Berdepan dengan Iran: Strategi Pentadbiran Trump

Oleh Michael R. Pompeo pada 31 Oktober 2018

Berakhirnya Perang Dingin telah memaksa pemikiran baharu dalam kalangan pembuat dasar dan penganalisis tentang cabaran terbesar terhadap keselamatan negara A.S. Kemunculan kumpulan al Qaeda, penjenayah siber, dan entiti berbahaya yang lain mengesahkan ancaman para aktor bukan negara. Tidak kurang mencabar adalah kebangkitan rejim-rejim haram—negara-negara jahat yang tidak mematuhi norma-norma antarabangsa, gagal menghormati hak asasi manusia dan kebebasan asas, dan bertindak melawan keselamatan rakyat Amerika, sekutu dan rakan A.S. dan juga seluruh dunia.

Antara rejim-rejim haram yang utama adalah Korea Utara dan Iran. Dua buah negara ini telah banyak melakukan pelanggaran terhadap keamanan antarabangsa, namun kedua-duanya paling terkenal selepas menghabiskan masa selama beberapa dekad mengejar program senjata nuklear walaupun melanggar larangan antarabangsa. Walaupun Washington telah menjalankan usaha diplomasi yang gigih, Pyongyang telah menipu pembuat dasar A.S. menerusi pelanggaran beberapa perjanjian kawalan senjata bermula sejak pentadbiran George H.W. Bush lagi. Program senjata nuklear dan peluru berpandu Korea Utara terus berkembang sehinggalah apabila Donald Trump dipilih untuk menjadi presiden, Presiden Barack Obama telah memberitahu beliau bahawa ini merupakan cabaran keselamatan negara yang terbesar bagi Trump. Begitu juga dengan Iran, perjanjian yang dibuat oleh pentadbiran Obama pada 2015—Pelan Tindakan Komprehensif Bersama, atau JCPOA—gagal untuk menghentikan rancangan nuklear negara tersebut. Sebenarnya disebabkan oleh Iran mengetahui bahawa pentadbiran Obama akan memberi keutamaan untuk meneruskan perjanjian ini, maka JCPOA telah menyebabkan rejim merasa bahawa mereka bebas daripada hukuman dan membolehkan Iran meningkatkan sokongan terhadap aktiviti jahat. Perjanjian ini turut memberikan sejumlah wang yang banyak kepada Tehran dengan pemimpin agung Iran telah menggunakannya untuk menaja pelbagai jenis keganasan di seluruh Timur Tengah (dengan sedikit kesan tindak balas) dan telah meningkatkan keuntungan ekonomi rejim yang terus kekal mengeksport revolusi ke luar negara dan menekan negara sendiri.

Ancaman daripada Korea Utara dan Iran yang meningkat selepas era perang Iraq menyulitkan lagi persoalan tentang cara terbaik untuk menangani dua negara ini. Rakyat Amerika sewajarnya ragu-ragu dengan kos komitmen ketenteraan yang berpanjangan atas nama perlindungan daripada senjata pemusnah besar-besaran. Dengan kesukaran di Iraq yang masih segar dalam ingatan, dan perjanjian sebelum ini untuk menyekat ancaman Korea Utara dan Iran terbukti tidak berkesan, usaha untuk menghentikan rejim yang degil ini daripada menjadi ancaman memerlukan paradigma diplomatik yang baharu.

Muncul Presiden Trump. Walaupun kebanyakan pihak di Washington bimbang dengan gaya penglibatan antarabangsa beliau, usaha diplomasi Trump berpegang kepada pendekatan yang memberi kelebihan kepada Amerika Syarikat ketika berdepan dengan rejim jahat ini.

