Duta Besar Yun Sertai Delegasi Portland Melawat Sabah

Ambassador Yun and the Portland delegation visit the Rainforest Discovery Centre (RDC) in Sandakan, Sabah. (U.S. Embassy photo)

Duta Besar Yun dan 10 orang delegasi dari Portland, Oregon, melawat Sabah sebagai sebahagian daripada inisiatif Bandar Bekembar dan Kerjasama Oregon-Sabah. Delegasi yang diketuai oleh Presiden Majlis Metro Portland Tom Hughes, melawat beberapa tempat di Kota Kinabalu dan kawasan lain di Sabah untuk membina hubungan dalam bidang kerjasama perniagaan, pendidikan, dan alam sekitar.

Semasa lawatan itu, Duta Besar Yun dan delegasi bertemu dengan wakil Yayasan Universiti Kolej Sabah (UCSF) untuk meneroka kemungkinan kerjasama dengan beberapa universiti di Oregon. Mereka juga melawat Pusat Lapangan Danau Girang, di mana mereka melihat Unit Penyelamat Hidupan Liar Sabah melepaskan tenggiling yang menjadi mangsa penyeludupan ke dalam hutan. Mereka bertemu dengan kakitangan EcoHealth Alliance untuk membincangkan kerja yang dilakukan oleh Makmal Kesihatan, Genetik dan Forensik Hidupan Liar di Penampang, Sabah. Di samping itu, mereka melawat Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo di Sepilok, Taman Hidupan Liar Lok Kawi dan Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Lawatan diakhiri apabila Presiden Majlis Metro Hughes, yang mewakili Institut Perhutanan Sedunia (WFI), menandatangani perjanjian dengan Pengarah Perhutanan Sabah, Datuk Sam Mannan yang akan menghantar empat rakyat Sabah ke Portland, Oregon, untuk program fellowship selama enam bulan di WFI sepanjang beberapa tahun akan datang.