
Pada Perbincangan Meja Bulat Hal Ehwal Awam yang dianjurkan bersama dengan Harvard Leadership Trek dan Kumpulan Pendidikan Sunway yang diadakan di Suruhanjaya Malaysia Amerika bagi Pertukaran Pendidikan (MACEE), Timbalan Ketua Perwakilan (DCM) Edgard Kagan membincangkan dasar Imbangan Semula A.S. ke arah Asia. Di hadapan 70 orang peserta dari Malaysia dan antarabangsa, termasuk kira-kira 40 sarjana Harvard, DCM dengan penuh yakin membincangkan dasar A.S. yang berubah dari tumpuan di Asia Timur Laut ke arah tumpuan pada Asia Tenggara dan ASEAN, terutamanya dengan penyertaan Presiden Obama di Sidang Kemuncak Asia Timur dan Forum Serantau ASEAN. Beliau menggariskan bagaimana A.S. meningkat penglibatannya secara ketenteraan, ekonomi (Perkongsian Trans Pasifik) dan budaya (hubungan rakyat dengan rakyat) dengan Malaysia dan rantau ini.

DCM menegaskan bahawa Amerika Syarikat mengikuti dengan penuh minat usaha yang diambil Malaysia dan rantau ini dalam memerangi bahaya Negara Islam dan radikalisme. Beliau mengakhiri perbincangan Meja Bulat dengan meluahkan rasa optimis bahawa Malaysia dan rantau ini akan menjadi makmur kerana rakyatnya yang semakin berpendidikan akan memanfaatkan teknologi untuk mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan kedinamikan politik dan ekonomi di rantau ini, yang semuanya juga memberi manfaat kepada A.S.