sebelum umur itu dengan kebenaran daripada ibu bapa mereka dan mahkamah syariah.  Orang bukan Islam mesti berumur 18 tahun untuk berkahwin.

Undang-undang cukai membolehkan pengecualian cukai bagi kumpulan agama berdaftar untuk sumbangan yang diterima dan potongan cukai bagi penderma individu.  Penderma kepada pertubuhan Islam menerima pelepasan cukai lebih banyak daripada penderma kepada pertubuhan bukan Islam.  Pendaftar Pertubuhan, yang berada di bawah Kementerian Dalam Negeri, menentukan sama ada kumpulan agama itu boleh didaftarkan untuk layak menerima geran kerajaan.

Kad pengenalan kebangsaan menyatakan agama seseorang, dan ia digunakan oleh kerajaan untuk menentukan sama ada rakyat tertakluk pada undang-undang syariah.  Kad pengenalan mengenal pasti orang Islam di atas permukaan kad itu; bagi penganut agama lain yang diiktiraf, pegangan agama tidak dicetak, tetapi dikodkan ke dalam cip pintar kad pengenalan.  Orang Islam yang sudah berkahwin hendaklah membawa kad pengenalan diri khas yang mempunyai gambar diri dan pasangan mereka sebagai bukti perkahwinan.

Pendidikan agama Islam diwajibkan untuk kanak-kanak Islam di sekolah kerajaan, pelajar bukan Islam pula diwajibkan mengambil kelas moral dan etika.  Sekolah swasta boleh menawarkan kurikulum agama bukan Islam sebagai pilihan kepada orang bukan Islam.

Amalan Kerajaan

Kerajaan terus melarang amalan Islam yang bukan Sunni, menghalang orang Islam daripada memeluk agama lain, mengenakan denda, menahan, dan mengenakan hukuman sebat terhadap mereka yang dikelaskan di bawah undang-undang sebagai orang Islam yang melanggar undang-undang syariah.  Kerajaan juga mengehadkan penyebaran agama oleh kumpulan keagamaan bukan Islam dan mengehadkan pengedaran kitab keagamaan.  Kerajaan menghukum beberapa orang yang dianggap “menghina Islam” di bawah undang-undang hasutan, selalunya susulan kritikan terhadap dasar agama kerajaan.  Disebabkan Islam, identiti etnik Melayu, dan parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang berkait rapat, maka ia sukar untuk mengkategorikan banyak kejadian berdasarkan identiti agama semata-mata.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terus melaksanakan garis panduan persekutuan yang dibuat mengenai tingkah laku atau kepercayaan Islam yang sesat.  Pihak berkuasa agama negeri umumnya mengikuti garis panduan ini.  Mereka yang berbeza dengan tafsiran rasmi Islam terus menghadapi tindakan daripada kerajaan, termasuk wajib menjalani pemulihan di pusat yang mengajar dan menguatkuasakan amalan Islam yang diluluskan oleh kerajaan.  Kerajaan melarang individu keluar dari pusat terbabit sehingga mereka menamatkan program berkenaan, yang tempohnya berbeza-beza, tetapi lazimnya berlangsung kira-kira enam bulan.  Program kaunseling terus direka untuk memastikan tahanan mengamalkan tafsiran rasmi Islam oleh kerajaan.  Pegawai penguatkuasaan agama negeri terus mempunyai kuasa untuk bekerjasama dengan polis dalam serbuan ke atas premis persendirian dan tempat awam, serta menguatkuasakan undang-undang syariah, termasuk pelanggaran seperti berpakaian tidak senonoh, pengedaran penerbitan yang diharamkan, pengambilan alkohol, atau berkhalwat (berdua-duaan dengan orang yang bukan sekeluarga dan berlainan jantina).

