Flag

An official website of the United States government

Laporan tentang Amalan Hak Asasi Manusia Negara 2020: Malaysia
87 MINIT DIBACA
Mac 31, 2021

Permalink: https://www.state.gov/reports/2020-country-reports-on-human-rights-practices/malaysia/

BIRO DEMOKRASI, HAK ASASI MANUSIA, DAN PEKERJA

RINGKASAN EKSEKUTIF

PENGUMUMAN: Jabatan Negara akan mengeluarkan tambahan untuk laporan ini pada pertengahan 2021 yang memperluas subseksyen mengenai Wanita dalam Seksyen 6 untuk memasukkan lebih banyak isu yang berkaitan dengan hak pembiakan.


Malaysia merupakan sebuah negara raja berperlembagaan persekutuan. Negara ini mempunyai sistem parlimen kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya berkala dengan pelbagai parti dan diketuai oleh seorang Perdana Menteri. Yang di-Pertuan Agong, yang merupakan ketua negara, umumnya berfungsi dalam peranan istiadat, dan berkhidmat selama lima tahun.   Agong digilirkan dalam kalangan sultan dari sembilan negeri dengan raja Melayu yang dilantik mengikut keturunan. Pada pilihan raya parlimen 2018, pakatan pembangkang Pakatan Harapan mengalahkan pakatan Barisan Nasional yang berkuasa, yang mengakibatkan peralihan kuasa pertama antara pakatan parti sejak kemerdekaan pada tahun 1957. Sebelum dan semasa kempen, para ahli politik pembangkang dan organisasi masyarakat sivil mendakwa penyelewengan pilihan raya dan kelemahan sistemik untuk kumpulan pembangkang kerana kurangnya akses media dan pembahagian kawasan yang berpihak kepada pakatan parti kerajaan ketika itu. Pada bulan Februari pakatan Pakatan Harapan tumbang, dan kuasa dipindahkan kepada pakatan Perikatan Nasional baharu yang dikuasai oleh Melayu; Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

Polis Diraja Malaysia menjaga keselamatan dalaman dan berada di bawah Kementerian Dalam Negeri. Pegawai penguatkuasaan agama Islam peringkat negeri mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan beberapa aspek jenayah syariah. Pihak berkuasa awam kadang-kadang tidak mengekalkan kawalan yang berkesan terhadap pasukan keselamatan. Anggota pasukan keselamatan melakukan beberapa penyalahgunaan.

Isu hak asasi manusia yang penting termasuk: laporan pembunuhan yang menyalahi undang-undang atau sewenang-wenangnya oleh kerajaan atau ejennya; laporan penyeksaan dan kes layanan atau hukuman yang teruk, tidak berperikemanusiaan atau memalukan oleh kerajaan; keadaan penjara yang teruk dan mengancam nyawa; penahanan sewenang-wenangnya; masalah berkaitan kebebasan badan kehakiman; gangguan sewenang-wenangnya dan menyalahi undang-undang terhadap privasi; sekatan terhadap kebebasan meluah perasaan, akhbar, dan internet, penapisan, penyekatan laman web, dan undang-undang fitnah jenayah; gangguan yang ketara terhadap hak berhimpun secara aman dan kebebasan persatuan; sekatan ke atas dan tidak tolak ansur dalam kebebasan beragama; sekatan terhadap kebebasan bergerak; perbuatan rasuah yang serius; pemerdagangan orang; keganasan terhadap transgender; aktiviti seksual sama jantina yang dijadikan jenayah; dan buruh kanak-kanak.

Kerajaan menangkap dan menghukum beberapa pegawai yang terlibat dalam korupsi, penyelewengan, dan pelanggaran hak asasi manusia. Namun kelompok masyarakat sivil mendakwa pesalah masih tidak dihukum.

Bahagian 1. Menghormati Integriti Orang, Termasuk Kebebasan daripada:

A. PENGAMBILAN NYAWA SEWENANG-WENANGNYA DAN PEMBUNUHAN LAIN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG ATAU BERMOTIFKAN POLITIK

Terdapat laporan di sana sini tentang kerajaan atau ejennya melakukan pembunuhan sewenang-wenang atau menyalahi undang-undang, kebanyakannya dalam sistem penjara. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Eliminating Deaths and Abuse in Custody Together menyatakan bahawa Dhan Bahdur, seorang warga Nepal berusia 26 tahun, meninggal dunia pada 31 Mei, lima hari selepas dia ditahan di Kuala Lumpur. NGO itu menyatakan polis tidak memberi tahu koroner mengenai kematian tersebut dengan tepat sebagaimana yang disyaratkan oleh undang-undang, dan meminta pihak berkuasa untuk membuat perincian mengenai kes itu secara terbuka. Pada bulan Ogos, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin mendedahkan bahawa 23 tahanan, termasuk dua kanak-kanak, mati di pusat tahanan imigresen dari Januari hingga Jun. Dalam laporan tahun 2018 mengenai kematian dalam tahanan, NGO Lawyers for Liberty menggambarkannya sebagai satu “sistem rosak yang menyokong pelaku jenayah-jenayah ini.”

Siasatan oleh Bahagian Siasatan Jenayah dalam Polis Diraja Malaysia terhadap penggunaan kekerasan maut oleh pegawai polis hanya berlaku jika Peguam Negara memulakan siasatan atau menyetujui permohonan untuk siasatan oleh anggota keluarga si mati. Apabila Peguam Negara mengarahkan siasatan rasmi, mahkamah koroner bersidang, dan perbicaraan terbuka kepada umum. Dalam kes seperti ini, mahkamah secara umum mengeluarkan “penghakiman terbuka”, yang bermaksud bahawa tidak akan ada tindakan lebih lanjut terhadap polis.

Pada bulan Julai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mendesak agar dikeluarkan laporan kerajaan pada bulan September 2019 mengenai kubur besar Wang Kelian yang dijumpai di sepanjang sempadan Thailand pada tahun 2015. Menurut NGO yang menyiasat, sindiket jenayah rentas negara melakukan pembunuhan, penghapusan, perhambaan, pemenjaraan, penyeksaan, dan pemerkosaan sebagai sebahagian daripada “serangan meluas dan sistematik” terhadap pendatang Rohingya.

B. KEHILANGAN

Tidak ada laporan mengenai kehilangan oleh atau atas nama pihak berkuasa kerajaan.

Pada bulan Februari, SUHAKAM memulakan siasatan awam mengenai kehilangan paderi Kristian pada tahun 2016, Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth Sitepu. Polis terus membuat sedikit kemajuan dalam siasatan mereka, dengan alasan kekurangan maklumat dalam kes tersebut. Seorang saksi memberi kenyataan bahawa Pastor Hilmy sebelum ini memberitahunya “pihak berkuasa agama mencarinya” kerana kepercayaan Kristiannya. Namun dia tidak diancam. Seorang lagi memberi kenyataan bahawa pasangan itu menerima ancaman melalui telefon sebelum kehilangan mereka. Siasatan SUHAKAM ditangguhkan pada bulan Mac setelah dua pesuruhjayanya positif COVID-19. Pada bulan Februari, Susanna Liew, isteri Pastor Raymond Koh, yang hilang pada tahun 2017, memulai tindakan sivil terhadap kerajaan dan beberapa pegawai kanan kerana gagal menyiasat penculikan suaminya secara berpatutan, menuduh mereka berlaku cuai, bersalah laku, dan melakukan konspirasi untuk mencederakan.

C. SEKSAAN DAN LAYANAN ATAU HUKUMAN LAIN YANG KEJAM, TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN ATAU MENJATUHKAN MARUAH

Tiada undang-undang khusus melarang penyeksaan. Namun, undang-undang melarang “melakukan kecederaan parah” yang merangkumi penyeksaan. Lebih 60 kesalahan dikenakan hukuman sebat, kadangkala dikenakan bersama hukuman penjara. Hakim secara rutin menjatuhkan hukuman sebatan terhadap jenayah termasuk penculikan, rogol, samun, dan kesalahan bukan keganasan seperti pemilikan dadah, jenayah pecah amanah, penyeludupan pendatang, kesalahan imigresen dan lain-lain.

Kekebalan daripada tindakan undang-undang adalah masalah besar dalam pasukan keselamatan. Penderaan polis terhadap suspek dalam tahanan dan kurangnya akauntabiliti atas kesalahan tersebut kekal menjadi masalah serius.

Pada bulan Ogos, pentadbiran Perikatan Nasional menarik balik rang undang-undang yang telah diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada bulan Julai 2019 untuk mewujudkan Suruhanjaya Aduan Salah Laku Polis dengan kuasa untuk mendisiplinkan salah laku polis, sebaliknya memperkenalkan rang undang-undang untuk Suruhanjaya Tingkah Laku Polis yang tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan. NGO Transparency International Malaysia menggambarkan cadangan baru itu sebagai versi kurang bersengat daripada versi asal dan “tidak mempunyai taring.”

Menurut SUHAKAM, 15 orang mati di dalam lokap polis dan penjara dari tahun 2019 hingga September, sementara lebih daripada 55 individu mati di pusat tahanan imigresen. Kerajaan mendakwa bahawa kematian yang disebabkan oleh polis jarang terjadi, tetapi aktivis masyarakat sivil mempertikaikan dakwaan ini.

Undang-undang sivil dan jenayah mengecualikan hukuman sebat ke atas semua wanta dan lelaki berusia lebih daripada 50 tahun, kecuali jika disabitkan dengan kesalahan merogol. Kanak-kanak lelaki antara umur 10 hingga 18 tahun boleh menerima maksimum 10 sebatan dengan “rotan ringan” di mahkamah awam.

Sesetengah peruntukan undang-undang syariah negeri, yang mentadbir isu keluarga dan jenayah tertentu di bawah Islam dan terpakai kepada semua umat Islam, juga menetapkan hukuman sebat bagi kesalahan-kesalahan tertentu.  Wanita tidak dikecualikan daripada hukuman sebat di bawah undang-undang syariah, dan mahkamah-mahkamah di negara ini tidak menyelesaikan konflik antara perlembagaan, kanun jenayah, dan undang-undang syariah.

Undang-undang sivil di negeri Kelantan membenarkan mahkamah menjatuhkan hukuman sebatan terbuka atas kesalahan-kesalahan sivil tertentu. Namun tidak ada laporan tentang hukuman sebegitu.

Pada bulan Februari, Jasnih Ali, seorang pegawai polis bantuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, menuduh polis menyeksanya selama dua minggu ketika dalam tahanan berikutan penangkapannya pada tahun 2018 kerana menyeludup pendatang tanpa izin. Peguamnya mengatakan polis memukul Ali untuk mendapatkan pengakuan, dan penderaan itu berhenti hanya setelah Ali bersetuju untuk memberikan “kenyataan amaran” yang menyebutkan fakta-fakta bahawa dia ingin bergantung pada pembelaannya pada perbicaraan. Ali mengatakan pihak berkuasa memukulnya di muka, kepala dan badan, menendangnya di perut dan punggung, meludah ke mulutnya, memasukkan mop ke dalam mulutnya, dan menggunakan arus elektrik kepada kakinya, semuanya dilakukan sambil matanya ditutupi, tangannya digari di belakang, dan seluarnya dilondeh sehingga ke lutut.

Pada bulan Julai seorang hakim mahkamah tinggi mengetepikan keputusan mahkamah rendah dengan menambah hukuman penjara bagi 27 lelaki Rohingya, enam daripadanya remaja, kerana tiba di negara ini tanpa permit sah. Hakim menyatakan bahawa disebabkan defendan bukanlah pesalah tegar dan tidak melakukan tindakan keganasan, adalah “tidak berperikemanusiaan” untuk menjatuhkan hukuman sebat, selain daripada status pelarian mereka memberi mereka perlindungan antarabangsa daripada penganiayaan. Sebelumnya, kumpulan hak asasi manusia telah meminta mahkamah tidak memberi hukuman sebat, dan menganggap hukuman itu kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Pada bulan Oktober laman berita internet Malaysian Insight, yang memetik laporan daripada bekas tahanan dan badan pengawasan, melaporkan bahawa “penyeksaan oleh kakitangan penjara berleluasa” di penjara dan bahawa tahanan mengalami serangan seksual. “Ia bukannya seperti kamu dihukum kerana melakukan sedikit kesalahan. Mereka akan memukul kamu tanpa alasan… mereka akan menggunakan baton dan tempat kegemaran mereka adalah di perut, kaki, dan punggung,” kata seorang bekas tahanan kepada media. Seorang bekas tahanan transgender menyebut komunitinya sebagai kelompok yang paling rentan dalam sistem penjara, dipaksa memberikan seks kepada penjaga penjara sebagai balasan keselamatan: “Adakah kami mempunyai pilihan? Tidak, kami tiada pilihan. Mereka akan meminta kamu melakukan semua jenis aksi seks. Kadang-kadang ia berlaku tiga kali sehari. Sekiranya kami keluar dan membuat laporan, siapa yang akan mempercayai cerita kami? “ Sevan Doraisamy, pengarah eksekutif NGO hak asasi manusia Suaram, menyatakan bahawa kerajaan mesti memandang serius aduan tersebut dan membenarkan penyiasat bebas daripada SUHAKAM dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan melakukan siasatan segera.

KEADAAN PENJARA DAN PUSAT TAHANAN

Keadaan di penjara dan pusat tahanan boleh menjadi teruk dan mengancam nyawa.

Kerajaan, sebagai sebahagian daripada larangan pergerakannya akibat pandemik COVID-19, menjalankan operasi membanteras pendatang, terutama Rohingya, yang dimasukkan ke pusat tahanan untuk “kuarantin.” Pada bulan Mei, media dan kumpulan hak asasi manusia melaporkan penangkapan besar-besaran dan peningkatan jumlah kes COVID-19 yang disahkan di pusat-pusat tersebut.

Pada bulan Ogos, Suaram melaporkan bahawa kematian dalam tahanan imigresen “kekal serius” meningkat dari 24 pada tahun 2018 menjadi 55 pada tahun 2019.

Keadaan Fizikal: Kesesakan di penjara dan pusat tahanan imigresen, terutama di kemudahan berhampiran bandar-bandar besar, kekal menjadi masalah serius. Menurut Kementerian Dalam Negeri, 20 daripada 37 penjara di negara ini penuh sesak. Di Selangor, Kuala Lumpur, dan Kelantan, penjara penuh sesak sebanyak 45 hingga 50 peratus. Menurut World Prison Brief, pada bulan Disember 2019 negara ini memiliki 75,000 banduan di 52 penjara yang direka untuk menahan hanya 52,000.

Pada 29 Mei, Suaram menyenaraikan jumlah kematian yang sangat tinggi di kemudahan penahanan imigresen, dengan kebanyakan kematian disebabkan oleh faktor kesihatan dan perubatan.

Sehingga Oktober, 8 peratus daripada kes positif COVID-19 di Malaysia adalah tahanan penjara dan kakitangan penjara. Bekas timbalan menteri pertahanan Liew Chin Tong menyatakan bahawa pandemik COVID-19 mengubah penjara menjadi “perangkap maut” yang diburukkan lagi oleh masalah kesesakan. Sebuah penjara negeri Sabah mencatatkan lebih daripada 60 peratus tahanan diuji positif untuk COVID-19.

Pentadbiran: Undang-undang membenarkan penyiasatan terhadap tuduhan penganiayaan; bagaimanapun, ini tidak selalunya berjalan dari segi amalan. Pegawai yang didapati bertanggungjawab atas kematian dalam tahanan pada umumnya tidak menghadapi hukuman.

Pihak berkuasa mengehadkan hak untuk mengamalkan agama bagi mereka yang bukan berfahaman Sunni, yang amalan mereka diharamkan oleh kerajaan sebagai “sesat.”

Pemantauan Bebas: Pihak berkuasa umumnya tidak membenarkan NGO dan media untuk memantau keadaan penjara; undang-undang membenarkan hakim untuk melawat penjara untuk memeriksa keadaan dan bertanya tentang keadaan penjara kepada tahanan dan pegawai penjara. Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah, dan SUHAKAM memantau penjara berdasarkan kes demi kes.

Pada bulan Ogos, kerajaan baharu meninggalkan rang undang-undang 2019 untuk menubuhkan Suruhanjaya Aduan Salah Laku Polis, dan sebaliknya mengemukakan rang undang-undang yang jauh lebih lemah. Organisasi masyarakat sivil melihat ini sebagai tanda kerajaan tidak serius terhadap suruhanjaya bebas.

Kerajaan baru tidak memberikan izin kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) akses ke kemudahan tahanan di mana buruh migran dan pelarian ditahan.

Penambahbaikan: Polis mengumumkan pada bulan Januari sebuah projek perintis untuk menubuhkan unit perubatan penjagaan di lima kemudahan penahanan sebagai sebahagian daripada usaha untuk mencegah kematian dalam tahanan.

