Bengkel Melawan Keganasan Dalam Talian

Photo of Ambassador Fernandez
Duta Alberto Fernandez, Penyelaras Pusat Komunikasi Strategik Pencegahan Keganasan, bercakap di bengkel di Kuala Lumpur (Foto Kedutaan A.S.)

Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur dan Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Pencegahan Keganasan (SEARCCT) telah bekerjasama untuk menjadi tuan rumah Bengkel Serantau Asia Tenggara untuk Mencegah Naratif Ekstremis Dalam Talian dari 4-6 November  2014 di Kuala Lumpur.  Lebih 60 peserta dari pelbagai negara ASEAN, Amerika Syarikat dan Australia telah menghadiri bengkel ini, yang bertujuan untuk berkongsi amalan-amalan terbaik untuk menentang naratif ekstremis keganasan dalam talian dan melalui media sosial.

Bengkel ini menangani isu-isu seperti peranan yang boleh dimainkan oleh Kerajaan bagi menggalakkan suara kesederhanaan, penggunaan alat media sosial untuk melawan kebencian dan pelampau, dan bagaimana melatih individu tentang asas-asas untuk menyebarkan mesej, seni bercerita, dan penciptaan mesej viral.  Penyumbang utama bengkel ini termasuk Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Yayasan Prasasti Perdamaian Indonesia, Google, dan Pusat Komunikasi Strategik Pencegahan Keganasan (CSCC) Jabatan Negara A.S., yang mengendalikan analisis bersepadu mesej keganasan di seluruh dunia dan berusaha mencari cara yang berkesan untuk menjawab mesej-mesej tersebut.

Media sosial adalah satu bahagian penting dalam proses radikalisasi di Asia Tenggara, dengan menawarkan individu yang berpotensi menjadi radikal peluang untuk mengembangkan hubungan sosial dan mencari sokongan individu lain, seterusnya memberikan elemen penting interaksi sosial pada kos yang agak rendah.  Sebanyak 200 warga Indonesia dan sekurang-kurangnya 30 rakyat Malaysia telah pergi ke Syria untuk berjuang bersama kumpulan Negara Islam (IS) dan kumpulan pemberontak lain melalui negara pihak ketiga seperti Mesir dan Turki, menurut satu laporan oleh Kumpulan Soufan yang berpangkalan di New York, yang menyediakan analisis strategik kepada pemerintah.

IS menggunakan strategi media social yang canggih untuk mengembangkan dan mengawal mesej mereka, merekrut, mempromosi mesej radikal dan mengumpul dana.  Para penyelidik yang bekerja untuk Projek Informatik Pengganas di Pusat Penyelidikan Keganasan Politik dan Terorisme Antarabangsa mengikuti laman Web yang berkaitan dengan jihad untuk memahami ajaran radikal di web dan mengenal pasti pola baru cara pengganas transnasional berkomunikasi, merekrut dan melatih anggota.

Strategi Rumah Putih untuk melawan ekstremisme keganasan adalah dengan mendorong dan memperkasakan suara dalam talian yang boleh dipercayai, asli, dan membina yang seterusnya memainkan peranan utama dalam membantu untuk melawan al-Qaeda dalam merekrut rakyat tempatan.