Education USA di Pesta MATTA Kota Kinabalu

Pada 6-8 Mei 2016, Education USA mengambil bahagian dalam Pesta MATTA Kota Kinabalu yang diadakan di Suria Sabah, Kota Kinabalu.  Education USA, yang dihoskan oleh Suruhanjaya Amerika Malaysia mengenai Pertukaran Pendidikan (MACEE), merupakan pusat nasihat sehenti pendidikan yang disokong oleh Jabatan Negara A.S.  Pertubuhan ini memberi maklumat yang tidak berat sebelah, tepat, menyeluruh dan terkini mengenai cara untuk memohon masuk ke kolej dan universiti A.S. yang diiktiraf.

Sebelum pembukaan rasmi Pesta MATTA, penyelaras EducationUSA, Judith Burnard, ditemuramah oleh KupiKupi FM, sebuah stesen radio Sabah, dan menjawab soalan mengenai EducationUSA dan perkhidmatan yang ditawarkan serta maklumat tambahan tentang belajar di Amerika Syarikat dengan cara yang mudah.

Pesta MATTA Kota Kinabalu, adalah platform terbaik untuk EducationUSA bertemu dengan penduduk tempatan, mengukur minat mereka, dan menjawab soalan tentang belajar di Amerika Syarikat.  Penglibatan dalam Pesta MATTA terbukti satu usaha yang tidak sia-sia kerana ramai orang singgah di gerai Kedutaan untuk maklumat terkini mengenai permohonan ke universiti, tarikh peperiksaan SAT dan TOEFL di KL, bagaimana untuk belajar untuk SAT, memohon ke universiti terkenal, biasiswa untuk pelajar antarabangsa dan peluang pengajian pasca siswazah.  Bahagian Konsular membantu menjawab soalan dan kebimbangan mengenai visa untuk belajar dan berjaya mengurangkan kebimbangan ibu bapa dan pelajar mengenai perkara tersebut.  EducationUSA mungkin akan menghantar penasihatnya ke Kota Kinabalu setiap 3 bulan untuk membantu pelajar di Sabah.

Berdasarkan sambutan hebat di sini, EducationUSA akan kembali pada tahun depan untuk Pesta MATTA 2017 di Kota Kinabalu.