Flag

An official website of the United States government

Perkongsian Keselamatan Trilateral AUKUS
5 MINIT DIBACA
September 29, 2021

Artikel karangan

Artikel ini dikarang bersama oleh T.Y.T. Dr Justin Lee, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, T.Y.T. Brian D. McFeeters, Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia dan T.Y.T. Charles Hay MVO, Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom ke Malaysia.


 

Malaysia terletak di tengah-tengah Asia Tenggara, di tengah-tengah ASEAN dan di tengah-tengah Indo‑Pasifik. Malaysia merupakan rakan kongsi utama Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat pada ketika  kita berusaha bagi mencapai visi bersama untuk rantau ini yang terbuka, stabil dan inklusif, sejajar dengan Wawasan ASEAN mengenai Indo-Pasifik.

Baru-baru ini tiga negara kami telah mengumumkan satu perkongsian keselamatan trilateral yang dipertingkatkan – AUKUS – yang akan meningkatkan keupayaan kami untuk membangun dan berkongsi pelbagai kemampuan keselamatan dan pertahanan yang baharu muncul. Perjanjian ini tidak mengubah cita-cita kami untuk satu rantau yang aman dan makmur, atau sokongan kami untuk arkitektur serantau yang berpusat pada  ASEAN. Ia akan memperkuat kemampuan kami untuk bekerjasama dengan rakan kongsi serantau seperti Malaysia untuk membangunkan satu rantau yang aman dan stabil serta  menyokong sistem berdasarkan peraturan untuk membina kemakmuran kolektif kita.

Ia menjadi tanggungjawab utama setiap kerajaan untuk terus mencapai  kemampuan pertahanan yang diperlukan untuk negaranya. Sebagai negara tiga samudera yang bergantung pada perdagangan antarabangsa melalui laut, Australia memerlukan kemampuan tentera laut yang canggih. Bagi inisiatif pertama perkongsian ini, kami memulai usaha sama trilateral  mencari jalan optimum untuk menyokong Australia dalam memperoleh kapal selam berkuasa nuklear, dengan memanfaatkan kepakaran dari Amerika Syarikat dan United Kingdom, yang kedua-duanya telah mengendalikan kapal selam berkuasa nuklear dengan selamat selama lebih 60 tahun. Kapal selam berkuasa nuklear akan memberi Australia kemampuan yang diperlukan untuk pertahanannya sendiri dan menyumbang kepada keseimbangan strategik yang berpanjangan di rantau kita.

Walaupun kapal selam ini akan menggunakan kuasa nuklear, ia tidak akan membawa senjata nuklear. Australia telah menjelaskan bahawa ia tidak dan tidak akan mengejarsenjata nuklear.  Australia, United Kingdom, dan Amerika Syarikat tetap teguh dalam sokongan kami terhadap rejim ketakleluasaan  senjata nuklear dan Perjanjian ketakleluasaan . Komitmen kami terhadap ketakleluasaan senjata nuklear tidak berubah dan kami tetap komited untuk menegakkan kepemimpinan global kami dalam bidang ini.

Kerjasama ini juga akan membolehkan Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat mengeratkan kerjasama dalam pelbagai kemampuan keselamatan dan pertahanan yang baharu muncul, dengan fokus awal pada siber, kecerdasan buatan, teknologi kuantum, dan kemampuan tambahan bawah laut .  Kerjasama dalam bidang ini akan memperkukuhkan kemampuan tiga negara masing-masing untuk menyumbang kepada keselamatan serantau.

Dalam bekerjasama untuk mengukuhkan kemampuan kami, Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat komited untuk menyokong rantau yang meletakkan ASEAN di pusat  sejajar dengan Wawasan ASEAN mengenai Indo-Pasifik. Semua anggota AUKUS merupakan Rakan Dialog ASEAN, dan semuanya komited untuk melengkapkan dan memperkuatkan arkitektur serantau sedia ada yang dipimpin ASEAN. AUKUS juga akan melengkapkan jaringan perkongsian bilateral dan minilateral serantau kami dalam mempromosikan keamanan, keselamatan, dan kemakmuran serantau.

Kami ingin hidup di rantau di mana semua negara diperkasakan untuk terlibat dan menikmati kemakmuran dalam persekitaran yang stabil berdasarkan peraturan, termasuk peraturan yang termaktub dalam Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut. Kami mahu memastikan bahawa semua negara di rantau ini memiliki ruang yang strategik untuk membuat keputusan demi kepentingan kedaulatan mereka. Kerjasama kami di bawah AUKUS dipandu oleh komitmen kami terhadap cita-cita ini, dan akhirnya untuk memastikan bahawa kita semua dapat membangun dan berkembang dalam satu rantau yang terbuka, inklusif dan makmur.

 

T.Y.T. Dr Justin Lee
Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia

T.Y.T. Brian D. McFeeters
Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia

T.Y.T. Charles Hay MVO
Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom ke Malaysia