Kerajaan terus mengambil tindakan terhadap orang Syiah yang mengamalkan agama mereka.  Pada bulan Oktober, Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) menahan dan mendakwa 16 orang kerana mengambil bahagian dalam majlis keagamaan Syiah, dan seterusnya mengeluarkan amaran kepada pengikut Syiah lain yang “menyimpang” daripada “kepercayaan Islam sebenar” bahawa mereka boleh dikenakan denda atau penjara kerana mengamalkan “ideologi” Syiah.  Pegawai JAIS berkata, mereka bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan polis untuk terus memantau aktiviti Syiah yang disyaki menggunakan undang-undang hasutan untuk menyekat dan menghukum ucapan yang dilihat sebagai mengkritik Islam Sunni.  Pada bulan September, seorang ahli politik pembangkang dijatuhi hukuman 16 bulan penjara kerana kirimannya di media sosial pada 2014 yang didakwa menghina al-Quran dan Nabi Muhammad.  Pada bulan Januari, seorang peguam hak asasi manusia didakwa menghasut kerana tweetnya yang mengkritik JAKIM “menyebarkan fahaman pelampau” dalam teks khutbah Jumaat yang disediakan jabatan itu.  Kes itu sedang berlangsung sehingga akhir tahun.  Aktivis pertubuhan sivil menyatakan kerajaan menghukum secara terpilih terhadap ucapan yang didakwa mengecam Islam, sementara secara umumnya, mengabaikan kritikan terhadap agama lain.

Kerajaan persekutuan dan negeri terus melarang perhimpunan agama dan ibadah oleh kumpulan yang dianggap sebagai ajaran sesat seperti Syiah, Ahmadiyya, dan Al-Arqam. Ahli daripada kumpulan yang diharamkan tidak boleh bercakap dengan bebas tentang kepercayaan agama mereka.

Pegawai di peringkat persekutuan dan negeri menyelia kegiatan agama Islam, teks khutbah diedarkan kepada masjid untuk diikuti, serta menggunakan masjid untuk menyampaikan mesej politik, dan mengehadkan luahan terbuka tentang agama.  Dalam khutbah yang disampaikan di seluruh negeri pada bulan September, Jabatan Agama Islam Negeri Pahang menuduh pembangkang Parti Tindakan Demokratik sebagai anti-Islam.  Khutbah rasmi yang dikeluarkan oleh jabatan hal ehwal agama kadang-kadang mengandungi mesej yang prokerajaan, misalnya, menggesa umat Islam untuk menyokong bajet yang dicadangkan oleh PM Najib.

Kerajaan mengenakan sekatan ke atas perhimpunan agama dan menafikan status sah untuk kumpulan agama tertentu.  Wakil kumpulan agama mengadu pendaftar tidak mempunyai dasar yang konsisten atau kriteria yang telus untuk menentukan pendaftaran kumpulan agama.  Sekiranya kerajaan menolak pendaftaran sesuatu kumpulan agama, kumpulan itu boleh meneruskan pendaftaran sebagai sebuah syarikat. Contoh kumpulan yang didaftarkan sebagai syarikat termasuk Jehovah’s Witness dan The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints (Mormon).  Pada umumnya, pendaftaran sebagai sebuah syarikat boleh dibuat agak cepat dan menyediakan asas yang sah untuk berurusan, tetapi tidak layak mendapat pembiayaan kerajaan.  Bajet kerajaan persekutuan memperuntukkan RM819 juta kepada JAKIM pada 2015 untuk pelbagai projek yang berkaitan dengan pendidikan Islam dan masjid.  Tiada dana yang diperuntukkan secara khusus dalam bajet kerajaan untuk kumpulan agama bukan Islam, walaupun sesetengah kumpulan agama dilaporkan terus menerima pembiayaan tertentu secara tidak tetap untuk bangunan kuil dan gereja serta penganjuran aktiviti.

Sekatan dikekalkan untuk melarang penggunaan perkataan “Allah” oleh orang bukan Islam.  Pada bulan Januari, Mahkamah Persekutuan menafikan permohonan untuk mengkaji semula keputusan mahkamah pada bulan Jun 2014 yang mengesahkan larangan penggunaan “Allah” untuk Tuhan oleh akhbar Gereja Katolik.  Pada bulan Mei, kerajaan mencadangkan garis panduan baru sekatan terhadap penerbitan Kristian yang mengandungi perkataan “Allah” dari Semenanjung Malaysia sementara membenarkan penggunaannya di negeri Sabah dan Sarawak yang menjadi tempat tinggal ramai orang Kristian yang bertutur dalam bahasa Melayu.  Kumpulan Kristian menentang sekatan yang dicadangkan, terutamanya rancangan pengawasan terhadap penerbitan Kristian oleh Bahagian Penerbitan dan Kawalan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri, dengan menerbitkan surat terbuka mengatakan langkah itu “mengganggu hak dan amalan agama Kristian.”