D. PENANGKAPAN ATAU PENAHANAN SEWENANG-WENANG

Undang-undang melarang penangkapan dan penahanan sewenang-wenang dan memberi hak kepada sesiapa sahaja untuk mencabar undang-undang penangkapan atau penahanan di mahkamah, dan kerajaan umumnya mematuhi keperluan ini.

Polis boleh menggunakan undang-undang tahanan pencegahan tertentu secara tanpa waran, atau semakan kehakiman selama tempoh dua tahun, yang boleh diperbaharui untuk tempoh masa tak terbatas untuk menahan orang yang disyaki melakukan keganasan, jenayah terancang, aktiviti kongsi gelap, dan pengedaran dadah atau pemerdagangan orang.  Walau bagaimanapun, dalam tempoh tujuh hari dari hari mula ditahan, pihak polis perlu mengemukakan sebab penahanan kepada pendakwa raya. Sekiranya pendakwa bersetuju “terdapat bukti yang mencukupi untuk mewajarkan” penahanan berterusan dan siasatan lanjut, pegawai siasatan carian fakta yang dilantik oleh Menteri Dalam Negeri mesti melaporkan dalam tempoh 59 hari kepada lembaga penahanan yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Lembaga penahanan boleh memperbaharui perintah tahanan atau mengenakan suatu perintah untuk mengehadkan tempat kediaman suspek, perjalanan, akses kepada kemudahan komunikasi dan penggunaan internet selama maksimum lima tahun. Dalam kes lain, undang-undang mengizinkan penahanan penyiasatan hingga 28 hari untuk mencegah suspek jenayah daripada melarikan diri atau memusnahkan bukti semasa siasatan. Pada bulan Ogos, Suaram melaporkan bahawa 1,032 individu ditahan tanpa perbicaraan di bawah undang-undang keselamatan.

Pada bulan November, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin melaporkan kepada parlimen bahawa 756 kanak-kanak ditahan di pusat tahanan imigresen. Daripada kanak-kanak ini, 405 ditahan tanpa penjaga, termasuk 326 kanak-kanak warga Burma. Koordinator Lawyers for Liberty, Zaid Malek mengecam penahanan berterusan kanak-kanak sebagai “tidak berperikemanusiaan,” dengan menyatakan bahawa “tidak dapat difahami mengapa pihak berkuasa menganggapnya sesuai dan wajar untuk menahan ratusan kanak-kanak migran dan pelarian… di pusat-pusat penahanan yang terlalu padat semasa pandemik kesihatan di seluruh dunia.” Undang-undang imigresen membenarkan pihak berkuasa menangkap dan menahan bukan warganegara selama 30 hari, sementara menunggu keputusan pengusiran.

Pada bulan November aktivis pelajar Wong Yan Ke ditangkap kerana “menghalang polis menjalankan tugas mereka” dengan merakam video langsung Facebook mengenai serbuan di kediaman seorang pelajar Universiti Malaya, berhubung dengan siasatan hasutan terhadap pernyataan yang dibuat oleh kumpulan pelajar yang mempersoalkan peranan raja. Selepas ditahan semalam di lokap polis, Wong dipindahkan ke pusat tahanan dan dibebaskan pada hari itu. Wong mengkritik polis kerana “penangkapan dan penahanan sewenang-wenangnya.” NGO Lawyers for Liberty menyatakan keprihatinannya terhadap penangkapan itu, dengan alasan bahawa undang-undang itu “tidak boleh digunakan sebagai peruntukan menyeluruh untuk hanya menangkap orang yang merakam tindakan polis.” Tuduhan itu mengenakan hukuman maksimum penjara satu bulan, denda, atau kedua-duanya. Satu tarikh mahkamah ditetapkan pada bulan Februari 2021.

PROSEDUR PENAHANAN DAN LAYANAN TERHADAP TAHANAN

Undang-undang membenarkan polis untuk menangkap dan menahan individu atas beberapa kesalahan tanpa waran, bahkan di luar situasi jenayah yang sedang berjalan atau keadaan mendesak lain. Untuk memudahkan penyiasatan, polis boleh menahan seorang suspek selama 24 jam, yang dapat dilanjutkan selama maksimum 14 hari dengan perintah mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang jenayah umum. NGO melaporkan amalan polis untuk membebaskan suspek dan kemudian menahan semula mereka dengan cepat untuk meneruskan penahanan siasatan tanpa meminta kebenaran mahkamah.

Sesetengah NGO menegaskan bahawa pendekatan polis yang “tangkap dahulu, siasat kemudian” berlaku secara berleluasa, terutamanya dalam kes yang melibatkan tuduhan keganasan. Mengikut undang-undang seseorang mesti diberitahu mengenai alasan penahanan oleh pegawai yang menahan.

Jaminan biasanya tersedia untuk orang yang dituduh melakukan jenayah yang tidak boleh dihukum penjara seumur hidup atau hukuman mati. Jumlah dan ketersediaan jaminan adalah mengikut budi bicara hakim. Orang yang diberi jaminan biasanya mesti menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah.

Polis mesti memberitahu tahanan mengenai hak untuk menghubungi ahli keluarga dan berunding dengan peguam pilihan mereka. Walau bagaimanapun, polis seringkali menafikan akses tahanan kepada peguam dan menyoal suspek tanpa membenarkan kehadiran peguam.  Polis mewajarkan amalan ini sebagai perlu untuk mengelakkan gangguan dalam siasatan yang sedang berjalan, dan mahkamah umumnya membenarkan amalan ini.

Walaupun pihak berkuasa secara amnya menganggap komunikasi peguam-klien sebagai hak istimewa, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menyoal peguam yang mengiringi klien mereka untuk perbicaraan suruhanjaya (tanpa arahan mahkamah) mengenai interaksi mereka dengan pelanggan mereka dan kandungan perbincangan mereka.

Polis kadangkala tidak membenarkan perjumpaan segera tahanan dengan anggota keluarga atau pelawat lain.

Undang-undang membenarkan penahanan seorang saksi material dalam kes jenayah jika orang itu berkemungkinan melarikan diri.

Penahanan Sembarangan: Pihak berkuasa kadangkala menggunakan kuasa mereka untuk menakut-nakutkan dan menghukum pihak yang melawan kerajaan. Aktivis dan pengkritik kerajaan sering ditangkap pada larut malam, disoal siasat selama berjam-jam, dan direman dalam tempoh yang panjang, walaupun mereka akhirnya tidak didakwa atas kesalahan. Pada bulan Julai, menurut NGO Center for Combat Corruption and Cronyism (C4), polis melakukan penahanan pada lewat malam terhadap aktivis antikorupsi dan sosial K. Sudhagaran Stanley di rumahnya, yang C4 melabelkan tindakan “dingin” yang bertujuan menanamkan ketakutan dan membisu suara yang kritikal terhadap pentadbiran negara ini.”

Tahanan Praperbicaraan: Pusat Kajian Penjara Antarabangsa melaporkan bahawa tahanan praperbicaraan merangkumi sekitar 27 peratus populasi penjara pada tahun 2018. Mahkamah yang penuh sesak dan kekurangan pekerja sering mengakibatkan penahanan praperbicaraan yang panjang, kadang-kadang berlangsung selama beberapa tahun.

E. PENAFIAN PERBICARAAN AWAM YANG ADIL

Tiga perkara dalam perlembagaan memperuntukkan asas bagi suatu penghakiman bebas. Namun peruntukan perlembagaan yang lain, undang-undang yang menyekat semakan penghakiman, dan pengaruh eksekutif ke atas pelantikan kehakiman mengehadkan kebebasan kehakiman dan mengukuhkan pengaruh eksekutif ke atas sistem kehakiman.  Badan kehakiman sering mengalah kepada pihak polis atau pihak berkuasa eksekutif dalam kes yang dianggap oleh pihak-pihak ini sebagai mempengaruhi kepentingan mereka.

Anggota Majlis Peguam Malaysia, perwakilan NGO, dan pemerhati lain menyatakan keprihatinan serius mengenai batasan yang ketara terhadap kebebasan kehakiman, dengan menyebut sejumlah contoh keputusan mahkamah yang dibuat sewenang-wenang, pendakwaan terpilih, dan layanan istimewa terhadap beberapa litigan dan peguam. Perwakilan dari kumpulan-kumpulan ini berpendapat bahawa garis antara eksekutif, badan kehakiman, dan negara sangat kabur dan bahawa badan kehakiman perlu menggunakan lebih banyak kebebasan dan tidak berat sebelah.

Pada bulan Ogos, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada hakim mahkamah rayuan Hamid Sultan Abu Backer yang meminta agar dia menjelaskan pernyataan afidavit yang dikemukakannya pada Februari 2019 sebagai sebahagian daripada tuntutan mahkamah terhadap bekas ketua hakim Richard Malanjum. Dalam afidavit itu, Hamid menuduh campur tangan kerajaan dalam keputusan kehakiman sebelumnya dan keterlibatan hakim dalam kes palsu yang dirancang untuk memberi ganjaran kepada penyokong kerajaan dengan nilai penyelesaian yang besar. Permintaan Hamid untuk perbicaraan terbuka ditolak, yang menyebabkan Suaram mempersoalkan lagi kebebasan badan kehakiman; perbicaraan ini ditangguhkan kerana COVID-19.

Banyak yang menganggap sabitan bekas perdana menteri Najib Razak pada 28 Julai, yang kerajaannya dilaporkan menyalahgunakan sekurang-kurangnya $4.5 bilion dana pelaburan negara, dalam perbicaraan rasuah pertama sebagai kemenangan (lihat bahagian 4.). Bagaimanapun, para pemimpin NGO menyatakan bahawa keputusan itu tidak boleh dilihat sebagai tanda positif kebebasan kehakiman. Suaram menegaskan, “Mahkamah Tinggi adalah tempat terburuk untuk menentukan kebebasan kehakiman kerana terdapat hakim yang sangat berbeza dan semuanya dapat dipatahkan selepas rayuan.”

PROSEDUR PERBICARAAN

Perlembagaan memperuntukkan perbicaraan yang adil dan terbuka, dan badan kehakiman secara amnya menegakkan hak ini. Sistem undang-undang sivil berlandaskan “common law” Britain dan defendan dianggap tidak bersalah sehingga terbukti bersalah. Defendan berhak untuk diberitahu segera mengenai tuduhan terhadap mereka, untuk perbicaraan tepat pada waktunya, dan untuk hadir pada perbicaraan mereka. Defendan berhak untuk berkomunikasi dengan peguam pilihan mereka atau mempunyai peguam yang dilantik dengan perbelanjaan awam sekiranya mereka menghadapi tuduhan yang membawa hukuman mati. Defendan juga boleh memohon untuk pembela awam dalam kes-kes tertentu yang lain.

Menurut Majlis Peguam Malaysia, para terdakwa pada umumnya mempunyai waktu dan kemudahan yang mencukupi untuk menyiapkan pembelaan sekiranya mereka mempunyai saluran untuk mendapatkan nasihat peguam. Jika tidak, defendan mesti bergantung pada bantuan undang-undang dan jumlah masa untuk mempersiapkan perbicaraan adalah mengikut budi bicara hakim. Pihak berkuasa memberikan alih bahasa percuma kepada defendan dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan beberapa dialek lain yang biasa digunakan dari masa didakwa hingga semua rayuan. Hak untuk menghadap saksi dibatasi oleh peruntukan yang membolehkan identiti saksi pendakwaan dirahsiakan daripada pihak pembelaan sebelum perbicaraan, yang menghalang pemeriksaan balas terhadap saksi tersebut. Defendan boleh mengemukakan saksi dan bukti bagi pihak mereka. Penemuan praperbicaraan yang terhad dalam kes jenayah juga menghalang pembelaan. Peraturan ketat untuk bukti digunakan dalam mahkamah. Defendan tidak boleh dipaksa untuk memberi keterangan atau mengaku bersalah.

Defendan dapat merayu atas keputusan mahkamah kepada mahkamah yang lebih tinggi, tetapi hanya jika rayuan itu menimbulkan persoalan undang-undang atau jika keadaan material menimbulkan keraguan yang wajar mengenai sabitan atau hukuman. Majlis Peguam Malaysia mendakwa sekatan ini berlebihan.

Dalam kes-kes yang berkaitan dengan keganasan atau keamanan negara, undang-undang membenarkan polis menahan orang, malah selepas dibebaskan, terhadap kemungkinan rayuan oleh pihak pendakwaan.

Banyak NGO mengadu wanita tidak mendapat layanan adil dari mahkamah syariah, terutama dalam kes perceraian dan hak penjagaan anak (lihat bahagian 6).

BANDUAN DAN TAHANAN POLITIK

Tidak ada laporan mengenai banduan atau tahanan politik.

PROSEDUR DAN REMEDI KEHAKIMAN SIVIL

Individu atau organisasi boleh menyaman kerajaan dan pegawai di mahkamah atas tuduhan pelanggaran hak asasi manusia; namun, tunggakan kes yang besar sering mengakibatkan kelewatan tindakan sivil, sehingga merugikan plaintif. Mahkamah semakin menggalakkan penggunaan mediasi dan timbang tara untuk mempercepat penyelesaian.

F. GANGGUAN SEWENANG-WENANG ATAU MENYALAHI UNDANG-UNDANG TERHADAP PRIVASI, KELUARGA, TEMPAT KEDIAMAN, ATAU PIHAK BERHUBUNGAN

Undang-undang melarang tindakan sedemikian; namun, kadangkala pihak berkuasa melanggar privasi rakyat. Di bawah undang-undang keselamatan negara, polis boleh memasuki dan menggeledah rumah orang yang disyaki mengancam keselamatan negara tanpa waran. Kerajaan mengawasi internet dan mengancam akan menahan siapa pun yang mengirim atau menyiarkan kandungan yang dianggap oleh kerajaan sebagai ancaman terhadap ketenteraman atau keselamatan awam (lihat bahagian 2.a.).

Pihak berkuasa Islam boleh memasuki premis persendirian tanpa waran untuk menangkap orang Islam yang disyaki melakukan kesalahan seperti perjudian, pengambilan alkohol, dan hubungan seksual di luar perkahwinan.

Kerajaan tidak mengiktiraf perkahwinan antara orang Islam dan bukan Islam dan menganggap anak-anak yang dilahirkan daripada penyatuan tersebut haram.

Pada bulan Februari Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Jabatan Pendaftaran Negara tidak terikat dengan perintah yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, sebuah badan kerajaan yang bertanggungjawab mengeluarkan fatwa mengenai isu-isu kepentingan nasional, mengenai kes di negeri Johor, kerana negeri itu belum mewartakan (menerbitkan) fatwa kebangsaan yang melarang pendaftaran nama bapa bagi anak Islam yang dilahirkan atau dikandung kurang daripada enam bulan selepas perkahwinan ibu bapa. Mahkamah Persekutuan juga berpendapat bahawa dalam hal ini jabatan boleh memutuskan untuk tidak mencatatkan nama bapa berbanding menggunakan “bin Abdullah” atau “binti Abdullah” nama yang biasanya digunakan untuk anak-anak yang diisytiharkan haram, sekaligus menghapuskan sumber stigma sosial yang sudah lama.

Bahagian 2. Penghormatan terhadap Kebebasan Sivil, Termasuk:

A. KEBEBASAN BERSUARA TERMASUK KEBEBASAN AKHBAR

Perlembagaan membenarkan sekatan ke atas kebebasan bersuara “demi kepentingan keselamatan Persekutuan… [atau] ketenteraman awam.” Kerajaan kerap menyekat kebebasan bersuara orang ramai, media, dan masyarakat sivil, dengan memetik sebab-sebab seperti menegakkan Islam dan status istimewa orang Melayu, melindungi keselamatan negara, mengekalkan ketenteraman awam, dan memelihara hubungan persahabatan dengan negara-negara lain. Gabungan Perikatan Nasional yang baharu berkuasa menunjukkan kecenderungan untuk mengekang kebebasan meluahkan perasaan, terutama kebebasan akhbar.

Kebebasan Bersuara: Undang-undang mengharamkan hasutan dan komen umum mengenai isu yang ditakrifkan sebagai sensitif, termasuk perkara perkauman dan agama atau kritikan terhadap raja atau sultan yang memerintah. Undang-undang melarang ucapan “dengan sengaja untuk melukai perasaan keagamaan seseorang.”

