Siaran Akhbar: Ke Arah Rantau Indo-Pasifik yang Bebas dan Terbuka

Helaian Fakta
Pejabat Jurucakap
Washington, DC
18 November 2018

11/18/2018 04:38 PM EST

Setahun yang lalu di Vietnam, Presiden Donald J. Trump telah membentangkan visi Amerika untuk rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, di mana semua negara adalah berdaulat, kuat dan makmur. Minggu ini, Naib Presiden Michael R. Pence telah mengesahkan semula komitmen kukuh dan berterusan A.S. untuk rantau ini dan menekankan kerjasama yang lebih luas dengan rakan kongsi kami. Naib Presiden telah mengetuai delegasi A.S. ke sidang kemuncak serantau dan mesyuarat dua hala yang utama, yang turut disertai oleh Timbalan Setiausaha Negara John Sullivan serta para pegawai kanan yang lain.

Seperti yang disebutkan oleh Naib Presiden, dinamik ekonomi Amerika memacu kemakmuran di Indo-Pasifik dan di seluruh dunia. Tiada negara lain yang melabur di rantau ini sebagaimana yang dilakukan oleh Amerika Syarikat, yang kini membuat pelaburan langsung asing berjumlah $940 bilion untuk menjana pertumbuhan di negara-negara Indo-Pasifik. Kerajaan A.S. turut menyediakan bantuan lebih $1.8 bilion untuk rantau ini pada tahun lepas. Pendekatan A.S. di rantau Indo-Pasifik memberi tumpuan kepada tiga bidang utama: ekonomi, tadbir urus dan keselamatan.

Meningkatkan Kemakmuran Yang Dikongsi Bersama

Amerika Syarikat mengambil pendekatan menyeluruh untuk meningkatkan perdagangan yang adil dan saling timbal balik, mempromosikan penglibatan ekonomi dan komersil yang mematuhi piawaian tinggi dan menghormati kedaulatan dan autonomi setempat, selain menggerakkan pelaburan sektor swasta ke rantau Indo-Pasifik. Semasa lawatan Naib Presiden ke rantau ini, Amerika Syarikat telah mengumumkan inisiatif dan perkongsian yang meletakkan Amerika Syarikat dan rantau ini pada laluan yang kukuh untuk meningkatkan kerjasama pada tahun-tahun yang akan datang.

Perkongsian untuk Kemakmuran

  • Naib Presiden Pence menekankan Akta BUILD, yang telah ditandatangani oleh Presiden Trump pada bulan Oktober. Akta BUILD membawa kepada penubuhan Perbadanan Pembiayaan Pembangunan Antarabangsa A.S. baharu yang menggandakan kapasiti pembiayaan pembangunan A.S. hingga $60 bilion. Perkembangan yang bersejarah ini akan membuka lebih banyak peluang bagi perkongsian di rantau Indo-Pasifik.
  • Menerusi kerjasama Perkongsian Tenaga Strategik Jepun-Amerika Syarikat (JUSEP) yang ditubuhkan pada tahun lepas, Amerika Syarikat dan Jepun berhasrat untuk menyediakan pelaburan bertaraf tinggi bagi projek-projek pembekalan gas asli cecair (LNG) atau pembinaan prasarana LNG dengan menyelaraskan sasaran kerajaan Jepun sebanyak $10 bilion dalam pelaburan awam dan swasta dan latihan pembinaan kapasiti melalui inisiatif Meningkatkan Pembangunan dan Pertumbuhan menerusi Tenaga di Asia (Asia EDGE) oleh Amerika Syarikat.
  • Perbadanan Pelaburan Swasta Luar Negara A.S. (OPIC), Bank Kerjasama Antarabangsa Jepun (JBIC), dan Jabatan Luar Negeri dan Perdagangan (DFAT) dan Perbadanan Pembiayaan Eksport dan Insurans (EFIC) Australia telah menandatangani Memorandum Persefahaman untuk memajukan kerjasama bagi menggerakkan pelaburan swasta di Indo-Pasifik.
  • Pada 18 November, Amerika Syarikat, Australia, Jepun, New Zealand, dan Papua New Guinea merancang untuk menyiarkan satu kenyataan bersama bagi menggariskan perkongsian lima negara dengan matlamat menyokong Papua New Guinea dalam memperluas akses elektrik kepada 70 peratus daripada jumlah penduduknya menjelang 2030.
  • Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-6, Naib Presiden mengumumkan Perkongsian Bandaraya Pintar A.S.-ASEAN yang baharu bertujuan membantu majlis-majlis perbandaran memajukan transformasi digital sistem bandar dan meningkatkan penglibatan komersil A.S.-ASEAN dalam ekonomi digital. Pelaburan awal Amerika Syarikat dalam program ini adalah bernilai $10 juta.
  • Naib Presiden Pence dan Perdana Menteri Singapura Lee telah mengumumkan Memorandum Persefahaman untuk membangunkan aktiviti bersama dalam bidang kritikal seperti prasarana, tenaga, teknologi kewangan, e-dagang, dan memajukan bandar pintar menerusi platform kerjasama komersil yang dipertingkatkan.
  • Pada 15 November, para pegawai kanan dari Amerika Syarikat, Australia, India, dan Jepun telah bertemu di Singapura untuk rundingan kali ketiga tentang Indo-Pasifik sejak November 2017.