Pada bulan September, kerajaan mengembalikan lapan cakera padat dengan lagu penyembahan Kristian yang mengandungi perkataan “Allah” kepada seorang wanita Kristian.  Barang itu dikembalikan selepas Mahkamah Rayuan mendapati Jabatan Kastam telah bertindak di luar undang-undang dalam merampas bahan media itu pada tujuh tahun lalu.

Kerajaan negeri mempunyai kuasa ke atas peruntukan bagi tanah untuk tujuan pembinaan semua tempat ibadat, serta peruntukan tanah untuk semua perkuburan.  Kumpulan bukan Islam melaporkan kesukaran dalam mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan untuk membina tempat ibadat baru.  Hal ini menyebabkan banyak kumpulan agama menggunakan bangunan yang dizonkan untuk kediaman atau komersial bagi upacara keagamaan mereka.  Pemerhati menyatakan bahawa amalan ini sebahagian besarnya diterima, tetapi juga menjadikan kumpulan agama berkenaan terdedah kepada risiko tertentu.  Berikutan bantahan pada bulan April oleh kumpulan orang Islam terhadap jemaah kecil Kristian yang beroperasi di sebuah bangunan komersial di Negeri Selangor, majlis perbandaran memutuskan penggunaan bangunan itu untuk tujuan keagamaan adalah “haram.”  Kerajaan negeri enggan bertindak terhadap gereja itu, tetapi penggunaan bangunan itu oleh kumpulan agama secara teknikalnya masih menyalahi undang-undang.

Walaupun pelajar Islam dikehendaki menerima pengajaran agama di sekolah kerajaan, kumpulan agama bukan Islam tidak berjaya mendesak kerajaan untuk menjadikan kelas agama bukan Islam sebagai pilihan pada hari sekolah.  Di sekolah rendah dan menengah, perhimpunan pelajar selalunya dimulakan dengan bacaan doa Islam oleh guru atau pemimpin sekolah.  Sekolah di rumah kekal sah, tetapi sesetengah keluarga melaporkan kesukaran untuk mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Pendidikan.  Pemimpin masyarakat dan kumpulan persatuan sivil melaporkan bahawa guru agama di kebanyakan sekolah kerajaan khususnya di Semenanjung Malaysia memberi tekanan kepada perempuan Islam supaya memakai tudung di sekolah.

Pada bulan November, pertubuhan NGO hak wanita Sisters in Islam (SIS) membawa kes ke mahkamah sivil untuk mencabar kesahihan mengikut Perlembagaan fatwa Negeri Selangor pada Julai 2014 yang melabel SIS sebagai “organisasi keagamaan sesat kerana mengikuti fahaman liberalisme dan pluralisme.”  Walaupun kerajaan tidak mengambil apa-apa tindakan lanjut terhadap SIS, pelanggaran fatwa terus dianggap kesalahan yang boleh dihukum dengan denda atau dipenjara sehingga dua tahun.  Pihak berkuasa juga boleh menyita dan memusnahkan mana-mana bahan yang dianggap melanggar fatwa.

Walaupun mahkamah sivil memutuskan pada 2014 bahawa serbuan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 2012 ke atas sebuah kedai buku yang menjual buku kontroversi sebagai tidak mengikut perlembagaan, JAWI bagaimanapun meneruskan dakwaan terhadap pengurus kedai buku itu kerana menyimpan penerbitan yang bertentangan dengan prinsip Islam sehingga Mei, apabila mahkamah sivil memberi amaran kepada JAWI kerana menghina mahkamah. Buku itu yang bertajuk Allah, Liberty and Love oleh penulis Kanada, Irshad Manji, telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri selepas JAWI menahan pengurus kedai buku itu.  Penerbit buku itu yang juga orang Islam menghadapi prosiding syariah.  Pada bulan September, Mahkamah Persekutuan, mahkamah tertinggi di negara ini, menolak tuntutan penerbit bahawa larangan itu melanggar kebebasan bersuara yang dijamin perlembagaan.

