Kempen seluruh negara oleh Kedutaan A.S. dan Biji-biji menjemput belia menjadi peneraju dalam menangani perubahan iklim
PERHATIAN: EDITOR
Kuching, 15 Jun 2022 – Kempen unik di seluruh negara yang menggalakkan semua golongan muda Malaysia untuk mengambil pendirian terhadap perubahan iklim bermula di Sudut Amerika, Pustaka Negeri Sarawak. Dibangunkan dan dianjurkan bersama oleh organisasi sosial Biji Biji Initiative dan Kedutaan A.S. Kuala Lumpur, Kempen Planet Us menampilkan siri pameran dan program-program yang menarik, semuanya direka untuk memberi inspirasi untuk bertindak dan menggalakkan perbincangan mengenai pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar.
Planet Us menyasarkan untuk memperkasakan belia Malaysia membuat perubahan dalam persekitaran dan alam sekitar berdekatan dengan mereka dalam usaha memerangi perubahan iklim. Kempen ini juga menggalakkan orang ramai untuk merenung dan memikirkan semula tabiat mereka sendiri berkaitan kelestarian dan kesan tindakan harian mereka terhadap alam sekitar. Ini diharap dapat mencetuskan perbualan dan peralihan minda ke arah kesedaran alam sekitar.
Kempen Planet Us, yang dijadualkan berlangsung selama empat bulan antara bulan Jun hingga September, akan dianjurkan di beberapa negeri di seluruh negara termasuk di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Sabah dan Kuala Lumpur. Pengunjung boleh menyertai aktiviti fizikal seperti bengkel topikal tentang pengomposan, kraf tangan dan ceramah perniagaan, serta pameran utama yang memaparkan banyak poster infografik. Kempen ini juga disertakan dengan aktiviti maya, termasuk pertandingan kitar semula, permainan dalam talian dan tapak web untuk melibatkan audiens tentang cara membantu memelihara alam sekitar dan mempelajari kesan perubahan iklim.
Menteri Muda Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, YB Dr. Annuar bin Rapaee menyokong kempen ini yang menyeru golongan belia untuk meneraju perubahan dalam persekitaran. Beliau berkata “Kami berharap dengan kempen Pendidikan seperti Planet Us, lebih ramai golongan muda dapat memberi inspirasi kepada tindakan dan sumbang saran penyelesaian kreatif kepada pelbagai masalah alam sekitar yang kita hadapi. Ia juga penting untuk kita menyemai benih inisiatif alam sekitar dari usia muda. Inisiatif seperti Planet Us ialah cara terbaik untuk menggalakkan usaha kelestarian sambil membantu belia memahami keperluan untuk perubahan minda hari ini untuk hari esok yang lebih baik.”
Kedutaan A.S. di Malaysia berbangga menjadi rakan kongsi kempen ini dan menyatakan komitmennya untuk memperkasakan belia untuk menjadi penyokong alam sekitar masa hadapan. Kuasa Usaha Michael Newbill berkata, “Amat sesuai Planet Us dilancarkan di sini di Sarawak, sebuah negeri yang kaya dengan hidupan liar, biodiversiti dan sumber semula jadi, dan yang menerajui usaha pemuliharaan alam sekitar di Malaysia. Melalui Planet Us, kami berhasrat untuk memberi inspirasi kepada belia Malaysia untuk mengambil tindakan dalam memerangi krisis iklim, dan untuk menyedari bahawa setiap langkah kecil yang mereka ambil boleh membawa lebih jauh ke arah melindungi alam sekitar.”
Pengerusi Pustaka Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Dr. Hamid Bugo memuji Planet Us atas siri aktiviti dalam talian dan luar taliannya yang cemerlang untuk menjana minat dan rasa ingin tahu dalam kalangan belia dan masyarakat umum. “Kami teruja dan bangga menjadi negeri pertama di Malaysia yang menganjurkan pameran Planet Us. Salah satu peranan utama kami sebagai perpustakaan negeri adalah menyediakan persekitaran pendidikan untuk komuniti kami melalui pameran dan program yang bernas seperti ini. Memandangkan kami ingin menjadi pusat sumber maklumat pilihan di negeri ini, kami berharap kempen ini akan membangkitkan semangat lebih ramai golongan muda tampil ke hadapan untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam melindungi alam sekitar kita,” kata Hamid.
Untuk butiran lanjut tentang kempen ini, lawati laman web Planet Us (biji-biji.org), yang turut mengandungi muat turun penuh program, tempat pameran, bengkel dan poster infografik tentang alam sekitar, kelestarian dan perubahan iklim. Ikuti halaman Instagram untuk siaran dan kemas kini.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Rubini Maruthian| 012 220 7547| rubini@madhat.asia
TENTANG INISIATIF BIJI BIJI
Biji Biji Initiative membantu organisasi melalui program pemecut untuk mengembangkan kecekapan bagi memberi impak kepada alam sekitar dengan menyelaraskan inisiatif dan usaha mereka selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
TENTANG SUDUT AMERIKA
Sudut Amerika ialah tempat berkumpul dan belajar dengan akses terbuka di seluruh dunia yang menggalakkan interaksi – secara bersemuka dan maya – dalam kalangan audiens tempatan dan Amerika Syarikat. Dengan persekitaran bertemakan Amerika yang mesra, American Spaces membawa program dan aktiviti yang menarik dalam pelbagai tema dan topik — daripada pendidikan STEM dan makerspace kepada program alam sekitar dan keusahawanan. American Spaces kini terletak di Kedah, Kelantan, Sarawak dan Pulau Pinang.
Sila layari album Flickr Kedutaan A.S. untuk lebih banyak foto.