Duta Besar Lakhdhir Melawat Pulau Pinang

Ambassador Kamala Shirin Lakhdhir with Joe Sidek, Founder of George Town Festival. (U.S. Embassy photo)

Duta Besar Kamala Shirin Lakhdhir melakukan lawatan rasmi pertama beliau ke Pulau Pinang pada 6 hingga 8 Mac 2017.  Lawatan ini memberi peluang kepada beliau untuk mengunjungi syarikat A.S., bertemu dengan pegawai kerajaan dan persatuan sivil, dan juga menikmati budaya masyarakat di Pulau Pinang.  Duta Besar Lakhdhir melawat beberapa syarikat A.S. seperti Intel, yang telah bertapak di Pulau Pinang selama 45 tahun dan menggaji 8,000 kakitangan.  Beliau melawat Mattel, yang menghasilkan mainan Hot Wheels di Pulau Pinang, dan Hewlett-Packard, yang telah berada di Malaysia sejak 1978.  Beliau juga sempat melawat First Solar, yang mengeluarkan teknologi solar canggih di Kedah.  Di samping itu, Duta Besar bertemu dengan ahli Dewan Perniagaan Amerika Malaysia, yang mewakili syarikat seperti Sandisk, Boston Scientific, dan Motorola.

Semasa di Pulau Pinang, Duta Besar Lakhdhir bertemu dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk membincangkan isu kepentingan bersama.  Beliau menghadiri persidangan tentang penguatkuasaan dadah yang dianjurkan bersama oleh Polis Diraja Malaysia dan Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah AS.  Beliau juga menyaksikan latihan penguatkuasaan maritim bersama dengan Tentera Amerika Syarikat dan pasukan gerakan khas VAT 69 di bawah Polis Diraja Malaysia.  Duta Besar Lakhdhir turut melawat Institut Pulau Pinang yang terkenal untuk membincangkan hubungan AS-Malaysia.

Di samping itu, Duta Besar Lakhdhir melawat Kluster Sains Pulau Pinang semasa pameran sains belia.  Kedutaan Amerika Syarikat bekerjasama dengan Kluster Sains Pulau Pinang dalam “Project Ignite” untuk memberi inspirasi kepada usahawan generasi akan datang  di Malaysia dengan menggalakkan pembelajaran sains di sekolah.  Duta Besar juga berpeluang membuat lawatan sambil berjalan kaki di George Town bersama Joe Sidek, pengasas Festival George Town yang terkenal.  Beliau juga meluangkan masa untuk melawat laluan gantung Komtar dan menikmati pemandangan dari Rainbow Skywalk dan Dek Pemerhatian.