Doktrin Trump

Semasa berkempen dan ketika memegang jawatan, Presiden Trump telah menyatakan dengan jelas tentang betapa perlunya kepimpinan yang berani di pihak Amerika dalam mengutamakan kepentingan keselamatan Amerika Syarikat. Prinsip yang menggunakan akal ini adalah berlawanan dengan pendirian yang dipilih oleh pentadbiran Obama untuk “memimpin dari belakang,” yang merupakan satu strategi kompromi yang secara silap telah memberi isyarat bahawa kuasa dan pengaruh Amerika semakin berkurangan. Memimpin dari belakang telah menjadikan Korea Utara sebagai ancaman yang lebih besar berbanding sebelum ini. Memimpin dari belakang hanya sekadar melambatkan usaha Iran untuk menjadi kuasa nuklear, dan pada masa yang sama membolehkan pengaruh dan ancaman keganasan Republik Islam ini semakin bertambah.

Hari ini, Korea Utara dan Iran telah diberi amaran bahawa Amerika Syarikat tidak akan membiarkan aktiviti mengancam kestabilan mereka dibiarkan begitu sahaja. Kempen tekanan multinasional yang agresif oleh kepimpinan Amerika Syarikat terhadap Korea Utara, digabungkan dengan kenyataan presiden yang jelas dan tegas bahawa Amerika Syarikat akan mempertahankan kepentingan utamanya dengan menggunakan kuasa jika perlu telah mewujudkan suasana untuk perbincangan yang berakhir dengan persidangan antara Presiden Trump dengan Pengerusi Kim Jong Un di Singapura pada Jun lepas. Semasa persidangan ini Pengerusi Kim telah memberi komitmen untuk menghapuskan senjata nuklear Korea Utara secara muktamad dan disahkan sepenuhnya. Korea Utara telah membuat komitmen yang sama pada masa lalu, tetapi tidak seperti komitmen yang lepas, ini adalah kali pertama wujudnya komitmen peribadi, antara pemimpin dengan pemimpin untuk menghapuskan senjata nuklear. Sama ada komitmen tersebut menandakan perubahan strategik yang besar bagi Pengerusi Kim atau tidak, kita masih ada tugas untuk dilakukan bagi menilai niat beliau dan memastikan komitmen beliau dilaksanakan. Tetapi pendekatan Presiden Trump telah mewujudkan peluang untuk menyelesaikan masalah keselamatan negara yang telah sekian lama mengganggu para pembuat dasar secara aman. Presiden, wakil khas kita untuk Korea Utara (Stephen Biegun), dan saya akan terus bekerja dengan tekun untuk merebut peluang ini.

Dengan Iran, pentadbiran Trump turut melaksanakan kempen “tekanan maksimum” yang direka untuk mengurangkan pendapatan yang rejim—khususnya Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), sebahagian daripada tentera Iran yang secara langsung diperintah oleh Pemimpin Agung—gunakan untuk membiayai keganasan melalui Hezbollah di Lubnan, Hamas di wilayah Palestin, rejim Assad di Syria, pemberontak Houthi di Yaman, militia Syiah di Iraq, dan ejen-ejen mereka sendiri yang secara diam-diam membuat perancangan di seluruh dunia.

Namun Presiden Trump tidak mahukan penglibatan tentera A.S. secara jangka panjang di Timur Tengah—mahupun di rantau lain. Beliau telah bercakap secara terbuka tentang kesan yang buruk daripada pencerobohan Iraq pada tahun 2003 dan campur tangan tahun 2011 di Libya. Para pengulas media mungkin cuba menakut-nakutkan dengan idea bahawa pentadbiran ini akan membawa Amerika Syarikat ke kancah peperangan, tetapi jelas bahawa Amerika mempunyai presiden yang, walaupun tidak takut menggunakan kuasa tentera (tanyalah ISIS, Taliban, atau rejim Assad), sebenarnya tidak begitu berminat untuk menggunakannya. Kuasa tentera yang kuat akan sentiasa menjadi penghadang untuk melindungi rakyat Amerika, namun ini tidak sepatutnya menjadi pilihan pertama.

Satu lagi aspek penting diplomasi presiden ialah kesediaan beliau untuk bercakap dengan musuh-musuh Amerika yang paling ketat. Pada bulan Julai beliau berkata, “Diplomasi dan perbincangan adalah pilihan berbanding konflik dan permusuhan.” Lihat sahaja pendekatan terhadap Korea Utara: diplomasi beliau dengan Pengerusi Kim telah mengurangkan tekanan yang sebelum ini semakin meningkat.