Membina Momentum Tenaga, Prasarana dan Ekonomi Digital

  • Naib Presiden Pence dan Perdana Menteri Singapura Lee telah bersetuju untuk meneroka cara untuk Perbadanan Pembiayaan Pembangunan Antarabangsa A.S. yang baharu dan Infrastructure Asia yang baru diumumkan Singapura untuk bekerjasama dalam pembangunan prasarana yang mampan di rantau ini.
  • Di bawah naungan Perkongsian Sambungan Digital dan Keselamatan Siber yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat pada musim panas tahun ini, Naib Presiden Pence dan Perdana Menteri Lee telah mengumumkan Program Bantuan Teknikal Keselamatan Siber A.S. yang baharu yang akan memanfaatkan kepakaran sektor swasta A.S. bagi meningkatkan keselamatan siber di negara-negara anggota ASEAN.
  • Naib Presiden Pence telah mengesahkan dan mengukuhkan Perkongsian Strategik A.S.-ASEAN semasa Sidang Kemuncak A.S.-ASEAN pada 15 November 2018, di mana Kenyataan Bersama tentang Keselamatan Siber A.S.-ASEAN telah dikeluarkan.
  • Di Sidang Kemuncak Asia Timur, Amerika Syarikat telah menaja bersama dengan Republik Korea satu kenyataan tentang Penggunaan Selamat dan Aman, Penyimpanan dan Pengangkutan Bahan Nuklear dan Bahan Radioaktif Lain.
  • Agensi Pembangunan dan Perdagangan A.S. telah meluluskan pembiayaan untuk menyediakan bantuan teknikal kepada Filipina bagi membantu menerapkan Rangkaian Jalur Lebar Negara mereka dan meningkatkan penerimaan pengkomputeran awan.

Meningkatkan Perkongsian Ekonomi menerusi APEC

  • Di Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Amerika Syarikat telah melancarkan program bantuan teknikal A.S.-Sokongan untuk Pertumbuhan Ekonomi Asia (US-SEGA) untuk tahun ini. US-SEGA, program lima tahun dengan tranche permulaan pembiayaan A.S. sebanyak $9 juta, akan membina keupayaan ekonomi APEC untuk mengguna pakai dasar perdagangan dan pelaburan yang bertaraf tinggi dan komprehensif bagi menggalakkan perdagangan yang adil, pasaran terbuka untuk perniagaan A.S., dan peningkatan pertumbuhan ekonomi di seluruh APEC dan rantau Indo-Pasifik.
  • Amerika Syarikat akan memajukan keutamaan ekonomi A.S. pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC yang berkait dengan ekonomi digital, penyusunan semula struktur, pemerkasaan ekonomi wanita, dan perdagangan perkhidmatan.

