Duta Besar Brian McFeeters Tiba di Malaysia

Ambassador Brian D. McFeeters arrival
Duta Besar Brian McFeeters diiringi oleh Timbalan Ketua Perwakilan, Michael Newbill semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam. (Foto Kedutaan Amerika Kuala Lumpur)

 

Kuala Lumpur – Duta Besar Brian McFeeters, Duta Besar A.S. ke Malaysia yang baharu, tiba di Kuala Lumpur pada petang Jumaat, 26 Februari 2021.  Duta Besar gembira dapat kembali ke Malaysia, tempat beliau pernah bertugas di Kedutaan A.S. di Kuala Lumpur sebagai Penasihat Politik dari tahun 2009 hingga 2011.

Sebaik sahaja tiba di sini, Duta Besar McFeeters berkata, “Sangat gembira dapat kembali ke Malaysia.  Sepanjang masa saya di sini sepuluh tahun yang lalu, saya bertuah dapat bertemu dan bekerja dengan ramai rakyat Malaysia yang berbakat dan berdedikasi.  Saya tidak sabar untuk kembali bekerja dengan pasukan Kedutaan A.S. yang kukuh, yang merangkumi wakil dari seluruh kerajaan A.S.  Matlamat keseluruhan kami ialah hubungan yang lebih erat dengan rakyat dan kerajaan Malaysia.“

“Presiden Biden telah menekankan bahawa Amerika Syarikat perlu bekerjasama dengan rakan, sekutu, dan rakan kongsi kami di seluruh dunia untuk memerangi pelbagai cabaran global yang kita hadapi daripada kesihatan awam kepada pemulihan ekonomi kepada pemerdagangan orang dan perubahan iklim. Kita menjadi lebih kuat apabila kita bekerja bersama.  Saya berharap dapat memimpin pasukan yang bekerjasama dengan Malaysia dalam banyak bidang, termasuk dengan memupuk kerjasama keselamatan bermanfaat kepada kedua belah pihak; mengukuhkan lagi hubungan ekonomi yang menyokong puluhan ribu pekerjaan di Malaysia dan Amerika Syarikat; dan membina lebih banyak hubungan antara rakyat, termasuk melalui program pertukaran untuk orang muda. Saya tahu bahawa kita mempunyai banyak kerja untuk menewaskan COVID-19, tetapi kita menuju ke jalan itu bersama-sama. Saya gembira kerana vaksin Pfizer berjaya tiba di Malaysia dan pelancaran vaksin telah bermula,” sambung Duta Besar.

Duta Besar akan mula mengadakan pertemuan secara maya dengan pasukan Kedutaan A.S. dan rakan sejawatnya yang penting semasa menjalankan kuarantin wajib beliau.  Duta Besar McFeeters ditemani oleh isteri beliau, Melanie, dan anak perempuan mereka, Sara.

Untuk maklumat lanjut mengenai hubungan dua hala A.S.-Malaysia, sila lawati tapak web Kedutaan A.S. di https://my.usembassy.gov/ atau ikuti kami di media sosial.

Lihat biografi Duta Besar di sini:  https://my.usembassy.gov/ms/our-relationship-ms/our-ambassador-ms/