Kesanggupan presiden untuk berbincang merupakan naluri semula jadi beliau yang dapat mengesan tawaran yang buruk. Pemahaman beliau tentang kepentingan manfaat dalam mana-mana rundingan menghapuskan potensi perjanjian yang sangat tidak produktif seperti JCPOA. Beliau sanggup menjalin perjanjian dengan musuh A.S., tetapi beliau juga senang untuk menamatkan rundingan jika tidak menjaga kepentingan A.S. Ini sangat berbeza dengan pendekatan pentadbiran Obama terhadap JCPOA, di mana perjanjian itu sendiri menjadi objektif untuk dicapai tanpa mengira apa yang berlaku.

Semasa mempertimbangkan perjanjian Korea Utara yang lebih baik daripada JCPOA, kami telah menyatakan objektif kami untuk “penghapusan senjata nuklear yang muktamad dan disahkan sepenuhnya di Semenanjung Korea, sebagaimana dipersetujui oleh Pengerusi Kim Jong Un.” “Muktamad” bermaksud tiada kemungkinan bahawa Korea Utara akan memulakan semula program senjata pemusnah besar-besaran atau peluru berpandu—ini tidak dinyatakan dalam JCPOA dengan Iran. “Disahkan sepenuhnya” bermaksud terdapat standard pengesahan yang lebih kukuh daripada yang diperlukan bawah JCPOA, antara kelemahannya adalah perjanjian tersebut tidak memerlukan pemeriksaan di kemudahan ketenteraan utama Iran. Bentuk perjanjian sebenar dengan Korea Utara masih belum dirundingkan, tetapi “muktamad” dan “disahkan sepenuhnya” menjadi syarat utama yang kita tidak akan bertolak ansur.

Ancaman Iran

Komitmen Presiden Trump terhadap keselamatan rakyat Amerika, digabungkan dengan keengganan beliau untuk menggunakan kekuatan tentera yang tidak perlu dan kesanggupan beliau untuk bercakap dengan musuh, telah menyediakan rangka kerja baharu untuk berdepan dengan rejim-rejim jahat. Dan hari ini, tidak ada rejim yang memiliki watak yang lebih jahat selain daripada Iran. Itulah yang berlaku sejak tahun 1979, ketika sekumpulan kecil kader revolusioner Islam melakukan rampasan kuasa. Pemikiran revolusioner rejim telah mendorong tindakannya sejak itu—sebenarnya, tidak lama selepas penubuhannya, IRGC telah mewujudkan Pasukan Quds, sebuah unit pasukan khas elit, dan menugaskan pasukan ini  untuk mengeksport revolusi ke luar negera. Sejak itu, para pegawai rejim telah mengurangkan semua tanggungjawab domestik dan antarabangsa yang lain, termasuk kewajipan mereka kepada rakyat Iran, demi memenuhi revolusi.

Akibatnya, sejak empat dekad yang lalu, rejim telah menyebabkan pelbagai kemusnahan dan ketidakstabilan, tingkah laku buruk yang tidak berakhir dengan JCPOA. Perjanjian tersebut tidak secara kekal mencegah Iran daripada mengejar keupayaan senjata nuklear—sememangnya kenyataan pada bulan April oleh pegawai tertinggi nuklear Iran bahawa negara tersebut boleh memulakan program nuklearnya dalam masa beberapa hari sahaja menunjukkan bahawa negara itu mungkin tidak menangguhkan program tersebut langsung. Perjanjian itu juga tidak menghalang aktiviti keganasan dan kekacauan oleh Iran di Afghanistan, Iraq, Lubnan, Syria, Yaman, dan Gaza. Iran masih membekalkan kumpulan Houthi dengan peluru berpandu yang dilepaskan ke arah Arab Saudi, menyokong serangan Hamas terhadap Israel, dan merekrut anak-anak muda Afghanistan, Iraq dan Pakistan yang mudah terpengaruh untuk berperang dan mati di Syria. Menerusi subsidi Iran, pendapatan purata pejuang Hezbollah di Lubnan adalah lebih dua atau tiga kali ganda sebulan berbanding gaji seorang anggota bomba di Tehran.