Pada bulan Jun polis menyoal siasat aktivis antikorupsi Cynthia Gabriel ketika menyiasat sepucuk surat yang dia dan NGOnya C4 terbitkan di sebuah media dalam talian yang mengkritik perikatan parti kerajaan. Gabriel mengatakan kepada media bahawa tindakan dasar itu adalah “gangguan dan intimidasi.” Dia menambah, “mereka berusaha untuk mencegah kita meluahkan pandangan kritis ketika ahli politik fokus pada merebut kekuasaan.” Pada bulan Jun polis juga memanggil peguam dan aktivis hak asasi manusia Siti Kassim untuk disoal siasat selepas dia menyiarkan komentar Facebook yang mengkritik Parti Islam Se-Malaysia, yang merupakan sebahagian daripada gabungan kerajaan, siaran yang polis mengatakan “bertujuan mengganggu keamanan.” Juga pada bulan Jun sebuah mahkamah Sesyen mendakwa Ketua Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) R. Sri Sanjeevan kerana “menyebarkan maklumat palsu mengenai polis di media sosial dengan niat untuk mengganggu.”

Pada bulan Julai, Jabatan Imigresen menahan seorang warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir, selepas dia bercakap dalam sebuah dokumentari Al-Jazeera mengenai layanan terhadap pendatang tanpa izin oleh pihak berkuasa semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan untuk mengekang penyebaran COVID-19. Rayhan diusir keluar pada bulan Ogos. Pihak berkuasa imigresen menyiasat enam wartawan dan kakitangan Al-Jazeera yang berpangkalan di Qatar di Malaysia atas tuduhan hasutan dan fitnah, kemudian menolak untuk memperbaharui visa wartawan Drew Ambrose dan Jenni Henderson, kedua-duanya warganegara Australia.

Kerajaan baharu mengenakan had pada perhimpunan awam, yang melambatkan penyebaran COVID-19, dan ini mendapat beberapa sokongan masyarakat, tetapi juga mencegah protes dan meminimumkan peluang bagi pihak lawan untuk bergerak melawannya. Walaupun terdapat reaksi keras terhadap kawalan ketat kerajaan daripada parti-parti pembangkang, kumpulan masyarakat sivil, dan orang ramai, kejayaan kerajaan menangani pandemik dan pengekangan kritikan sebahagian besarnya mendiamkan suara-suara ini.

Kebebasan Akhbar dan Media, Termasuk Media Dalam Talian: Parti politik dan individu yang mempunyai kaitan dengan parti perikatan kerajaan memiliki atau menguasai sebahagian besar saham di hampir semua media cetak dan penyiaran bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, yang kebanyakannya adalah prokerajaan secara terang-terangan. Media dalam talian lebih bebas tetapi sering menjadi sasaran tindakan undang-undang dan gangguan.

Gabungan Pakatan Harapan sebelumnya telah membuka ruang untuk pandangan yang bertentangan, dan wartawan dan blogger meluahkan pandangan serta melaporkan hal yang kritikal terhadap kerajaan tanpa tindakan balas. Namun, dengan perubahan kerajaan Perikatan Nasional, terjadi penurunan menjunam dalam kebebasan akhbar. Seorang wartawan mengatakan seorang pegawai komunikasi dari pejabat perdana menteri kerap memanggil wartawan di Putrajaya untuk menyelaraskan mesej dan “menjadikan kerajaan dilihat sebaik mungkin.”

Kerajaan mempertahankan dan kadang-kadang memberikan tekanan untuk mengawal kandungan berita, baik di media cetak mahupun media penyiaran. Kerajaan melarang, menyekat, atau membatasi edaran penerbitan yang dianggap sebagai ancaman terhadap ketenteraman awam, moral, atau keamanan negara. Kerajaan mempunyai kuasa untuk menangguhkan penerbitan atas sebab-sebab ini dan mempertahankan kawalan yang efektif terhadap proses pelesenan.

Kerajaan menggunakan pandemik COVID-19 untuk menekan kebebasan media dan kebebasan bersuara. Pada 11 April, Majlis Keselamatan Negara mengarahkan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Suruhanjaya Komunikasi) “untuk mengambil tindakan tegas terhadap portal berita yang menyiarkan dan menerbitkan berita yang mengelirukan dan tidak tepat,” kononnya dengan tujuan untuk menghentikan penyebaran maklumat salah mengenai virus. Sebagai tindak balas, Persekutuan Wartawan Antarabangsa menyatakan: “Tindakan tegas kerajaan akan membantutkan pengawasan media terhadap kerajaan dan menurunkan ketelusan, yang akhirnya membahayakan masyarakat yang sedang menghadapi pandemik [COVID-19].”

Pada bulan Jun, Peguam Negara Idrus Harun memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap media dalam talian Malaysiakini dan ketua pengarangnya, Steven Gan, kerana komen pembaca yang disiarkan pada artikel Malaysiakini pada 9 Jun. Peguam Negara menyatakan Malaysiakini memudahkan penerbitan komen salah yang menuduh “badan kehakiman melakukan kesalahan, terlibat dalam rasuah, tidak menegakkan keadilan, dan menjejaskan integritinya.” Gan menghadapi perbicaraan pada 13 Julai dan menghadapi kemungkinan hukuman penjara dan denda mengikut budi bicara mahkamah. Penghakiman kes ditangguhkan ke tarikh yang tidak ditentukan.

Dalam siaran berita 3 Jun, Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersaty (PBB) untuk Hak Asasi Manusia Michelle Bachelet menyatakan bahawa pandemik COVID-19 telah menyaksikan pengetatan penapisan di Malaysia, serta penangkapan yang dilaporkan kerana menyebarkan kerisauan atau didakwa menyebarkan maklumat palsu melalui akhbar dan media sosial. Siaran akhbar memetik penyiasatan ke atas Tashny Sukumaran, wartawan Kuala Lumpur untuk South China Morning Post, “atas tuduhan penggunaan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian yang tidak betul dan dakwaan penghinaan yang disengajakan dengan tujuan menimbulkan provokasi pelanggaran keamanan kerana melaporkan penahanan pendatang tanpa dokumen; ia dilaporkan berlaku walaupun terdapat arahan Menteri untuk tidak bertindak terhadap wartawan itu.” Siaran itu menambah bahawa menurut anggaran rasmi, Suruhanjaya Komunikasi telah membuka “sekurang-kurangnya 265 kertas siasatan berhubung dakwaan penyebaran berita palsu tentang COVID-19, dengan 29 orang dilaporkan didakwa di mahkamah.”

Keganasan dan Gangguan: Wartawan menjadi sasaran gangguan dan intimidasi. Sebagai tindak balas kepada sebuah dokumentari mengenai penganiayaan kerajaan terhadap pendatang tanpa izin semasa penutupan dan kawalan pergerakan COVID-19, pejabat Al-Jazeera di Kuala Lumpur diserbu dan komputer mereka dirampas. Kerajaan juga mengumumkan sedang menyiasat media kerana hasutan, fitnah, dan pelanggaran undang-undang lain.

Penapisan atau Sekatan Kandungan: Kerajaan mengekalkan keupayaan untuk menapis media. Undang-undang mewajibkan permit untuk memiliki mesin cetak, dan pencetak selalunya enggan mencetak penerbitan yang kritikal terhadap kerajaan kerana takut akan tindakan balas.  Dasar sedemikian, bersama-sama dengan undang-undang antifitnah, menghalang kewartawanan atau penyiasatan bebas dan mengakibatkan penapisan sendiri dalam media cetak dan penyiaran.

Gabungan parti kerajaan yang baharu mengundurkan kemajuan dalam kebebasan akhbar. Satu komen di ASEAN Today menyimpulkan pada bulan Ogos, “Tindakan keras terhadap wartawan dan media kebelakangan ini bertujuan untuk memberi isyarat yang jelas kepada orang lain di lapangan: berjaga-jaga atau menghadapi akibatnya.”

Kerajaan kadangkala menapis majalah asing, surat khabar, dan program berita, selalunya disebabkan oleh kandungan seksual.

Had yang dikenakan oleh kerajaan terhadap stesen radio dan televisyen sama seperti yang dikenakan terhadap media cetak. Sebahagian besar media elektronik menyokong kerajaan. Stesen televisyen menapis program untuk mengikuti garis panduan kerajaan.

Kerajaan pada umumnya mengehadkan penerbitan yang ia anggap boleh menimbulkan ketidakharmonian kaum atau agama. Kementerian Dalam Negeri menyimpan senarai lebih daripada 1,700 penerbitan yang dilarang pada bulan November. Pada bulan Mei, Kementerian mengharamkan buku Rebirth: Reform, Resistance, and Hope in New Malaysia atas alasan ia menghina jata negara. Kulit buku itu mempunyai gambar yang menyerupai jata negara tetapi memaparkan budak yang telanjang, dua harimau berwajah manusia, dan buaya di bahagian bawah menggantikan cogan kata nasional.

Pada bulan Februari, mahkamah rayuan membatalkan pengharaman kerajaan ke atas tiga buku oleh Islamic Renaissance Front, sebuah organisasi yang mempromosikan reformasi Islam. Kementerian Dalam Negeri pada asalnya mengharamkan buku-buku itu pada tahun 2017, keputusan yang dijatuhkan oleh mahkamah tinggi pada tahun 2019.

Undang-undang Libel/Fitnah: Undang-undang ini termasuk seksyen tentang fitnah sivil dan jenayah. Jenayah fitnah boleh dikenakan hukuman maksimum penjara dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.  Kenyataan yang benar boleh dianggap fitnah jika kenyataan itu bertentangan dengan “kesejahteraan awam.” Kerajaan dan penyokongnya menggunakan undang-undang ini, bersama dengan peruntukan terhadap hasutan, untuk menghukum dan menyekat penerbitan bahan yang kritikal terhadap pegawai dan dasar kerajaan.

Pada bulan Mei polis menyiasat mantan menteri Xavier Jayakumar mengenai klip video kenyataannya bahawa persidangan parlimen satu hari pada bulan Mei itu “tidak berguna” dan “sampah” kerana ia adalah “wayang yang dimainkan oleh sekumpulan pengkhianat dan perompak” untuk melindungi kepentingan kerajaan. Pada bulan Julai aktivis sosial Heidy Quah disiasat kerana memfitnah menerusi sebuah laman media sosial yang menuduh penganiayaan pelarian di pusat tahanan imigresen. Tiada dakwaan jenayah dibuat susulan siasatan ke atas mereka berdua. Juga pada bulan Julai seorang pesara didenda kerana menyiarkan komen “menghina” tentang menteri kesihatan di media sosial, walaupun mahkamah menyatakan bahawa kritikan itu “tidak melampau atau berniat jahat.”

Keselamatan Negara: Pihak berkuasa sering menggunakan undang-undang keselamatan negara untuk menyekat pengedaran bahan kritikal tentang dasar kerajaan dan pegawai kerajaan.  Kerajaan menggunakan pandemik COVID-19 untuk meneruskan amalan ini.

Kesan Pertubuhan Bukan Kerajaan: NGO yang bersimpati kepada kerajaan sekarang berusaha menyekat kebebasan bersuara melalui aduan jenayah terhadap kenyataan yang didakwa menghasut. NGO sedemikian juga kadangkala cuba untuk menakut-nakutkan kumpulan pembangkang melalui demonstrasi.

Pada bulan Ogos, NGO Gagasan Pulau Pinang mengemukakan laporan polis yang mendakwa pemimpin pembangkang Tony Pua dan Liew Chin Tong telah menghina mahkamah atas kenyataan mereka, yang dipetik oleh sebuah portal berita dalam talian, mengenai kes rasuah yang melibatkan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng. Pada bulan September beberapa pemimpin NGO membuat laporan polis terhadap pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim kerana mendakwa kerajaan Perikatan Nasional telah tumbang setelah kehilangan sokongan majoriti anggota parlimen. Mohamad Riduwan Md Amin dari Penggerak Komuniti Negara Kota Melaka mengatakan bahawa dakwaan Anwar adalah bersifat hasutan dan boleh menimbulkan ketidakharmonian dan ketidakstabilan politik di negara ini.

KEBEBASAN INTERNET

Kerajaan mengehadkan akses kepada internet. Pihak berkuasa menyekat beberapa laman web dan memantau internet untuk mesej dan penyiaran blog yang dianggap ancaman kepada keselamatan atau ketenteraman awam.

Kerajaan memberi amaran kepada pengguna internet untuk mengelakkan kandungan yang menyinggung atau tidak senonoh dan perkara-perkara sensitif seperti agama dan kaum, dan secara agresif melakukan pendakwaan terhadap mereka yang mengkritik Islam, sultan dan raja, atau pemimpin politik. Pada bulan Mac, polis di bawah kerajaan persekutuan menahan sekurang-kurangnya tiga individu kerana menghina raja dalam siaran media sosial yang berasingan.

Pada bulan Jun, polis menyoal anggota parlimen dan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat Hannah Yeoh untuk siaran di Twitter yang mempersoalkan prospek hala tuju nasional untuk memerangi perkahwinan kanak-kanak di bawah penggantinya dari Parti Islam Se-Malaysia. Mengulas tindakan polis terhadapnya, Yeoh menulis, “Sekarang ini mengemukakan soalan pun tidak dibenarkan… semasa persidangan Parlimen pada bulan Mei, kami juga tidak diizinkan untuk bertanya.”

Undang-undang hasutan dan fitnah membawa kepada penapisan sendiri oleh sumber kandungan internet tempatan termasuk penulis blog, penyedia berita, dan aktivis NGO.

Undang-undang mewajibkan penyedia internet dan perkhidmatan rangkaian lain untuk mendapatkan lesen, dan membolehkan hukuman dikenakan terhadap pemilik laman web atau blog kerana membenarkan kandungan perkauman, agama, atau politik yang menyinggung. Kerajaan menganggap mereka yang menyiarkan kandungan sebagai penerbit, seterusnya meletakkan beban bukti terhadap orang yang menyiarkan kandungan itu. NGO dan orang ramai mengkritik undang-undang itu, dengan menyatakan ia boleh menyebabkan penapisan sendiri disebabkan oleh kebimbangan liabiliti.

KEBEBASAN AKADEMIK DAN ACARA KEBUDAYAAN

Kerajaan meletakkan beberapa sekatan ke atas kebebasan akademik, terutamanya luahan pandangan politik yang tidak disetujui, dan sekatan yang dikenakan terhadap guru dan pelajar yang menyatakan pandangan yang menentang. Kerajaan menghendaki semua kakitangan awam, ahli fakulti universiti, dan pelajar menandatangani kesetiaan kepada raja dan kerajaan. Sesetengah ahli politik dan aktivis hak asasi manusia mendakwa kerajaan menggunakan ikrar kesetiaan untuk menghalang kegiatan politik dalam kalangan kumpulan-kumpulan ini. Walaupun ahli fakulti kadangkala mengkritik kerajaan secara terbuka, ahli akademik universiti awam mengamalkan penapisan sendiri memandangkan kemajuan kerjaya dan dana penyelidikan mereka bergantung kepada kerajaan. Pengawasan sendiri juga berlaku dalam kalangan ahli akademik di institusi swasta, didorong oleh ketakutan bahawa kerajaan mungkin membatalkan lesen institusi mereka. Undang-undang mengenakan batasan terhadap persatuan pelajar dan aktiviti politik pelajar dan fakulti. Pelajar masih dilarang daripada “menyatakan sokongan atau simpati” terhadap persatuan atau organisasi yang menyalahi undang-undang.

Pihak berkuasa menahan dua pemimpin pelajar Persatuan Belia Baharu Universiti Malaysia (Universiti Malaya Association of New Youth atau UMANY) kerana hasutan dan penyalahgunaan kemudahan rangkaian berhubung siaran di media sosial yang membincangkan skop kuasa raja. Polis mengatur serbuan di kediaman presiden kumpulan pelajar itu dan memanggil enam anggota jawatankuasa ke ibu pejabat polis untuk disoal siasat. Menurut peguam yang mewakili pemimpin pelajar itu, polis juga bertanya tentang latar belakang, struktur organisasi, dan operasi kumpulan pelajar itu sebagai badan pelajar Universiti Malaya. Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia Katrina Maliamauy mengulas, “Perkara ini merupakan pelanggaran hak mereka terhadap kebebasan bersuara, terutamanya memandangkan siaran Facebook yang mereka buat dimaksudkan untuk menjadi sebahagian daripada perbahasan akademik.”

Kerajaan menapis filem yang mengandungi unsur politik dan agama tertentu, tidak membenarkan, contohnya, penayangan filem dalam bahasa Ibrani atau Yiddish, atau dari Israel. Walaupun kerajaan membenarkan filem asing di festival filem tempatan, ia kadangkala menapis kandungan secara fizikal dengan menutup skrin sehingga adegan yang dipertikaikan itu selesai. Peraturan penapisan media melarang filem dan lagu yang mempromosikan penerimaan golongan gay (lihat bahagian 6). Pada bulan Februari, Galeri Seni Negara, di bawah arahan kerajaan, memberi respons terhadap kritikan orang ramai dan mengembalikan karya seni yang sebelumnya diturunkan daripada pameran Ahmad Fuad Osman bertajuk At the End of The Day Even Art Is Not Important yang memaparkan kandungan bogel dan politik. Galeri Seni Negara mempertahankan haknya untuk mengeluarkan karya yang menyentuh “martabat mana-mana individu, agama, politik, kaum, budaya, dan negara.”