Mengukuhkan Hubungan Antara Insan

  • Naib Presiden Pence mengumumkan Sidang Kemuncak Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) 2018 akan diadakan di Singapura mulai 3-5 Disember untuk meneroka perkongsian A.S.-ASEAN bagi pertumbuhan ekonomi dan inovasi.

Lawatan Naib Presiden itu meneruskan kejayaan pada tahun sebelumnya dalam meningkatkan penglibatan ekonomi antara Amerika Syarikat dan Indo-Pasifik.

  • Amerika Syarikat sedang memodenkan hubungan perdagangan kami supaya sepadan dengan realiti ekonomi abad ke-21 dengan mengemas kini Perjanjian Perdagangan Bebas Korea-A.S. (KORUS) dan mengumumkan hasrat kami untuk memulakan rundingan Perjanjian Perdagangan Amerika Syarikat-Jepun.
  • Semasa Forum Perniagaan Indo-Pasifik pada bulan Julai, Setiausaha Negara, Michael R. Pompeo dan para pegawai Kabinet yang lain telah mengumumkan inisiatif ekonomi yang baharu untuk memacu pelaburan swasta dalam ekonomi digital, tenaga dan prasarana.
    • Rangkaian Transaksi dan Bantuan Prasarana meningkatkan usaha kerajaan A.S. untuk memajukan prasarana mapan di rantau Indo-Pasifik.
    • Asia EDGE (Meningkatkan Pembangunan dan Pertumbuhan menerusi Tenaga) mengukuhkan keselamatan dan capaian tenaga di seluruh rantau Indo-Pasifik.
    • Perkongsian Sambungan Digital dan Keselamatan Siber meningkatkan sambungan digital rakan kongsi dan meluaskan peluang eksport teknologi A.S.
  • Setiausaha Pompeo juga mengumumkan perjanjian Millennium Challenge Corporation bernilai $350 juta dengan Mongolia, dan mengukuhkan sokongan untuk institusi serantau yang penting: ASEAN, APEC, Inisiatif Hilir Mekong (LMI), dan Persatuan Negara-negara Pesisir Lautan Hindi (IORA).
  • Jabatan Perdagangan telah memberikan status Kebenaran Perdagangan Strategik Tahap 1 untuk India, yang membolehkan syarikat-syarikat Amerika mengeksport lebih banyak barangan teknologi tinggi di bawah pengecualian lesen yang diperkemas.
  • Jabatan Perdagangan mengumumkan bahawa misi dagang terbesarnya, Trade Winds, ditujukan khas pada tahun ini untuk rantau Indo-Pasifik, sebagai sebahagian daripada Access Asia – siri 25 acara untuk menghubungkan firma-firma Amerika dengan peluang di pasaran Indo-Pasifik.

Menyokong Tadbir Urus yang Baik dan Masyarakat Madani

Tadbir urus yang baik menjadi teras utama visi A.S. untuk rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka. Amerika Syarikat komited untuk bekerjasama dengan negara-negara Indo-Pasifik bagi mewujudkan keadaan yang diperlukan untuk membuka peluang pelaburan swasta yang lebih besar, memerangi rasuah, dan memelihara autonomi negara daripada paksaan asing. Kami akan terus menggalakkan ketelusan, keterbukaan, kedaulatan undang-undang, dan perlindungan hak asasi manusia dan kebebasan asas, dan Amerika Syarikat mempunyai program berterusan yang sedang dilaksanakan bagi menyokong matlamat ini. Seperti yang ditekankan oleh Naib Presiden, pelaburan kami dalam bidang ini berjumlah lebih daripada $400 juta dalam tempoh dua tahun.