Pada bulan Mei 2018, Presiden Trump menarik diri dari perjanjian nuklear ini kerana jelas ia tidak melindungi kepentingan keselamatan negara Amerika Syarikat atau sekutu dan rakan kita, dan Iran juga tidak berperangai sebagai sebuah negara yang biasa. Pada bulan Julai, seorang diplomat Iran yang berpangkalan di Vienna telah ditangkap kerana membekalkan bahan letupan kepada pengganas yang mahu mengebom satu perhimpunan politik di Perancis. Apa yang jelas adalah semasa para pemimpin Iran sedang cuba meyakinkan Eropah untuk kekal dalam perjanjian nuklear, mereka secara diam-diam merancang serangan pengganas di tengah-tengah benua Eropah. Tindakan Iran ini telah menjadikan negara ini sebagai sebuah negara pariah, dan telah mengecewakan rakyatnya sendiri.

Kempen Tekanan

Bagi menggantikan perjanjian nuklear Iran, Presiden Trump telah memulakan kempen tekanan pelbagai hala. Komponen pertama tekanan adalah sekatan ekonomi. Presiden menyedari kelebihan kuasa sekatan untuk memerah rejim dan pada masa yang sama hanya menyebabkan kos peluang yang rendah untuk Amerika Syarikat. Di bawah pentadbiran Trump, Amerika Syarikat telah mengenakan 17 pusingan sekatan yang berkaitan dengan Iran, menyasarkan 147 individu dan entiti yang berkaitan dengan Iran.

Matlamat sekatan yang agresif ini adalah untuk memaksa rejim Iran membuat pilihan: sama ada berhenti atau meneruskan dasar-dasar yang menyebabkan sekatan ini dilaksanakan. Keputusan Iran untuk meneruskan aktiviti yang membinasakan telah pun mendatangkan kesan ekonomi yang serius. Keadaan menjadi bertambah parah akibat salah pengurusan yang teruk oleh para pegawai dalam mengejar kepentingan diri masing-masing. Campur tangan dalam ekonomi secara meluas oleh IRGC, di bawah nama penswastaan, menjadikan urusan perniagaan di Iran tidak lagi menarik, dan pelabur asing tidak dapat menentukan sama ada mereka memudahkan perdagangan atau keganasan. Rejim tidak menggunakan kekayaan yang dijana menerusi JCPOA untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Iran, tetapi sebaliknya seperti parasit, telah membelanjakan berbilion-bilion wang subsidi untuk diktator, pengganas, dan mitilia jahat. Rakyat Iran sewajarnya merasa kecewa. Nilai rial telah jatuh dengan teruk pada tahun lalu. Satu pertiga daripada belia Iran menganggur. Gaji yang tidak dibayar telah menyebabkan mogok yang berleluasa. Kekurangan bahan api dan air menjadi perkara biasa.

