Melabur di A.S.
Pada halaman ini, anda akan mendapati penerangan ringkas mengenai sumber yang tersedia untuk syarikat di Malaysia yang ingin membuat pelaburan di Amerika Syarikat dan beberapa cadangan untuk langkah permulaan.
Melabur di Amerika
Presiden Obama mengumumkan inisiatif SelectUSA untuk mempromosikan Amerika Syarikat sebagai lokasi perniagaan utama di dunia dan menyediakan akses mudah ke program dan perkhidmatan peringkat kerajaan persekutuan A.S. yang berkaitan dengan pelaburan perniagaan. SelectUSA direka untuk melengkapkan aktiviti negeri-negeri di Amerika Syarikat sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi di A.S.
Kenapa melabur di Amerika Syarikat?
Amerika Syarikat adalah pasaran tanpa tandingan. Amerika Syarikat merupakan ekonomi terbesar di dunia yang mempunyai penduduk ketiga terbesar di dunia, dengan keluaran dalam negara kasar lebih $14 trilion dan KDNK per kapita lebih $47,000. Dengan lebih 310 juta pengguna di Amerika Syarikat dan pendapatan isi rumah median lebih daripada $ 50,000, pasaran Amerika Syarikat sangat pelbagai dari segi cita rasa pengguna, pendapatan, dan negara asal. Jadi tidak menghairankan apabila trend dalam pasaran pengguna global sering bermula di Amerika Syarikat, dan sesuatu jenama tidak dianggap benar-benar global sehingga jenama itu menembusi pasaran Amerika Syarikat.
Amerika Syarikat mempunyai tenaga kerja yang produktif dan bersedia. Terdapat lebih 150 juta pekerja dalam pasaran buruh A.S. Mereka berkongsi bahasa yang sama, bekerja di bawah undang-undang buruh yang sangat bertanggungjawab, dan mempunyai sejarah yang panjang dalam memberi peluang dan ganjaran. Rakyat Amerika tahu bagaimana untuk mengambil kesempatan terhadap peluang yang diperoleh – ia semangat Amerika. Semangat ini yang menjadikan tenaga kerja Amerika Syarikat rakan kongsi yang dikehendaki dalam membangunkan perniagaan yang berjaya.
Amerika Syarikat merupakan negara yang mesra perniagaan dan pelaburan. Amerika Syarikat sentiasa berada pada kedudukan teratas dalam petunjuk utama bagi perniagaan dan pelaburan iklim yang menarik. Amerika Syarikat berada pada #2 dalam kedudukan indeks keyakinan Pelaburan Langsung Asing AT Kearney, #4 dalam kedudukan daya saing Forum Ekonomi Dunia, dan #5 dalam kedudukan Bank Dunia untuk “Kemudahan Menjalankan Perniagaan.”
Amerika Syarikat adalah pusat inovasi dunia. Amerika Syarikat bertanggungjawab bagi 41 peratus daripada semua perbelanjaan dalam penyelidikan dan pembangunan di negara maju pada 2007. Hampir separuh daripada semua penyelidik saintifik di negara maju bekerja di Amerika Syarikat. Amerika Syarikat menjadi tempat bagi universiti terkemuka di dunia, dengan menduduki semua 5 tempat teratas, tujuh daripada 10 tempat teratas, dan lebih separuh daripada 50 tempat teratas (iaitu 27). Malah, Amerika Syarikat mempunyai lebih dua kali ganda universiti yang berada dalam 200 tempat teratas berbanding saingan terdekat, UK, yang mempunyai 29 tempat teratas [Ranking Universiti Dunia Times Higher Education untuk 2010-11]. Menurut statistik daripada Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO), semua 10 universiti antarabangsa dinilai berdasarkan jumpah permohonan paten global terletak di Amerika Syarikat.
Peluang terbuka luas. Kami bersedia untuk membantu.
Langkah Mula
- Lawat laman web SelectUSA.gov untuk mendapatkan maklumat umum mengenai pelaburan di Amerika Syarikat. SelectUSA bertujuan untuk mengetengahkan banyak kelebihan yang ditawarkan Amerika Syarikat sebagai lokasi untuk perniagaan dan pelaburan. Daripada pasaran domestik yang luas, sistem undang-undang yang telus, kepada syarikat yang paling inovatif di dunia, Amerika adalah tempat untuk perniagaan. Di laman web ini, anda boleh menyemak insentif perniagaan yang ditawarkan oleh negeri dan wilayah yang berbeza di Amerika Syarikat.
- Hubungi kami di Kedutaan A.S. untuk membincangkan minat dan keperluan anda
Visa
Untuk maklumat berkenaan visa perniagaan untuk melawat A.S., sila lawati http://travel.state.gov/visa/ untuk maklumat terperinci.