Flag

An official website of the United States government

Laporan Kebebasan Agama Antarabangsa 2020 Malaysia
43 MINIT DIBACA
Mei 12, 2021

Ringkasan Eksekutif

Perlembagaan menyatakan bahawa Islam ialah “agama Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.“ Kerajaan persekutuan dan negeri mempunyai kuasa untuk melaksanakan doktrin untuk umat Islam dan mempromosikan Islam Sunni di atas semua kumpulan agama lain. Bentuk-bentuk lain Islam dilarang. Undang-undang hasutan menjadikan ucapan “mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan atau kebencian berasaskan agama” sebagai jenayah. Kerajaan mengekalkan sistem undang-undang yang selari, dengan perkara-perkara sivil tertentu untuk orang Islam diliputi oleh undang-undang syariah.  Hubungan antara undang-undang syariah dan undang-undang sivil masih tidak dapat diselesaikan dalam sistem perundangan.  Mereka yang menyimpang daripada tafsiran rasmi Islam terus menghadapi tindakan buruk daripada kerajaan, termasuk wajib menjalani “pemulihan” di pusat-pusat yang mengajar dan menguatkuasakan amalan Islam yang diluluskan oleh kerajaan. Sumber-sumber menyatakan bahawa terdapat beberapa penganiayaan terpilih terhadap agama bukan Islam melalui cara perundangan dan di luar perundangan. Pada bulan Februari, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) memulakan siasatan awam mengenai kehilangan seorang pastor Kristian dan isterinya pada tahun 2016. Sebuah panel yang dilantik oleh kerajaan dibentuk pada tahun 2019 untuk menyiasat penemuan SUHAKAM mengenai kehilangan paksa seorang pastor Kristian dan aktivis sosial yang dituduh menyebarkan ajaran Syiah pada tahun 2016 hanya membuat sedikit kemajuan. Pada bulan Februari, isteri pastor Kristian kedua memulakan tindakan undang-undang terhadap kerajaan persekutuan dan pegawai kanan kerajaan kerana gagal menyiasat kehilangan suaminya secara memadai. Pada bulan Julai, Mahkamah Tinggi mensabitkan seorang lelaki kerana melatih anggota kumpulan WhatsApp untuk melakukan tindakan keganasan, termasuk serangan ke atas sebuah kuil Hindu dan rumah-rumah ibadat lain. Mahkamah Tinggi Syariah menjalankan tuduhan penghinaan terhadap seorang anggota parlimen yang menyatakan bahawa mahkamah syariah melakukan diskriminasi terhadap wanita. Kerajaan terus secara terpilih menghukum ucapan yang didakwa mencemarkan agama Islam. Pada masa yang sama kerajaan selalunya mengabaikan kritikan terhadap agama-agama lain. Orang bukan Islam menghadapi masalah perundangan ketika mereka mahu menggunakan perkataan “Allah” dan sebanyak 31 perkataan lain yang berkaitan dengan Islam. Kumpulan agama bukan Sunni terus melaporkan cabaran dalam mendaftar sebagai organisasi amal bukan untung atau membina rumah ibadat. Beberapa parti politik mengatakan hanya parti Melayu-Islam sahaja yang sepatutnya memimpin negara ini. Pada bulan Julai, sebuah mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 26 bulan kepada seorang lelaki kerana menghina Islam dan seorang ahli politik Muslim. Kerajaan terus melarang rakyat Israel memasuki negara ini tanpa kelulusan Kementerian Dalam Negeri dan mengehadkan rakyat Malaysia untuk melakukan perjalanan ke Israel.

Organisasi hak asasi manusia tempatan dan pemimpin agama sekali lagi menyatakan kebimbangan bahawa masyarakat menjadi kurang bertolak-ansur terhadap kepelbagaian agama. Sebuah majlis bersama komuniti agama minoriti  mengeluarkan satu kenyataan yang menyatakan “kebimbangannya yang mendalam terhadap meningkatnya permusuhan agama antara kumpulan agama yang dibuat oleh beberapa ahli politik untuk memecah-belah dan memerintah.”

Pegawai Kedutaan A.S. kerap berbincang dengan pegawai kerajaan di Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Polis Diraja Malaysia, dan Jabatan Perdana Menteri antaranya mengenai isu-isu termasuk jaminan perlembagaan untuk kebebasan beragama, peningkatan dalam ketiadaan tolak-ansur agama, menghormati agama minoriti, penukaran agama anak secara unilateral oleh seorang ibu atau bapa tanpa kebenaran yang lain, dan kehilangan tiga orang Kristian dan seorang aktivis Muslim pada tahun 2016. Perwakilan Kedutaan bertemu dengan anggota kumpulan agama, termasuk kumpulan minoriti dan mereka yang kegiatan agamanya dibatasi oleh kerajaan, untuk membincangkan sekatan yang mereka hadapi dan strategi untuk melibatkan kerajaan dalam isu kebebasan beragama. Kedutaan memudahkan penyertaan pemimpin agama dan cendekiawan dalam persidangan maya dan webinar yang menggalakkan kebebasan dan tolak-ansur beragama. Kedutaan membiayai program kurikulum dan latihan pendidikan sivik yang akan mengajar pelajar di sekolah agama kerajaan persekutuan mengenai kebebasan bersuara dan berpersatuan, termasuk kebebasan beragama.

Bahagian I. Demografi Agama

Kerajaan A.S. menganggarkan jumlah penduduk Malaysia seramai 32.7 juta (anggaran pertengahan tahun 2020). Angka daripada bancian terkini pada tahun 2010 menunjukkan bahawa 61.3 peratus penduduk mengamalkan agama Islam; 19.8 peratus, Buddha; 9.2 peratus, Kristian; 6.3 peratus, Hindu; 1.3 peratus, Konfusianisme, Taoisme, atau falsafah dan agama Cina tradisional yang lain. Sementara itu, kurang daripada 1 peratus masing-masing adalah kumpulan agama lain termasuk animisme, Sikh, Jehovah’s Witnesses, The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints (Church of Jesus Christ), dan Baha’i. Hampir semua Muslim mengamalkan Islam Sunni daripada mazhab Shafi’i. Etnik Melayu, yang ditakrifkan dalam perlembagaan persekutuan sebagai Muslim sejak lahir, merangkumi kira-kira 55 peratus penduduk. Kawasan luar bandar – terutama di pantai timur semenanjung negara ini – kebanyakannya Muslim, sementara negeri-negeri Sabah dan Sarawak di pulau Borneo mempunyai bilangan bukan Muslim yang secara relatifnya lebih tinggi. Dua pertiga daripada penduduk Kristian di negara ini mendiami negeri-negeri di Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak.

Bahagian II. Status Penghormatan Kerajaan terhadap Kebebasan Beragama

KERANGKA PERUNDANGAN

Perlembagaan persekutuan menyatakan “setiap orang berhak menganut dan mengamalkan agamanya” tetapi kerajaan persekutuan dan negeri mempunyai kuasa untuk mengawal atau menyekat penyebaran agama lain kepada Muslim. Perlembagaan menyebut Islam sebagai “agama Persekutuan” dan memberikan kuasa kepada parlimen untuk membuat peruntukan yang mengatur hal ehwal agama Islam. Undang-undang persekutuan membenarkan warga negara dan organisasi untuk menyaman kerajaan atas pelanggaran perlembagaan kebebasan beragama. Kerajaan persekutuan dan negeri mempunyai kuasa untuk “mengawal atau menyekat penyebaran doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganut agama Islam.” Perlembagaan mengenal pasti pemerintah tradisional, juga dikenal sebagai Sultan atau Raja, sebagai “Ketua Agama Islam” merupakan pihak berkuasa Islam tertinggi di negeri masing-masing. Sembilan daripada 13 negeri di negara ini mempunyai Sultan; baki empat negeri dan Wilayah Persekutuan, mempunyai Agong sebagai pihak berkuasa tertinggi Islam. Agong dipilih untuk setiap lima tahun daripada kalangan sembilan Sultan dengan aturan giliran yang ditetapkan. Undang-undang Islam ditadbir oleh setiap negeri. Pejabat mufti terdapat di setiap negeri untuk memberi nasihat kepada Sultan dalam semua hal mengenai perundangan Islam. Mahkamah syariah berada di bawah Sultan yang melantik hakim berdasarkan saranan jabatan dan majlis agama Islam negeri yang menguruskan operasi mahkamah. Di negeri-negeri yang tidak mempunyai Sultan dan di Wilayah Persekutuan, Agong memikul tanggungjawab untuk proses ini.