Kemelesetan ini adalah masalah yang ditimbulkan sendiri oleh rejim. Golongan elit Iran adalah menyerupai Mafia dalam menjalankan kegiatan haram dan rasuah mereka. Dua tahun yang lalu, kemarahan rakyat Iran meledak apabila bukti pembayaran bocor menunjukkan jumlah wang yang besar telah masuk ke akaun para pegawai kanan kerajaan tanpa sebarang penjelasan. Selama bertahun-tahun, para ulama dan pegawai kerajaan telah berselindung di sebalik jubah agama sambil merompak orang Iran secara terang-terangan. Hari ini, para penunjuk perasaan membantah rejim dengan melaungkan, “Anda telah merampas hak kami atas nama agama.” Menurut kenyataan akhbar Kayhan yang berpangkalan di London, Ayatollah Sadeq Larijani, ketua badan kehakiman Iran, yang disekat oleh Amerika Syarikat tahun ini kerana melanggar hak asasi manusia, dianggarkan mempunyai kekayaan anggaran nilai $300 juta, hasil penyalahgunaan dana awam. Nasser Makarem Shirazi, pemimpin ayatollah, juga memiliki kekayaan bernilai berjuta-juta dolar. Beliau dikenali sebagai “Raja Gula” kerana telah memberi tekanan kepada Kerajaan Iran untuk menurunkan subsidi pengeluar gula domestik dan pada masa yang sama membanjiri pasaran dengan gula import beliau yang lebih mahal. Aktiviti sebegini menyebabkan rakyat biasa Iran kehilangan kerja. Ayatollah Mohammad Emami Kashani, salah seorang imam solat Jumaat di Tehran sejak 30 tahun yang lalu telah meminta kerajaan memindahkan beberapa lombong yang menguntungkan ke yayasan beliau. Beliau kini bernilai berjuta-juta dolar. Rasuah merebak sehingga ke peringkat tertinggi. Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, mempunyai dana lindung nilai peribadi yang tidak direkodkan secara rasmi, dikenali sebagai Setad, yang bernilai $95 bilion. Kekayaan haram tanpa cukai ini yang selalunya diperolehi dengan merampas aset golongan minoriti politik dan agama, digunakan sebagai dana tujuan haram untuk IRGC. Dalam erti kata lain, pemimpin agama di Iran menjadi ketua kepada aktiviti merompak yang menjadi ciri pemimpin Dunia ketiga yang jahat.

Kerakusan rejim telah menimbulkan jurang antara rakyat Iran dan pemimpin mereka, sehingga sukar bagi para pegawai untuk memujuk para pemuda Iran untuk menjadi barisan depan generasi revolusi yang akan datang. Para ayatollah boleh menyeru “Jahanam Israel” dan “Jahanam Amerika” siang dan malam, tetapi mereka tidak boleh menutup sikap hipokrit yang melampau. Mohammad Javad Zarif, menteri luar Iran, mempunyai ijazah dari San Francisco State University dan University of Denver, dan Ali Akbar Velayati, penasihat kanan pemimpin agung, belajar di Johns Hopkins University. Khamenei sendiri dibawa di dalam sebuah BMW, walaupun beliau menyeru rakyat Iran untuk membeli barangan buatan tempatan. Fenomena ini adalah sama seperti yang berlaku di Soviet Union pada tahun 1970an dan 1980an, dengan semangat tahun 1917 mula pudar apabila melihat sikap hipokrit para pemimpin. Pihak Politburo tidak boleh lagi secara bersahaja menyeru warga Soviet untuk menerima komunisme ketika para pegawai Soviet sendiri secara rahsia menyeludup seluar jeans biru dan rekod-rekod Beatles.

Para pemimpin Iran—terutamanya yang memegang jawatan tinggi dalam IRGC, seperti Qasem Soleimani, ketua pasukan Quds—perlu merasa akibat buruk daripada keganasan dan rasuah yang mereka telah lakukan. Memandangkan rejim dikawal oleh keinginan untuk mengayakan diri sendiri dan ideologi revolusioner yang tidak mudah dipadamkan, maka sekatan yang keras perlu dikenakan untuk mengubah perangai mereka. Itulah sebabnya pentadbiran Trump mengembalikan semula sekatan A.S. yang ditarik atau diketepikan sebagai sebahagian daripada perjanjian nuklear; sekatan pertama mula berkuat kuasa pada 7 Ogos, manakala baki sekatan akan dikenakan semula pada 5 November. Kami berhasrat untuk menghentikan sama sekali import minyak mentah global dari Iran menjelang 4 November. Sebagai sebahagian daripada kempen kami untuk menamatkan pembiayaan pengganas oleh rejim Iran, kami juga telah bekerjasama dengan Emiriah Arab Bersatu untuk mengganggu rangkaian pertukaran mata wang yang memindahkan berjuta-juta dolar kepada Pasukan Quds. Amerika Syarikat meminta setiap negara yang bosan dengan tingkah laku buruk Republik Islam untuk membela rakyat Iran dan menyertai kempen tekanan kami. Usaha kami akan diketuai oleh wakil khas kami untuk Iran, Brian Hook.