B. KEBEBASAN BERHIMPUN SECARA AMAN DAN BERPERSATUAN

Perlembagaan memperuntukkan kebebasan berhimpun dan berpersatuan tetapi membenarkan sekatan yang difikirkan perlu atau sesuai demi kepentingan keselamatan, dan ketenteraman awam, atau (dalam hal persatuan) moral. Mematuhi sekatan kerajaan tidak melindungi sesetengah penunjuk perasaan daripada gangguan atau ditangkap.

KEBEBASAN BERHIMPUN SECARA AMAN

Perlembagaan memperuntukkan “hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata” kepada rakyat. Namun, beberapa undang-undang membatasi hak ini. Walaupun undang-undang tidak mewajibkan kumpulan untuk memperoleh permit bagi perhimpunan, pihak polis sering kali meletakkan sekatan masa, tempat, dan lain-lain ke atas hak untuk berhimpun. Pihak berkuasa mengharamkan protes jalanan, dan polis kadangkala berhadapan dengan demonstrasi masyarakat sivil dan pembangkang dengan penangkapan besar-besaran.

Protes yang dianggap dapat diterima oleh kerajaan biasanya berjalan tanpa campur tangan. Kerajaan membatasi hak kebebasan berhimpun kerana kebimbangan mengenai penyebaran COVID-19, serta menutup sementara perniagaan, sekolah, dan tempat-tempat awam yang lain.

Pada 1 Mac, sehari selepas pelantikan pemimpin Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, kira-kira 100 penunjuk perasaan tidak mengendahkan amaran polis dan melakukan demonstrasi menentang apa yang mereka sebut sebagai kerajaan “pintu belakang” Muhyiddin. Polis hadir tetapi tidak menghentikan tunjuk perasaan. Peguam aktivis Fadiah Nadwa Fikri mengatakan bahawa dia kemudian “dipilih” oleh polis kerana menyiarkan video tunjuk perasaan itu dan disiasat kerana hasutan dan penggunaan kemudahan rangkaian secara salah.

KEBEBASAN BERPERSATUAN

Perlembagaan memperuntukkan hak berpersatuan. Walau bagaimanapun, kerajaan meletakkan sekatan yang ketara terhadap hak ini, dan undang-undang tertentu membatasinya. Mengikut undang-undang, hanya organisasi berdaftar dengan tujuh orang atau lebih boleh berfungsi secara sah. Kerajaan selalunya menghalang pendaftaran pertubuhan yang dianggap sangat tidak mesra kepada kerajaan atau mengenakan prasyarat yang ketat. Kerajaan boleh membatalkan pendaftaran kerana melanggar undang-undang yang mengawal persatuan.

Kerajaan mengharamkan keanggotaan dalam parti politik dan organisasi yang tidak berdaftar.

Banyak pertubuhan hak asasi manusia dan organisasi masyarakat sivil  menghadapi kesukaran mendapatkan pengiktirafan kerajaan sebagai NGO. Akibatnya banyak NGO berdaftar sebagai syarikat, yang menghadapi halangan perundangan dan birokrasi untuk mengumpul wang untuk menyokong kegiatan mereka. Pihak berkuasa sering menyebut ketiadaan pendaftaran sebagai alasan untuk mengambil tindakan terhadap organisasi. Sesetengah NGO juga melaporkan kerajaan memantau aktiviti mereka untuk menakut-nakutkan mereka.

C. KEBEBASAN BERAGAMA

Lihat Laporan Kebebasan Beragama Jabatan Negara A.S. di https://www.state.gov/religiousfreedomreport/.

D. KEBEBASAN BERGERAK

Perlembagaan memperuntukkan kebebasan bergerak dalam negara, penghijrahan, dan penghantaran balik. Namun hak ini selalunya dibatasi oleh pegawai kerajaan persekutuan dan negeri, terutamanya di negeri-negeri di timur Malaysia iaitu Sabah dan Sarawak.

Pergerakan Dalam Negara: Negeri Sabah dan Sarawak mengawal imigresen yang masuk ke kawasan mereka dan mewajibkan warga asing dan warganegara dari Semenanjung Malaysia untuk mengemukakan pasport atau kad pengenalan nasional untuk kemasukan. Pihak berkuasa di negeri-negeri terus menghalang kemasukan pemimpin negara tertentu ke dalam negeri-negeri ini. Sarawak mengekalkan larangan masuk antaranya ke atas Zakir Naik, seorang pendakwah Islam kontroversi; Mandeep Karpal Singh, yang sebelum ini adalah gabungan NGO untuk pilihan raya yang adil Bersih; pengerusi Bersih sekarang Thomas Fann; bekas pengerusi Maria Chin dan Ambiga Sreenevasan; Wong Chin Huat, ahli akademik dan pengerusi sumber Bersih; Jerald Joseph, pesuruhjaya SUHAKAM; dan aktivis Colin Nicholas dan Jannie Lasimbang. Terdapat beberapa sekatan pergerakan dalam negara oleh pelarian dan pencari suaka (lihat bahagian 2.f.) dan beberapa sekatan perjalanan dalaman yang berkaitan dengan COVID-19.

Perjalanan Luar Negara: Perjalanan ke Israel adalah tertakluk kepada kelulusan dan terhad kepada tujuan keagamaan.

Pada bulan Mac sebagai tindak balas terhadap wabak COVID-19, kerajaan meletakkan sekatan memasuki negara ini. Warganegara diwajibkan untuk menjalani kuarantin setelah kembali, dan terdapat sekatan bagi mana-mana warga asing untuk memasuki negara ini.

Pada bulan September negara melaksanakan sekatan masuk dan pergerakan ke atas semua warganegara asing dari negara-negara yang melaporkan lebih 150,000 kes COVID-19 pada waktu itu hingga 31 Disember sebagai tindak balas terhadap penularan pandemik. Mereka yang terjejas termasuk pelawat jangka pendek, penduduk tetap, pelajar, pekerja asing, dan penduduk jangka panjang. Warganegara asing dibenarkan untuk meninggalkan Malaysia.

E. STATUS DAN LAYANAN TERHADAP ORANG PELARIAN DALAMAN

Tidak Berkenaan.

F. PERLINDUNGAN BAGI PELARIAN

Kerajaan umumnya tidak menghalang organisasi yang memberi perlindungan dan bantuan kepada pendatang, pelarian, dan orang tanpa kerakyatan, yang kebanyakannya hidup bebas bergaul dengan orang ramai. Kerajaan bekerjasama tetapi secara terhad dengan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dan organisasi kemanusiaan lain dalam memberikan perlindungan dan bantuan kepada pelarian dan pencari suaka. Oleh sebab tidak ada kerangka undang-undang untuk menangani pelarian dan pencari suaka di negara ini, UNHCR menjalankan semua aktiviti yang berkaitan dengan perlindungan, termasuk pendaftaran dan penentuan status.

Layanan Buruk Terhadap Pendatang, Pelarian, dan Orang Tanpa Kerakyatan: Sehingga 31 Ogos, terdapat 178,140 pelarian dan pencari suaka didaftarkan dengan UNHCR di Malaysia, yang mana 153,430 berasal dari Burma. Daripada angka dari Burma ini, 101,530 merupakan orang Rohingya. Terdapat kira-kira 24.700 pelarian dan pencari suaka dari 50 negara, termasuk Pakistan, Yaman, Syria, Somalia, Afghanistan, Sri Lanka, Iraq, Palestin, dan lain-lain. Terdapat kira-kira 46,500 kanak-kanak lebih muda daripada usia 18 tahun.

Kebanyakan pendatang, pelarian, dan orang tanpa kerakyatan tinggal di tempat tinggal persendirian dan hidup atas sokongan daripada UNHCR, NGO, pertubuhan berasaskan komuniti, rangkaian sokongan pelarian, atau melakukan kerja secara haram atau tidak formal. Kerajaan telah menahan ribuan individu di dalam pusat tahanan imigresen dan kemudahan lain. Akses kepada mereka yang berada di pusat tahanan selalunya terhad.

Antara bulan April dan Julai, dengan meningkatnya permusuhan masyarakat terhadap warga asing pendatang, terutama Rohingya, kerana bimbang mereka menjadi beban sumber awam dan penyebar COVID-19, kerajaan menangkap pekerja pendatang tanpa dokumen, termasuk kanak-kanak, dan menahan ribuan orang dalam tahanan dan sel sesak di pusat tahanan imigresen dan kemudahan lain. Akses kepada mereka yang berada di pusat tahanan selalunya terhad. NGO menganggap tindakan keras itu sebagai “pelanggaran hak asasi manusia yang dahsyat” dan menyatakan bahawa penahanan besar-besaran boleh menyebarkan lagi kes COVID-19 dalam kemudahan penahanan, dengan menekankan juga bahawa penangkapan tersebut boleh mencegah ramai orang untuk tampil secara sukarela untuk menjalani ujian atau rawatan. Pada 27 Mei, pertubuhan NGO Lawyers for Liberty menyatakan: “Pendatang tanpa dokumen bukanlah ‘korban yang dapat diterima’ dari pandemik COVID-19.” Pada bulan Februari, UNHCR mengatakan bahawa sejak bulan Ogos 2019, pihak berkuasa telah melarang kunjungan stafnya ke pusat tahanan untuk bertemu dengan pelarian dan pencari suaka, menentukan mereka yang memerlukan perlindungan antarabangsa, dan menganjurkan pembebasan mereka.

NGO dan pertubuhan antarabangsa yang terlibat dengan populasi ini membuat tuduhan yang berwibawa tentang kesesakan yang berlebihan, makanan dan pakaian yang tidak mencukupi, kekurangan akses tetap kepada air bersih, penjagaan kesihatan yang kurang baik, sanitasi yang tidak baik, dan kekurangan tempat tidur dalam pusat penahanan imigresen. Pada bulan Ogos, organisasi masyarakat sivil Indonesia Koalisi Buruh Migran Berdaulat menuduh petugas imigresen Malaysia mengenakan pekerja migran Indonesia yang ditahan di Sabah dengan “penyeksaan sistematik dalam skala besar” dalam keadaan tidak berperikemanusiaan dan tanpa makanan dan air yang mencukupi. Kumpulan itu mendakwa tahanan yang tidak mematuhi petugas ditumbuk dan ditendang, kemudian dijangkakan untuk mengucapkan “terima kasih, cikgu” kepada pegawai; jika mereka tidak mengucapkan terima kasih ketika mereka dipukul, mereka akan dipukul lagi. Mereka juga dihukum dengan dipaksa mencangkung di atas lantai sepanjang hari.

NGO tempatan dan antarabangsa menganggarkan kebanyakan 17 pusat tahanan imigresen berada pada atau di luar kapasiti, dengan beberapa tahanan ditahan selama setahun atau lebih. Jumlah yang ditahan di pusat tahanan ini tidak boleh didapati secara terbuka.

Organisasi hak asasi manusia menyatakan kebimbangan serius mengenai kekurangan akses kepada proses undang-undang yang adil dan perwakilan yang mencukupi semasa perbicaraan mahkamah imigresen. Badan Peguam Malaysia mengkritik mahkamah imigresen di pusat tahanan kerana kemudahan proses undang-undang untuk pekerja asing tidak diberikan pemahaman yang jelas mengenai tuduhan terhadap mereka dalam bahasa mereka sendiri dan dengan sendirinya mereka dinafikan hak untuk nasihat perundangan. Di perbicaraan mahkamah, 15 hingga 20 pendatang sering dibicarakan bersama, dikumpulkan mengikut kesalahan yang dikenakan atas mereka. Sekiranya didapati bersalah, kos pengusiran selalunya jatuh kepada tahanan, yang menyebabkan penahanan dilanjutkan kerana pendatang tidak dapat membayar.

Kerajaan pada beberapa kesempatan secara paksa mengusir bot dengan pelarian dan pencari suaka dari negara di mana nyawa atau kebebasan mereka boleh terancam berdasarkan bangsa, agama, kewarganegaraan, keanggotaan mereka dalam kelompok sosial, atau pendapat politik. NGO Fortify Rights melaporkan bahawa pada 16 April, Pengawal Pantai Bangladesh menyelamatkan 396 orang Rohingya dari sebuah kapal yang hanyut selama berminggu-minggu, sehingga 60 kematian. sebelum ini pihak berkuasa Malaysia telah memaksanya kembali ke laut. Mereka juga melaporkan bahawa pada 16 April, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia memaksa kapal lain dengan lebih dari 200 orang Rohingya kembali ke laut. Pada 8 Jun, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob melaporkan bahawa pihak berkuasa telah menghalang kedatangan 22 kapal dengan orang asing, tidak termasuk kapal yang membawa pelarian Rohingya, sejak 1 Mei.

Akses kepada Suaka: Undang-undang tidak memperuntukkan pemberian perlindungan suaka atau status pelarian, dan kerajaan tidak menubuhkan satu sistem untuk memberikan perlindungan kepada pelarian.

Pendatang, pelarian, dan orang tanpa kerakyatan tidak menerima sokongan kerajaan. Kerajaan membenarkan UNHCR dan NGO untuk bekerja dengan kumpulan ini, tetapi kerjasama kerajaan dengan UNHCR tidak konsisten.

Sebagai “pendatang tanpa izin,” pelarian dan lain-lain boleh dikenakan pengusiran pada bila-bila masa. Mereka juga menghadapi hukuman penjara maksimum lima tahun, denda, atau kedua-duanya, dan hukuman mandatori maksimum enam sebatan jika disabitkan dengan pelanggaran undang-undang imigresen. Pada bulan Jun, 40 pelarian Rohingya dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan kerana tiba di negara ini dengan kapal tanpa izin yang sah. Daripada jumlah itu, 27 lelaki juga dihukum tiga sebatan dengan sebatang rotan. Mahkamah tinggi kemudian mengetepikan hukuman sebat berikutan protes daripada pembela hak asasi manusia.

Kebebasan Bergerak: Kerajaan umumnya bertolak ansur dengan kehadiran pelarian dan pencari suaka tanpa dokumen, tetapi kadangkala menahan mereka atas pelbagai sebab, di penjara polis atau pusat tahanan imigresen sehingga mereka boleh diusir atau UNHCR mengesahkan bona fide mereka. Namun, sesetengah pelarian yang memegang kad pengenalan UNHCR melaporkan keupayaan terhad untuk bergerak di seluruh negara kerana pihak berkuasa kadangkala tidak mengenali kad UNHCR.

Pekerjaan: Walaupun kerajaan tidak membenarkan pelarian UNHCR berdaftar untuk bekerja, ia biasanya tidak mengganggu jika mereka melakukan kerja secara tidak formal. UNHCR melaporkan kerajaan melakukan pendakwaan, dalam beberapa kes, terhadap majikan kerana mengambil mereka bekerja. Pelarian yang bekerja di sektor tidak formal dibayar gaji lebih rendah berbanding pekerja yang sama dengan mereka dan mereka terdedah kepada eksploitasi.

Akses kepada Perkhidmatan Asas: Kerajaan menyediakan akses kepada penjagaan kesihatan pada kadar diskaun warga asing sebanyak 50% kepada pelarian yang berdaftar dengan UNHCR, tetapi tidak kepada orang tanpa kad pendaftaran UNHCR. NGO mengendalikan klinik statik dan mudah alih, tetapi bilangannya dan aksesnya adalah terhad. Pelarian tidak mempunyai akses kepada sistem pendidikan awam. Akses kepada pendidikan adalah terhad kepada sekolah-sekolah yang dikendalikan oleh NGO dan komuniti etnik. UNHCR menganggarkan kurang daripada 40 peratus kanak-kanak pelarian menghadiri sekolah. Kekurangan sumber dan guru yang bertauliah mengehadkan peluang belajar kepada majoriti anak-anak pelarian.  Staf UNHCR melakukan banyak lawatan ke penjara dan pusat tahanan imigresen untuk memberikan kaunseling, sokongan, dan wakil perundangan untuk pelarian dan pencari suaka.

Perlindungan Sementara: Kerajaan memberikan permit tinggal sementara yang boleh diperbaharui kepada sekumpulan pelarian Syria. Permit ini membolehkan mereka tinggal secara sah dan memberikan hak untuk bekerja, tetapi mesti diperbaharui setiap tahun. Bagaimanapun, NGO Hak Hak Migran Tenaganita mengatakan bahawa pelarian Syria sering kali tidak dapat mengakses sepenuhnya hak yang diberikan kepada mereka melalui permit ini dan mengalami kesukaran untuk mengakses institusi kesihatan dan akademik.

