Flag

An official website of the United States government

Bengkel Serantau YSEALI Memperkasa Pemimpin Muda Untuk Galakkan Kepelbagaian Dan Keterangkuman
YSEALI regional workshop group photo

Para peserta dari Malaysia, negara anggota ASEAN yang lain, dan Timor Leste meraikan pelancaran Bengkel Serantau YSEALI: Kepelbagaian, Keterangkuman dan Belia.

7 MINIT DIBACA

PERHATIAN: EDITOR

18 Ogos, 2022

 

Kuala Lumpur, Malaysia – Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, dengan kerjasama Cultural Vistas, dengan bangganya membawakan Bengkel Serantau Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI): Kepelbagaian, Keterangkuman, dan Belia.  Bengkel ini akan menggalakkan perbincangan  mengenai kepelbagaian dan keterangkuman dalam kalangan pemimpin muda dari Malaysia, negara anggota ASEAN yang lain, dan Timor-Leste, serta  membina kapasiti mereka dalam melaksanakan inisiatif kepelbagaian di tempat kerja masing-masing.

Bengkel tiga hari ini akan diadakan di Kuala Lumpur dari 18-20 Ogos dan akan menghimpunkan kira-kira 80 peserta dari seluruh Asia Tenggara. Cultural Vistas akan membimbing peserta dalam menggunakan kerangka dan alatan yang berbeza untuk mengenal pasti cabaran terhadap kepelbagaian dan keterangkuman, membangunkan strategi, dan menentukan amalan terbaik untuk mengurus usaha kepelbagaian dan menggalakkan keterangkuman dalam persekitaran tempat kerja mereka.  Peserta akan belajar cara menerapkan pemikiran reka bentuk bertumpukan kepada manusia untuk inisiatif kepelbagaian dan keterangkuman serta menggunakan Alatan Penanda Aras Keterangkuman Kepelbagaian Global untuk mengukur kemajuan dalam amalan kepelbagaian dan keterangkuman.  Menjelang akhir bengkel, peserta-peserta dalam pasukan pelbagai negara akan membangunkan dan membentangkan pelan tindakan strategik mereka untuk mengembangkan usaha kepelbagaian dan keterangkuman untuk organisasi dan komuniti pilihan mereka di seluruh rantau ASEAN dan Timor Leste.

Bagi pihak Menteri Belia dan Sukan Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Ramona Mohd Razali melancarkan bengkel YSEALI bersama-sama dengan Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan A.S. Kuala Lumpur, Michael Newbill.

Timbalan Ketua Setiausaha Ramona Mohd Razali berkata, “Malaysia amat berbangga dan berbesar hati untuk menjadi tuan rumah Bengkel ini kerana Malaysia merupakan contoh terbaik untuk mempamerkan tema penerimaan kepelbagaian dan keterangkuman dalam agenda pembangunan negara kita. Kementerian memuji inisiatif YSEALI DIY kerana menyediakan platform untuk pemimpin muda kita bukan sahaja memahami tetapi juga untuk mendidik, berbincang, berkongsi amalan terbaik dan membangunkan pelan tindakan untuk mengukuhkan lagi kepelbagaian dan keterangkuman dalam masyarakat kita. Kementerian percaya bahawa penyertaan belia yang bermakna, pelbagai dan berkesan adalah penting dalam pembangunan negara. Malaysia gembira untuk menerajui inisiatif serantau yang menggalakkan kepelbagaian dan keterangkuman. Oleh itu, kami berharap untuk terus bekerjasama dengan Kedutaan A.S. dan rakan kongsi lain dari rantau ini untuk meneruskan agenda keterangkuman dalam semua aspek usaha profesional dan peribadi belia.”

Dalam menggariskan kepentingan menggalakkan kepelbagaian dan keterangkuman, Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan A.S., Michael Newbill, berkata, “Perbualan mengenai kepelbagaian dan keterangkuman adalah sangat penting untuk Asia Tenggara.  Kedutaan A.S. Kuala Lumpur berbangga dapat memudahkan perbincangan  sedemikian bersama  kerangka dan alatan untuk merealisasikan matlamat kepelbagaian dan keterangkuman anda.  Kami menamakan Bengkel Serantau ini “YSEALI DIY,” yang bermaksud Diversity (Kepelbagaian), Inclusion (Keterangkuman), dan Youth (Belia), namun ia juga menggalakkan sudut pandangan “lakukan sendiri” atau DIY.  Jika anda tidak melihat jenis tindakan yang anda inginkan mengenai isu ini, kami berharap dapat memberikan kit alatan kepada anda untuk dijadikan model amalan terbaik di negara asal anda.”

Mencapai komuniti yang pelbagai dan terangkum secara  berkesan memerlukan penyelesaian jangka panjang dan mampan. Ia melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, sistem, dasar, dan juga persekitaran di mana  anggota komuniti yakin untuk membangkitkan isu yang sensitif tetapi kritikal ini.  Kedutaan A.S. komited untuk memajukan kepelbagaian dan keterangkuman, dan ia akan terus mengutamakan inisiatif yang membantu kami mencapai matlamat kami.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Fiona Teo di teofa@state.gov.

Pautan ke foto: https://www.flickr.com/photos/usembassykl/

 

Tentang YSEALI

Apa: Dilancarkan pada tahun 2013, Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) ialah program khusus kerajaan A.S. untuk mengukuhkan pembangunan kepimpinan dan rangkaian di Asia Tenggara. Melalui pelbagai program dan libat urus, YSEALI berusaha untuk membina keupayaan kepimpinan belia di rantau ini, mengukuhkan hubungan antara Amerika Syarikat dan Asia Tenggara, serta  menggalakkan komuniti pemimpin ASEAN yang bekerja merentas sempadan untuk menyelesaikan isu bersama.
Kenapa: Kira-kira 65% populasi di rantau ASEAN berumur di bawah 35 tahun. YSEALI ialah usaha untuk memanfaatkan potensi luar biasa belia di rantau ini untuk menangani cabaran kritikal dan meluaskan peluang.

Siapa: Komuniti YSEALI terdiri daripada pemimpin muda yang cemerlang, berumur 18–35 tahun, dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Laos, Singapura, Thailand, Timor-Leste, dan Vietnam yang membuat perubahan dalam komuniti, negara, dan rantau mereka. Ketahui lebih lanjut mengenai Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara di yseali.state.gov dan sertai komuniti media sosial rasmi YSEALI di Facebook dan Twitter.

Bengkel Serantau YSEALI 2022: Kepelbagaian, Keterangkuman, dan Belia ditaja oleh Jabatan Negara A.S. dan dibiayai melalui geran daripada Kedutaan A.S. Kuala Lumpur, Malaysia. Cultural Vista merupakan rakan kongsi pelaksana.