Laporan Keganasan Negara 2016 – Malaysia

MALAYSIA 

Gambaran keseluruhan: Usaha memerangi keganasan oleh Malaysia pada 2016 memberi tumpuan kepada memantau dan menahan penyokong ISIS, meningkatkan kapasiti keselamatan sempadan di lapangan terbang dan di Laut Sulu, memerangi mesej ekstremis ganas di media sosial, dan membangunkan keupayaan badan kehakimannya untuk mendakwa kes keganasan secara berkesan menggunakan pendekatan undang-undang.

Pada bulan Jun, Malaysia dilanda serangan diinspirasikan ISIS yang pertama iaitu serangan bom tangan di sebuah kelab malam di Puchong, Selangor, yang mencederakan lapan orang. Polis Diraja Malaysia berkata beberapa serangan pengganas lain telah digagalkan dengan menangkap individu yang berada di peringkat akhir perancangan serangan. Terdapat peningkatan dalam penculikan untuk wang tebusan di perairan wilayah Malaysia di timur Sabah. Ramai penculik ini dikaitkan dengan Kumpulan Abu Sayyaf (KAS).

Malaysia juga menggunakan undang-undang keselamatan negara untuk menahan, memenjarakan, mengganggu, dan menakutkan pengkritik dan ahli politik pembangkang. Pada bulan November, polis menahan seorang aktivis hak asasi pada malam demonstrasi awam yang dirancang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) dan meletaknya dalam kurungan bersendirian selama 10 hari.

Insiden Pengganas pada 2016: Pada 28 Jun, penyerang yang mempunyai rangkaian dengan ISIS melemparkan bom tangan ke sebuah bar di Puchong, mencederakan tujuh rakyat Malaysia dan seorang pelancong China. Dua rakyat Malaysia ditangkap dan didakwa atas serangan itu, dan dua lagi rakyat Malaysia yang ditangkap pada minggu-minggu berikutnya dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan itu.

Terdapat beberapa kejadian penculikan di perairan wilayah Malaysia berhampiran timur Sabah oleh lelaki bersenjata yang mempunyai rangkaian dengan KAS, meskipun penculikan itu kelihatan lebih bermotifkan kewangan daripada ideologi. Penyerang menggunakan bot laju untuk mendekati dan menaiki kapal mangsa kemudian membawa mereka ke selatan Filipina, yang menjadi tempat tahanan tebusan.

Kebanyakan mangsa penculikan pada tahun ini adalah nelayan Indonesia dan Malaysia.  Sebagai contoh, pada 18 November, sebuah kapal nelayan dengan bendera Malaysia diserang lelaki bersenjata di Laut Sulawesi di luar pantai Sabah. Kumpulan lelaki bersenjata itu menculik kapten dan anak kapal serta melarikan enjin bot dan beberapa barang peribadi krew sebelum berlepas dalam bot laju yang tidak bertanda.

Pada 6 November, kumpulan lelaki bersenjata dalam bot laju menyerang sebuah kapal layar persendirian, menculik lelaki Jerman berusia 70 tahun dari kapal layar dan membunuh isterinya yang dilaporkan cuba melawan. Jurucakap KAS mendakwa kapal layar itu pada mulanya dipintas ketika berlayar berdekatan Tanjong Luuk Pisuk, Sabah. Penduduk setempat kemudian menemui kapal layar yang hanyut berhampiran Pulau Laparan di Filipina dengan mayat wanita Jerman. KAS kemudian memuatkan video lelaki Jerman yang meminta bantuan untuk mengumpul wang tebusan.

Pada 8 Disember, polis membunuh tiga penculik yang disyaki dan menangkap dua orang lagi semasa kejadian tembak menembak di luar pantai Semporna selepas penculik yang disyaki dilaporkan tersalah anggap sebuah kapal polis yang tidak bertanda sebagai kapal ikan pukat tunda yang menjadi sasaran rampasan. Penculik sebelum itu telah merampas dua lagi kapal pada malam berkenaan, dan salah seorang mangsa culik iaitu kapten kapal nelayan telah diselamatkan selepas kejadian tembak menembak. Ini adalah kali pertama pasukan keselamatan Malaysia berhadapan dengan penculik di kawasan itu.