G. ORANG TANPA KERAKYATAN

Jabatan Pendaftaran Negara tidak menyimpan rekod orang tanpa kerakyatan. Pada tahun 2019, UNHCR menganggarkan terdapat 12,400 orang tanpa kerakyatan yang menetap di semenanjung Malaysia dan 450,000 di Sabah. Angka asas mengenai orang tanpa kerakyatan dan orang yang “berisiko” tanpa kerakyatan di negeri timur Sabah, di mana kira-kira 80,000 pelarian Muslim Filipina tinggal, tidak tersedia.

Undang-undang kewarganegaraan dan peraturan serta prosedur pendaftaran kelahiran mewujudkan kumpulan besar kanak-kanak tanpa kerakyatan dalam populasi pendatang dan pelarian. Apabila ibu tidak mempunyai bukti kewarganegaraan yang sah, pihak berkuasa memasukkan kewarganegaraan anak sebagai “tidak diketahui” pada surat beranak. UNHCR menganggap masalah ini sebagai meluas.

Walaupun jika bapa ialah seorang rakyat Malaysia, perkahwinan itu boleh dianggap tidak sah dan anak tidak sah jika ibu tidak mempunyai bukti kerakyatan; anak itu juga dianggap tanpa kerakyatan

Sesetengah pemerhati menyatakan bahawa anak yang dilahirkan oleh pelarian dan pencari suaka Islam selalunya lebih senang mendapat kewarganegaraan berbanding pelarian dan pencari suaka bukan Islam. Bagi pelarian yang berkahwin secara Islam, pemerhati mendakwa pihak berkuasa sering menerima dokumen UNHCR atau dokumentasi lain sebagai ganti pasport bagi bukti kewarganegaraan.

Orang yang tidak mempunyai bukti kewarganegaraan tidak dapat mengakses perkhidmatan kerajaan seperti kos penjagaan kesihatan yang lebih rendah, atau memiliki hartanah sendiri.  Walau bagaimanapun, kerajaan persekutuan mula membenarkan kanak-kanak tanpa kerakyatan untuk mendaftarkan diri di sekolah-sekolah kerajaan jika ibu bapa dapat membuktikan bahawa bapa anak itu rakyat Malaysia. Menteri Pendidikan menyatakan terdapat 2,635 kanak-kanak yang tiada dokumen di sekolah-sekolah di seluruh negara pada Oktober 2019.

Pada 5 Ogos, Kementerian Dalam Negeri memberikan kewarganegaraan kepada pemain e-sukan berusia 20 tahun, Muhammad Aiman Hafizi Ahmad, selepas mengambil masa tiga tahun menolak permohonan pertama yang dibuat bagi pihaknya oleh ibu bapa angkatnya ketika berusia 12 tahun dan mengambil tiga tahun lagi untuk mempertimbangkan permohonan kedua. Dilahirkan di negara ini oleh ibunya warganegara Indonesia dan ayah yang tidak dikenali, Aiman diambil sebagai anak angkat secara sah oleh pasangan Malaysia, tetapi dokumen-dokumennya menggambarkannya sebagai tanpa kerakyatan. Walaupun perlembagaan membenarkan kerajaan mendaftarkan sesiapa yang berumur 21 tahun ke bawah sebagai warganegara, peguam Aiman mengatakan bahawa prosesnya “tidak telus dan mengambil masa yang sangat lama… kerajaan sering menolak permohonan tanpa alasan,” sambil menambah bahawa terdapat banyak orang lain tanpa kerakyatan yang dianggap sebagai “tidak kelihatan” dan bahawa tanpa publisiti, kes Aiman akan menjadi lebih sukar.

Bahagian 3. Kebebasan Mengambil Bahagian dalam Proses Politik

Undang-undang memberikan kebolehan kepada warga negara untuk memilih kerajaan mereka dalam pilihan raya berkala yang bebas dan adil yang diadakan dengan undi rahsia dan berdasarkan hak memilih sejagat dan sama rata. Pada tahun 2018, pakatan pembangkang Pakatan Harapan mengalahkan gabungan Barisan Nasional yang berkuasa dalam pilihan raya umum, menandakan peralihan kuasa persekutuan pertama antara gabungan parti politik sejak kemerdekaan pada tahun 1957. Sebelum pilihan raya 2018, parti-parti politik pembangkang berada dalam keadaan kurang beruntung kerana kawalan kerajaan Barisan Nasional ke atas media tradisional dan pembahagian kawasan pilihan raya yang tidak adil serta sebab-sebab lain.

Walaupun pihak berkuasa umumnya mencatatkan undi secara tepat, terdapat penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu gabungan Barisan Nasional yang mempengaruhi keadilan dalam pilihan raya.

Perlembagaan juga memperuntukkan peralihan kuasa tanpa melalui pilihan raya perundangan baharu. Perkara ini terjadi pada bulan Februari ketika gabungan Pakatan Harapan yang berkuasa jatuh, mengakibatkan perpindahan kuasa kepada gabungan Perikatan Nasional yang baharu. Agong menetapkan bahawa Perikatan Nasional mempunyai majoriti dalam parlimen dan melantik Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, yang selari dengan parameter perlembagaan. Gabungan baharu ini tidak mendapatkan mandat popular melalui pilihan raya umum selama lapan bulan pertama memegang jawatan, dan mengadakan tiga sesi parlimen – satu sesi yang berlangsung kurang dari satu hari pada bulan Mei, apabila Perdana Menteri tidak mengizinkan usul, termasuk percubaan undi tidak percaya, sidang kedua pada bulan Ogos yang memfokuskan pada penerimaan pakej rangsangan ekonomi COVID-19, dan sidang ketiga pada bulan November dan Disember untuk mempertimbangkan belanjawan.

Perlembagaan menetapkan jumlah kerusi di parlimen yang diperuntukkan untuk setiap negeri dengan memberi kelebihan kepada negeri luar bandar dan tanpa mengira perpindahan penduduk dari masa ke masa. Selain itu, ia tidak memerlukan populasi yang seimbang di kawasan pilihan raya di negeri tertentu. Setiap kawasan pilihan raya memilih seorang ahli parlimen. Suruhanjaya Pilihan Raya telah membentuk kawasan pilihan raya dengan populasi yang berbeza-beza, dengan kelebihan untuk penduduk luar bandar. Contohnya, daerah luar bandar Igan mempunyai 18,000 pengundi berdaftar, sementara daerah bandar Kapar mempunyai lebih daripada 144,000 pengundi berdaftar. Pegawai tempatan dan perbandaran dilantik di peringkat negeri atau persekutuan.

PILIHAN RAYA DAN PENYERTAAN POLITIK

Pilihan Raya Terkini: Pilihan raya umum terkini di negara ini diadakan pada tahun 2018 dalam keadaan tuduhan berat sebelah kepartian terhadap pihak institusi awam, khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya dan Pendaftar Pertubuhan. Satu konsortium NGO mengeluarkan laporan rasmi pada tahun 2018 yang memperincikan penyelewengan dalam pilihan raya, termasuk membeli undi, penggunaan dana awam untuk aktiviti parti, dan tuduhan berlaku berat sebelah oleh pegawai awam. Menurut badan-badan NGO, yang tiada satu pun secara rasmi diiktiraf untuk memerhati pilihan raya, kerajaan persekutuan dan negeri membelanjakan lebih RM5 bilion untuk “pemberian” selepas parlimen dibubarkan dan pembuat undang-undang dilarang daripada membuat komitmen kewangan baharu. Laporan itu juga mendakwa seorang pemerhati pilihan raya yang bertauliah aktif berkempen untuk kerajaan Barisan Nasional yang terdahulu.

Walaupun terdapat bantahan kuat oleh parti pembangkang dan masyarakat sivil, pada tahun 2018, kerajaan Barisan Nasional yang terdahulu meluluskan persempadanan semula daerah parlimen yang dikatakan oleh pengkritik menguntungkan Barisan Nasional secara tidak adil melalui “gerimandering” (manipulasi kawasan pilihan raya) dan pembahagian kawasan yang tidak adil. Mengikut undang-undang, kerajaan tidak boleh membuat persempadanan semula pilihan raya sehingga tahun 2026 melainkan ahli parlimen meminda perlembagaan persekutuan, satu proses yang memerlukan undi majoriti dua pertiga. Walaupun terdapat dakwaan penyelewengan pilihan raya dan kelemahan sistemik bagi kumpulan pembangkang, Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya kepada Pakatan Harapan, pemindahan kuasa pertama antara gabungan parti yang memerintah kerajaan sejak kemerdekaan pada tahun 1957.

Parti Politik dan Penyertaan Politik: Ramai calon parti pembangkang tidak dapat bersaing secara adil dengan gabungan yang diketuai oleh Barisan Nasional dan dikenakan sekatan dan gangguan luar semasa kempen pilihan raya 2018. Pendaftaran parti politik baru kekal sukar kerana sekatan kerajaan untuk proses ini.

Penyertaan Wanita dan Ahli Kumpulan Minoriti: Tiada undang-undang yang mengehadkan penyertaan wanita atau kumpulan minoriti dalam proses politik dan mereka menyertai politik. Di parlimen 33 wanita memegang 14.8 peratus kerusi, meningkat daripada 10.8 peratus pada kitaran pilihan raya sebelumnya. Lapan daripada 14 hakim Mahkamah Persekutuan ialah wanita. Pada bulan Mac, jumlah hakim bukan Islam yang berkhidmat di Mahkamah Persekutuan meningkat kepada empat orang; jumlahnya sebelum ini terhad kepada dua orang. Pada bulan Mei, Tengku Maimun Tuan Mat dilantik sebagai Ketua Hakim, dan menjadi wanita pertama yang memegang jawatan itu. Pada bulan Julai, Dato’ Sri Azalina binti Othman Said dilantik sebagai Timbalan Speaker Parlimen wanita yang pertama.

Persekitaran politik adalah tidak mesra terhadap wanita. Serangan terhadap ahli politik perempuan dan wanita yang mengkritik politik negara itu biasa, termasuk teguran seksis di parlimen terhadap ahli parlimen wanita, ancaman rogol dan pembunuhan melalui Facebook dan platform media sosial lain, dan stereotaip calon politik wanita. Munculnya pentadbiran Perikatan Nasional yang baharu menyaksikan pengurangan pengaruh wanita dalam tingkat tertinggi kerajaan, termasuk jawatan timbalan perdana menteri yang sebelumnya dipegang oleh Wan Azizah Wan Ismail.

Sembilan jawatan kabinet dipegang oleh wanita, berbanding dengan 10 jawatan yang dipegang oleh wanita di bawah pentadbiran Pakatan Harapan. Sebilangan besar pemimpin wanita di agensi negeri juga digantikan oleh lelaki.

Bahagian 4. Korupsi dan Kekurangan Ketelusan dalam Kerajaan

Undang-undang memperuntukkan penalti untuk rasuah oleh pegawai kerajaan. Sebelum perubahan kerajaan pada bulan Februari, kerajaan mendakwa beberapa bekas pegawai kerajaan dengan rasuah, termasuk mantan Perdana Menteri. Akan tetapi masih terdapat persepsi luas tentang korupsi dan kronisme yang meluas di institusi kerajaan. Media melaporkan banyak kes dakwaan rasuah kerajaan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bertanggungjawab untuk menyiasat rasuah di kedua-dua badan swasta dan awam tetapi tidak mempunyai kuasa pendakwaan. Ketua Audit Negara bertanggungjawab, seperti yang ditetapkan dalam perlembagaan, untuk mengaudit akaun kerajaan persekutuan dan negeri, agensi kerajaan, dan pihak berkuasa kerajaan yang lain.

Korupsi: Dalam perbicaraan jenayah pertama dalam sejarah negara yang melibatkan seorang bekas perdana menteri, pada bulan Julai mahkamah tinggi telah menjatuhkan hukuman ke atas Najib Razak atas semua tujuh tuduhan yang didakwa terhadapnya dalam satu daripada lima perbicaraan rasuah yang berkaitan dengan skandal dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Najib dituduh berhubung pemberian jaminan kerajaan atas pinjaman daripada dana persaraan negara itu kepada anak syarikat 1MDB, penyalahgunaan dana, dan pengubahan wang haram. Saman yang difailkan terhadap isteri Najib, Rosmah Mansor atas 19 tuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai masih dijalankan.

Pada bulan Mei, mahkamah sesyen membenarkan Riza Aziz, anak tiri kepada Najib, pelepasan tanpa pembebasan berhubung lima tuduhan pengubahan wang haram hampir $250 juta daripada dana pelaburan 1MDB. Sebagai sebahagian daripada perjanjian, Riza akan mengembalikan aset bernilai $108 juta. Bekas Peguam Negara Tommy Thomas, yang memulai dakwaan terhadap Riza dan Najib, menyebutnya “perjanjian bagus untuk Riza tetapi tidak bagus bagi Malaysia.” Banyak anggota komuniti undang-undang mengecam keputusan mahkamah ini.

Pada bulan Jun, mahkamah tinggi membebaskan mantan ketua menteri Sabah Musa Aman atas semua 46 tuduhan jenayah rasuah dan pengubahan wang haram terhadapnya, dengan alasan kegagalannya mendapatkan dokumen perbankan utama dan ketiadaan beberapa saksi. Musa didakwa pada tahun 2018 dengan 35 tuduhan menerima suapan berjumlah RM243 juta. Pada tahun 2019 dia didakwa dengan 16 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan RM160 juta.

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, pihak berkuasa menahan 867 pegawai kerajaan kerana korupsi dan rasuah dari Januari 2019 hingga September 2020.

Dedahan Kewangan: Ahli kabinet mesti mengisytiharkan aset mereka kepada Perdana Menteri. Penjawat awam kanan perlu mengisytiharkan aset mereka kepada Ketua Setiausaha Negara. Penjawat awam junior mesti mengisytiharkan aset mereka kepada ketua jabatan mereka. Aset, liabiliti, dan kepentingan yang diisytiharkan pegawai kerajaan mestilah jelas dan tidak termasuk aset dan pendapatan pasangan dan anak yang masih dalam tanggungan, kecuali dalam kes ahli parlimen. Pegawai kerajaan mesti mengisytiharkan aset mereka setiap tahun, tetapi tidak ketika memulakan atau berhenti daripada jawatan mereka. Mereka yang menolak atau gagal untuk mengisytiharkan aset mereka menghadapi tindakan tatatertib dan tidak layak untuk dinaikkan pangkat. Pengisytiharan seperti itu dibuat kepada umum.

Pada bulan Mac, Perdana Menteri Muhyiddin mengumumkan bahawa semua wakil rakyat dalam kerajaan perlu mengisytiharkan aset mereka dalam tiga bulan dari tarikh mereka dilantik. Pada bulan Julai, kerajaan mengeluarkan maklumat mengenai semua aset yang diisytiharkan secara terbuka. Sehingga Ogos, 57 daripada 70 pegawai kerajaan dalam kerajaan Perikatan Nasional mempunyai pendapatan bulanan dan jumlah aset yang disenaraikan di portal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang dapat diakses oleh orang ramai.

Bahagian 5.

Sikap Kerajaan Terhadap Siasatan Antarabangsa dan Bukan Kerajaan Tentang Dakwaan Pencabulan Hak Asasi Manusia

Kumpulan-kumpulan hak asasi manusia tempatan dan antarabangsa beroperasi dengan tertakluk kepada pelbagai tahap sekatan kerajaan, menjalankan penyiasatan serta menyiarkan penemuan mereka berkaitan kes hak asasi manusia. Namun, kerajaan tidak selalunya bekerjasama atau responsif terhadap pandangan mereka.

Di luar bidang hak politik dan hak asasi manusia, kerajaan pada umumnya membenarkan NGO berfungsi secara bebas, bertemu dengan wakil daripada beberapa NGO, dan menjawab beberapa permintaan NGO. Namun kerajaan juga mengambil tindakan terhadap beberapa NGO.

Badan Hak Asasi Manusia Kerajaan: Suruhanjaya hak asasi manusia kerajaan SUHAKAM diketuai oleh seorang pengerusi dan pesuruhjaya yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Pemerhati umumnya menganggap SUHAKAM pemantau hak asasi manusia yang boleh dipercayai. SUHAKAM menjalankan latihan, membuat siasatan, mengeluarkan laporan, dan mengemukakan cadangan kepada kerajaan. SUHAKAM tidak boleh menyiasat kes-kes mahkamah yang sedang berjalan dan mesti menamatkan siasatannya sekiranya kes itu menjadi subjek tindakan mahkamah. Perwakilan SUHAKAM menegaskan bahawa gabungan Perikatan Nasional enggan terlibat dengan mereka, yang menjadikan pelaksanaan reformasi mustahil.