Tekanan ekonomi adalah sebahagian daripada kempen A.S. Pencegahan adalah bahagian kempen yang satu lagi. Presiden Trump percaya dengan langkah-langkah jelas untuk menghalang Iran daripada memulakan semula program nuklearnya atau meneruskan aktiviti jahat yang lain. Beliau telah menyatakan dengan jelas kepada Iran dan negara-negara lain bahawa dia tidak akan bertolak ansur dengan percubaan untuk membuli Amerika Syarikat; beliau akan bertindak tegas sekiranya keselamatan A.S. terancam. Pengerusi Kim telah merasai tekanan ini, dan beliau tentunya tidak akan datang berunding ke Singapura tanpa tekanan ini. Komunikasi awam oleh presiden turut berfungsi sebagai mekanisme pencegahan. Tweet tulisan huruf besar yang ditujukan kepada Presiden Iran Hassan Rouhani pada bulan Julai, apabila beliau mengarahkan Iran untuk berhenti daripada mengancam Amerika Syarikat, telah disampaikan dengan perhitungan strategik: rejim Iran sedar dan takut terhadap tentera Amerika Syarikat. Pada bulan September, pasukan militia di Iraq melancarkan serangan roket yang mengancam nyawa ke kawasan kedutaan A.S. di Baghdad dan konsulat A.S. di Basra. Iran tidak menghentikan serangan ini, yang dilakukan oleh proksi yang disokongnya menerusi dana, latihan, dan senjata. Amerika Syarikat mahu rejim di Tehran bertanggungjawab terhadap sebarang serangan yang mengakibatkan kecederaan kepada kakitangan kami atau merosakkan kemudahan kami. Amerika akan bertindak pantas dan tegas dalam mempertahankan nyawa rakyat Amerika.

Kami tidak mencari peperangan. Tetapi kita harus menyatakan dengan jelas bahawa peningkatan serangan adalah tindakan yang merugikan untuk Iran; Republik Islam tidak dapat menandingi kehebatan ketenteraan Amerika Syarikat, dan kami tidak takut untuk membuktikannya kepada para pemimpin Iran.

Mendedahkan Iran

Satu lagi komponen kritikal dalam kempen tekanan A.S. terhadap Iran adalah komitmen untuk mendedahkan kekejaman rejim. Rejim autoritarian yang jahat sangat takut dengan pendedahan sikap mereka yang sebenar. Pentadbiran Trump akan terus mendedahkan aliran pendapatan haram rejim, aktiviti jahat, aktiviti penipuan untuk keuntungan sendiri dan penindasan yang ganas. Rakyat Iran sendiri berhak mengetahui sikap tamak haloba yang menjadi punca di sebalik tindakan yang dilakukan oleh rejim. Khamenei dan gerombolannya tidak akan dapat menangani kemarahan masyarakat tempatan dan antarabangsa sekiranya segala rahsia mereka didedahkan. Bermula tahun lalu, penunjuk perasaan telah turun ke jalan raya sambil berkata, “Tinggalkan Syria, fikir tentang kami!” dan “Rakyat terus miskin manakala mullah hidup kaya raya!” Amerika Syarikat akan bersama rakyat Iran.

Presiden A.S., Ronald Reagan memahami kekuatan pendedahan apabila dia menggelar Soviet Union sebagai “sebuah empayar jahat.” Dengan memberi perhatian terhadap penyalahgunaan oleh rejim, beliau menjanjikan perpaduan dengan rakyat yang sudah lama merana di bawah pemerintahan komunis. Begitu juga demi nasib rakyat Iran, pentadbiran Trump tidak takut untuk mendedahkan penindasan domestik yang kejam. Rejim Iran begitu taksub dengan sesetengah prinsip ideologi tertentu—termasuk mengeksport Revolusi Islam menerusi peperangan proksi dan kegiatan subversif dalam kalangan negara-negara majoriti Islam, membangkang sepenuhnya terhadap Israel dan Amerika Syarikat, dan kawalan sosial yang ketat yang menyekat hak wanita—sehinggakan rejim tidak boleh menangani sebarang persaingan idea. Itulah sebabnya rejim selama bertahun-tahun menindas hak asasi, maruah, dan kebebasan rakyat mereka. Itulah sebabnya pada bulan Mei, sebagai contoh, polis Iran menahan Maedeh Hojabri, seorang gimnas remaja, kerana menyiarkan video dia sedang menari menerusi Instagram.