Perundangan, Penguatkuasaan Undang-undang, dan Keselamatan Sempadan: Kerajaan Malaysia pada 2016 mengguna pakai undang-undang baharu yang dipinda untuk menangkap dan mendakwa individu yang disyaki terlibat dengan keganasan, termasuk pembiayaan keganasan. Walau bagaimanapun, undang-undang ini juga digunakan untuk menangkis kritikan mengenai dakwaan penyalahgunaan wang 1MDB, dana pelaburan milik kerajaan Malaysia. Pejabat Peguam Negara Malaysia menyatakan bahawa pada akhir tahun mereka telah mendakwa, atau dalam proses pendakwaan, 70 kes yang berkaitan dengan keganasan.  Daripada jumlah itu, mereka telah mendapatkan 22 sabitan, sementara lima kes sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Pada bulan Ogos, kerajaan meluluskan Akta Majlis Keselamatan Negara, yang memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk memerangi keganasan. Undang-undang baharu itu memberi Perdana Menteri kuasa secara unilateral untuk menguatkuasakan undang-undang tentera dengan mengisytiharkan kawasan keselamatan yang membimbangkan yang mana polis telah memperluaskan pencarian, penyitaan, dan kuasa penangkapan. Ia belum lagi digunakan atau diuji di mahkamah.

Unit Pencegahan Keganasan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia mempunyai peranan utama dalam penguatkuasaan undang-undang antikeganasan. Unit ini secara proaktif mengenal pasti ancaman pengganas pada sasaran lembut dan dilaporkan pada tahun itu bahawa ia telah menggagalkan beberapa serangan yang dalam peringkat perancangan akhir, termasuk satu siri serangan ke atas destinasi pelancongan dan pusat hiburan yang didakwa dirancang pada 31 Ogos, Hari Kemerdekaan Malaysia. Pihak berkuasa Malaysia berusaha untuk meningkatkan kerjasama antara agensi dan perkongsian maklumat, termasuk penyertaan dalam mesyuarat serantau, acara Global Counterterrorism Forum (GCTF), dan latihan yang dijalankan melalui Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Mencegah Keganasan Malaysia, yang merupakan sebahagian daripada Kementerian Luar Negeri Malaysia.

Kerajaan Malaysia memperhebat kerjasama dengan Indonesia dan Filipina untuk bertindak balas dengan berkesan terhadap kejadian penculikan di Laut Sulu dan Sulawesi.

Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen mengambil langkah untuk memberikan pihak berkuasa imigresen akses langsung ke pangkalan data INTERPOL. Malaysia secara kerap melaporkan dokumen perjalanan yang dicuri dan hilang kepada INTERPOL. Malaysia mempunyai senarai orang yang dilarang menaiki kapal terbang. Penumpang diperiksa berdasarkan senarai itu oleh pegawai imigresen di titik kemasukan dan keputusan untuk menafikan kemasukan dibuat di lapangan terbang.  Malaysia menaja resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSCR) 2309 mengenai keselamatan penerbangan, dan mengambil langkah untuk meningkatkan risikan dan perkongsian maklumat.

Untuk menyokong pelaksanaan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2178 (2014) mengenai pejuang pengganas asing, kerajaan telah menjadikan perjalanan ke, melalui, atau dari Malaysia untuk terlibat dalam keganasan sebagai satu kesalahan, dan polis telah menangkap individu yang tiba di lapangan terbang dan disyaki pergi ke Syria dan Iraq untuk berjuang dengan kumpulan pengganas.