Undang-undang persekutuan diberi keutamaan perlembagaan mengatasi undang-undang negeri kecuali dalam perkara yang berkaitan dengan undang-undang Islam. Pindaan perlembagaan memperuntukkan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah syariah.  Walau bagaimanapun, sejak tahun 2018, Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah tertinggi negara, telah memutuskan bahawa ia mempunyai bidang kuasa ke atas prosedur pihak berkuasa pentadbiran syariah dalam kes yang melibatkan penukaran agama minor, dan bahawa bidang kuasa itu tidak boleh dibatalkan oleh pindaan perlembagaan oleh parlimen.

Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) ialah agensi persekutuan yang bertanggungjawab menyelaraskan mahkamah syariah. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merupakan sekretariat tetap Jawatankuasa Fatwa persekutuan, yang dianggotai oleh 14 orang mufti, seorang mufti dari setiap negeri dan seorang lagi mewakili Wilayah Persekutuan. Jawatankuasa Teknikal Syariah dan Sivil di Jabatan Peguam Negara mengawasi proses penggubalan undang-undang syariah di peringkat persekutuan. Satu fatwa tahun 1996, yang disokong oleh undang-undang negeri, menghendaki negara ini hanya mengikuti ajaran Sunni dari mazhab Shafi’i dan melarang Muslim memiliki, menerbitkan, atau menyebarkan bahan yang bertentangan dengan ajaran ini.

Muslim yang ingin memeluk agama lain perlu terlebih dahulu mendapatkan persetujuan daripada mahkamah syariah untuk mengisytiharkan dirinya sebagai “murtad.” Mahkamah syariah jarang membenarkan permintaan tersebut, terutama kepada mereka yang dilahirkan sebagai Muslim dan etnik Melayu, dan keberatan membenarkan penukaran agama kepada mereka yang sebelum ini masuk Islam. Hukuman untuk murtad berbeza mengikut negeri. Di negeri Perak, Melaka, Sabah, dan Pahang, murtad ialah satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum dengan denda atau penjara. Di Pahang, hukuman yang dikenakan boleh juga hingga enam sebatan rotan. Hukuman maksimum untuk murtad di negeri Kelantan dan Terengganu ialah hukuman mati, tetapi hukuman ini tidak pernah dilaksanakan, dan status perundangannya masih belum diuji. Menurut bekas Menteri Hal Ehwal Islam Jamil Khir, dari tahun 2000 hingga 2010, mahkamah syariah telah meluluskan 135 daripada 686 permohonan untuk tidak lagi dikenali sebagai seorang Muslim. Pertubuhan-pertubuhan NGO melaporkan bahawa kebanyakan mereka yang keluar daripada Islam lebih suka melakukannya secara tertutup, tanpa persetujuan perundangan. Di peringkat nasional, mahkamah sivil umumnya menyerahkan kuasa kepada mahkamah syariah dalam hal-hal yang berkaitan dengan keluar daripada agama Islam. Di sesetengah negeri, mahkamah syariah membenarkan seorang ibu atau bapa menukarkan agama anak kepada Islam tanpa persetujuan ibu atau bapa seorang lagi. Undang-undang tidak menyekat hak bukan Muslim untuk mengubah kepercayaan agama dan fahaman mereka. Bukan Muslim yang ingin berkahwin dengan seorang Muslim mesti memeluk Islam agar mahkamah syariah dapat mengiktiraf perkahwinan tersebut secara rasmi.

Seorang minor (orang bawah umur 18 tahun, menurut undang-undang persekutuan) umumnya tidak boleh menukar agama lain tanpa kebenaran yang jelas daripada ibu bapa. Namun sesetengah undang-undang negeri membenarkan penukaran agama kepada Islam tanpa kebenaran selepas umur 15 tahun. Mahkamah Persekutuan pada tahun 2018 memutuskan untuk membatalkan keputusan penukaran agama anak secara unilateral oleh mahkamah syariah tanpa persetujuan kedua ibu bapa. Penghakiman itu mengatakan mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan kuasa penyeliaan ke atas keputusan pentadbiran pihak berkuasa Islam negeri.

Undang-undang hasutan, antara beberapa akta lain, mentadbir dan menghukum pengucapan yang dianggap bersifat menyinggung kumpulan-kumpulan etnik, termasuk pengucapan yang menghina Islam. Sabitan boleh menyebabkan hukuman penjara tiga hingga tujuh tahun, atau sehingga 20 tahun jika terdapat bahaya fizikal atau kerosakan kepada harta benda.  Undang-undang juga menghalang pengucapan yang “mengembangkan perasaan berniat jahat, permusuhan, atau kebencian atas alasan agama.”

Di bawah undang-undang syariah, yang berbeza mengikut negeri, individu yang disabitkan dengan kegiatan agama “sesat” berhadapan dengan hukuman penjara tiga tahun atau denda RM5,000 kerana “menghina” Islam. Menurut beberapa undang-undang negeri, Muslim boleh didenda RM1,000 jika mereka tidak menghadiri “kaunseling” selepas didapati bersalah memakai pakaian yang dianggap tidak senonoh oleh pihak berkuasa. Menurut undang-undang syariah di beberapa negeri, mana-mana individu yang menjual makanan kepada Muslim yang berpuasa atau Muslim yang tidak berpuasa boleh dikenakan denda, hukuman penjara, atau kedua-duanya.

JAKIM dan pihak berkuasa Islam negeri menyediakan semua khutbah Jumaat untuk para jemaah serta mengawasi dan meluluskan pelantikan imam di masjid. JAKIM dan pegawai Islam negeri mesti secara rasmi meluluskan semua guru mengajar agama Islam sebelum mereka dibenarkan untuk mengajar atau berceramah tentang Islam kepada orang ramai.

Tidak ada syarat perundangan untuk kumpulan agama bukan Islam untuk mendaftar, tetapi untuk menjadi organisasi amal bukan keuntungan yang diluluskan, semua kumpulan mesti mendaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) kerajaan dengan mengemukakan dokumen yang menunjukkan barisan pemimpin, tujuan, dan peraturan organisasi, dan membayar sedikit fi.  Organisasi-organisasi ini diwajibkan mengikut undang-undang dengan menghantar laporan tahunan kepada RoS untuk mengekalkan pendaftarannya. RoS boleh memeriksa organisasi berdaftar dan menyiasat organisasi-organisasi yang disyaki digunakan untuk tujuan “memudaratkan keamanan, kesejahteraan, ketenteraman, atau moral awam.”

Undang-undang cukai membenarkan pengecualian cukai bagi kumpulan agama berdaftar untuk sumbangan yang diterima dan potongan cukai bagi penderma individu.  Penderma yang memberi zakat kepada organisasi agama Islam menerima rebat cukai.  Penderma kepada badan amal yang diluluskan kerajaan (termasuk beberapa kumpulan agama bukan Islam) boleh menerima potongan cukai ke atas sumbangan, tetapi bukan rebat cukai.

Di bawah undang-undang syariah, hukuman sebat dibenarkan di setiap negeri. Kesalahan yang dikenakan hukuman sebat, kadang-kadang bersama dengan hukuman penjara, termasuk perhubungan seks sesama jantina suka sama suka, dan pelacuran. Sebat juga dibenarkan untuk pelbagai kesalahan di bawah kanun keseksaan.

Undang-undang melarang kegiatan penyebaran agama lain terhadap Muslim oleh bukan Muslim, dengan hukuman yang berbeza-beza dari satu negeri ke negeri lain, termasuk hukuman penjara dan hukuman sebat. Undang-undang membenarkan dan menyokong Muslim menyebarkan agama Islam kepada penganut agama lain.