Kerajaan melarang penerbitan, acara terbuka, dan perdebatan terbuka yang didakwa boleh menjejaskan keharmonian antara agama.  Buku yang diharamkan pada tahun ini termasuk Muhammad: A Story of God’s Messenger and the Revelation that Changed the World oleh Deepak Chopra dan The Golden Laws: History through the Eyes of the Eternal Buddha oleh Ryuho Okawa.  Pegawai kerajaan berkata, buku itu diharamkan kerana mengandungi unsur-unsur melanggar al-Quran yang boleh mengelirukan umat Islam.

Pada bulan Januari JAWI memulakan siasatan terhadap beberapa remaja perempuan Islam kerana memeluk pemuzik lelaki pada sesi bertemu peminat ketika mereka menemui bintang pop Korea tersebut.  Selepas bantahan orang ramai terhadap ancaman untuk menangkap remaja tersebut, jabatan agama Islam tidak lagi meneruskan tindakan siasatan.

Pada bulan Februari, seorang budak lelaki berusia 14 tahun menyatakan bahawa pihak berkuasa agama Negeri Sembilan menahannya selama lebih daripada tiga jam dan memaksanya membuat laporan polis terhadap bapanya yang beragama Hindu, yang dilaporkan cuba untuk menukar agama kanak-kanak itu daripada Islam kepada Hindu. Menurut laporan media, Polis enggan mengambil tindakan dalam kes itu, dengan mengatakan ia “terlalu rumit” dan membiarkan perkara itu diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri.

Kumpulan kebebasan sivil dan pemimpin agama bukan Islam menyatakan bahawa apabila bidang kuasa sivil dan syariah bertembung, mahkamah sivil terus memberi laluan kepada mahkamah syariah, lalu mewujudkan situasi yang menjejaskan orang bukan Islam disebabkan oleh pertimbangan syariah.  Media dan peguam kebebasan sivil melaporkan bahawa mahkamah syariah sering diberi peranan memutuskan kes pertikaian hak penjagaan kanak-kanak yang mana salah seorang ibu bapa memeluk agama Islam manakala seorang lagi tidak. Mahkamah berkenaan juga dikatakan mempunyai sejarah menyebelahi ibu atau bapa yang beragama Islam.  Apabila menghadapi arahan bertentangan daripada mahkamah sivil dan syariah mengenai hak penjagaan, mereka menyatakan pihak polis biasanya menyebelahi keputusan mahkamah syariah.  Pada bulan Oktober Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi berkata, kerajaan kini dalam proses mengharmonikan undang-undang syariah dan sivil sejak dua dekad yang lalu, termasuk menjadikan semua undang-undang “serasi dengan syariah.”

Walaupun kerajaan persekutuan sudah lama memutuskan bahawa hukum hudud (undang-undang keseksaan Islam) bagi jenayah moral tidak mengikut perlembagaan, pada bulan April kerajaan bagaimanapun mengumum akan menyokong negeri yang mahu melaksanakan hudud.  Kerajaan Persekutuan dan Negeri Kelantan bekerja bersama-sama dalam satu jawatankuasa teknikal untuk mengkaji cara menguatkuasakan undang-undang hudud.  Sehingga akhir tahun ini, kerajaan belum membentangkan apa-apa rang undang-undang di parlimen, termasuk satu rang undang-undang yang meminda undang-undang syariah, dan satu rang undang-undang yang menurunkan kuasa berkenaan hal ehwal undang-undang jenayah kepada Kelantan.  Banyak pertubuhan NGO dan pemerhati politik berkata, mereka percaya sokongan secara tiba-tiba kerajaan persekutuan terhadap hudud adalah bermotifkan politik untuk memaksa perpecahan antara sebuah parti Islam (yang memihak kepada hudud) dengan parti pembangkang yang lain (yang menentang pelaksanaannya), Mereka juga meragui kemungkinan rang undang-undang itu untuk dibahaskan di parlimen.

Pegawai kerajaan membuat kenyataan anti-Semitik, dan juga anti-Kristian dalam beberapa kes.  Pada bulan Ogos, Mahdzir Khalid, menteri pendidikan dan seorang pemimpin kanan parti UMNO yang memerintah berkata, sebuah laman web yang berpangkalan di London yang melaporkan rasuah kerajaan Malaysia adalah sebahagian daripada agenda Yahudi/Kristian untuk memecah belah masyarakat Islam Melayu.

