Flag

An official website of the United States government

Meraikan 75 Tahun Pertukaran Pendidikan dan Budaya antara A.S. dan Malaysia
4 MINIT DIBACA
Disember 7, 2021

Kuala Lumpur – Pada hari Selasa 7 Disember 2021, Menteri Pengajian Tinggi YB Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Duta Besar AS ke Malaysia, Brian D. McFeeters bersama-sama melancarkan The Bridge: Fulbright@75, acara yang memperingati ulang tahun ke-75 Fulbright, program utama kerajaan A.S. untuk pertukaran pendidikan dan budaya.

Dianjurkan oleh Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika (MACEE), The Bridge: Fulbright@75 meraikan sejarah dan impak Fulbright di Malaysia dengan menampilkan alumni sebagai penceramah dalam pelbagai sesi panel dan perbincangan berkelompok. The Bridge menyerlahkan sumbangan alumni Fulbright dalam pendidikan, teknologi, kesihatan awam dan kesenian. Acara ini juga mempamerkan pengalaman alumni program ini semasa pandemik, dan menyerlahkan cara Fulbright membentuk pemimpin global yang berkesan.

Fulbright ditubuhkan pada tahun 1946 untuk meningkatkan persefahaman bersama dan menyokong hubungan mesra dan aman antara A.S. dan negara lain. Sejak penubuhannya di Malaysia pada tahun 1963, lebih daripada 2,200 rakyat Malaysia dan Amerika telah menyertai program biasiswa Fulbright untuk melanjutkan pengajian tinggi serta menyertai penyelidikan dan peluang pembangunan profesional. Sehingga kini, lebih 400,000 orang – pelajar, graduan baharu, artis, penyelidik dan anggota profesional—telah mendapat manfaat daripada Fulbright di seluruh dunia dan menyumbang kepada pencarian penyelesaian kepada cabaran global yang kompleks.

Pengarah Eksekutif MACEE, Curtis Johnson berkata, “Hubungan antara Amerika Syarikat dan Malaysia adalah kukuh. Program Fulbright MACEE berfungsi sebagai salah satu jambatan antara negara-negara yang hebat ini. The Bridge: Fulbright @ 75 bukan sahaja menunjukkan dedikasi MACEE untuk mengekalkan hubungan itu tetapi juga berperanan sebagai jambatan kepada masa depan pendidikan dan pertukaran antarabangsa.”

Menteri Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, “Kami di Malaysia berbangga menjadi sebahagian daripada komuniti Fulbright global. Beberapa impak penting program Fulbright termasuk: Peningkatan dalam kerjasama dua hala di kalangan institusi pengajian tinggi, mobiliti antarabangsa dan pertukaran pengetahuan. Untuk memperhebatkan pencapaian ini, saya percaya komitmen berterusan kedua-dua negara adalah penting dalam meluaskan dan memperdalam perkongsian, mempertingkat dan memperkukuh proses ke arah pembangunan sistem pendidikan tinggi, dan akhirnya meningkatkan kewujudan global kami.”

Duta Besar McFeeters menambah, “Sepanjang 75 tahun ini, kami telah melihat Fulbright membawa kepada penyelidikan kolaboratif yang luar biasa, perkongsian institusi, hubungan peribadi dan persahabatan sepanjang hayat. Hasil luar biasa dengan meletakkan bersama rakyat Malaysia dan Amerika yang mempunyai harapan cerah, bermotivasi dan komited dalam satu tempat yang sama tidak boleh diperkecilkan.”

Pertukaran pendidikan dan budaya adalah alat penting untuk mengukuhkan hubungan antara rakyat dan memajukan keutamaan bersama antara A.S. dan Malaysia. Kedutaan A.S. KL komited untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia melalui MACEE untuk terus memanfaatkan kuasa pertukaran pendidikan dan meraikan kejayaannya untuk 75 tahun lagi.

Pertanyaan lanjut mengenai Fulbright dan pertukaran pendidikan lain yang diuruskan MACEE boleh dibuat melalui e-mel kepada pasukan Fulbright Malaysia di fulbrightmalaysia@macee.org.my.

 

Tentang MACEE

MACEE diasaskan pada 1963 sebagai suruhanjaya binasional untuk Malaysia dan Amerika Syarikat untuk menggalakkan pertukaran pendidikan antara kedua-dua negara. Ia adalah satu daripada 48 suruhanjaya sepertinya di seluruh dunia.

Untuk Peluang Pertukaran Pendidikan dan Budaya ke A.S. melalui MACEE: Sila rujuk pautan di sini.