Kerajaan negeri mempunyai kuasa eksklusif ke atas peruntukan tanah, dan pembinaan untuk semua tempat ibadat, serta peruntukan tanah untuk semua tanah perkuburan.

Semua rumah ibadat Islam – termasuk masjid dan surau – terletak di bawah kuasa JAKIM dan jabatan-jabatan agama Islam negeri yang berkaitan; pembinaan mana-mana masjid atau surau mesti mendapat kelulusan pegawai di jabatan agama.

Pelajaran agama Islam diwajibkan untuk anak-anak Muslim di sekolah-sekolah kerajaan. Pelajar bukan Muslim dikehendaki mengambil pelajaran moral dan etika yang bukan bersifat keagamaan. Sekolah swasta boleh menawarkan kurikulum keagamaan bukan Islam sebagai pilihan untuk pelajar bukan Muslim.

Mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa ke atas orang Islam dalam hal ehwal undang-undang keluarga dan pengamalan agama. Bukan Muslim tidak mempunyai kedudukan dalam prosiding syariah, yang menyebabkan beberapa kes keputusan mahkamah syariah menjejaskan bukan Muslim yang tidak memiliki kemampuan untuk mempertahankan kedudukan mereka atau merayu atas keputusan pengadilan, selalunya dalam keputusan yang menjejaskan hak penjagaan, perceraian, warisan, pengebumian, dan penukaran agama dalam keluarga pelbagai agama. Hubungan antara undang-undang syariah dan undang-undang sivil masih secara umumnya tidak dapat diselesaikan dalam sistem perundangan. Apabila bidang kuasa sivil dan syariah bertembung, mahkamah sivil terus memberikan penghormatan kepada mahkamah syariah, mewujudkan situasi keputusan mahkamah syariah menjejaskan bukan Muslim.

Dua negeri, Kelantan dan Terengganu, telah menggubal undang-undang hudud untuk Muslim, walaupun kerajaan persekutuan tidak pernah membenarkan kanun itu dilaksanakan.  Negeri-negeri ini tidak boleh melaksanakan undang-undang hudud tanpa pindaan terhadap undang-undang persekutuan dan persetujuan Sultan.

Umur sah perkahwinan adalah 16 tahun untuk perempuan Islam dan 18 untuk lelaki Islam, kecuali di Negeri Selangor, apabila perempuan Muslim dan bukan Muslim mestilah berusia 18 tahun.  Mahkamah Syariah boleh membuat pengecualian untuk perkahwinan mereka yang belum mencapai umur itu dengan izin ibu bapa mereka.  Bukan Muslim mestilah 18 tahun untuk berkahwin tetapi boleh berkahwin dengan orang yang berusia semuda 16 tahun dengan kelulusan ketua menteri negeri mereka.

Kad pengenalan kebangsaan menyatakan pertalian agama dan kerajaan menggunakannya untuk menentukan rakyat yang tertakluk kepada undang-undang syariah. Kad pengenalan ini mengenal pasti Muslim dengan cara bercetak pada muka kad. Untuk penganut agama lain yang diiktiraf, pertalian agama tidak dicetak, tetapi disulitkan dalam cip pintar dalam kad pengenalan. Muslim yang sudah berkahwin mesti membawa kad pengenalan dengan gambar diri dan pasangan mereka sebagai bukti perkahwinan.

Mubaligh asing dan pelajar antarabangsa untuk kursus agama mesti memohon pas lawatan profesional dengan Jabatan Imigresen. Visa ini diberikan secara tahunan dan mesti disahkan oleh badan kebangsaan yang mewakili agama masing-masing.

JAKIM menyelaraskan haji, waqaf, zakat, dan aktiviti-aktiviti agama Islam lain.

Negara ini bukan pihak kepada Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik.

AMALAN KERAJAAN

Polis tidak banyak membuat kemajuan dalam menyiasat kehilangan Pastor Kristian Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth Sitepu, pada tahun 2016, yang dilaporkan kerana kekurangan maklumat dalam kes itu. Pada bulan Februari, SUHAKAM memulakan siasatan awam terhadap kehilangan mereka. Seorang saksi memberi keterangan bahawa Hilmy telah memberitahunya bahawa “pihak berkuasa agama mencarinya” kerana dia keluar daripada Islam menjadi Kristian tanpa mengikuti prosedur undang-undang yang diperlukan. Saksi itu mengatakan Hilmy memberitahu bahawa dia tidak diancam. Seorang saksi lain memberi keterangan pada bulan Mac bahawa Hilmy telah menunjukkan e-mel kepadanya daripada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang mengarahkan Hilmy untuk “meninggalkan negara ini.” Khairy menafikan tuduhan itu dalam satu kenyataan, dengan berkata, “Saya tidak pernah mengenali Joshua Hilmy, Ruth Hilmy, atau (saksi) Selvakumar Peace John Harris. Saya juga menafikan telah menghantar e-mel yang didakwa, dan saya juga tidak menghubungi mereka melalui sebarang kaedah komunikasi.” Siasatan SUHAKAM ditangguhkan pada bulan Mac setelah dua pesuruhjayanya positif COVID-19, tetapi ia disambung semula pada bulan Ogos dan berlanjutan pada akhir tahun.

Sebuah panel yang dilantik oleh kerajaan yang dibentuk pada bulan Jun 2019 untuk menyiasat keputusan SUHAKAM bahawa unit perisikan, Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia,  bertanggungjawab atas “kehilangan secara paksa” aktivis sosial Syiah Amri Che Mat pada tahun 2016 tidak banyak membuat kemajuan dalam siasatannya, menurut SUHAKAM. Pada bulan Ogos, pertubuhan NGO Citizens against Enforced Disappearances (CAGED) mendesak kerajaan untuk mengeluarkan penemuan panel dan polis untuk mendedahkan tindakan yang diambil sebagai tindak balas terhadap laporan SUHAKAM. Namun, panel yang dilantik oleh kerajaan tidak menyiasat kehilangan pastor Kristian Raymond Koh pada tahun 2016 disebabkan kerajaan berpendapat bahawa perkara itu “di luar ruang lingkup” panel, kononnya kerana pendakwa raya sebelumnya telah mendakwa seorang lelaki kerana mengugut anak lelaki Koh untuk mendapatkan maklumat kes.

Pada bulan Februari, Susanna Liew, isteri Pastor Koh, memulakan tindakan sivil terhadap kerajaan dan beberapa pegawai kanan kerana gagal menyiasat penculikan suaminya secara berpatutan, menuduh mereka berlaku cuai, bersalah laku, dan melakukan konspirasi untuk mencederakan.

Meskipun terdapat desakan daripada Mahkamah Tinggi untuk polis untuk mencari bekas suami Indira Gandhi dan anak bongsu mereka, yang diculik lelaki itu pada tahun 2009, kedua-duanya masih hilang pada bulan September. Gandhi, yang beragama Hindu, sebelumnya telah menuntut untuk menafikan bekas suaminya daripada menukar agama tiga anak mereka yang kecil kepada Islam. Pada bulan Februari, Gandhi memulakan prosiding undang-undang terhadap polis dan Ketua Polis Negara (KPN) kerana gagal mengesan anak perempuannya, Prasana. Pada akhir tahun, KPN belum mendedahkan lokasi Prasana atau pun mengumumkan kemajuan dalam kesnya.

Pada bulan Februari, Mahkamah Tinggi Syariah menjalankan tuduhan penghinaan terhadap Anggota Parlimen Maria Chin Abdullah atas kenyataan yang dibuatnya pada tahun 2019 yang menegaskan bahawa mahkamah syariah melakukan diskriminasi terhadap wanita. Pihak pendakwa mengatakan komen Maria merosakkan reputasi mahkamah

Pada bulan Julai, seorang lelaki Indonesia dijatuhkan hukuman penjara 22 tahun dan denda RM5,000 kerana melatih anggota kumpulan WhatsApp, “sejati sejiwa” untuk melakukan tindakan pengganas dan kerana memiliki barang-barang yang berkaitan dengan ISIS. Polis mengatakan lelaki itu telah membuat persiapan untuk menyerang sebuah kuil Hindu di Selangor pada tahun 2019 untuk “membalas dendam” kematian seorang anggota bomba Muslim yang terbunuh ketika menjalankan tugas dalam rusuhan di sebuah kuil Hindu di Kuala Lumpur pada tahun 2018.