Pada bulan Oktober, kerajaan melancarkan Pasukan Operasi Khas Kebangsaan untuk bertindak balas terhadap ancaman pengganas. Pasukan ini belum beroperasi pada akhir tahun.  Unit bersama baharu itu dilaporkan termasuk pasukan darat, udara dan maritim dari Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Pada 23 September, Ardit Ferizi dihukum 20 tahun penjara oleh Mahkamah Daerah AS kerana memberikan sokongan material kepada ISIS.  Ferizi, warganegara Kosovo yang tinggal di Malaysia, menggodam pangkalan data syarikat A.S. dan mendapatkan maklumat pelanggan secara tidak sah, termasuk maklumat peribadi (PII) daripada 1,300 tentera Amerika Syarikat dan kakitangan kerajaan A.S. yang lain.  Ferizi kemudian memberikan PII kepada perekrut ISIS dan perancang serangan serta menghantar tweet yang mengandungi dokumen dengan PII itu.  Ferizi mengakui bahawa dia memberikan PII kepada ISIS dengan pemahaman bahawa ISIS akan menggunakan PII untuk “menyerang mereka dengan teruk.” Pihak berkuasa Malaysia pada masa yang sama menahan Ferizi berdasarkan permintaan A.S. pada Oktober 2015 dan mengekstradisi dia pada Januari 2016.

Pencegahan Pembiayaan Keganasan: Malaysia menjadi anggota penuh Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) pada Februari 2016 dan merupakan ahli Kumpulan Asia/Pasifik mengenai Pengubahan Wang Haram, iaitu sebuah badan serantau mirip FATF. Unit Perisikan Kewangan di bawah Bank Negara Malaysia yang merupakan unit perisikan kewangan negara ini adalah ahli Kumpulan Perisik Kewangan Egmont. Pada bulan September 2015, FATF menerbitkan Laporan Penilaian Bersama tentang pengubahan wang haram/langkah menangani pembiayaan keganasan (AML/CFT) Malaysia.  Laporan itu memberikan penarafan positif kepada Malaysia berdasarkan rangka dasar yang mantap, komitmen politik yang kuat, dan struktur penyelarasan yang berfungsi dengan baik untuk AML/CFT, walaupun ia menggariskan keperluan bagi Malaysia untuk meningkatkan pemahamannya mengenai risiko kewangan pengganas.

Pada 2014, Malaysia menaikkan tahap risiko keganasan dan pembiayaan pengganas ke tahap yang tinggi disebabkan oleh ancaman ISIS dan pejuang pengganas asing. Pengganas “biaya sendiri” yang berjumlah kecil tetapi dengan bilangan yang semakin meningkat telah berusaha mengumpulkan dana melalui keluarga, sahabat, dan internet untuk menyokong perjalanan mereka berjuang bersama ISIS.

Antara bulan Januari dan awal Oktober, kerajaan membuat pertuduhan dalam 12 kes kewangan pengganas dan mensabitkan dua orang. Salah seorang yang disabitkan termasuk abang kepada operatif ISIS Malaysia Muhammad Wanndy. Abang Wanndy, Mohamed Danny, dihukum penjara empat tahun kerana memindahkan kira-kira US$3,000 kepada Wanndy dari Malaysia melalui akaun banknya.

Malaysia telah melaksanakan sekatan mengikut resolusi Majlis Keselamatan PBB yang relevan, termasuk menetapkan entiti domestik dan asing menurut kewajipan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1373, dan menaja bersama penetapan dan pembekuan aset individu dan entiti dalam senarai sekatan ISIL (Da’esh) dan al-Qaeda Majlis Keselamatan PBB. Pindaan 2014 kepada Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pengganas menyediakan pengalihan automatik daripada penetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kepada penetapan di bawah undang-undang Malaysia dan rujukan terus kepada senarai yang dikendalikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.  Malaysia secara rutin mengedarkan senarai pengganas dan kewajipan pembekuan kepada institusi kewangan.

Penggunaan kiriman wang tidak formal menyebabkan pendedahan kepada penyalahgunaan oleh pembiaya keganasan. Malaysia terus melaksanakan tindakan pengawalseliaan dan penguatkuasaan yang kuat terhadap perniagaan perkhidmatan wang tidak sah yang beroperasi dalam ekonomi tidak rasmi. Langkah kawalan, penguatkuasaan dan penyeliaan lain yang diperkukuhkan telah meningkatkan penggunaan saluran kiriman wang formal, walaupun risiko daripada perniagaan perkhidmatan wang yang tidak sah masih ada.