Pandangan rejim terhadap wanita adalah sangat ke belakang. Sejak revolusi, wanita dikehendaki memakai tudung, dan untuk menguatkuasakan arahan ini, polis moral kerajaan akan memukul wanita di jalan-jalan dan menangkap mereka yang enggan mematuhi. Bantahan terbaharu terhadap dasar tentang pakaian wanita menunjukkan bahawa dasar ini telah gagal, dan Khamenei pasti menyedarinya. Namun pada bulan Julai, seorang aktivis telah dihukum 20 tahun penjara kerana membuka tudung kepala.

Rejim juga sering menangkap golongan minoriti agama atau etnik, termasuk penganut Bahai, Kristian, dan Gonabadi darwis, ketika mereka menyuarakan pendapat untuk menyokong hak mereka. Bilangan warga Iran yang tidak diketahui jumlahnya telah diseksa dan mati di dalam Penjara Evin—tempat yang sama teruknya dengan ruang bawah tanah Lubyanka, ibu pejabat KGB yang digeruni. Mereka yang dipenjarakan termasuk beberapa orang warga Amerika yang tidak bersalah yang ditahan atas tuduhan palsu, mangsa pendekatan penculikan yang diambil oleh rejim sebagai alat untuk dasar luar.

Bermula Disember lalu, para penunjuk perasaan mula turun ke jalan-jalan di Teheran, Karaj, Isfahan, Arak, dan banyak lagi bandar-bandar lain untuk secara aman menyeru kepada kehidupan yang lebih baik. Sebagai tindak balas, rejim menyambut tahun baru pada bulan Januari dengan menangkap secara rambang sehingga 5,000 penunjuk perasaan. Beratus orang dilaporkan dipenjarakan, dan puluhan pula mati di tangan pemerintah mereka sendiri. Para pemimpin Iran secara sinis memanggil kematian ini sebagai bunuh diri.

Tingkah laku mereka ini adalah sama seperti yang didedahkan oleh Amerika Syarikat. Seperti yang dikatakan oleh Presiden Reagan dalam ucapannya di Moscow State University pada tahun 1988, “Kebebasan adalah pengiktirafan bahawa tiada seorang pun, tidak ada kuasa atau kerajaan tunggal, mempunyai monopoli pada kebenaran, tetapi setiap kehidupan individu adalah berharga, ada sebabnya mengapa kami wujud di dunia ini dan pastinya kita dapat menyumbang sesuatu.” Pada bulan Mei, pentadbiran Trump menyebut 12 bidang yang Iran perlu mencapai kemajuan jika mahukan perubahan dalam hubungan kita, termasuk menghentikan pengayaan uranium sepenuhnya, memberikan rekod penuh mengenai dimensi ketenteraan sebelum program nuklearnya, menamatkan penambahan peluru berpandu balistik dan pelancaran peluru berpandu provokatif, melepaskan rakyat AS yang dipenjarakan, menamatkan sokongan terhadap keganasan, dan banyak lagi.