Pada bulan Mei, Mahkamah Persekutuan mengizinkan seorang lelaki untuk mencabar status perlembagaan undang-undang dalam kanun undang-undang syariah terhadap “seks luar tabii.” Peguam lelaki itu berpendapat bahawa badan perundangan Negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk menggunakan undang-undang syariah kerana syariah merupakan sebahagian daripada undang-undang jenayah, yang berada di bawah bidang kuasa persekutuan, dan bahawa sudah ada undang-undang persekutuan tentang “seks luar tabii” dalam Kanun Keseksaan.

Abdul Hadi Awang, presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), yang merupakan parti anggota gabungan Perikatan Nasional, mengatakan bahawa pertubuhan NGO G25, yang digambarkan oleh ahli akademik dan media sebagai kumpulan penyokong kesederhanaan yang terdiri daripada individu terkemuka Melayu dan pegawai kerajaan, menimbulkan ancaman intelektual bagi umat Islam dan lebih berbahaya daripada kumpulan militan. Laporan G25 mengenai pentadbiran Islam di Malaysia menyatakan bahawa Muslim yang memilih untuk memeluk agama lain atau tidak mengamalkan sebarang kepercayaan tidak boleh menghadapi hukuman jenayah.

Aktivis masyarakat sivil mengatakan bahawa kerajaan secara terpilih menghukum pengucapan yang memperlekehkan agama Islam dan mengabaikan kritikan terhadap agama lain. Pada bulan Februari, mahkamah sesyen mendenda Wai Foo Sing sebanyak RM15,000 di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menyiarkan apa yang dikatakan mahkamah sebagai gambar lucah Nabi Muhammad dan isterinya di Facebook. Mahkamah mengatakan, “Tidak dapat dinafikan bahawa siaran tentang agama oleh tertuduh tidak senonoh, menyinggung perasaan, dan lucah telah melampaui parameter kebebasan bersuara yang dijamin perlembagaan kita.” Pada bulan Mac, seorang hakim mendenda Ain Zafira Md Said, seorang pelajar, RM4,000 sebagai ganti tiga bulan penjara kerana menghina Nabi Muhammad di media sosial pada tahun 2019. Pada bulan April, pihak berkuasa menahan dua individu dan memulakan siasatan di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung video media sosial yang mengejek Muslim bersembahyang. Pada bulan Julai, sebuah mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 26 bulan kepada Danny Antoni setelah mendapati dia bersalah atas dua tuduhan menghina Nabi Muhammad, Islam, dan presiden PAS, Abdul Hadi Awang, dalam satu siaran Facebook.

Pada bulan September, polis membuka penyiasatan terhadap Anggota Parlimen Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh atas ucapannya di parlimen yang menyatakan bahawa “Alkitab telah diputarbelitkan atau diubah.” Zawawi mengatakan dia tidak punya alasan untuk meminta maaf, kerana pernyataannya adalah “fakta”, dan dia mengatakan bahawa masyarakat Kristian “tidak berhak merasa tersinggung.” Siasatan terhadap Zawawi masih terbuka pada akhir tahun.

Peguam-peguam telah menggesa Kementerian Pendidikan untuk mengeluarkan arahan melarang penukaran agama pelajar di sekolah. Pada bulan Januari, sebuah keluarga Kristian di negeri Sarawak menyaman pihak berkuasa atas penukaran agama anak mereka, yang berada di bawah umur, kepada Islam oleh seorang ustaz di sekolahnya tanpa pengetahuan atau kebenaran ibu bapa. “Arahan pelanggan saya adalah untuk mencabar kesahihan penukaran agama anak mereka. Dia masih seorang minor. Ibu bapanya tidak menyedari tentang penukaran agama itu. Mereka sangat sedih apabila mendapat tahu tentangnya,” kata peguam keluarga Priscilla Ruth Marcus. Menurut Marcus, “Ini bukan kes pertama yang dilaporkan.” Pertubuhan-pertubuhan NGO melaporkan bahawa kes serupa meningkatkan ketakutan dalam kalangan ibu bapa masyarakat Kristian luar bandar di Negeri Sabah dan Sarawak mengenai apa yang mungkin berlaku sekiranya mereka menghantar anak-anak mereka ke sekolah berasrama penuh.

Pada bulan Januari, kerajaan dan pihak berkuasa agama di Negeri Sabah memulakan penyiasatan terhadap laporan bahawa Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, sebuah dana amanah yang disokong kerajaan, menawarkan wang tunai kepada individu yang setuju untuk memeluk agama Islam. Bekas Pembantu Menteri Pendidikan dan Inovasi Jenifer Lasimbang memberitahu media, “Ini bukan perkara baru. Perkara-perkara ini telah berlaku selama beberapa tahun.“ Yayasan itu menafikan tuduhan tersebut.

JAKIM terus melaksanakan garis panduan persekutuan yang ditetapkan mengenai apa yang merupakan tingkah laku atau kepercayaan Islam yang menyimpang. Pihak berkuasa agama negeri secara amnya mengikuti garis panduan ini. Mereka yang berbeza dengan tafsiran rasmi Islam terus menghadapi tindakan kerajaan yang teruk, termasuk mengikuti “pemulihan” wajib di pusat-pusat yang mengajar dan menegakkan amalan Islam yang diluluskan oleh kerajaan. Kerajaan melarang individu untuk meninggalkan pusat-pusat tersebut sehingga mereka menyelesaikan program ini, yang panjangnya berbeza tetapi selalunya berlangsung sekitar enam bulan. Program-program kaunseling ini terus direka untuk memastikan tahanan menerima tafsiran rasmi kerajaan mengenai Islam. Pada bulan Januari, pertubuhan NGO G25 mengecam pelbagai undang-undang negara yang menghukum orang murtad, sama ada dengan denda, hukuman sebat, penjara, atau “pemulihan” yang tidak selari dengan perlembagaan yang menjamin kebebasan beragama.

Menteri Hal Ehwal Agama, Zulkifli Mohamad al-Bakri membuat kenyataan pada bulan Julai bahawa pihak berkuasa agama akan menangkap individu transgender dan memberi mereka pendidikan agama untuk “kembali ke jalan yang benar.” Pada bulan Ogos, JAKIM membuat laporan polis terhadap aktivis Nicole Fong, menuduhnya membuat fitnah atas siaran tweetnya yang memperincikan program penukaran agama JAKIM yang menyasarkan komuniti LGBTQ. Dalam satu kenyataan, 15 NGO mengatakan JAKIM mengganggu pembela hak asasi manusia dengan taktik kasar yang “menghantar mesej kepada rakyat Malaysia bahawa kita tidak dibenarkan untuk mempersoalkan dasar dan program kerajaan.”

Sumber-sumber NGO melaporkan bahawa sukar bagi Muslim yang cuba menukar agama dan bukan Muslim yang tersalah didaftarkan sebagai Muslim untuk menukar nama agama pada kad pengenalan mereka. Seorang wanita di Negeri Sabah, Nusiah Pulod, menghadapi cabaran birokrasi yang besar dalam usaha untuk menghapus perkataan “Islam” yang tertera di kad pengenalannya walaupun dia mengatakan bahawa dia dilahirkan sebagai Kristian dan tidak pernah memeluk agama Islam. Akibatnya, Nusiah tidak dapat mengahwini tunangnya yang bukan Muslim, kerana pejabat pendaftaran tidak akan mengiktiraf apa yang dianggap sebagai perkahwinan campur agama yang melibatkan seorang Muslim. Nusiah berkata, banyak keluarga Kristian di kampungnya menghadapi masalah serupa.