Malaysia mewajibkan data Mengetahui Pelanggan Anda (KYC) untuk pelbagai entiti dan mewajibkan institusi kewangan untuk segera melapor melalui Laporan Transaksi yang Mencurigakan (STR) jika mengesan urus niaga yang disyaki membabitkan hasil daripada sebarang aktiviti haram.  Pertubuhan bukan keuntungan (NPO) dikehendaki memfailkan laporan kewangan tahunan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS), yang mungkin memfailkan laporan STR.  Penguat kuasa undang-undang bekerja dengan ROS dan pengawal selia badan amal lain untuk mencegah penyalahgunaan dan pembiayaan pengganas dalam sektor NPO, terutamanya yang dianggap sebagai terdedah oleh Malaysia. ROS juga mengadakan satu persidangan tahunan untuk ahlinya mengenai risiko pembiayaan keganasan.

Untuk maklumat lanjut mengenai pengubahan wang haram dan jenayah kewangan, lihat Laporan Strategi Kawalan Narkotik Antarabangsa 2017 (INCSR), Jilid 2, Pengubahan Wang Haram dan Jenayah Kewangan: http://www.state.gov/j/inl/rls/nrcrpt/index.htm

Mengatasi Ekstremisme Ganas: Kerajaan Malaysia menubuhkan pusat memerangi mesej baharu, menyokong penyelidikan tentang radikalisasi, dan melancarkan modul pemulihan bersepadu untuk tahanan pengganas pada 2016. Menjelang akhir tahun, kerajaan belum memulakan langkah untuk membangun atau melaksanakan strategi tindak balas ekstremisme kebangsaan sejajar dengan Pelan Tindakan Pencegahan Ekstremisme Ganas (PVE) Setiausaha Agung PBB.

Kerajaan Malaysia menerbitkan satu kajian pada 2016 yang mengenal pasti pelbagai pendorong yang disyaki membawa kepada ekstremisme ganas di Malaysia, termasuk kurang pemahaman tentang Islam, kurang kemahiran berfikir secara kritis, simpati atas nasib masyarakat Sunni Syria di bawah Bashar al-Assad, dan kemungkinan mahu mengembara. Kajian itu juga menyebut kekurangan kesediaan oleh kerajaan untuk “memberi komen mengenai apa-apa yang berkaitan dengan Islam kerana takut mengusik sensitiviti yang berkaitan dengan agama” sebagai faktor yang memenangkan naratif ISIS.

Pemerhati bukan kerajaan telah mengenal pasti kemungkinan pendorang radikal tempatan yang lain, termasuk sikap tidak bertoleransi agama yang dibenarkan oleh kerajaan, menyekat penentangan politik dan pertubuhan sivil, mempolitikkan Islam, serta perpecahan yang semakin mendalam antara orang Islam Melayu dan rakyat Malaysia bukan Islam yang lain.

Pemerhati kerajaan dan bukan kerajaan berpendapat bahawa rakyat Malaysia yang pro-ISIS, terutama mereka yang telah pergi ke Syria, mempunyai kesan yang kuat dalam mempercepat radikalisasi keganasan melalui kehadiran mereka dalam media sosial secara meluas.

Kerjasama Antarabangsa dan Serantau: Malaysia menyokong usaha organisasi antarabangsa dan serantau yang terlibat dalam mengatasi keganasan, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, GCTF, Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), Forum Serantau ASEAN, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik, dan Sidang Kemuncak Asia Timur. Pada bulan Januari, Malaysia menganjurkan Persidangan Antarabangsa mengenai Deradikalisasi dan Memerangi Ekstremisme Keganasan bagi negara anggota ASEAN dan rakan-rakan strategik. Pusat Serantau Asia Tenggara untuk Mencegah Keganasan menjadi tuan rumah beberapa acara pelbagai hala sepanjang tahun, termasuk yang menghalang pengaliran pejuang pengganas asing, menentang naratif ISIS, dan radikalisasi pelajar universiti.