Beberapa badan kerajaan termasuk Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional telah ditugaskan untuk menggalakkan keharmonian agama dan melindungi hak kumpulan agama minoriti, tetapi banyak organisasi keagamaan menyatakan bahawa mereka percaya bahawa tiada sesiapapun yang menikmati kuasa dan pengaruh berbanding mereka yang mengawal selia hal ehwal agama Islam.

Perdana Menteri Najib terus menyeru ke arah kesederhanaan dan toleransi, dengan menggesa peserta dalam seminar mengenai agama dan hidup bersama secara aman pada bulan Oktober supaya “… membuat komitmen tegas untuk mewujudkan budaya toleransi dan keharmonian dalam usaha untuk lebih menggalakkan kesejahteraan manusia, dengan mengetepikan perkara yang boleh memecah belah kita sebagai masyarakat.”  Pada 2012, PM Najib mengasaskan kumpulan pemikir Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) dan beliau kekal menjadi penaungnya. Pada bulan Oktober, beliau melantik Nasharudin Mat Isa yang memperjuangkan pengharaman penggunaan perkataan “Allah” oleh orang Kristian, sebagai pengerusi GMM, dan hal ini mencetuskan kritikan daripada pemimpin masyarakat sivil.  Perdana Menteri Najib turut memberi beberapa ucapan yang menggambarkan Malaysia tidak akan menerima takrif hak asasi manusia “liberal” yang menyimpang daripada ajaran Islam.

Mereka yang didaftarkan sebagai orang Islam masih sukar untuk menukar identiti agama mereka dengan pihak berkuasa.  Pada bulan Oktober, Mahkamah Rayuan menolak permohonan seorang ibu yang dilahirkan sebagai Hindu dan empat anak lelakinya supaya Jabatan Pendaftaran Negara menukar nama mereka dan mengeluarkan perkataan “Islam” daripada kad pengenalan mereka.  Pemohon berhujah bahawa mereka tidak pernah bertukar agama, tetapi mahkamah memutuskan dokumen pengenalan keluarga cukup untuk membukti agama yang dianuti mereka.

Bahagian III. Status Penghormatan Masyarakat kepada Kebebasan Beragama

Terdapat laporan yang berterusan tentang masyarakat yang tidak bertolak ansur terhadap kepelbagaian agama.  Hanya terdapat sedikit insiden keganasan atau pencerobohan yang dilaporkan dalam kalangan mereka yang menyuarakan pendapat berbeza daripada pandangan rasmi yang dibenarkan dalam hal agama.

Pada bulan Mac, penyampai rancangan radio menerima pelbagai ancaman bunuh dan rogol selepas dia membintangi video sindiran yang mengkritik usaha untuk melaksanakan hudud di negeri Kelantan.  Pada bulan Disember, sebuah hospital memberhentikan seorang pekerja wanita Islam yang enggan mematuhi kod pakaian yang memerlukan pemakaian baju lengan pendek untuk tujuan kebersihan.  Hospital ini kemudian disimbah dengan cat oleh pelaku vandalisme yang dilaporkan membantah keputusan hospital itu.

Pada bulan April, penunjuk perasaan memaksa jemaah sebuah gereja Kristian kecil untuk menurunkan salib di dinding luar gereja dan berkata, simbol agama itu adalah satu penghinaan kepada kawasan kejiranan yang majoritinya beragama Islam.  Polis menyiasat penunjuk perasaan kerana menghasut, tetapi akhirnya tidak meneruskan dengan dakwaan.  Aktivis masyarakat sivil dan ahli politik pembangkang menyatakan ini adalah satu contoh berat sebelah terhadap kumpulan agama bukan Islam.  Majlis Gereja-Gereja Malaysia melihat tindakan penunjuk perasaan sebagai “… campur tangan dalam kebebasan beragama” dan majlis itu kesal kerana pihak berkuasa menutup kes tersebut.

