LEMBARAN FAKTA: Pentadbiran Biden-Harris Lancar Strategi untuk Perkongsian Vaksin Global, Umum Pelan Peruntukan untuk 25 Juta Dos Pertama yang Akan Dikongsi Di Seluruh Dunia
LEMBARAN FAKTA
BILIK TAKLIMAT
03 JUN 2021
KENYATAAN DAN SIARAN
Ketika kita terus memerangi wabak COVID-19 di Amerika Syarikat dan berusaha untuk mengakhiri wabak ini di seluruh dunia, Presiden Biden berjanji bahawa Amerika Syarikat akan menjadi gedung vaksin untuk dunia. Untuk itu, pihak Pentadbiran akan mengambil beberapa langkah tambahan selain dana kami yang teguh untuk COVAX: Memberi sumbangan daripada bekalan vaksin A.S. kepada dunia dan menggalakkan negara lain untuk melakukan perkara yang sama, bekerjasama dengan pengeluar A.S. untuk meningkatkan pengeluaran vaksin untuk seluruh dunia, dan membantu lebih banyak negara mengembangkan kemampuan mereka sendiri untuk menghasilkan vaksin termasuk melalui sokongan untuk rantaian bekalan global. Strategi vaksin ini ialah komponen penting daripada strategi global kami secara keseluruhan untuk memimpin dunia dalam perjuangan untuk mengalahkan COVID-19, termasuk sokongan kesihatan awam kecemasan dan bantuan untuk menghentikan penyebaran dan membangun keupayaan kesihatan awam global dan kesediaan untuk mengalahkan bukan hanya wabak ini, tetapi wabak yang seterusnya.
Hari ini, pihak Pentadbiran mengumumkan kerangka untuk berkongsi sekurang-kurangnya 80 juta dos vaksin A.S. di seluruh dunia pada akhir bulan Jun dan merancang untuk 25 juta dos pertama.
Secara khusus, Pentadbiran mengumumkan bahawa:
Amerika Syarikat akan berkongsi vaksin untuk mengakhiri wabak ini secara global. Hari ini, Pentadbiran mengumumkan kerangka untuk berkongsi 80 juta dos vaksin A.S. di seluruh dunia. Secara khusus, Amerika Syarikat akan:
Berkongsi 75% vaksin ini melalui COVAX. Amerika Syarikat akan berkongsi sekurang-kurangnya tiga perempat daripada dos yang disumbangkan melalui COVAX, dengan membekalkan dos A.S. kepada negara-negara yang memerlukan. Perkara ini akan memaksimumkan jumlah vaksin yang boleh didapati secara adil untuk sebilangan besar negara dan bagi mereka yang paling berisiko dalam negara berkenaan. Untuk dos yang dikongsi melalui COVAX, Amerika Syarikat akan mengutamakan Amerika Latin dan Caribbean, Asia Selatan dan Asia Tenggara, dan Afrika, dengan kerjasama Kesatuan Afrika.
Berkongsi 25% untuk keperluan segera dan untuk membantu keperluan mendesak di seluruh dunia. Amerika Syarikat telah menerima permintaan vaksin daripada negara-negara di seluruh dunia. A.S. akan berkongsi sehingga satu perempat daripada dos yang disumbangkannya secara terus kepada negara-negara yang memerlukan, mereka yang mengalami lonjakan kes, jiran terdekat, dan negara lain yang telah meminta bantuan A.S. secara segera. Secara khusus, kami akan:
Menetapkan tahap untuk peningkatan liputan global. Peruntukan bahagian pertama dos yang disumbangkan ini mencerminkan keinginan Amerika Syarikat untuk bertindak balas terhadap semua rantau dan memberi asas kepada peningkatan bekalan dan akses ke seluruh dunia.
Membuat persediaan untuk lonjakan kes dan mengutamakan pekerja kesihatan dan populasi rentan lain berdasarkan data kesihatan awam dan amalan terbaik yang diakui. Kami akan berkongsi dengan negara-negara yang sangat memerlukan, dengan keutamaan untuk vaksinasi pekerja barisan hadapan. Amerika Syarikat tidak akan menggunakan vaksinnya untuk mendapatkan pengaruh daripada negara lain. A.S. akan bekerjasama dengan rakan kongsi yang sudah bersedia dan memerlukan. Sumbangan kami juga akan mengutamakan negara dengan pelan kesediaan vaksin yang mengutamakan individu yang berisiko tinggi mendapat penyakit teruk dan mereka yang bekerja menjaga mereka, seperti pekerja penjagaan kesihatan.
Membantu negara-negara yang memerlukan dan jiran-jiran kami. Amerika Syarikat akan berkongsi vaksin di rantau kami dan di seberang sempadan kami. Kami mula-mula menyediakan dos untuk jiran terdekat kami – Kanada dan Mexico. Pendekatan perkongsian dos kami mengutamakan Amerika Latin dan Caribbean berdasarkan per kapita.
A.S. telah mengumumkan pelan peruntukan yang dicadangkan untuk 25 juta dos pertama. Berdasarkan kerangka di atas dan menunggu kelulusan undang-undang dan peraturan, Amerika Syarikat merancang untuk menghantar bahagian pertama sebanyak 25 juta dos:
Hampir 19 juta akan dikongsi melalui COVAX, dengan peruntukan berikut:
Lebih kurang 6 juta untuk Amerika Selatan dan Amerika Tengah kepada negara-negara berikut: Brazil, Argentina, Colombia, Costa Rica, Peru, Ecuador, Paraguay, Bolivia, Guatemala, El Salvador, Honduras, Panama, Haiti, dan negara-negara Komuniti Caribbean (CARICOM) lain, serta Republik Dominika.
Lebih kurang 7 juta untuk Asia kepada negara dan entiti berikut: India, Nepal, Bangladesh, Pakistan, Sri Lanka, Afghanistan, Maldives, Malaysia, Filipina, Vietnam, Indonesia, Thailand, Laos, Papua New Guinea, Taiwan, dan Kepulauan Pasifik.
Lebih kurang 5 juta untuk Afrika dikongsi dengan negara-negara yang akan dipilih dengan kerjasama Kesatuan Afrika.
Lebih kurang 6 juta akan disasarkan kepada keutamaan serantau dan penerima rakan kongsi, termasuk Mexico, Kanada, dan Republik Korea, Tebing Barat dan Gaza, Ukraine, Kosovo, Haiti, Georgia, Mesir, Jordan, India, Iraq, dan Yaman, juga bagi pekerja barisan hadapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Perkongsian berjuta-juta vaksin A.S. dengan negara lain menandakan komitmen utama oleh kerajaan A.S. Sama seperti di Amerika Syarikat, kami akan bergerak secepat mungkin, sambil mematuhi syarat peraturan dan undang-undang A.S. dan negara tuan rumah, untuk memudahkan pengangkutan vaksin yang selamat dan melintasi sempadan antarabangsa. Ini akan memakan masa, tetapi Presiden telah mengarahkan Pentadbiran ini untuk menggunakan semua yang kerajaan A.S. ada untuk melindungi individu daripada virus ini secepat mungkin. Vaksin dan jumlah yang spesifik akan ditentukan dan dibahagikan apabila pihak Pentadbiran menentukan parameter logistik, peraturan dan lain-lain yang khusus untuk setiap rantau dan negara.
###