Jabatan Kehakiman
Pejabat Hal Ehwal Awam
UNTUK SIARAN SERTA-MERTA
Selasa 14 April 2020
Jabatan Kehakiman hari ini mengumumkan bahawa ia telah mengembalikan kepada Malaysia tambahan kira-kira $300 juta (RM1.292 bilion) dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dana syarikat pembangunan pelaburan Malaysia, yang digubah melalui institusi kewangan di beberapa bidang kuasa, termasuk Amerika Syarikat , Switzerland, Singapura dan Luxembourg.
Bersama-sama dengan dana lain yang sebelum ini telah dikembalikan oleh Jabatan Kehakiman kepada Malaysia pada Mei 2019, Amerika Syarikat telah mengembalikan atau membantu Malaysia memperolehi semula lebih $600 juta (RM 2.6 bilion) dana 1MDB yang disalahgunakan. Usaha Jabatan untuk mendapatkan kembali dana yang disalahgunakan daripada 1MDB masih berterusan.
Pada tahun 2019, Mahkamah Daerah A.S. untuk Daerah Tengah California memutuskan untuk melucuthakkan aset lebih $700 juta yang diperolehi oleh Low Taek Jho, atau Jho Low, dan keluarganya yang berada di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Switzerland. Setakat ini, Amerika Syarikat telah memperolehi atau membantu memperolehi semula lebih $1 bilion aset yang berkaitan dengan skim pengubahan wang haram dan rasuah antarabangsa 1MDB. Ini merupakan pemerolehan terbesar setakat ini di bawah Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi Jabatan Kehakiman dan pelucutanhak sivil terbesar yang pernah diselesaikan oleh Jabatan Kehakiman.
“Kami dengan senang hati membuat pengembalian terbaru ini bagi dana 1MDB yang berjumlah $300 juta,” kata Penolong Peguam Negara Brian A. Benczkowski daripada Bahagian Jenayah Jabatan Kehakiman. “Pembayaran ini mencerminkan komitmen berterusan Amerika Syarikat kepada rakyat Malaysia untuk memburu, merampas, melucuthakkan, dan mengembalikan aset yang diperolehi berkaitan dengan skema jahat ini.”
“Pengembalian dana yang dicuri ini kepada rakyat Malaysia adalah hasil usaha gigih pendakwa dan ejen kerajaan persekutuan untuk mencegah kleptokrat asing dan rakan-rakan mereka daripada menggunakan Amerika Syarikat sebagai tempat permainan mereka untuk menikmati hasil daripada kekayaan yang dicuri,” Kata Peguam A.S. Nick Hanna dari Daerah Tengah California. “Jumlah wang yang dicuri daripada rakyat Malaysia sangat mengejutkan, dan kami bekerja berterusan untuk mendapatkan kembali aset yang sepatutnya digunakan demi kepentingan mereka.”
“Skuad Rasuah Antarabangsa FBI komited untuk melindungi Amerika Syarikat daripada penjenayah yang cuba mendapat keuntungan melalui ekonomi kita dengan menggunakan dana haram mereka,” kata Penolong Pengarah Calvin Shivers daripada Bahagian Siasatan Jenayah FBI. “Pengembalian yang diumumkan hari ini adalah hasil langsung daripada siasatan korupsi antarabangsa FBI, yang secara konklusif menunjukkan bahawa penjenayah tidak akan dibenarkan menikmati kekayaan di Amerika Syarikat. Wang ini kini dikembalikan ke tempat yang sepatutnya – negara dan rakyat Malaysia. ”
“Jumlah wang luar biasa ini akan dikembalikan kepada rakyat Malaysia iaitu tempat yang sepatutnya dan akhirnya dapat digunakan untuk tujuan asalnya – untuk memperbaiki kehidupan rakyat Malaysia setiap hari,” kata Don Fort, Ketua Penyiasatan Jenayah IRS (IRS -CI). “Encik. Low berusaha untuk mengubah aset ini melalui pelbagai bidang kuasa antarabangsa dan jaringan syarikat cengkerangnya (shell), tetapi sifat tamak akhirnya memakan diri. Kes ini adalah model penting kerjasama antarabangsa dalam penyiasatan pengubahan wang rentas sempadan.”
Menurut aduan pelucutanhak sivil, dari 2009 hingga 2015, lebih $4.5 bilion dana milik 1MDB didakwa disalahgunakan oleh pegawai tinggi 1MDB dan rakan mereka, termasuk Low, melalui konspirasi jenayah yang melibatkan pengubahan wang haram dan rasuah antarabangsa. 1MDB ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia untuk menggalakkan pembangunan ekonomi di Malaysia melalui perkongsian global dan pelaburan langsung asing, dan dana adalah bertujuan digunakan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia. Aset yang tertakluk pada keputusan tahun 2019 termasuk hartanah mewah di Beverly Hills, New York dan London; hotel butik mewah di Beverly Hills; dan puluhan juta dolar pelaburan perniagaan yang didakwa Low dilakukan dengan dana yang dikesan disalahgunakan daripada wang 1MDB.
Skuad Rasuah Antarabangsa FBI di New York City dan Los Angeles dan IRS-CI sedang menyiasat kes ini. Timbalan Ketua Woo S. Lee dan Peguam Perbicaraan Barbara Levy, Joshua L. Sohn dan Jonathan Baum daripada Bahagian Pengubahan Wang dan Pemulihan Aset Bahagian Jenayah dan Penolong Peguam A.S. John Kucera, Michael R. Sew Hoy dan Steven R. Welk dari Daerah Tengah California sedang mendakwa kes itu. Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa Bahagian Jenayah memberikan bantuan yang besar.
Jabatan ini juga menghargai bantuan penting yang diberikan oleh Pejabat Peguam Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Peguam Negara Singapura, Bahagian Hal Ehwal Komersial Pasukan Polis Singapura, Pejabat Peguam Negara dan Pejabat Kehakiman Kerajaan Switzerland, pihak berkuasa penyiasatan kehakiman Grand Duchy Luxembourg dan Jabatan Siasatan Jenayah Polis Grand-Ducal Luxembourg.
Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi diketuai oleh sepasukan pendakwa raya yang berdedikasi di Bahagian Pengubahan Wang dan Pemulihan Aset di Bahagian Jenayah, bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang persekutuan, dan selalunya dengan Pejabat Peguam Negara AS, untuk melucuthakkan hasil rasuah kerajaan asing dan, di mana sesuai, untuk menggunakan aset yang diperolehi semula itu untuk memberi manfaat kepada orang yang terkesan oleh tindakan rasuah dan penyalahgunaan kuasa ini. Pada tahun 2015, FBI membentuk Skuad Rasuah Antarabangsa di seluruh negara untuk menangani implikasi peringkat nasional dan antarabangsa hasil rasuah negara asing. Individu yang mempunyai maklumat mengenai kemungkinan hasil rasuah asing yang berada di atau digubah melalui A.S. harus menghubungi penguat kuasa undang-undang persekutuan atau menghantar e-mel kepada kleptocracy@usdoj.gov (pautan menghantar e-mel) atau https://tips.fbi.gov/.
Aduan pelucutan hak sivil hanyalah tuduhan bahawa wang atau harta benda terlibat dalam jenayah atau menunjukkan hasil jenayah itu. Tuduhan ini tidak dapat dibuktikan sehingga mahkamah menjatuhkan keputusan yang memihak kepada Amerika Syarikat.
Tahun 2020 menandakan ulang tahun ke-150 Jabatan Kehakiman. Ketahui lebih lanjut mengenai sejarah agensi kami di www.Justice.gov/Celebrating150Years.