Flag

An official website of the United States government

Empat Anak Muda Malaysia Yang Cemerlang Diterima ke Akademi Ketenteraan A.S
8 MINIT DIBACA
Jun 8, 2022

Empat rakyat Malaysia telah diterima untuk melanjutkan pelajaran mereka di akademi ketenteraan A.S. yang berprestij dan bersedia untuk menjadi pegawai tentera Malaysia pada masa hadapan.  Kedutaan A.S. di Kuala Lumpur menganjurkan majlis pelepasan pada 7 Jun untuk meraikan kejayaan mereka.
Enam puluh sembilan negara telah dijemput untuk menamakan calon tahun ini dengan matlamat untuk mendaftarkan 15 calon dalam setiap akademi ketenteraan, kata Michael Newbill, Kuasa Usaha Kedutaan A.S. di Kuala Lumpur, dalam ucapannya pada majlis tersebut.

“Kurang daripada 20 peratus pemohon antarabangsa dipilih.  Proses pemilihan adalah sangat ketat dan kompetitif; calon dinilai berdasarkan prestasi akademik, kebolehan fizikal, perwatakan, dan kebolehan kepimpinan mereka.  Tahniah kepada kadet dan keluarga mereka atas pencapaian luar biasa ini,” kata Kuasa Usaha Newbill, sambil menambah bahawa Malaysia pada masa ini mempunyai lima kadet di akademi kententeraan A.S.: satu di Akademi Tentera Darat Amerika Syarikat, dan dua masing-masing di Akademi Tentera Laut Amerika Syarikat dan Akademi Tentera Udara Amerika Syarikat.

Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Jeneral Dato’ Zaidan bin Atan berkata, “Angkatan Tentera Malaysia sentiasa melihat Program Akademi Ketenteraan A.S. sebagai tunjang kejayaan dan pencapaian dalam diplomasi pertahanan yang tinggi antara Malaysia dan Amerika Syarikat.”

Pelajar Malaysia berikut telah dipilih selepas proses pemilihan yang ketat yang menilai potensi kepimpinan, kecergasan fizikal dan pencapaian akademik mereka:

• Edlan Mikyad bin Ahmad Syamly dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur telah diterima ke Akademi Tentera A.S. (USMA), di West Point, New York.  Beliau bersekolah di Sekolah Menengah Kluster Damansara Utama sebelum menyertai Asasi Kejuruteraan & Teknologi di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

• Muhamad Danish Imran bin Zainudin dari Kulai, Johor, akan menyertai Akademi Tentera Laut A.S. (USNA) di Annapolis, Maryland.  Beliau berkelulusan Maktab Tentera Diraja Malaysia.

• Qarin Loqman Safriza dari Ampang, Kuala Lumpur, juga telah diterima ke USNA di Annapolis, Maryland.  Qarin Loqman merupakan pelajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar dan Maktab Tentera Diraja.

• Zarif Bin Mohd Zamrin dari Subang Jaya, Selangor, telah diterima ke Akademi Tentera Udara A.S. (USAFA) di Colorado.  Zarif pernah bersekolah di SMK SS17 sebelum menamatkan pengajian Asasi Teknologi Kejuruteraan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.  Dia bercita-cita menjadi pejuang tentera udara.

Foto di Flickr Kedutaan Amerika Syarikat Kuala Lumpur

Edlan Mikyad bin Ahmad Syamly

Edlan Mikyad bin Ahmad Syamly, dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur, merupakan anak sulung daripada tiga beradik. Dia bercita-cita untuk menjadi anggota rejimen payung terjun selepas ditauliahkan dalam Tentera Darat Malaysia.

Beliau bersekolah di Sekolah Menengah Kluster Damansara Utama di mana beliau merupakan pemimpin Kadet Polis. Edlan menamatkan Asasi Kejuruteraan & Teknologi di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dengan PNGK keseluruhan 3.48. Dia merupakan orang pertama dalam keluarganya yang berkhidmat dalam tentera. Pedoman peribadinya ialah “Jadilah lebih baik”. Edlan yakin dengan gaya kepimpinan yang sesuai, sesiapa sahaja boleh menjadi yang terbaik.

 

 

 

 

 

Muhamad Danish Imran bin Zainudin

Muhamad Danish Imran bin Zainudin, dari Kulai, Johor, merupakan anak sulung daripada empat beradik.  Beliau berharap untuk menjadi arkitek tentera laut selepas ditauliahkan ke dalam Tentera Laut Diraja Malaysia.

Beliau lulus dari Maktab Tentera Diraja Malaysia di mana beliau adalah Sarjan Putera dan pengerusi Kelab Debat Bahasa Inggeris sekolahnya.  Dia merupakan orang pertama dalam keluarganya yang berkhidmat dalam tentera.

Pedomannya ialah “tidak mementingkan diri dan pengorbanan adalah penting untuk berjaya dalam misi.”

 

 

 

 

 

Zarif bin Mohd Zamrin

Anak kelahiran Subang Jaya, Zarif Bin Mohd Zamrin merupakan anak kedua daripada empat adik-beradik. Dibesarkan di sebuah bandar kecil dalam kalangan ahli keluarga yang rapat, Zarif mempelajari kepentingan komunikasi yang baik, kesabaran dan setia kawan. Sebagai yang pertama dalam keluarganya menyertai Angkatan Tentera, beliau ingin menjadi juruterbang pejuang tentera udara selepas ditauliahkan ke Tentera Udara Diraja Malaysia.
Zarif bersekolah di SMK SS17, di mana beliau memegang beberapa jawatan dalam

persatuan kadet sekolah itu dan merupakan seorang atlet yang aktif, terutamanya dalam sukan ragbi. Zarif menamatkan pengajian Asasi Teknologi Kejuruteraan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dengan PNGK 3.98. Dia berpegang pada prinsip “jika anda berusaha untuk mencapai yang mustahil, anda akan kagum dengan seberapa dekat anda untuk mencapainya. Jangan ingat langit itu adalah sempadan kerana sudah ada orang yang menjejak langkah di bulan.”

 

 

 

Qarin Loqman bin Safriza

Qarin Loqman bin Safriza berasal dari Ampang, Kuala Lumpur. Beliau diberi Anugerah Komandan kerana menjadi pelajar terbaik di Maktab Tentera Diraja (RMC). Beliau juga mengetuai kompeninya untuk memenangi anugerah. Beliau bercadang untuk belajar Seni Bina Tentera Laut dan Kejuruteraan Marin di Akademi Tentera Laut Amerika Syarikat dan berharap dapat menggunakan pengetahuannya dalam Tentera Laut Diraja Malaysia.

Qarin adalah seorang pemimpin pelajar, pemegang pangkat, ahli sukan, pemuzik dan inovator. Dia boleh bercakap bahasa Perancis dan mempunyai Diploma Bahasa Perancis (DELF). Qarin juga bermain tenis di peringkat antarabangsa dan nasional. Beliau memenangi pingat dalam Kejohanan Tenis Remaja Antarabangsa 100 Plus di Thailand dan berazam untuk menyertai pasukan tenis USNA. Minatnya dalam teknologi marin telah membawanya memenangi beberapa anugerah dalam pertandingan inovasi sama ada di dalam dan luar negara. Dia meminati muzik dan merupakan peserta kumpulan orkestra sekolahnya.

Qarin adalah orang pertama dalam keluarganya yang berkhidmat dalam tentera.