Kuala Lumpur – Pada hari Rabu 13 Oktober 2021, program “Creating Agents for Change” dilancarkan bersama oleh Duta Besar AS ke Malaysia Brian D. McFeeters, Exco Kerajaan Negeri Selangor untuk Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga, YB Dr. Siti Mariah Mahmud, dan aktivis Datin Paduka Marina Mahathir. Dianjurkan oleh EMPOWER Malaysia dan 3R Media dengan sokongan Kedutaan A.S., program pembinaan kapasiti lima bulan ini bertujuan memberi peluang kepada wanita muda untuk menjadi advokat yang lebih baik dalam perjuangan mereka untuk kesamarataan.
“Creating Agents for Change” menampilkan satu siri bengkel yang akan melibatkan 20 pemimpin wanita Malaysia yang berumur 18 hingga 30 tahun dan berasaskan hak asasi manusia dan jantina untuk menyokong usaha advokasi mereka. Mereka juga akan menerima latihan media secara mendalam yang merangkumi kreativiti dalam menggalakkan perubahan sosial dan cara menggunakan alat media dengan berkesan untuk menjalankan kempen advokasi mereka yang tertumpu pada media pada masa depan.
Kempen advokasi yang tertumpu pada media melibatkan penciptaan ruang inklusif untuk wacana, demonstrasi dalam talian, video dokumentari, dan penggunaan grafik kreatif serta seni sebagai alat untuk peluahan perasaan dan solidariti. Oleh itu, menjelang akhir program, para peserta akan berpeluang membentuk dan menghasilkan kandungan audio-visual mereka sendiri untuk mengetengahkan pelbagai isu jantina. Selanjutnya, satu acara pertunjukan khas untuk mempamerkan usaha para peserta akan diadakan bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa pada bulan Mac 2022.
Penyelaras Projek EMPOWER Denise Lee berkata, “Penting bagi kita menjadikan pemerkasaan wanita muda berpusat pada mereka sendiri dengan mengiktiraf dan melaksanakan tindakan pemerkasaan itu dalam diri mereka. Nasib wanita dan gadis dari semua latar belakang perlu diputuskan oleh mereka, bukan orang lain yang hidup dengan cara yang sangat berbeza. Oleh itu kita bukan sahaja perlu menggalakkan perkara ini tetapi juga memberi ruang sebenarnya kepada mereka untuk benar-benar menggunakan hak mereka untuk bebas bersuara dan bertindak berdasarkan keputusan mereka sendiri.”
YB Dr Siti Mariah Mahmud menekankan “Advokasi kesamarataan dan hak jantina bukanlah usaha yang mudah, tetapi boleh dilakukan jika seseorang itu dilengkapkan dengan asas yang diperlukan. Saya berharap program ini menjadi pencetus kepada pemimpin dan aktivis wanita masa depan, mempercepat pemerolehan maklumat dan kemahiran peserta yang diperlukan untuk mencapai kecemerlangan dan menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang mampan serta menjadi pencipta keamanan.”
Duta Besar A.S. Brian McFeeters menekankan “Kita tidak boleh memandang rendah kepentingan advokasi dan penguatan untuk mendapatkan penyertaan penuh daripada semua anggota masyarakat ketika kita memperjuangkan kesamarataan jantina. Gangguan seksual, perkahwinan kanak-kanak, dan keganasan terhadap wanita merupakan beberapa masalah utama yang 20 orang peserta program ini berusaha untuk perangi. Kami berharap dapat menggalakkan dialog dan tindakan selanjutnya mengenai isu-isu penting ini, termasuk akses kepada pendidikan, memajukan kesamarataan ekonomi, dan menangani halangan dan sekatan yang dihadapi oleh wanita dan gadis.”
“Creating Agents for Change” memberikan wanita muda daripada pelbagai latar belakang ruang yang selamat untuk terlibat secara aktif dalam perbincangan kritikal mengenai advokasi dan isu jantina. Di samping itu, pelbagai pakar jantina dan kumpulan advokasi – Amnesty International, Legal Dignity, MISI Solidariti, Justice for Sisters dan banyak lagi – akan dijemput untuk menghubungkan para peserta dengan aktivis-aktivis hak asasi semasa di Malaysia. Penggabungan pemikiran, kreativiti, kemahiran advokasi media, dan hubungan berdasarkan hak, serta hubungan yang bermakna menjadi batu loncatan yang penting untuk meningkatkan kapasiti mereka sebagai aktivis muda.
Program ini merupakan sebahagian daripada Kempen Pemerkasaan Wanita Kedutaan A.S. yang bertujuan mengatasi halangan yang menyekat peranan wanita dalam masyarakat dan sebagai penyumbang ekonomi kepada kemajuan negara. Kedutaan A.S. komited untuk memperkuat kemampuan organisasi tempatan untuk advokasi pembaharuan dasar, perbincangan, dan mengukuhkan kemahiran institusi dan individu.
Lawati tapak web di https://www.empowermalaysia.org/creatingagentsforchange. Pertanyaan lebih lanjut mengenai “Creating Agents for Change” juga boleh diajukan melalui emel kepada Denise Lee di hrsa@empowermalaysia.org.
Mengenai EMPOWER
EMPOWER berusaha untuk memajukan dan merealisasikan sepenuhnya hak-hak wanita dalam semua bidang. Kami percaya bahawa kesamarataan jantina merupakan prasyarat untuk keadilan dan demokrasi yang subur. Kerja kami berpusat pada prinsip-prinsip feminis dan hak asasi manusia. Kami ialah organisasi tanpa untung dan tidak berpihak bagi hak-hak wanita.
Mengenai 3R Media
3R MEDIA diwujudkan untuk mengiktiraf pentingnya peranan wanita dalam masyarakat dan kemampuan mereka untuk mencabar dan mengubah keadaan dalam kehidupan dan masyarakat mereka melalui penggunaan media. Perkara ini merangkumi media arus perdana dan juga platform media sosial. Ini bermula pada tahun 2000 sebagai satu program televisyen yang dipanggil 3R (Respek, Relaks dan Respon) oleh Datin Paduka Marina Mahathir dan Lina Tan. 3R bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan NGO wanita, komuniti wanita dan badan-badan kerajaan untuk memberi kesedaran mengenai isu-isu yang memberi kesan kepada wanita, membina pengetahuan dan menggalakkan feloship dan kepemimpinan wanita.