Bahagian 6. Diskriminasi, Penganiayaan Masyarakat dan Pemerdagangan Orang

WANITA

Rogol dan Keganasan Rumah Tangga: Merogol wanita atau lelaki ialah satu kesalahan jenayah seperti kebanyakan bentuk keganasan rumah tangga. Jenayah rogol boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan. Undang-undang tidak mengiktiraf rogol perkahwinan sebagai jenayah.

Kumpulan wanita menegaskan mahkamah tidak konsisten dalam menghukum perogol. Menurut statistik terbaru daripada NGO Pertubuhan Pertolongan Wanita (Women’s Aid Organization atau WAO), terdapat 1.582 kes rogol direkodkan pada tahun 2017, dan 5,421 kes keganasan berdasarkan jantina direkodkan pada tahun 2018. Terdapat kekurangan siasatan terhadap tuduhan rogol dan keganasan berdasarkan jantina, dan sedikit akauntabiliti. Selepas perintah kawalan pergerakan untuk memerangi COVID-19 dilaksanakan pada bulan Mac, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat berdepan peningkatan sebanyak 57 peratus panggilan telefon daripada wanita yang dalam kesusahan.

Pada bulan April seorang inspektor polis ditangkap dan digantung kerja kerana menculik dan merogol dua wanita Mongolia di Petaling Jaya. Dia dilaporkan menghentikan teksi mereka semasa sekatan jalan perintah kawalan pergerakan COVID-19 dan, apabila mendapati bahawa mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, membawa mereka secara paksa ke sebuah hotel di mana dia merogol mereka. Dia didakwa dengan lapan tuduhan merogol, dengan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan hukuman sebat. Dia secara berasingan dituduh melakukan pemerdagangan orang untuk tujuan eksploitasi melalui penyalahgunaan kuasa, dengan hukuman maksimum 20 tahun penjara dan denda. Perbicaraan pada awalnya ditetapkan pada bulan Julai. Namun kedua-dua kes ditangguhkan kerana pandemik COVID-19.

Walaupun kerajaan dan NGO menyediakan perlindungan dan menawarkan bantuan lain kepada mangsa keganasan rumah tangga, aktivis menegaskan bahawa mekanisme sokongan itu masih tidak mencukupi. Banyak hospital kerajaan mempunyai pusat krisis di mana mangsa rogol dan penderaan rumah tangga boleh memfailkan laporan tanpa pergi ke balai polis. Terdapat juga unit siasatan seksual di setiap ibu pejabat polis untuk membantu mangsa jenayah seksual dan penderaan, dan kadangkala polis melantik pakar psikologi atau kaunselor untuk memberikan sokongan emosi. NGO melaporkan bahawa kerajaan tidak mengambil tindakan dalam kes keganasan rumah tangga. Mangsa mesti menyimpan bukti, mengumpulkan keterangan saksi, dan memastikan keselamatan mereka sendiri.

NGO Pertubuhan Pertolongan Wanita melaporkan bahawa 9 peratus wanita yang pernah menjalin hubungan mengalami keganasan rumah tangga dan bahawa keganasan merupakan “gejala daripada masalah yang lebih mendalam itu ketaksamarataan jantina.” Pada bulan Jun NGO itu menyatakan bahawa pertanyaan yang diterima melalui talian panas keganasan rumah tangga mereka telah meningkat ke tahap lebih tiga kali ganda sejak bulan Februari, sebelum perintah kawalan pergerakan COVID-19 dilaksanakan. Pengarah eksekutif NGO itu, Sumitra Visvanathan, menyebut kenaikan mendadak itu “sangat membimbangkan,” dengan mengatakan bahawa mangsa yang terpisah bersama pendera mereka menghadapi keadaan “lebih mudah bagi pendera untuk memaksa kawalan secara fizikal, emosi, dan sosial.” Pada bulan Julai, SUHAKAM memetik peningkatan risiko keganasan yang dihadapi oleh pembantu rumah, terutama wanita pendatang, “yang diburukkan lagi oleh sekatan perjalanan dan mobiliti mereka, serta oleh halangan bahasa dan xenofobia.”

Mutilasi/Khatan Kemaluan Perempuan (FGM/C): Undang-undang tidak melarang FGM/C yang biasa diamalkan. Walaupun data terkini sangat terhad, kajian tahun 2012 oleh seorang profesor di Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Universiti Malaya ,mendapati lebih 93 peratus daripada kira-kira 1,000 wanita Islam yang ditinjau di tiga daripada 13 negeri di Malaysia telah menjalani prosedur tersebut. Kementerian Kesihatan menggariskan panduan membolehkan amalan ini secara umum tetapi hanya di kemudahan penjagaan kesihatan kerajaan. Bagaimanapun ia tidak selalunya berlaku sedemikian. Advokat dan komuniti perubatan antarabangsa kekal prihatin bahawa sokongan Kementerian Kesihatan menyokong amalan berbahaya ini dan menyumbang kepada FGM yang diamalkan dalam perubatan. Kumpulan hak asasi wanita mengatakan fatwa tahun 2009 oleh Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam mengisytiharkan amalan yang wajib menjadikan FGM/C lebih meluas. Menurut siasatan yang diterbitkan oleh media tempatan pada tahun 2018, tidak ada prosedur standard untuk amalan ini dan “dalam beberapa kes pemotong kotak dan pisau alat tulis digunakan.” Pegawai kerajaan mempertahankan amalan itu semasa semakan PBB pada tahun 2018. Seorang pegawai Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa amalan itu hanya dilakukan oleh profesional perubatan dan membandingkannya dengan program imunisasi untuk bayi perempuan. Panel PBB menggesa Malaysia untuk menghapuskan amalan tersebut.

Sisters in Islam menegaskan kembali keprihatinannya dengan fatwa tahun 2009 daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang menghendaki gadis-gadis Islam dikhatankan. Bersempena dengan Hari Toleransi Sifar Terhadap Mutilasi Kemaluan Wanita pada bulan Februari, Sisters in Islam menyatakan: “Walaupun fatwa ini tidak diwartakan, kenyataannya adalah bahawa secara umum, fatwa memiliki pengaruh yang kuat terhadap individu dan masyarakat dalam membuat keputusan peribadi mereka.” Azrul Mohd Khalib dari Pusat Kesihatan dan Dasar Sosial Galen meminta kerajaan melarang amalan tersebut. “Kita perlu melarang dan menghukum tindakan berkhatan wanita untuk melindungi bayi perempuan dan gadis kecil kita daripada bahaya,” katanya.

Gangguan Seksual: Undang-undang melarang seseorang yang berkuasa menggunakan kedudukannya untuk mengugut orang bawahan dengan apa-apa kelakuan yang berunsur seksual. Undang-undang mengklasifikasikan beberapa jenis gangguan seksual di tempat kerja sebagai kesalahan jenayah (lihat bahagian 7.d.). Kod tingkah laku sukarela kerajaan memberi takrif terperinci tentang gangguan seksual yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai masalah tersebut. Pemerhati menyatakan bahawa pihak berkuasa mengambil serius dakwaan itu, tetapi mangsa selalunya enggan melaporkan gangguan seksual kerana kesukaran membuktikan kesalahan, dan proses perbicaraan yang panjang.

Paksaan dalam Kawalan Penduduk: Tiada laporan pengguguran paksa, atau pensterilan tanpa kerelaan dilakukan oleh pihak berkuasa kerajaan.

Diskriminasi: Perlembagaan melarang diskriminasi terhadap warganegara berdasarkan jantina, dan memberi lelaki dan wanita hak memiliki harta tanah yang sama. Walau bagaimanapun, undang-undang syariah, yang menyimpang daripada prinsip-prinsip ini dalam beberapa bidang, kadangkala digunakan. Sebagai contoh, undang-undang warisan Islam secara amnya memihak kepada keturunan lelaki dan saudara lelaki. Undang-undang syariah juga secara amnya memerlukan persetujuan suami untuk perceraian. Namun, sebilangan kecil  wanita tetapi dengan jumlah yang semakin meningkat telah memperoleh perceraian di bawah mahkamah syariah tanpa persetujuan suami mereka. Bukan Islam tidak tertakluk kepada undang-undang syariah. Undang-undang sivil memberi ibu dan bapa bukan Islam hak keibubapaan yang sama rata, sementara undang-undang syariah memberi keutamaan kepada bapa. Walau bagaimanapun, empat negeri iaitu Johor, Selangor, Negeri Sembilan, dan Pahang meluaskan hak keibubapaan yang sama kepada ibu orang Islam.

Undang-undang mewajibkan gaji yang sama kepada pekerja lelaki dan perempuan untuk pekerjaan dengan nilai yang sama. Walau bagaimanapun, NGO melaporkan diskriminasi berterusan terhadap wanita di tempat kerja dari segi kenaikan pangkat dan gaji (lihat bahagian 7.d.).

Undang-undang tidak membenarkan ibu untuk menurunkan kewarganegaraan secara automatik kepada anak yang dilahirkan di luar negara. Anak yang dilahirkan di luar negara hanya boleh didaftarkan sebagai warganegara jika bapa anak itu seorang warganegara.

KANAK-KANAK

Pendaftaran Kelahiran: Anak yang dilahirkan di negara ini mendapat kewarganegaraan jika salah seorang ibu bapa adalah warganegara atau pemastautin tetap pada masa kelahiran dan ibu bapanya berkahwin. Ibu bapa mesti mendaftarkan anak mereka dalam masa 14 hari selepas kelahiran. Ibu bapa yang lewat memohon pendaftaran mestilah memberikan bukti bahawa anak itu dilahirkan di negara ini. Menurut UNHCR, anak yang dilahirkan oleh ibu rakyat Malaysia di luar negara hanya dapat memperoleh kewarganegaraan berdasarkan budi bicara kerajaan persekutuan melalui pendaftaran di konsulat Malaysia di luar negara atau di Jabatan Pendaftaran Negara. Pihak berkuasa tidak mendaftarkan anak yang dilahirkan oleh pendatang tanpa izin atau pencari suaka. UNHCR mendaftarkan anak yang dilahirkan oleh pelarian (lihat bahagian 2.d).

Pendidikan: Pendidikan adalah percuma, wajib, dan sejagat sehingga tamat sekolah rendah (enam tahun) untuk warganegara dan penduduk tetap. Namun, tiada mekanisme yang menguatkuasakan kehadiran ke sekolah. Sekolah kerajaan tidak terbuka kepada anak pendatang tanpa izin atau pelarian, sama ada berdaftar dengan UNHCR atau tidak.

Perkahwinan Kanak-Kanak, Awal dan Paksa: Umur minimum perkahwinan adalah 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan. Perempuan beragama Islam yang kurang daripada umur 16 tahun boleh berkahwin dengan keizinan daripada mahkamah syariah. Orang asli ditadbir oleh undang-undang adat tanpa usia minimum yang ditetapkan untuk perkahwinan. Dalam beberapa kes, pihak berkuasa menganggap perkahwinan awal sebagai penyelesaian kepada rogol statutori. Advokat masih prihatin yang keluarga pelarian Rohingya menggunakan perkahwinan kanak-kanak terhadap anak perempuan mereka untuk mengatasi masalah ekonomi.

Kerajaan persekutuan melancarkan hala tuju nasional lima tahun pada bulan Januari yang menumpukan pada isu perkahwinan anak. Pelan tersebut menggariskan dasar untuk meningkatkan akses kepada pendidikan dan kehadiran di sekolah, meningkatkan akses kepada pendidikan kesihatan, mengatasi stigma dan norma sosial tentang perkahwinan kanak-kanak, dan memastikan undang-undang dan garis panduan mengenai perkahwinan kanak-kanak sesuai dengan dasar kerajaan yang menjaga kesejahteraan kanak-kanak.

Eksploitasi Seksual Kanak-kanak: Undang-undang mengharamkan pornografi dan menyatakan bahawa kanak-kanak dianggap sebagai mangsa penderaan seksual jika dia terlibat sebagai peserta atau pemerhati dalam mana-mana aktiviti yang berunsur seksual untuk tujuan pengambilan gambar, rakaman, filem, rakaman video, atau persembahan. Polis melaporkan telah mengesan kira-kira 20,000 alamat internet di negara ini yang memuat naik dan memuat turun pornografi kanak-kanak. Di bawah undang-undang, usia minimum untuk seks suka sama suka dan bukan komersial ialah 16 tahun untuk kedua-dua lelaki dan perempuan. Penglibatan dalam membikin atau menghasilkan pornografi kanak-kanak membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan tidak kurang daripada enam sebatan rotan. Sabitan untuk mengakses atau memiliki pornografi kanak-kanak membawa hukuman penjara lima tahun atau denda; sabitan untuk memperdagangkan orang yang melibatkan kanak-kanak untuk tujuan eksploitasi seksual membawa hukuman penjara tiga hingga 20 tahun dan denda.

Terdapat mahkamah khas untuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang diwujudkan untuk mempercepatkan perbicaraan yang selalunya mengambil masa bertahun-tahun untuk selesai.  Pelacuran kanak-kanak wujud, dan NGO tempatan menganggarkan pada tahun 2015 terdapat 5,000 kanak-kanak terlibat dalam pelacuran di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.  Namun, pihak berkuasa sering menganggap kanak-kanak yang terlibat dalam pelacuran sebagai pesalah atau pendatang tanpa izin, bukannya sebagai mangsa.

Kerajaan memberi tumpuan kepada mencegah eksploitasi seksual kanak-kanak, termasuk eksploitasi seks komersial.

Undang-undang memperuntukkan hukuman penjara enam hingga 20 tahun dan sebatan terhadap orang yang disabitkan dengan kesalahan sumbang mahram.

Setakat bulan Oktober, polis merekodkan 1.721 kes jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak, sementara terdapat 813 kes di mahkamah khas yang mengendalikan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Testimoni seorang kanak-kanak hanya dapat diterima jika terdapat bukti yang menyokong, yang menimbulkan masalah khas untuk kes cabul apabila mangsa kanak-kanak itu merupakan satu-satunya saksi.

Kanak-kanak Terbiar: Kanak-kanak jalanan paling banyak di Sabah. Anggaran populasi kanak-kanak jalanan berkisar antara beberapa ribu hingga 15,000, yang kebanyakannya dilahirkan di negara ini oleh ibu bapa pendatang haram. Pihak berkuasa mengusir pulang sesetengah ibu bapa ini dan mereka meninggalkan anak-anak mereka tanpa penjaga.  Ketiadaan kewarganegaraan, akses kepada sekolah, atau sokongan lain yang diberikan oleh kerajaan, menjadikan kanak-kanak ini sering kali melakukan buruh kasar, aktiviti jenayah, dan pelacuran untuk terus hidup. Mereka yang tinggal di jalanan terdedah kepada buruh paksa, termasuk terpaksa mengemis.

Penculikan Kanak-kanak Antarabangsa: Negara ini bukan satu pihak kepada Konvensyen Hague 1980 tentang Aspek Sivil Penculikan Kanak-kanak Antarabangsa. Lihat Laporan Tahunan Jabatan Negara mengenai Penculikan Anak Keibubapaan Antarabangsa di https://travel.state.gov/content/travel/en/International-Parental-Child-Abduction/for-providers/legal-reports-and-data/reported-cases.html.

ANTI-SEMITISME

Penduduk Yahudi negara ini dianggarkan antara 100 hingga 200 orang, yang kebanyakannya terdiri daripada ekspatriat dan warga asing. Anti-Semitisme adalah masalah serius di seluruh spektrum politik dan menarik sokongan yang luas dalam kalangan beberapa segmen penduduk.

Kaji selidik Liga Antifitnah tahun 2015 mendapati 61 peratus rakyat negara ini mempunyai sikap anti-Yahudi. Sebuah akhbar melaporkan pada April 2019 tentang kenyataan di parlimen oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu bahawa jumlah rakyat Israel yang memasuki Malaysia untuk acara perniagaan dan teknologi berkurangan daripada 33 pada tahun 2016 kepada hanya tiga pada tahun 2019. Bekas Perdana Menteri Mahathir mempertahankan haknya untuk bersikap anti-Semitik dalam temu ramah. Sekatan terhadap warganegara Israel untuk memasuki Malaysia masih kekal.

PEMERDAGANGAN ORANG

Lihat Laporan Pemerdagangan Orang Jabatan Negara di https://www.state.gov/trafficking-in-persons-report/.

ORANG KELAINAN UPAYA

Undang-undang memberi orang kelainan upaya hak untuk mengakses dan menggunakan kemudahan awam, fasiliti, perkhidmatan, dan bangunan awam yang dibuka atau disediakan kepada orang awam.  Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat bertanggungjawab untuk menjaga hak orang kelainan upaya.

