Duta Besar Yun Mengiringi Delegasi Sabah ke Portland, Oregon

Duta Joseph Yun akan mengiringi delegasi dari Kota Kinabalu dan Sabah yang melawat Portland, Oregon dari 27 September – 4 Oktober, 2014.

Delegasi dari Sabah yang diketuai oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, YB Datuk Seri Panglima Masidi Manjun Bin ini termasuk Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Abidin Madingkir dan wakil-wakil dari Lembaga Pelancongan Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah, Universiti of Malaysia Sabah (UMS), Pusat Lapangan Danau Girang dan Kelab Rotary Kota Kinabalu.

Lawatan susulan rancangan menjadikan Kota Kinabalu dan Portland sebagai Bandar Berkembar ini akan turut menyaksikan dan menandatangani MOU antara Bandaraya Kota Kinabalu dan Persatuan Bandar Berkembar Portland-Kota Kinabalu (PKKSCA) dan pertemuan dengan Datuk Bandar Charlie Hales, Pengerusi Majlis Metro Tom Hughes, dan ramai lagi pemimpin perniagaan dan kerajaan yang lain.

“Kami berharap lawatan ini dan kewujudan kerjasama Bandar Berkembar antara Kota Kinabalu dan Portland akan membawa kepada hubungan rakyat dengan rakyat dan peningkatan hubungan pelancongan, aktiviti perniagaan, akademik dan pertukaran antara rakyat kedua-dua bandar,” Duta Besar Yun berkata.

Delegasi itu akan bertemu dengan syarikat dan universiti di Oregon yang berminat untuk menjalankan perniagaan di Kota Kinabalu dan Sabah, dan juga akan bertemu dengan pakar perhutanan dan hidupan liar yang bersemangat untuk membantu Kota Kinabalu dan Sabah dengan pengurusan sumber asli dan pemuliharaan hutan dan hidupan liar.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak dan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama semasa lawatan bersejarah Presiden ke Kuala Lumpur pada bulan April 2014, kedua-dua negara bersetuju untuk menggalakkan kerjasama Bandaraya Kembar antara bandar-bandar di Malaysia dan Amerika Syarikat.