Mereka yang menukar agama, terutamanya mereka yang keluar daripada Islam, kadangkala menghadapi stigma yang teruk.  Dalam banyak kes, mereka yang menukar agama dilaporkan menyembunyikan kepercayaan dan amalan yang baru dianuti daripada saudara seagama mereka yang terdahulu, termasuk rakan dan saudara-mara.  Wanita dan kanak-kanak perempuan Islam menghadapi tekanan sosial untuk memakai tudung.  Di media sosial, wanita Islam yang tidak memakai tudung atau berpakaian sopan sering dimalukan.  Pada bulan Jun, seorang ahli gimnastik kebangsaan yang menyiarkan gambar dirinya dalam pakaian ketat gimnastik (leotard) selepas pertandingan telah dikritik kerana tidak berpakaian sewajarnya.  Susulan insiden ini, menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Islam mengumumkan rancangan untuk mengkaji semula pakaian untuk atlet.

Identiti agama menjejaskan aspek sekular dalam kehidupan. Pada bulan Mac, kaji selidik yang dijalankan oleh agensi pungutan suara Merdeka Center mendapati 36 peratus responden etnik Melayu mejadikan “kelayakan Islam” sebangai antara kualiti utama pemimpin kerajaan.

Bahagian IV. Dasar Kerajaan A.S.

Pada bulan Ogos, pegawai kedutaan bertemu dengan Menteri Perpaduan Tan Sri Joseph Kurup bagi membincangkan cabaran dan usaha kerajaan untuk menggalakkan keharmonian kaum dan agama.  Pegawai kedutaan juga cuba untuk bertemu dengan pegawai JAKIM bagi membincangkan isu kebebasan beragama, tetapi pegawai JAKIM tidak dapat meluangkan masa untuk bertemu walaupun diminta berkali-kali.

Pada bulan Ogos juga, Wakil Khas dan Penyelaras Strategik Komunikasi Pencegahan Keganasan Amerika Syarikat bertemu dengan pegawai kerajaan dan aktivis persatuan sivil mengenai kepentingan kebebasan beragama serta peranannya dalam menangani kegiatan radikal dan peningkatan ketidaktoleranan kaum dan agama di negara ini.

Pada bulan Mei, Duta Besar menjadi hos untuk perbincangan bersama pemimpin persatuan sivil dan agama, termasuk pemimpin agama Islam, Kristian dan NGO Islam.  Kumpulan itu membincangkan had kebebasan beragama, mempromosi keharmonian agama, pelaksanaan undang-undang Islam di Kelantan, kebebasan bersuara, dan undang-undang hasutan.

Sepanjang tahun, Kedutaan menaja penyertaan empat rakyat Malaysia dalam program pluralisme agama yang dianjurkan oleh sebuah universiti Amerika Syarikat.  Sebagai sebahagian daripada program ini, peserta bertemu dengan pemimpin masyarakat A.S. daripada agama berbeza yang menyokong kerjasama dan toleransi dalam kalangan kumpulan agama, mengkaji peranan kepimpinan yang dimainkan oleh pegawai agama dalam masyarakat mereka sendiri, dan membangunkan idea cara bekerjasama dalam suasana harmoni dengan pemimpin penganut agama yang sama atau yang berbeza di negara asal mereka untuk membawa perubahan sosial yang positif.

Pada bulan Februari, Kedutaan menaja seorang penyanyi muzik country A.S. beragama Islam untuk melakukan persembahan di seluruh Malaysia.  Sebagai sebahagian daripada lawatan itu, pemuzik bercakap kepada pelajar universiti mengenai pengalaman beliau hidup sebagai seorang Islam di Amerika Syarikat dan bebincang tentang soal diskriminasi dan toleransi.

Pegawai Kedutaan bertemu NGO berasaskan agama secara tetap, mereka turut mengadakan perjumpaan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia untuk membincangkan isu kebebasan beragama termasuk pengharaman perkataan “Allah”, konflik antara mahkamah syariah dan sivil, serta pertembungan agama dan politik di Malaysia.  Program Kedutaan juga termasuk jelajah ceramah oleh pemimpin masyarakat Islam dan imam dari Amerika, serta perbincangan meja bulat dengan para pemikir, pemimpin agama dan persatuan sivil untuk menggalakkan dialog antara agama, selain mendekati media untuk menonjolkan toleransi agama.

Dalam majlis berbuka puasa tahunan yang dianjurkan oleh Duta Besar, pegawai kedutaan bercakap dengan tetamu mengenai isu seperti dialog antara agama dan kerjasama untuk mengekalkan keharmonian dalam masyarakat berbilang agama.