Lembaran Fakta – Memajukan Indo-Pasifik yang Bebas dan Terbuka

Lembaran Fakta – Memajukan Indo-Pasifik yang Bebas dan Terbuka (U.S. Department of State)

Setiausaha Negara Michael R. Pompeo hari ini telah berucap pada Majlis Forum Perniagaan Indo-Pasifik di Washington, DC, untuk melancarkan tunggak ekonomi dan komersil bagi strategi Indo-Pasifik Pentadbiran Trump. Di hadapan pemimpin-pemimpin perniagaan A.S. serta kenamaan-kenamaan asing di Dewan Perniagaan A.S., Setiausaha Negara Pompeo telah menjelaskan betapa pentingnya penglibatan perniagaan A.S. di Indo-Pasifik bagi misi A.S. mempromosikan keamanan dan kemakmuran.

Majlis Forum Perniagaan Indo-Pasifik itu telah menunjukkan komitmen keseluruhan kerajaan Pentadbiran ke arah memajukan Indo-Pasifik yang bebas lagi terbuka. Bersama dengan Setiausaha Negara Pompeo, pegawai-pegawai Pentadbiran kanan yang memberikan ucapan pada Forum tersebut termasuklah: Setiausaha Perdagangan Wilbur Ross, Setiausaha Tenaga Rick Perry, Agensi Pentadbir Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat Mark Green, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pelaburan Swasta Luar Negeri Ray Washburne, serta Pemangku Presiden dan Pengerusi Bank Eksport-Import Jeffrey Gerrish.

Setiausaha Negara Pompeo telah menekankan peranan kritikal sektor swasta A.S. dalam memastikan masa depan ekonomi yang mampan dan bertanggungjawab dari segi kewangan bagi Indo-Pasifik. Beliau telah melancarkan inisiatif baru untuk mempercepat pelaburan swasta A.S. dan membantu mewujudkan peluang pekerjaan eksport A.S. dalam bidang ekonomi, infrastruktur, dan tenaga digital. Beliau juga telah menguatkan lagi sokongan Pentadbiran dalam Akta Pemanfaatan Lebih Baik Pelaburan Ke Arah Pembangunan (Better Utilization of Investments Leading to Development atau BUILD), yang akan meningkatkan lebih daripada dua kali ganda keupayaan pembiayaan pembangunan kerajaan A.S. kepada $60 bilion, bagi membantu pelaburan swasta A.S. dalam peluang-peluang strategik di luar negara.

Dari 1-5 Ogos, Setiausaha Negara Pompeo akan membuat lawatan ke Indo-Pasifik bagi membincangkan visi ekonomi dan strategik Amerika dengan rakan serantau. Beliau akan membuat lawatan ke Malaysia terlebih dahulu untuk membincangkan pengukuhan Perkongsian Komprehensif dan meneruskan kepentingan keselamatan dan ekonomi bersama. Beliau kemudiannya akan melawat Singapura untuk bertemu dengan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Menteri Luar Negeri Vivian Balakrishnan, serta menghadiri Majlis Forum Serantau ASEAN, Sidang Kemuncak Asia Timur, Mesyuarat Peringkat Menteri A.S.-ASEAN, dan Mesyuarat Peringkat Menteri Inisiatif Mekong Rendah. Akhir sekali, di Indonesia, beliau akan membincangkan tentang memajukan perkongsian keselamatan bersama dan perdagangan dua hala dan matlamat pelaburan.

Di Majlis Forum Perniagaan Indo-Pasifik, Setiausaha Negara Pompeo telah mengumumkan sebanyak $113.5 juta inisiatif ekonomi A.S. baru demi membantu bidang-bidang asas masa depan: ekonomi digital, tenaga, dan infrastruktur. Ini merupakan pelaburan strategik dalam penglibatan yang lebih mendalam dengan Indo-Pasifik sementara meningkatkan ekonomi kita sendiri dan mewujudkan peluang pekerjaan di tanah air. Di bawah merupakan butiran bagi semua pengumuman Setiausaha Negara Pompeo.

Perkongsian Ketersambungan Digital dan Keselamatan Siber
Melalui Perkongsian Ketersambungan Digital dan Keselamatan Siber, Amerika Syarikat akan meningkatkan ketersambungan digital negara-negara rakan kongsi dan mengembangkan peluang eksport teknologi A.S. Di samping mewujudkan perkongsian awam-swasta bagi membina infrastruktur digital, inisiatif ini akan melancarkan bantuan teknikal untuk meningkatkan dasar kawal selia dan keselamatan siber negara-negara rakan kongsi.

Transaksi Infrastruktur dan Rangkaian Bantuan
Transaksi Infrastruktur dan Rangkaian Bantuan merupakan usaha keseluruhan kerajaan A.S. dalam membantu pelaburan infrastruktur yang produktif. Badan antara agensi baharu, yang dipimpin oleh Majlis Ekonomi Negara, akan menyelaraskan usaha kerajaan A.S. dalam menilai projek, pembiayaan pembangunan terus, dan menyediakan bantuan teknikal kepada negara-negara rakan kongsi. Amerika Syarikat akan menubuhkan Dana Penasihat Transaksi Indo-Pasifik yang baharu untuk membantu rakan-rakan mengakses bantuan undang-undang swasta untuk rundingan kontrak.

Asia EDGE – Meningkatkan Pembangunan dan Pertumbuhan melalui Tenaga
Asia EDGE akan memperkukuhkan keselamatan tenaga dan mepromosikan akses tenaga di seluruh rantau Indo-Pasifik. Inisiatif ini akan meningkatkan pasaran tenaga asing dan merangsang eksport tenaga A.S. dengan mengembangkan perkongsian awam-swasta, memupuk hubungan antara perniagaan, dan membantu kerajaan rakan kongsi dalam menetapkan dasar-dasar tenaga berasaskan pasaran. Asia EDGE juga akan memangkinkan modal persendirian dengan menjadi rakan kongsi firma dan institusi kewangan antarabangsa dalam kewangan terkumpul, insurans dan pengurangan risiko, sokongan komersil, dan pembangunan projek.

Perjanjian Perbadanan Cabaran Milenium dengan Mongolia
Setiausaha Negara Pompeo telah mengumumkan di Majlis Forum Perniagaan Indo-Pasifik bahawa Perbadanan Cabaran Milenium akan melaksanakan perjanjian $350 juta dengan Mongolia untuk memajukan bekalan air lestari ke ibu negara Mongolia, Ulaanbaatar.

Sokongan terhadap Institusi Serantau
Setiausaha Negara Pompeo juga mengumumkan sokongan kukuh terhadap institusi serantau yang penting di Indo-Pasifik, termasuklah Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Hubungan A.S.-ASEAN, Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan Inisiatif Mekong Rendah, berserta dengan sumbangan julung kali kepada Pertubuhan Lingkaran Lautan Hindi.

Jabatan Negara telah menerbitkan kalendar yang menyenaraikan penglibatan diplomatik dan komersial A.S. pada masa akan datang yang memberi tumpuan kepada Indo-Pasifik, termasuk persidangan baharu, misi perdagangan, dan acara-acara lain di Amerika Syarikat dan di luar negara.

Terjemahan ini disediakan sebagai ihsan dan hanya sumber asal dalam bahasa Inggeris yang dianggap sebagai berwibawa.