Kuala Lumpur – Pada Rabu 23 Jun, Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, dan Duta Besar A.S. ke Malaysia, Brian McFeeters bersama melancarkan kempen Virus Hunter. Dianjurkan oleh Kluster Sains Pulau Pinang (PSC) dengan sokongan Kedutaan A.S. Kuala Lumpur, kempen Virus Hunter bertujuan untuk meningkatkan minat orang ramai, terutama golongan muda terhadap STEM, kesedaran tentang memerangi penyakit berjangkit, dan kemampuan untuk mengenal pasti dan menangani maklumat salah tentang pandemik.
Memaparkan kandungan mengenai topik seperti penyakit zoonotik dan penyelidikan vaksin, buat permulaan Virus Hunter akan dilancarkan sebagai tapak web (www.VirusHunterExhibit.com) bersama dengan bengkel STEM maya yang dikendalikan oleh pasukan di Kluster Sains Pulau Pinang. Selepas sekatan terhadap pergerakan dan perjumpaan secara peribadi ditarik balik, pameran Virus Hunter secara fizikal akan pergi ke tujuh bandar di Malaysia dan merangkumi bengkel langsung dan demonstrasi sains.
Duta Besar McFeeters menekankan “Kami berharap ribuan golongan muda di seluruh Malaysia akan dapat menikmati Virus Hunter dengan bimbingan guru, ibu bapa, dan mentor mereka yang lain, dan dalam pada itu mereka akan belajar mengenai asal usul pandemik, sains di sebalik kejayaan vaksin yang luar biasa untuk memerangi COVID-19, dan mengapa sangat penting agar negara-negara bekerjasama untuk mencegah pandemik global.”
Selepas pelancaran, PSC akan memulakan siri bengkel maya untuk pelajar sekolah menengah. Komunikator sains akan membimbing bengkel maya selama dua jam dengan pelajar di pelbagai Sudut Amerika (American Corners) di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Sabah dan Sarawak. Pelajar akan menjalani simulasi proses pembangunan vaksin dan belajar cara membuat vaksin yang selamat dan berkesan.
Sepanjang sejarahnya, Amerika Syarikat memainkan peranan utama dalam mempromosikan kesihatan awam global. Di bawah program PREDICT global, A.S. telah membiayai penyelidikan di Malaysia Timur selama lebih dari satu dekad untuk mengesan dan memahami penyakit berjangkit daripada hidupan liar dengan lebih baik.
A.S. juga memperjuangkan peluang bagi pendidikan STEM diperluaskan. Kedutaan Amerika Syarikat menyokong Kempen Virus Hunter melalui kerjasama American Tech Corner (ATC) dan PSC. Ditubuhkan di PSC pada tahun 2018, ATC mempamerkan teknologi dan inovasi Amerika dan menonjolkan peluang pendidikan di STEM untuk orang ramai di Malaysia.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Kempen Virus Hunter dan Sudut Amerika, sila kunjungi pautan berikut: ·
Tapak Web Interaktif Virus Hunter: www.VirusHunterExhibit.com
Rakaman pelancaran Virus Hunter di siaran langsung Facebook: https://fb.watch/6iuw4d_6BA/
(Video) Pameran Pengalaman Digital Virus Hunter: https://www.youtube.com/watch?v=W66GUBMonkQ
(Video) Jelajah Pameran Fizikal Virus Hunter: https://www.youtube.com/watch?v=CFVeZ4JiBoI
American Corners di Malaysia: https://my.usembassy.gov/education/american-spaces/
Kluster Sains Pulau Pinang: https://www.pscpen.com/