Kerajaan terus melarang rakyat Israel memasuki negara ini tanpa kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri, dan ini mengehadkan kemampuan rakyat Malaysia untuk melakukan perjalanan ke Israel. Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad mengatakan dalam satu wawancara pada bulan Jun dengan stesen TV Lubnan al-Mayadeen bahawa lebih baik umat Islam menyerang Israel terus daripada melakukan serangan keganasan terhadap negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat. “Musuh adalah Israel. [Sekiranya] anda ingin melakukan apa-apa, lakukanlah kepada orang Israel, seperti sesetengah orang Palestin di Jerusalem, yang secara individu menyerang tentera Israel. Itulah musuh.” Dia juga mengatakan bahawa orang Yahudi mengawal media di Amerika Syarikat. “Ini adalah kempen propaganda pihak Yahudi. Mereka memiliki semua surat khabar di Amerika. Mereka memiliki stesen TV. Jadi mereka mempunyai pengaruh yang luar biasa.“

Semua mubaligh asing – baik Muslim dan bukan Muslim – yang datang ke negara ini untuk mengadakan ceramah agama dikenakan pemeriksaan latar belakang wajib atas apa yang disebut oleh kerajaan sebagai alasan keselamatan negara untuk memastikan kumpulan mubaligh bebas daripada ajaran “sesat”.

Pegawai penguatkuasaan agama Islam negeri terus memiliki kuasa untuk mengikuti polis dalam serbuan ke premis swasta dan tempat awam dan untuk menguatkuasakan undang-undang syariah, termasuk terhadap pelanggaran seperti berpakaian tidak senonoh, mengedar penerbitan yang dilarang, meminum alkohol, atau khalwat (berdua-duaan dengan bukan anggota keluarga dan berlawanan jantina). Pada bulan Januari, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan menahan tujuh pasangan Muslim kerana disyaki melakukan khalwat semasa operasi “cegah maksiat” bermusim sempena perayaan Tahun Baharu Cina. Seorang wakil kerajaan mengatakan operasi itu bertujuan untuk “mengesan mereka yang mengambil kesempatan cuti umum yang panjang untuk melakukan kegiatan tidak bermoral.” Empat wanita Muslim juga dikeluarkan saman kerana memakai “pakaian seksi dan ketat di khalayak awam.”

Pada bulan Julai, kerajaan Negeri Terengganu melaksanakan dasar pemisahan jantina di pawagam dalam apa yang dikatakannya sebagai langkah untuk memastikan kepatuhan terhadap syariah. Menurut pengendali pawagam tempatan, pasangan yang berkahwin perlu memberikan bukti sah perkahwinan dan menjalani pemeriksaan rawak. Penonton wayang Muslim juga diwajibkan berpakaian sesuai dengan peraturan Islam, sementara penonton wayang bukan Muslim diwajibkan berpakaian sopan.

Pihak berkuasa di Negeri Terengganu mengatakan mereka akan segera memperkenalkan garis panduan tambahan untuk pemisahan jantina untuk penganjur acara yang melarang penghibur wanita, termasuk bukan Muslim, daripada tampil di hadapan penonton lelaki.

Pada bulan Ogos, pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan, dan Pelancongan Negeri Kelantan mengatakan negeri itu akan menyemak semula untuk “membetulkan” bentuk tarian asli lama, Main Puteri, yang dianggap “tidak Islamik” agar memenuhi kepatuhan syariah sebelum tarian itu boleh diperkenalkan semula untuk hiburan awam.

Pegawai-pegawai di peringkat persekutuan dan negeri mengawasi kegiatan agama Islam, mengedarkan semua teks khutbah kepada masjid untuk diikuti, menggunakan masjid untuk menyampaikan mesej-mesej politik, dan mengehadkan luahan terbuka terhadap agama yang dianggap bertentangan dengan Islam Sunni. Pada bulan Februari, sebuah masjid di negeri Perak yang menganjurkan perayaan Tahun Baru Cina dikecam oleh Jabatan Agama Islam Perak kerana “tidak menghormati sensitiviti masyarakat Islam.” Pada bulan Disember, Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama Ahmad Marzuk Shaary melaporkan bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan sedang menyiasat ajaran Asmaul Husna Wan Maseri, yang diasaskan oleh bekas anggota dewan PAS Profesor Wan Maseri Wan Mohd di Kelantan, atas tuduhan menyeleweng daripada Islam Sunni. Kumpulan ini telah diisytiharkan sebagai sesat di negeri-negeri Terengganu, Negeri Sembilan, dan Pahang dan Wilayah Persekutuan.

Kerajaan terus mengekalkan sekatan terhadap perhimpunan dan peruntukan agama. Perkara ini menafikan kumpulan agama tertentu kemampuan untuk mendaftar sebagai organisasi kebajikan. Banyak gereja dan pertubuhan NGO terus mendapati pendaftaran sukar dibuat, dengan Pendaftar Pertubuhan menafikan atau menangguhkan banyak permohonan tanpa penjelasan atau atas alasan yang sangat teknikal. Wakil-wakil dari kumpulan agama terus mengatakan Pendaftar Pertubuhan tidak mempunyai dasar yang konsisten atau kriteria telus untuk menentukan pendaftaran kumpulan agama.

Dalam kes-kes apabila kerajaan enggan mendaftarkan kumpulan agama, kumpulan itu boleh meneruskan pendaftaran sebagai sebuah syarikat.  Kumpulan-kumpulan agama melaporkan bahawa proses pendaftaran sebagai sebuah syarikat pada umumnya agak cepat dan menyediakan asas sah untuk menjalankan perniagaan, tidak membatasi aktiviti keagamaan kumpulan, dan membenarkan organisasi itu melakukan kegiatan tertentu seperti mempunyai akaun bank dan memiliki harta, tetapi tidak memberikan status pengecualian cukai terhadap organisasi atau pembiayaan kerajaan. Contoh-contoh kumpulan yang terus didaftarkan sebagai syarikat termasuk Jehovah’s Witnesses dan Church of Jesus Christ.

Kerajaan persekutuan dan negeri terus melarang perhimpunan agama dan ibadat untuk kumpulan yang dianggap sebagai ajaran sesat seperti Syiah, Ahmadiyah, dan Al-Arqam.  Meskipun pengikut Islam Ahmadiyah di negara ini pada umumnya dilaporkan boleh mengekalkan pusat ibadat, pihak berkuasa agama kerajaan tidak membenarkan mereka mengadakan solat Jumaat kerana ini hanya boleh dilakukan di masjid yang berdaftar secara rasmi. Pada bulan Januari, Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) mengatakan terdapat 15 pusat agama Syiah, yang dianggap JAIS sebagai peningkatan yang ketara. Ketua Pengarah JAIS berkata, agensi itu akan memperhebatkan usaha untuk memantau Muslim Syiah dan menyerbu perjumpaan agama Syiah dan juga akan memberikan maklumat mengenai bahaya Islam Syiah kepada sekolah dan masjid di seluruh negeri. Sebagai tindak balas, NGO Islamic Renaissance Front (IRF) mengatakan JAIS mempromosikan “agama [Islam] yang tidak toleran pada zaman moden ini.”

Pada bulan Ogos, Mahkamah Rayuan mengemukakan petisyen di Mahkamah Tinggi untuk menentukan sama ada 39 orang Muslim Ahmadiyah dianggap sebagai Muslim berikutan rayuan JAIS terhadap keputusan Mahkamah Tinggi 2018 yang menyatakan bahawa mahkamah syariah tidak mempunyai bidang kuasa terhadap kumpulan pengikut Ahmadiyah, kerana JAIS telah menolak untuk mengiktiraf mereka sebagai penganut agama Islam. Para pempetisyen telah mencabar kesalahan syariah mereka pada tahun 2014 yang didakwa oleh JAIS dengan alasan bahawa pihak berkuasa Islam di negeri Selangor tidak mengiktiraf Ahmadiyah sebagai Islam dan oleh itu para pempetisyen berada di luar bidang kuasa JAIS. Mahkamah Tinggi memutuskan pada bulan Ogos, “Ahmadiyah, seperti semua orang lain, berhak atas kebebasan beragama, tertakluk pada Perlembagaan Persekutuan.” Mahkamah juga mengatakan sistem dwi undang-undang negara dan pengeluaran kad pengenalan yang menyatakan agama pemegangnya sebagai Islam menambah kesamaran status agama mereka sebagai Muslim. Tiga orang hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Badariah Sahamid menerangkan dengan lebih panjang, “Sudah sampai waktunya, semua negeri, bersama dengan kerajaan persekutuan, mengusahakan satu rejim bersepadu untuk menentukan status agama Ahmadiyah agar mereka tidak menghadapi risiko siasatan dan pendakwaan syariah.”