Bangunan kerajaan yang baharu pada umumnya mempunyai pelbagai kemudahan untuk orang kelainan upaya. Namun, kerajaan tidak mewajibkan kebolehaksesan untuk pengangkutan bagi orang kelainan upaya, dan pihak berkuasa mengubah suai beberapa kemudahan awam yang lebih lama untuk memberikan akses kepada orang kelainan upaya. Menyedari pengangkutan awam tidak “mesra untuk orang kelainan upaya”, kerajaan mengekalkan 50 peratus pengurangan duti eksais ke atas kereta buatan tempatan dan motosikal yang disesuaikan untuk orang kelainan upaya.

Diskriminasi pekerjaan berlaku terhadap orang kelainan upaya (lihat bahagian 7.d.).

Pelajar kelainan upaya menghadiri sekolah arus perdana, tetapi kebolehaksesan masih menjadi masalah yang serius. Kemudahan pendidikan berasingan juga wujud, tetapi tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan semua pelajar kelainan upaya.

AHLI KUMPULAN MINORITI BANGSA/KAUM/ETNIK

Perlembagaan memberi orang Melayu dan kumpulan pribumi lain yang secara kolektif dikenali sebagai “bumiputera”, “kedudukan istimewa” di negara ini.  Peraturan dan dasar kerajaan banyak menyediakan program istimewa untuk meningkatkan kedudukan ekonomi bumiputera yang merupakan penduduk majoriti. Program sebegini memberi peluang yang terhad kepada bukan bumiputera (terutamanya kaum Cina dan India) dalam pendidikan tinggi dan pekerjaan kerajaan. Banyak industri tertakluk kepada syarat berasaskan kaum yang mensyaratkan tahap pemilikan bumiputera.  Dasar perolehan dan pelesenan kerajaan memihak kepada perniagaan milik bumiputera. Kerajaan mendakwa dasar-dasar ini diperlukan untuk mencapai keharmonian kaum dan kestabilan politik.

ORANG ASLI

Perlembagaan memperuntukkan orang asli dan bukan asli dengan hak-hak sivil dan politik yang sama, tetapi kerajaan tidak melindungi hak ini dengan berkesan.

Orang asli, yang berjumlah kira-kira 200,000, merupakan kumpulan termiskin di negara ini. Orang asli di Semenanjung Malaysia tidak mempunyai banyak keupayaan untuk mengambil bahagian dalam keputusan yang mempengaruhi mereka. Peruntukan perlembagaan memperuntukkan “kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi mana-mana Negeri Sabah dan Sarawak,” tetapi tidak merujuk secara khusus kepada Orang Asli.  Kekaburan mengenai status masyarakat ini dalam perlembagaan membawa kepada pentafsiran terpilih oleh institusi awam yang berbeza.

Mahkamah telah memutuskan bahawa Orang Asli mempunyai hak untuk tanah adat mereka di bawah perlembagaan, tetapi NGO mengatakan kerajaan gagal mengiktiraf keputusan mahkamah ini. Kerajaan boleh merampas tanah ini jika ia memberikan pampasan. Terdapat beberapa konfrontasi antara masyarakat orang asli dan syarikat pembalakan berkenaan tanah, dan ketidakpastian mengenai hak tanah mereka mendedahkan orang asli kepada eksploitasi.

Pada bulan Jun, dua komuniti Orang Asli membuat sekatan di jalan masuk ke kampung mereka di Negeri Kelantan dan Perak untuk membantah kegiatan pembalakan di kawasan tersebut. Dalam laporan polis, penduduk kampung mendakwa kampung mereka “digadaikan” oleh kerajaan Kelantan.

Pada bulan September Mahkamah Persekutuan memerintahkan kerajaan negeri Johor untuk membayar RM5.2 juta kepada penduduk kampung Orang Laut Seletar sebagai ganti rugi atas tanah pusaka mereka, setelah penduduk kampung terpaksa berpindah pada tahun 1993 untuk memberi jalan kepada pembangunan. Mahkamah juga memerintahkan agar kawasan tanah berasingan yang kini diduduki oleh penduduk didaftarkan sebagai penempatan Orang Asli. Peguam Tan Poh Lai, yang mewakili penduduk kampung, menyebut penyelesaian itu sebagai “kemenangan besar” bagi Orang Asli, dengan menyatakan, “Ini merupakan pengiktirafan bahawa tanah yang mereka dipaksa untuk berpindah memang merupakan tanah adat orang asli. Keputusan ini satu dorongan untuk semua Orang Asli di Malaysia.”

TINDAKAN KEKERASAN, DISKRIMINASI, DAN PENINDASAN LAIN BERDASARKAN ORIENTASI SEKSUAL DAN IDENTITI JANTINA

Perbuatan seks sesama jantina adalah menyalahi undang-undang. Undang-undang menyatakan bahawa perbuatan liwat dan seks oral adalah “hubungan seks yang bertentangan dengan aturan tabii.” Pada November 2019, Mahkamah Syariah Negeri Selangor menjatuhi hukuman enam hingga tujuh bulan penjara, enam sebatan, dan denda kepada lima orang lelaki kerana “cuba melakukan hubungan seks di luar tabii.” Numan Afifi, seorang aktivis hak lesbian, gay, biseksual, transgender, dan interseks (LGBTI) memberitahu media bahawa keputusan itu adalah “ketidakadilan besar” dan akan menyebabkan “budaya ketakutan.” Pantang larang agama dan kebudayaan terhadap perbuatan seks sejenis adalah meluas (lihat bahagian 2.a).

Pihak berkuasa sering kali mendakwa golongan transgender atas “kelakuan tidak senonoh” dan “menghampiri orang dengan niat tidak bermoral” di tempat awam. Mereka yang disabitkan dengan kesalahan pertama menghadapi denda kecil dan hukuman maksimum 14 hari penjara. Hukuman untuk sabitan berikutnya boleh didenda dan maksimum penjara tiga bulan. Penyokong tempatan golongan ini berpendapat bahawa wanita transgender yang dipenjarakan menjalani hukuman mereka di penjara untuk lelaki dan bahawa polis dan banduan sering mendera mereka secara lisan dan seksual.

Pada bulan Februari, Mujahid Yusof Rawa, ketika itu menteri hal ehwal Islam dalam kerajaan Pakatan Harapan, mengatakan dia akan meminta suruhanjaya komunikasi untuk mengambil tindakan terhadap Nur Sajat, seorang usahawan transgender terkemuka, selepas dia menyiarkan gambar dirinya ketika menunaikan haji di Mekah. Menteri itu menyebut tindakan Nur Sajat sebagai “kesalahan” yang boleh menjejaskan hubungan dua hala dengan Arab Saudi. Mengakui bahawa foto dan video Nur Sajat yang mengenakan pakaian wanita di Mekah telah menjadi tular di media sosial dan menyebabkan “ketidakselesaan dalam kalangan umat Islam,” Mujahid memberitahu media bahawa dia akan mengambil “tindakan tegas.” Suruhanjaya komunikasi mengatakan akan mengkaji perkara itu tetapi tidak mengumumkan tindakan. Bagaimanapun, gambar pasport Nur Sajat dan dokumen lain tersebar di media sosial, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan kumpulan masyarakat sivil mengenai privasi dan keselamatan dia.

Satu kajian tahun 2018 oleh kumpulan hak transgender tempatan melaporkan lebih daripada dua pertiga wanita transgender mengalami beberapa bentuk penderaan fizikal atau emosi. Kumpulan rock tempatan Bunkface mengeluarkan lagu pada bulan Februari dengan lirik “LGBT pergi mampus.” Menghadapi kritikan masyarakat, kumpulan ini mempertahankan lirik itu, dengan menyatakan ia tidak menyasarkan individu tertentu tetapi bertindak balas terhadap gerakan LGBTI yang semakin berkembang di negara ini.

Pihak berkuasa agama negara dilaporkan memaksa golongan LGBTI untuk menyertai program “rawatan” atau “pemulihan” untuk “menyembuhkan” seksualiti mereka. Pada bulan Julai, Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Dr. Zulkifli Mohamad mengumumkan dia telah memberikan “lesen penuh” kepada pihak berkuasa Islam untuk menahan dan “mendidik” transgender untuk memastikan mereka kembali “ke jalan yang benar.”

Golongan LGBTI melaporkan diskriminasi dalam pekerjaan, perumahan, dan akses kepada beberapa perkhidmatan kerajaan kerana seksualiti mereka.

Bahagian 7. Hak Pekerja

A. KEBEBASAN PERSATUAN DAN HAK UNTUK TAWAR MENAWAR KOLEKTIF

Undang-undang memperuntukkan kebebasan yang terhad untuk persatuan dan untuk beberapa kategori pekerja untuk menubuhkan dan menyertai kesatuan sekerja, tertakluk kepada pelbagai sekatan undang-undang dan amalan. Undang-undang memperuntukkan hak untuk mogok dan tawar menawar kolektif, tetapi kedua-duanya adalah sangat terhad. Undang-undang melarang majikan daripada mengganggu kegiatan kesatuan sekerja, termasuk pembentukan kesatuan. Undang-undang melarang majikan daripada menghukum pekerja kerana terlibat dalam aktiviti kesatuan yang sah dan mengarah majikan mengembalikan jawatan pekerja yang dipecat kerana aktiviti kesatuan.

Undang-undang melarang pegawai tentera dan polis, pekerja bersara atau diberhentikan daripada menyertai kesatuan. Undang-undang juga mengehadkan penubuhan kesatuan untuk pekerja dalam perdagangan, pekerjaan atau industri yang sama. Pekerja asing boleh menyertai kesatuan sekerja tetapi tidak boleh memegang jawatan kesatuan, kecuali jika mereka mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Sumber Manusia. Memandangkan ketiadaan hubungan pekerjaan langsung dengan pemilik tempat kerja, pekerja kontrak tidak boleh membentuk kesatuan dan tidak boleh berunding atau mendapat manfaat daripada perjanjian tawar menawar kolektif.

Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja dan Menteri Sumber Manusia boleh menolak pendaftaran atau menarik balik pendaftaran sesetengah kesatuan tanpa semakan kehakiman. Masa yang diperlukan untuk kesatuan diiktiraf masih mengambil masa lama dan tidak dapat diramalkan. Pegawai kesatuan melahirkan kekecewaan mengenai kelewatan dalam penyelesaian pertikaian pengiktirafan kesatuan; permohonan sedemikian selalunya ditolak. Sekiranya permintaan pengiktirafan kesatuan diluluskan, majikan kadangkala mencabar keputusan di mahkamah, yang membawa kepada kelewatan bertahun lamanya dalam mengiktiraf kesatuan.

Kebanyakan pekerja sektor swasta mempunyai hak untuk tawar menawar kolektif. Namun rundingan ini tidak termasuk isu pemindahan, kenaikan pangkat, pelantikan, pemecatan, atau pengembalian semula kerja. Undang-undang menyekat tawar menawar kolektif dalam industri “perintis” yang dikenal pasti oleh kerajaan sebagai keutamaan pertumbuhan, termasuk pelbagai bidang teknologi tinggi. Kesatuan sekerja di syarikat yang diberi status perintis tidak boleh merundingkan terma dan syarat yang lebih menguntungkan daripada peruntukan yang ditetapkan dalam undang-undang perburuhan kecuali disetujui oleh menteri sumber manusia. Pekerja sektor awam mempunyai hak tawar menawar kolektif, walaupun sesetengahnya hanya boleh meluahkan pendapat mengenai upah dan keadaan bekerja dan bukannya tawar menawar secara aktif. Kelewatan yang lama terus berlaku dalam layanan terhadap tuntutan kesatuan untuk mendapatkan pengiktirafan untuk tujuan tawar menawar kolektif. Kerajaan juga mempunyai hak untuk memaksa timbang tara dalam kes rundingan tawar-menawar kolektif yang gagal.

Mogok sektor swasta sangat dihadkan. Undang-undang memperuntukkan hukuman yang tetap untuk mogok aman. Undang-undang melarang mogok umum, dan kesatuan sekerja tidak boleh mogok untuk pertikaian yang berkaitan dengan pendaftaran kesatuan sekerja atau pemecatan yang tidak sah. Pekerja tidak boleh mogok dalam pelbagai industri yang dianggap “penting” dan mereka tidak boleh melakukan mogok apabila pertikaian sedang dipertimbangkan di Mahkamah Perusahaan. Pegawai kesatuan mendakwa syarat perundangan yang dikenakan untuk mogok hampir tidak mungkin dapat dipenuhi. Mogok besar terakhir berlaku pada tahun 1962.

Kerajaan tidak bersungguh-sungguh menguatkuasakan undang-undang melarang majikan daripada menghukum pekerja kerana terlibat dalam aktiviti kesatuan yang sah dan mengarah majikan mengembalikan jawatan pekerja yang dipecat kerana aktiviti kesatuan. Penalti termasuk denda tetapi jarang dinilai dan tidak setimpal dengan undang-undang lain yang melibatkan penafian untuk hak sivil, seperti diskriminasi.

Pada bulan Jun, lima anggota Kesatuan Pekerja Nasional dalam Sokongan Hospital dan Perkhidmatan Bersekutu ditangkap ketika melakukan tunjuk perasaan secara aman terhadap dakwaan taktik mengganggu kesatuan mereka oleh majikan. Pegawai Kesatuan mendakwa syarikat itu menghalang pekerja daripada menguji COVID-19, gagal menyediakan peralatan pelindung diri yang sepatutnya, dan menahan elaun khas bulanan kerajaan bernilai RM600 untuk pekerja barisan hadapan. Pegawai kesatuan selanjutnya menuduh syarikat itu melarang perbincangan yang berkaitan dengan kesatuan antara jawatankuasa pekerja di tempat kerja dengan pekerja, intimidasi, dan perubahan jadual kerja dan lokasi pekerja kesatuan secara sewenang-wenangnya untuk mengurangkan pendapatan mereka. Lima orang aktivis dibebaskan pada hari berikutnya. Pada bulan Oktober, mahkamah majistret menjatuhkan tuduhan terhadap aktivis-aktivis ini kerana melanggar perintah kawalan pergerakan bersyarat dengan berkumpul di hadapan premis majikan “untuk tujuan sosial.”

Kebebasan bergaul dan perundingan bersama tidak dihormati sepenuhnya. Kesatuan peringkat kebangsaan dilarang. Kerajaan membenarkan tiga persekutuan kesatuan mengikut wilayah serantau–Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak–untuk beroperasi. Kesatuan-kesatuan ini melaksanakan sebahagian besar tanggungjawab kesatuan sekerja pada peringkat kebangsaan walaupun mereka tidak boleh melakukan tawar menawar bagi pihak kesatuan tempatan. Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia ialah sebuah “persatuan” berdaftar bagi kesatuan sekerja dalam kedua-dua sektor swasta dan kerajaan yang tidak mempunyai hak untuk tawar menawar kolektif atau mogok tetapi boleh memberikan sokongan teknikal kepada ahli gabungannya. Sesetengah pertubuhan pekerja adalah bebas daripada kerajaan, parti politik, dan majikan, tetapi kesatuan yang dikuasai majikan atau kesatuan “kuning” dilaporkan menjadi kebimbangan.

Ketidakmampuan kesatuan untuk menyediakan lebih daripada perlindungan yang terhad untuk pekerja, terutamanya pekerja asing yang terus menghadapi ancaman pengusiran, dan kelaziman diskriminasi antikesatuan tidak menggalakkan pekerja menyertai kesatuan sekerja. Dalam sesetengah keadaan, syarikat dilaporkan mengganggu pemimpin kesatuan yang mahukan pengiktirafan. Sesetengah kesatuan sekerja melaporkan bahawa kerajaan menahan atau menyekat pergerakan sesetengah ahli kesatuan di bawah undang-undang yang membenarkan penahanan sementara tanpa mendakwa tahanan melakukan jenayah. Kesatuan sekerja menegaskan sesetengah pekerja ditahan gaji mereka atau diberhentikan kerana aktiviti berkaitan kesatuan.

Pada bulan Oktober, mahkamah rayuan membatalkan keputusan mahkamah tinggi ke atas pemecatan seorang pemimpin kesatuan sekerja kerana mengeluarkan pernyataan yang mengetengahkan penderitaan pekerja dan menyeru peletakan jawatan CEO berkenaan sebagai tidak sah. Mahkamah rayuan mengetepikan award itu kepada pemimpin kesatuan sekerja atas kesalahan penamatan RM210,000 dan sebaliknya memerintahkan pemimpin kesatuan sekerja itu membayar RM5,000 kepada majikan MAS Airlines dengan kos.

B. LARANGAN BURUH PAKSA ATAU WAJIB

Undang-undang melarang segala bentuk buruh paksa atau wajib. Lima agensi, termasuk Jabatan Tenaga Kerja dalam Kementerian Sumber Manusia, mempunyai kuasa penguatkuasaan di bawah undang-undang, tetapi pegawai mereka tidak sentiasa aktif mencari petunjuk buruh paksa. Pertubuhan NGO terus mengkritik kekurangan sumber yang khusus untuk penguatkuasaan undang-undang.