Presiden Trump menjelaskan bahawa tekanan hanya akan bertambah jika Iran tidak memenuhi piawaian Amerika Syarikat dan rakan-rakan dan sekutunya—dan rakyat Iran sendiri—-mahu melihatnya. Itulah sebabnya Washington menuntut supaya Tehran membuat penambahbaikan besar terhadap hak asasi manusia. Seperti yang dikatakan presiden secara konsisten, beliau tetap terbuka untuk berbincang. Tetapi seperti yang berlaku dengan Korea Utara, Amerika Syarikat akan meneruskan kempen tekanannya sehingga Iran menunjukkan peralihan ketara dan berterusan dalam dasarnya. Jika Iran membuat perubahan itu, kemungkinan perjanjian komprehensif yang baru akan meningkat dengan ketara. Kami fikir perjanjian dengan rejim itu mungkin boleh dicapai. Tanpa perjanjian yang menyeluruh, Iran akan menghadapi peningkatan kos untuk semua kegiatannya yang semberono dan ganas di seluruh dunia.

Presiden Trump lebih suka untuk tidak melakukan kempen ini bersendirian; tetapi mahukan sekutu dan rakan sekutu A.S. untuk turut serta. Malah, negara-negara lain sudah pun berkongsi pemahaman umum terhadap ancaman Iran yang menonjol di luar aspirasi nuklearnya. Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata, “Adalah penting untuk terus bertegas dengan Iran mengenai aktiviti serantau dan program balistiknya”; Perdana Menteri Britain Theresa May telah berkata bahawa beliau “jelas tentang ancaman yang ditimbulkan oleh Iran terhadap negara-negara Teluk dan Timur Tengah yang lebih luas.” Persetujuan luas mengenai ancaman Iran ini tidak memberi ruang bagi negara-negara untuk terus berdialog sama ada mahu menyertai usaha global untuk mengubah tingkah laku Iran, yang merupakan satu usaha yang besar dan sedang menjadi semakin besar.

Kuasa Pendirian Moral yang Jelas

Presiden Trump mewarisi dunia yang menghadapi keadaan bahaya sama seperti yang dihadapi oleh Amerika Syarikat sebelum bermulanya Perang Dunia I, sebelum bermulanya Perang Dunia II atau semasa kemuncak Perang Dingin. Namun keberanian beliau yang pertama terhadap Korea Utara dan kini Iran, telah menunjukkan bagaimana kemajuan boleh dicapai dengan menggabungkan keyakinan yang jelas dengan penekanan terhadap ketakleluasaan nuklear dan perikatan yang kukuh. Tindakan Presiden Trump berdepan dengan rejim jahat bermula dengan pegangan bahawa konfrontasi moral akan membawa kepada perdamaian diplomatik.

Ini merupakan rangka tindakan bagi salah satu kejayaan dasar luar yang hebat pada abad yang lalu: kejayaan Amerika dalam Perang Dingin. Pada minggu pertama menjadi presiden, Presiden Reagan menerangkan ciri para pemimpin Soviet dengan berkata, “Satu-satunya moral yang mereka amalkan adalah bagaimana untuk meluaskan pengaruh mereka, maknanya mereka merasa berhak untuk melakukan sebarang jenayah, menipu dan berbohong.” Para penganalisa dasar luar mempersendakan ulasan beliau dengan mempercayai bahawa sikap berterus terang ini akan menghalang kemajuan ke arah keamanan. Namun presiden turut menekankan komitmen untuk berunding dengan pihak Soviet di mana fakta ini telah dilupakan. Gabungan kejelasan moral dan ketajaman diplomatik Presiden Reagan membentuk dasar bagi perbincangan tahun 1986 di Reykjavik dan, kemudian, kejatuhan komunisme Soviet itu sendiri.

Mereka yang mempercayai bahawa sikap berterus terang akan menghalang rundingan perlu menyedari kesan yang diberikan oleh tekanan retorik dan praktikal yang tertumpu terhadap rejim-rejim jahat. Melihat kepada kemerosotan ekonomi Iran dan bantahan yang semakin meningkat, kepimpinan Iran perlu sedar bahawa rundingan adalah jalan keluar yang terbaik.

Tentang Pengarang: Michael R. Pompeo merupakan Setiausaha Negara Amerika yang ke-70. Ikuti Tuan Setiausaha di @SecPompeo melalui Twitter.

###

Terjemahan ini disediakan sebagai ihsan dan hanya sumber bahasa Inggeris asal yang harus dianggap sahih.