Perintah kawalan pergerakan negara (PKP), yang dibuat untuk mencegah penyebaran COVID-19, melarang apa jua perhimpunan dari 18 Mac hingga 4 Jun, termasuk perhimpunan keagamaan. Pada bulan Ramadan, PKP melarang umat Islam beribadah di masjid, berbuka puasa di luar rumah, dan mengunjungi bazar Ramadan, yang merupakan satu tradisi popular. Kerajaan meyakinkan umat Islam bahawa semua kewajiban agama dapat dilaksanakan di rumah dan menyatakan pengecualian untuk petugas barisan hadapan dan mereka yang sakit. Pemimpin agama negeri, termasuk wakil konservatif dari PAS, menyokong langkah kerajaan persekutuan, dengan menyatakan “kita mesti menerimanya dan mematuhi peraturan jarak sosial untuk melindungi nyawa kita.” Pemimpin bukan Muslim mengatakan bahawa mereka tidak dirundingkan atau diberi amaran oleh kerajaan sebelum sekatan dikenakan.

Pada bulan September, Mahkamah Persekutuan membenarkan pertubuhan NGO Sisters in Islam (SIS) untuk meneruskan perbicaraan untuk meminta pengisytiharan mahkamah untuk membatalkan undang-undang negeri Selangor yang membolehkan mahkamah syariah menyemak keputusan yang dibuat oleh pihak berkuasa agama negeri. Pada tahun 2019, Mahkamah Tinggi menolak permohonan NGO itu agar mahkamah sivil menyemak semula fatwa Negeri Selangor 2014 yang mendapati pertubuhan itu “sesat” yang melanggar hak perlembagaan kumpulan dan anggotanya. Fatwa 2014 mengatakan bahawa SIS menyimpang daripada ajaran Islam kerana kumpulan itu berpegang pada prinsip liberalisme dan pluralisme agama. Fatwa tersebut tidak mentakrifkan “liberalisme” atau “pluralisme.” Fatwa itu juga memutuskan bahawa buku dan bahan pertubuhan NGO itu boleh dirampas. Pada akhir tahun, tidak ada tindakan yang diambil terhadap pertubuhan NGO itu yang terus berfungsi pada peringkat nasional.

Pada bulan September, JAIS menangkap Abdul Kahar Ahmad dan 16 pengikutnya kerana menyebarkan “ajaran sesat” yang telah dilarang pada tahun 1991. JAIS merampas buku, telefon bimbit, komputer riba dan bahan lain. Selepas penangkapan itu, Menteri Hal Ehwal Agama mengatakan bahawa kerajaan akan mempertimbangkan untuk menyebarkan bahan bacaan mengenai ajaran sesat kepada imam dan guru agama yang dilantik oleh pihak berkuasa agama untuk memberi amaran kepada masyarakat mengenai bahaya ajaran sesat itu. Abdul Kahar dan tiga daripada mereka yang ditangkap dibebaskan dengan jaminan, sementara 13 yang lain masih dalam tahanan. Abdul Kahar, yang mengisytiharkan dirinya sebagai Rasul Melayu, sebelumnya ditangkap pada tahun 2009 dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, enam sebatan, dan denda RM16,500.

Terdapat larangan penggunaan kata “Allah” dan sebanyak 31 perkataan lain yang berkaitan dengan Islam oleh bukan Muslim. Sekatan ini termasuk mengucapkan perkataan tertentu, seperti “Allah”, “al Quran,” atau “fatwa” dengan kuat, atau menggunakan atau menghasilkan Alkitab atau bahan-bahan keagamaan yang dirakam yang merujuk kepada Tuhan menggunakan perkataan “Allah.”

Pada bulan Oktober, Mahkamah Rayuan menolak permohonan penemuan oleh Sidang Injil Borneo, sebuah gereja Kristian evangelis yang berpusat di Sabah dan Sarawak, untuk dokumen yang digunakan Kementerian Dalam Negeri untuk menyokong larangannya terhadap hak Gereja dan jemaat berbahasa Melayu untuk gunakan perkataan “Allah” dalam Alkitab dan penerbitan keagamaan lain. Kementerian berpendapat bahawa dokumen yang diminta oleh Gereja berada di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Kerajaan terus melarang buku yang mempromosikan kepercayaan Syiah, mistik, dan kepercayaan lain yang kerajaan telah menentukan “jelas menyimpang dari ajaran Islam yang sebenarnya.” Pada bulan Februari, Mahkamah Rayuan membatalkan larangan kerajaan terhadap tiga buah buku yang ditulis oleh IRF. Kementerian Dalam Negeri pada asalnya melarang buku-buku itu pada tahun 2017 kerana kandungannya tidak sesuai dengan tafsiran kerajaan terhadap Islam, keputusan yang dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi pada tahun 2019. Wakil IRF menyambut baik keputusan mahkamah itu, dengan menyatakan ia memenuhi peranannya sebagai “benteng terakhir untuk perlindungan kebebasan bersuara.”

Siasatan tahun 2019 terhadap buku Unveiling Choices oleh Maryam Lee masih dibuka. JAIS mendakwa buku itu “menghina Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina.” Ini menceritakan alasan peribadi Maryam untuk menanggalkan tudungnya dan juga hubungan sosiopolitik antara wanita Islam dan negara Malaysia. Maryam akan dikenakan denda hingga RM5,000, penjara hingga tiga tahun, atau kedua-duanya, jika didapati bersalah.

Kumpulan bukan Muslim terus melaporkan selalu menghadapi kesulitan dalam mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan untuk membina tempat ibadat baru, menyebabkan banyak kumpulan menggunakan bangunan yang dizonkan untuk kediaman atau komersial untuk upacara keagamaan mereka. Pemerhati-pemerhati mengatakan bahawa amalan ini keseluruhannya masih lagi ditolak ansur, tetapi menyebabkan kumpulan-kumpulan agama terdedah.  Pada bulan Mac, pihak berkuasa merobohkan Kuil Sri Maha Mariamman yang berusia 100 tahun yang terletak di pusat tahanan Kamunting di Taiping, Negeri Perak. Menurut laporan media, pihak berkuasa tidak memberitahu pemimpin-pemimpin kuil mengenai perobohan yang akan dibuat. Facebook kemudian membuang satu siaran oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P. Ramasamy yang mempersoalkan adakah perobohan itu sebahagiannya dianjurkan oleh kerajaan persekutuan yang dikuasai oleh etnik Melayu Islam. “Saya rasa tajuk siaran itu, yang menegaskan bahawa struktur itu mungkin adalah kuil Hindu pertama yang dirobohkan di bawah kerajaan Perikatan Nasional [gabungan parti yang memerintah kerajaan], menimbulkan kemarahan mereka,” kata Ramasamy kepada media.

Pemimpin parti PAS, Hadi mengatakan semasa ucapan bulan September dalam mesyuarat agung tahunan parti bahawa hanya perpaduan Melayu-Islam yang dapat memimpin dan menyelamatkan negara. Menurut laporan media, Hadi mengatakan, “Negara yang bersama Islam harus bangkit agar tidak dihanyutkan oleh pengaruh bukan Muslim, yang kehilangan identiti mereka.” Pada bulan Januari, Hadi menggambarkan untuk memilih antara pemerintahan Muslim dan bukan Muslim: “Sekiranya kita [Muslim] bersabar satu sama lain, walaupun [kepimpinan] kejam, kita setidaknya dapat menjadi penggembala lembu, tetapi di bawah pemerintahan orang lain, kita akan menjadi penggembala babi.” Lim Kit Siang, pemimpin Parti Tindakan Demokratik, yang merupakan sebahagian daripada gabungan pembangkang tetapi memiliki kerusi terbanyak di Dewan Rakyat, menjawab, “Para penyokong politik versi ini memperjudikan masa depan negara pelbagai kaum, pelbagai bahasa, pelbagai agama, dan pelbagai budaya.”