Pada 17 November, Naib Presiden mengumumkan Inisiatif Ketelusan Indo-Pasifik yang akan menyalurkan pelaburan kami ke ruang ini untuk memajukan matlamat yang dikongsi bersama di rantau ini. Inisiatif ini akan menggalakkan tadbir urus yang kukuh, adil dan responsif melalui usaha untuk mencegah rasuah sambil menggalakkan masyarakat madani yang kukuh, peminjaman yang bertanggungjawab, pemerolehan dan amalan kontrak yang jujur dan pembaharuan sektor kehakiman dan undang-undang yang merupakan antara matlamat yang penting ke arah tadbir urus yang baik.

Amerika Syarikat berbangga untuk berkongsi matlamat ini dengan sekutu dan rakan kongsi, termasuk ASEAN, di mana piagamnya menyeru ke arah “persatuan serantau yang terbuka, telus dan inklusif.” Inisiatif Ketelusan Indo-Pasifik menyediakan platform yang kukuh untuk memperluaskan kerjasama dengan sekutu dan rakan kongsi kami serta institusi serantau bagi memajukan prinsip-prinsip yang dikongsi bersama.

Amerika Syarikat akan berusaha untuk mengenal pasti peluang kerjasama untuk mengukuhkan amalan tadbir urus di Indo-Pasifik, baik secara dua hala mahupun melalui mekanisme serantau termasuk ASEAN, APEC, Forum Kepulauan Pasifik, Inisiatif Hilir Mekong, Inisiatif Teluk Bengal untuk Kerjasama Teknikal dan Ekonomi Berbilang Sektor, dan Persatuan Negara-negara Pesisir Lautan Hindi.

Memastikan Hubungan Serantau yang Aman dan Selamat

Amerika Syarikat sedang mengukuhkan kerjasama di seluruh rantau Indo-Pasifik bagi menghadapi ancaman yang biasa, melindungi sumber yang dikongsi bersama dan mempertahankan kedaulatan. Kami bekerjasama rapat dengan negara-negara serantau untuk menghapuskan senjata nuklear di Korea Utara, menjamin hak dan kebebasan untuk belayar di Laut China Timur dan Laut China Selatan, dan mencegah keganasan dan ekstremis yang ganas daripada merebak. Keselamatan dan kemakmuran Amerika bergantung pada rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, dan kami akan terus bekerjasama dengan mana-mana negara, tidak kira kecil atau besar, untuk mencapai visi ini sekarang dan untuk generasi akan datang.

Semasa lawatan Naib Presiden, Amerika Syarikat dan Jepun telah mengumumkan penghantaran sepuluh buah pesawat F-35A pada tahun 2018, yang bernilai $1.38 bilion, di bawah Program Penjualan Tentera Asing, dengan sembilan buah pesawat lagi akan dihantar pada 2019. Secara keseluruhannya, syarikat-syarikat A.S. telah membuat jualan komersil barangan dan perkhidmatan pertahanan secara langsung di rantau Indo-Pasifik berjumlah $9.42 bilion pada tahun lalu.

Amerika Syarikat telah menyediakan bantuan keselamatan bernilai lebih setengah bilion dolar untuk negara-negara Indo-Pasifik pada tahun ini – meningkat lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya. Ini termasuklah pengumuman yang dibuat oleh Setiausaha Pompeo semasa Forum Serantau ASEAN pada bulan Ogos berupa bantuan berjumlah hampir $300 juta untuk mengukuhkan keselamatan maritim dan kesedaran domain, bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana (HA/DR), dan keupayaan menjaga keamanan serta mencegah jenayah transnasional. Amerika Syarikat turut meningkatkan kerjasama keselamatan maritim di kawasan Lautan Hindi, termasuk menerusi Inisiatif Teluk Bengal yang baharu, dan meningkatkan program keselamatan maritim, HA/DR dan menjaga keamanan di Kepulauan Pasifik.

###

Terjemahan ini disediakan sebagai ihsan dan hanya sumber bahasa Inggeris asal yang harus dianggap sahih.