Pejabat Perdana Menteri menugaskan agensi kerajaan, termasuk Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, untuk menggalakkan keharmonian agama dan melindungi hak-hak kumpulan agama minoriti. Namun, banyak organisasi yang berasaskan agama terus menyatakan bahawa mereka percaya bahawa tidak ada entiti yang memiliki kekuatan dan pengaruh daripada mereka yang mengatur hal ehwal Islam, dengan menyebut kesan kehadiran dan bajet yang besar untuk JAKIM, berbanding pembiayaan yang lebih terbatas untuk Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. Bajet tahunan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional adalah kira-kira RM275 juta, manakala RM1.4 bilion diperuntukkan untuk pembangunan Islam di bawah JAKIM sahaja.

Pada bulan April, kerajaan memperuntukkan RM21 juta untuk membantu sekolah-sekolah Islam swasta yang operasinya terjejas oleh pandemik COVID-19. Kerajaan mengatakan bahawa bantuan itu adalah sebahagian daripada RM100 juta yang diperuntukkan kepada JAKIM di bawah bajet tambahan tahun 2020 yang bertujuan untuk membiayai penyelenggaraan dan naik taraf sekolah-sekolah Islam. Sekolah-sekolah bukan Islam tidak menerima pembiayaan ini.

Sepanjang tahun ini, JAKIM terus membiayai pelbagai projek berkaitan pendidikan Islam dan masjid. Tidak ada dana dalam bajet kerajaan yang diperuntukkan khusus untuk kumpulan agama bukan Muslim, walaupun beberapa kumpulan agama melaporkan terus menerima dana yang diberi sekali sekala untuk membina kuil dan gereja serta kegiatan lain.

Di sekolah-sekolah kerajaan pada peringkat rendah dan menengah, perhimpunan pelajar selalunya dimulai dengan pembacaan doa Islam oleh guru atau pemimpin sekolah.  Terutamanya di Semenanjung Malaysia, pemimpin masyarakat dan kumpulan kebebasan sivil mengatakan bahawa guru agama di sekolah kerajaan memberi tekanan ke atas gadis Muslim untuk memakai tudung di sekolah. Sesetengah sekolah swasta mewajibkan gadis Muslim untuk memakai tudung yang menutup muka mereka, kecuali mata mereka. Persekolahan di rumah masih dibenarkan, tetapi sesetengah keluarga terus melaporkan kesukaran mendapatkan kelulusan Kementerian Pendidikan.

Terdapat aduan berterusan mengenai apa yang dikatakan pengkritik sebagai persekitaran dan simbol keagamaan yang berlebihan di sekolah kerajaan. Pada bulan Januari, ahli keluarga kanak-kanak yang mendaftar di sekolah asrama kerajaan mempersoalkan apa yang mereka katakan sebagai penekanan yang berlebihan terhadap amalan keagamaan: sekolah sering memaksa pelajar untuk menghadiri solat dan kegiatan agama berkumpulan, menyebabkan mata pelajaran lain diabaikan. Dalam jawapan mereka, pihak sekolah menyatakan bahawa kegiatan keagamaan tersebut bertujuan untuk memperoleh “berkat” yang akan memastikan pelajar cemerlang dari segi akademik, dan yang akan mengangkat status sekolah. “Mereka bersaing antara sekolah mana yang lebih Islamik dan bukannya lebih baik dari segi akademik,” kata seorang ibu bapa. Seorang ibu bapa yang lain memberitahu portal berita dalam talian Free Malaysia Today bahawa anak perempuannya terpaksa menghadiri sesi “ruqyah” (pengusiran syaitan) untuk disembuhkan daripada dirasuk “roh jahat” selepas tidak mengikuti arahan Islam untuk mengikuti kelas biologi.

Usaha kerajaan untuk menghidupkan kembali Jawi, tulisan Arab lama, dalam pelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah jenis kebangsaan mencetuskan ketegangan dalam sensitiviti etnik dan agama. Berikutan desakan daripada kumpulan Cina bahawa pengembalian semula Jawi adalah percubaan Islamisasi, Kementerian Pendidikan mengurangkan halaman pengajaran Jawi daripada enam kepada tiga halaman. Timbalan Menteri Pendidikan ketika itu Teo Nie Ching menjelaskan bahawa pelajaran Jawi di sekolah jenis kebangsaan hanya boleh diperkenalkan dengan persetujuan majoriti daripada persatuan ibu bapa dan guru.

Pada bulan Januari, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, naib presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia, sebuah parti politik nasionalis Melayu, menulis bahawa sebuah sekolah kerajaan di Puchong, Selangor, menyebarkan agama kepada para pelajarnya melalui hiasan untuk Tahun Baharu Cina. Dia menyatakan, “Aduan yang kami terima menunjukkan kegelisahan terhadap hiasan Tahun Baru Cina 2020 yang berlebihan… Ini menggusarkan pelajar Islam dan juga bertentangan dengan Artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan.” Sebagai tanda sokongan terhadap sekolah itu, Timbalan Perdana Menteri ketika itu dan enam menteri kabinet yang lain mengunjunginya dan membantu memasang hiasan Tahun Baru Cina.

Pada bulan yang sama, Kementerian Pendidikan mengeluarkan surat pekeliling yang menyatakan bahawa JAKIM menasihatkan bahawa Ponggal, festival penuaian Tamil, adalah haram dalam Islam. Sebagai tindak balas terhadap kemarahan orang ramai, Menteri Hal Ehwal Agama Islam ketika itu Mujahid Yusof Rawa mengatakan bahawa JAKIM tidak melarang sekolah-sekolah untuk merayakan festival itu, kerana, “Muslim dibenarkan mengambil bahagian dalam perayaan tersebut selagi etika Islam dipatuhi.” Mujahid menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai Kementerian Pendidikan yang bertanggungjawab mengeluarkan pekeliling tersebut.

Kerajaan masih tidak mengiktiraf perkahwinan antara Muslim dan bukan Muslim dan menganggap anak yang dilahirkan daripada perkahwinan tersebut haram. Dalam keputusan Februari, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa seorang anak Muslim yang dikandung atau dilahirkan daripada keadaan yang ditentukan di luar nikah tidak boleh menggunakan nama bapanya, walaupun diminta oleh bapanya. Mahkamah mengatakan undang-undang “tidak membenarkan anak-anak Muslim diberi nama dengan nama peribadi seseorang yang diakui sebagai bapanya” kerana etnik Melayu tidak menggunakan nama keluarga. Pertubuhan NGO SIS memuji keputusan mahkamah yang lain bahawa anak-anak yang dilahirkan di luar nikah tidak perlu secara automatik menggunakan nama keluarga “bin Abdullah” atau “binti Abdullah,” yang membawa stigma sosial di negara di mana kanak-kanak dengan nama keluarga ini sering “diejek, diserang, dibuli, atau disasarkan.”

Menteri Hal Ehwal Agama Islam ketika itu Mujahid Yusof Rawa kemudian mengatakan bahawa dia akan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mengambil tindakan terhadap Nur Sajat, seorang usahawan transgender yang terkenal, selepas dia menyiarkan gambar dirinya memakai telekung ketika menunaikan haji di Mekah pada bulan Februari. Mujahid berkata tindakan Nur Sajat sebagai “kesalahan” yang boleh menjejaskan hubungan dua hala dengan Arab Saudi. JAKIM mengedarkan salinan pasport Nur Sajat dan dokumen lain yang tersebar di media sosial, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan kumpulan masyarakat sivil mengenai privasi dan keselamatan dia. Pertubuhan NGO Justice for Sisters mengutuk tindakan kerajaan itu, dengan menyatakan, “Keprihatinan sebenarnya bukanlah telekung, tetapi keselamatan dan sekuritinya, pelanggaran privasi, dan ketiadaan hak dan respons berdasarkan bukti oleh kerajaan.“

Bahagian III. Status Penghormatan Masyarakat terhadap Kebebasan Beragama

Seperti tahun-tahun yang lalu, organisasi hak asasi manusia tempatan dan pemimpin agama mengatakan masyarakat terus menjadi kurang bertolak-ansur terhadap kepelbagaian agama. Pada bulan September, organisasi antara agama Majlis Perundingan Malaysia bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao mengeluarkan kenyataan media untuk menyatakan “keprihatinan serius terhadap peningkatan permusuhan agama antara kumpulan agama yang dibuat oleh beberapa ahli politik untuk memecah belah dan memerintah. “ Pertubuhan NGO itu juga memetik beberapa kumpulan Muslim yang terus mengutuk secara terbuka terhadap peristiwa dan aktiviti yang mereka katakan adalah “tidak Islamik” serta menyebarkan kenyataan secara besar-besaran yang menyasarkan kumpulan Islam bukan Sunni dan bukan Muslim. Pada bulan Januari, pertubuhan NGO ILMU, yang anggotanya dikaitkan rapat dengan parti politik Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan yang pada masa lalu telah bersuara menentang Islam Syiah, menjadi tuan rumah konvensyen nasional mengenai “Pengetahuan Hadis” di Kuala Lumpur. Sheikh Abdurrahman Ibrahim al-Rubai’in, atase keagamaan kedutaan Arab Saudi, dalam ucaptamanya, mengatakan tidak ada gunanya memasukkan Islam Syiah dalam usaha menyatukan umat Islam, kerana “mereka sesat.” Dia menambahkan, “Perbezaan antara Sunni dan Syiah bukan hanya disebabkan feqah, tetapi juga antara kebenaran dan kepalsuan.” Ratusan pelajar Muslim berkumpul pada bulan Januari di luar sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur untuk menuntut kerajaan mengharamkan kumpulan pendidikan Cina Dong Zong, dengan alasan bahawa Dong Zong menentang kemasukan pelajaran Jawi dalam sukatan pelajaran sekolah kebangsaan. Ketua pemuda PAS bercakap pada tunjuk perasaan itu dan menyalahkan parti-parti politik majoriti Cina dalam gabungan kerajaan dan pembangkang kerana meneruskan ketakutan yang tidak berasas terhadap Islam. Gabungan Pelajar Muslim Malaysia mengatakan bahawa Dong Zong sedang berusaha untuk mengulangi rusuhan kaum 1969 di negara ini. Juga pada bulan Januari, Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad melabelkan Dong Zong sebagai “rasis” terhadap majoriti Melayu-Muslim selepas kumpulan itu mengemukakan petisyen membantah tindakan kerajaan untuk memperkenalkan pelajaran Jawi di sekolah dengan alasan bahawa tindakan itu akan menjadi satu bentuk “Islamisasi.” Pemimpin kumpulan bukan politik NGO Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya, meminta kerajaan gabungan Perikatan Nasional yang baharu untuk melantik seorang peguam negara etnik Melayu dan “mengambil tindakan” terhadap penghinaan terhadap Islam. “Kita perlu memandang serius perkara ini kerana orang Melayu tidak menghina agama atau bangsa lain, tetapi bangsa lain menghina orang Melayu dan Islam. Oleh itu, perlu ada penguatkuasaan.”

Penganut baharu agama, terutama mereka yang keluar daripada Islam, kadang-kadang menghadapi stigmatisasi yang teruk. Dalam banyak kes, penganut baharu ini dilaporkan menyembunyikan agama dan amalan baharu mereka daripada bekas penganut seagama mereka, termasuk rakan dan saudara.

Identiti keagamaan terus memberi kesan kepada aspek sekular kehidupan. Wanita Muslim yang tidak memakai tudung atau mematuhi konsep agama tentang kesopanan sering dimalukan di khalayak ramai dan di media sosial.

Pada bulan Mac, kumpulan rock Malaysia Bunkface mengeluarkan lagunya “Akhir Zaman” yang menimbulkan kontroversi mengenai lirik yang mengecam masyarakat LGBTQ untuk “pergi mampus.” Dalam satu kenyataan, kumpulan ini mempertahankan liriknya sebagai kritikan terhadap gerakan LGBTQ Muslim yang sedang berkembang di negara ini dan menunjukkan penolakannya terhadap sebarang hak untuk Muslim LGBTQ, sambil menggambarkan komuniti LGBTQ sebagai haram. “Apa yang telah ditetapkan sebagai haram akan tetap sentiasa menjadi haram,” kata kumpulan itu dalam siaran akhbarnya. YouTube, Spotify, dan Apple Music mengeluarkan lagu itu dari platform mereka selepas mendapat perhatian media antarabangsa.

Pada bulan April, satu video seorang lelaki tempatan mengganggu seorang individu Rohingya dari Burma muncul di Facebook di tengah-tengah peningkatan komen dalam talian yang ditujukan kepada masyarakat Rohingya. Dalam video berdurasi empat minit itu, lelaki itu menuntut lelaki Rohingya itu membuktikan  keislamannya. Pada bulan April, sebagai tindak balas, aktivis Tengku Emma Zuriana Tengku Azmi dari kumpulan hak asasi Majlis Rohingya Eropah mengatakan, “Terdapat gangguan terhadap Rohingya di jalanan dan dalam talian. Saya tidak pernah melihat sesuatu seperti itu di Malaysia sebelum ini.” Pada bulan yang sama, Tengku Emma diancam dengan pemerkosaan di media sosial, termasuk kumpulan dalam talian “32 Juta Rakyat Malaysia Menolak Rohingya,” selepas meminta kerajaan mengizinkan bot yang membawa pencari suaka Rohingya untuk mendarat.

Kumpulan-kumpulan agama menganjurkan dialog antara agama secara maya dan perayaan antara budaya sepanjang tahun. Pada bulan September, Dalai Lama dan seorang profesor dari Institut Pemikiran dan Peradaban Islam Antarabangsa, Osman Bakar, membincangkan tentang belas kasihan dan kemurahan hati sebagai nilai bersama Islam dan agama Buddha dalam forum maya yang dianjurkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia. Dalai Lama menekankan pentingnya penganut Buddha, Islam, dan kumpulan agama lain mengambil kesempatan untuk membincangkan cara-cara yang berbeza untuk mempromosikan hak orang awam untuk menjalani cara hidup yang berbeza. Dalam dialog antara agama pada bulan Disember, setiausaha agung Majlis Gereja-Gereja Malaysia Hermen Shastri mengatakan penubuhan sebuah “majlis antara agama yang sebenar” terhalang oleh mentaliti “majoriti lawan minoriti”, kerana kumpulan antara agama di negara ini belum membentuk entiti yang terlibat dengan masyarakat Islam yang majoriti.

Bahagian IV. Dasar dan Keterlibatan Kerajaan A.S.

Pegawai kedutaan A.S. aktif terlibat dengan pelbagai pegawai kerajaan persekutuan dan negeri di Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Polis Diraja Malaysia, dan Jabatan Perdana Menteri serta agensi-agensi lain, mengenai isu kebebasan agama dan tolak ansur sepanjang tahun, termasuk kebimbangan tentang merendah-rendahkan minoriti agama dan penukaran agama anak secara unilateral, dan kehilangan Amri Che Mat, Pastor Raymond Koh, dan Pastor Joshua Hilmy serta isterinya Ruth Sitepu. Pegawai kedutaan bertemu dengan anggota kumpulan Syiah dan Ahmadiyah, dan mereka memberitahu tentang sekatan ketat kerajaan terhadap aktiviti keagamaan mereka dan penerusan diskriminasi masyarakat. Kedutaan juga bertemu dengan Muslim Sunni yang aktivitinya dibatasi oleh kerajaan, seperti dari SIS, G25, dan Islamic Renaissance Front, dan dengan MCCBCHST untuk membincangkan strategi untuk melibatkan kerajaan dalam isu-isu kebebasan beragama. Kedutaan menyiarkan mesej yang berkaitan untuk kebebasan beragama di platform media sosialnya pada Hari Kebebasan Beragama Antarabangsa dan sepanjang tahun. Kedutaan mencalonkan Susanna Liew, isteri pastor Raymond Koh yang hilang, untuk anugerah Wanita Berani Antarabangsa (IWOC) dan memudahkan perjalanannya ke Amerika Syarikat untuk menghadiri upacara tahunan IWOC di Washington DC pada bulan Mac.