Kerajaan tidak menguatkuasakan undang-undang secara berkesan untuk melarang buruh paksa dalam beberapa kes, dan denda yang tinggi sebagai penalti tidak setimpal dengan jenayah serius yang lain, seperti penculikan.

Pada tahun 2018 kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Bebas untuk Pekerja Asing bagi menyediakan pelan reformasi komprehensif kepada kerajaan mengenai pengurusan pekerja asing dan dasar buruh. Jawatankuasa itu menyampaikan laporan terakhirnya kepada kabinet pada bulan Julai 2019 dengan 40 cadangan mengenai penyelarasan dasar yang berkaitan dengan pekerja asing, tetapi laporan itu tidak diumumkan. Pada 23 Jun, mantan menteri sumber manusia M. Kulasegaran menyatakan bahawa “kepentingan diri” telah mengambil alih dasar kerajaan mengenai perkara itu kerana “tiada satu pun saranan yang dilaksanakan hingga saat ini.”

Pelbagai sumber melaporkan berlakunya kerja paksa atau keadaan yang menunjukkan buruh paksa dalam pertanian perladangan, kilang elektronik, pengeluaran pakaian, industri produk getah, dan perkhidmatan domestik dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak (juga lihat bahagian 7.c.).

Majikan, ejen pekerjaan, dan perekrut buruh memaksa sesetengah pendatang melakukan kerja paksa atau ikatan hutang. Banyak syarikat mengupah pekerja asing menggunakan syarikat pekerjaan atau syarikat penyumberan luar. Hal ini mewujudkan ketidakpastian mengenai hubungan undang-undang antara pekerja dan syarikat penyumberan luar atau pemilik tempat kerja, dan menjadikan pekerja lebih terdedah kepada eksploitasi dan merumitkan penyelesaian pertikaian. Wakil kesatuan sekerja mendapati ejen merekrut di kedua-dua negara asal dan di Malaysia kadangkala mengenakan bayaran tinggi yang menjadikan pekerja terdedah kepada ikatan hutang.

Pada bulan Julai, sebuah organisasi bukan untung mengemukakan aduan rasmi kepada satu kerajaan asing dengan mendesaknya untuk melarang import produk dari Sime Darby Berhad, sebuah syarikat kelapa sawit, disebabkan oleh laporan kerja paksa di ladang Sime Darby. Satu petisyen lain yang difailkan pada bulan Ogos 2019 yang menuduh syarikat minyak sawit FGV Holdings melakukan penyalahgunaan kerja paksa, termasuk penipuan, keganasan fizikal dan seksual, intimidasi, dan penyimpanan dokumen pengenalan pekerja. FGV kemudiannya memuktamadkan pelan tindakan mereka untuk menambah baik amalan pekerja pada bulan April. NGO mempertahankan pelan tindakan tersebut, namun gagal membuktikan produk FGV bukan hasil kerja paksa.

Pada bulan Julai, satu kerajaan asing menghentikan import sarung tangan perubatan pakai buang yang dibuat oleh pembuat sarung tangan perubatan terbesar di dunia, Top Glove Corp Bhd, sebagai tindak balas kepada penemuan tentang kerja paksa di kemudahan pembuatannya. Pada bulan November lebih daripada 5,000 pekerja Top Glove dijangkiti COVID-19 yang disebabkan oleh keadaan kerja dan tempat tinggal yang tidak berkualiti dan sesak.

Perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi atas peranannya dalam skim penipuan yang melibatkan ratusan ribu pekerja Nepal yang mencari pekerjaan di negara ini berlanjutan pada bulan September. Syarikat swasta yang dikaitkan dengan adik dan adik ipar Timbalan Perdana Menteri ketika itu dilaporkan mengenakan lebih daripada RM185 juta kepada pekerja Nepal untuk ujian perubatan dan untuk mengemukakan permohonan visa selama lima tahun sebelumnya. Perkhidmatan pemprosesan perubatan dan visa ini telah meningkatkan kos sebanyak sepuluh kali ganda tanpa menawarkan perlindungan atau faedah tambahan. Zahid menafikan terlibat atau mengetahui mengenai penipuan itu, tetapi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mendakwanya pada tahun 2018 dengan 45 tuduhan rasuah, sogokan, dan pengubahan wang haram, tiga di antaranya berkaitan dengan RM3 juta yang didakwa diterima olehnya dalam bentuk sogokan daripada sebuah syarikat yang menjalankan pusat visa untuk pekerja Nepal. Pengkritik kerajaan terdahulu telah lama menyifatkan sistem pengambilan pekerja asing sebagai korup.

Tidak membayar gaji tetap menjadi kebimbangan. Penyitaan pasport oleh majikan meningkatkan kerentanan pekerja migran terhadap kerja paksa; amalan ini menyalahi undang-undang tetapi berlaku secara berleluasa dan secara amnya tiada siapa yang telah dihukum. Pekerja migran tanpa akses kepada pasport mereka lebih rentan terhadap keadaan kerja yang teruk, gaji yang lebih rendah daripada yang dijanjikan, pemotongan gaji yang tidak dijangka, dan perumahan yang teruk. Pertubuhan-pertubuhan NGO melaporkan bahawa ejen atau majikan dalam sesetengah kes mendraf kontrak yang memasukkan peruntukan menyerahkan hak pekerja untuk memegang pasport mereka kepada majikan atau ejen mereka. Sesetengah majikan dan pekerja asing melaporkan bahawa pekerja kadangkala meminta majikan menyimpan pasport mereka kerana penggantian pasport hilang atau dicuri boleh menyebabkan mereka membayar wang yang jumlahnya sama dengan gaji beberapa bulan dan menyebabkan mereka terdedah kepada disoal mengenai status sah mereka.

Lihat juga Laporan Pemerdagangan Orang Jabatan Negara di https://www.state.gov/trafficking-in-persons-report/.

C. LARANGAN BURUH KANAK-KANAK DAN UMUR MINIMUM BEKERJA

Undang-undang melarang semua bentuk pekerja kanak-kanak yang paling teruk. Undang-undang melarang pengambilan kanak-kanak di bawah umur 14 tahun tetapi memberikan beberapa pengecualian, seperti kerja ringan dalam perusahaan keluarga, kerja dalam hiburan awam, kerja yang dilakukan untuk kerajaan di sekolah atau di institusi latihan, atau bekerja sebagai perantis yang dibenarkan. Tidak ada umur minimum untuk terlibat dalam kerja-kerja ringan. Bagi kanak-kanak antara 14 hingga 18 tahun, tidak ada senarai yang menjelaskan pekerjaan atau sektor tertentu yang dianggap berbahaya dan oleh itu dilarang.

Kerajaan tidak menguatkuasakan sepenuhnya undang-undang melarang buruh kanak-kanak. Mereka yang didapati melanggar undang-undang buruh kanak-kanak dihukum tidak padan dengan hukuman berat untuk jenayah serius lain, seperti penculikan.

Buruh kanak-kanak berlaku dalam sesetengah perniagaan keluarga. Buruh kanak-kanak di kawasan bandar adalah perkara biasa dalam sektor ekonomi tidak formal, termasuk perniagaan makanan keluarga dan pasar malam, dan dalam industri kecil-kecilan. Buruh kanak-kanak juga dapat dilihat dalam kalangan pembantu rumah asing.

Pertubuhan NGO melaporkan bahawa kanak-kanak tanpa kerakyatan di Sabah adalah lebih terdedah pada eksploitasi buruh dalam pengeluaran minyak sawit, dipaksa mengemis, dan bekerja dalam industri perkhidmatan, termasuk restoran. Walaupun Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang melaporkan jarang menemui kanak-kanak terlibat dalam kerja ladang di Semenanjung Malaysia, tetapi yang lain melaporkan kejadian buruh kanak-kanak berlaku di ladang kelapa sawit di seluruh negara.  Eksploitasi seks komersial kanak-kanak juga berlaku (lihat bahagian 6, Kanak-kanak).

Lihat juga Senarai Barangan Dikeluarkan oleh Buruh Kanak-kanak atau Buruh Paksa di laman Jabatan Buruh A.S. di https://www.dol.gov/agencies/ilab/reports/child-labor/list-of-goods .

D. DISKRIMINASI BERKENAAN KERJA DAN PEKERJAAN

Undang-undang tidak melarang diskriminasi berkenaan dengan kaum, agama, asal negara, warna kulit, jantina, etnik, kelainan upaya, umur, orientasi seksual, status HIV/AIDS atau status pelarian dalam pekerjaan atau pengambilan kerja. Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja boleh menyiasat diskriminasi dalam terma dan syarat pekerjaan untuk kedua-dua pekerja asing dan tempatan.  Undang-undang melarang wanita daripada terlibat dalam kerja bawah tanah, seperti dalam lombong, dan menyekat majikan daripada mewajibkan pekerja wanita untuk bekerja dalam kerja industri atau pertanian antara 10 pm hingga 5 am atau untuk memulakan kerja harian mereka tanpa 11 jam rehat berturutan sejak tempoh kerja terakhir.

Ketua Pengarah boleh mengeluarkan arahan yang perlu kepada majikan untuk menyelesaikan tuduhan diskriminasi dalam pekerjaan. Walau bagaimanapun, tidak ada penalti di bawah undang-undang untuk diskriminasi sedemikian. Oleh itu penalti yang dikenakan tidak setimpal dengan undang-undang berkaitan hak asasi, seperti campur tangan dalam pilihan raya.

Majikan diwajibkan untuk menyiasat kebanyakan aduan gangguan seksual dengan cara yang ditetapkan. Kumpulan advokasi seperti Persatuan Peguam-Peguam Wanita menyatakan peruntukan ini tidak cukup menyeluruh untuk memberikan bantuan secukupnya kepada mangsa. Pada bulan Jun, mahkamah perindustrian membenarkan pemecatan seorang pengurus kerana gangguan seksual bukan fizikal, termasuk menggunakan kata-kata manis, pemberian hadiah peribadi, dan perhatian keterlaluan yang tidak diinginkan.

Diskriminasi dalam pekerjaan dan kerja berlaku berhubung dengan wanita; termasuk dalam kalangan rakyat, kaum, dan etnik minoriti; dan orang kelainan upaya. Satu kod amalan menjadi panduan semua agensi kerajaan, majikan, persatuan pekerja, pekerja, dan lain-lain berkenaan dengan penempatan orang kelainan upaya dalam pekerjaan sektor swasta. NGO hak kelainan upaya melaporkan majikan enggan menggaji orang kelainan upaya. Peraturan mewajibkan satu peratus daripada pekerjaan sektor awam diberikan kepada orang kelainan upaya.

Pekerja asing mesti menjalani ujian mandatori untuk lebih daripada 16 penyakit serta kehamilan. Majikan boleh segera mengusir pekerja hamil atau sakit. Pekerja asing juga menghadapi diskriminasi pekerjaan (lihat bahagian 7.b dan 7.e). Majikan boleh secara satu pihak menamatkan permit kerja, yang menyebabkan pekerja asing segera diusir.

Wanita mengalami diskriminasi ekonomi dalam akses kepada pekerjaan. Majikan secara rutin menanyakan status perkahwinan mereka semasa temu duga kerja. Persatuan Peguam-Peguam Wanita menyokong penggubalan rang undang-undang gangguan seksual yang berasingan yang mewajibkan majikan merangka dasar gangguan seksual.

Kerajaan memperuntukkan kuota yang besar kepada majoriti bumiputera untuk jawatan dalam perkhidmatan awam persekutuan serta untuk permit dan lesen vokasional dalam pelbagai industri, yang secara ketara mengurangkan peluang ekonomi bagi kumpulan minoriti (lihat bahagian 6).

E. KEADAAN KERJA YANG BOLEH DITERIMA

Gaji minimum dikenakan kepada pekerja tempatan dan pekerja asing dalam kebanyakan sektor, kecuali perkhidmatan pembantu rumah (lihat di bawah). Kadar gaji minimum adalah kurang daripada garis pendapatan kemiskinan yang diterbitkan oleh Kementerian Kewangan di Sabah dan Sarawak.

Waktu kerja tidak boleh melebihi lapan jam sehari atau 48 jam seminggu, kecuali pekerja menerima bayaran lebih masa. Undang-undang menyatakan had untuk kerja lebih masa, yang berbeza mengikut sektor, tetapi ia memberikan pengecualian.

Undang-undang melindungi pembantu rumah asing hanya berkenaan dengan gaji dan penamatan kontrak. Undang-undang mengecualikan mereka daripada peruntukan yang menetapkan satu hari rehat setiap minggu, kerja lapan jam sehari, dan kerja 48 jam seminggu. Sebaliknya, perjanjian dua hala atau memorandum persefahaman antara kerajaan dan beberapa negara sumber untuk pekerja migran memasukkan peruntukan untuk waktu rehat, pampasan, dan syarat pekerjaan lain bagi pembantu rumah migran, termasuk larangan penyimpanan pasport.

Jabatan Tenaga Kerja Kementerian Sumber Manusia menguatkuasakan standard gaji, keadaan kerja, dan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Kerajaan tidak melaksanakan undang-undang ini secara berkesan. Bilangan pegawai penguat kuasa tidak mencukupi untuk menguatkuasakan pematuhan. Pegawai Jabatan Tenaga Kerja melaporkan mereka berusaha melakukan pemeriksaan buruh sekerap mungkin. Walaupun begitu, banyak perniagaan dapat beroperasi selama bertahun-tahun tanpa pemeriksaan.

Hukuman untuk majikan yang gagal mengikuti undang-undang bermula dengan denda yang dinilai mengikut setiap pekerja dan boleh dikenakan hukuman penjara. Majikan boleh diminta membayar balik gaji ditambah dengan denda. Sekiranya mereka enggan mematuhi, majikan menghadapi denda tambahan mengikut hari untuk gaji yang tidak dibayar. Majikan atau pekerja yang melanggar undang-undang kesihatan dan keselamatan pekerjaan dikenakan denda, penjara, atau kedua-duanya. Hukuman untuk pelanggaran tidak setimpal dengan hukuman untuk jenayah serupa.

Majikan tidak menghormati undang-undang mengenai upah dan waktu bekerja. Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia melaporkan bahawa kerja 12, 14, dan 18 jam mengikut hari adalah perkara biasa dalam industri makanan dan perkhidmatan lain.

Kementerian Sumber Manusia mula menguatkuasakan pindaan kepada Akta Standard Minimum Perumahan Pekerja pada 1 September. Langkah itu bertujuan untuk memberi pekerja asing tempat tinggal dan kemudahan pekerja yang lebih baik di tengah-tengah pandemik COVID-19. Majikan dan penyedia penginapan berpusat mesti menyediakan katil bujang berukuran tidak kurang dari 18 kaki persegi, tilam setebal sekurang-kurangnya 3,9 inci, bantal, selimut, dan almari yang boleh dikunci kepada setiap pekerja. Di samping itu, majikan harus memastikan bekalan air, elektrik, dan perabot asas, dan kemudahan, termasuk bilik mandi mengikut nisbah pekerja disediakan di tempat penginapan. Walaupun hukuman untuk majikan tidak dinyatakan secara terang dalam peraturan, Menteri Sumber Manusia M. Saravanan pada 27 Ogos menyatakan bahawa majikan yang tidak mematuhi standard ini boleh dikenakan denda yang besar untuk setiap kesalahan.

Pekerja migran sering bekerja di sektor di mana pelanggaran biasa terjadi, melakukan tugas berbahaya, dan tidak memiliki akses yang bermakna kepada penasihat undang-undang dalam kes pelanggaran kontrak dan penyalahgunaan. Sesetengah pekerja mendakwa majikan membuat mereka mengalami keadaan hidup yang tidak berperikemanusiaan dan menyerang mereka secara fizikal. Majikan pembantu rumah kadang-kadang gagal mematuhi syarat pekerjaan dan mendera pekerja mereka. Majikan dilaporkan mengehadkan pergerakan pekerja dan penggunaan telefon mudah alih; menyediakan makanan dengan standard rendah; tidak memberikan masa rehat yang mencukupi; menyerang pekerja secara seksual; dan mengganggu dan mengancam pekerja, termasuk dengan pengusiran.

Walaupun kerajaan mengarahkan agar semua pekerja di perniagaan yang dibenarkan untuk kekal beroperasi perlu diuji COVID-19, timbul kebimbangan terhadap keadaan buruh apabila pekerja migran terpaksa bekerja selama tempoh pandemik atau berdepan risiko kehilangan pekerjaan mereka. Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkayuan Semenanjung Malaysia menyatakan bahawa pekerja migran sekarang merasa “mereka dipaksa untuk memilih antara COVID-19 atau kelaparan.” Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia mendakwa telah menerima lebih daripada 500 aduan terhadap majikan yang meneruskan operasi walaupun terdapat perintah kawalan pergerakan, dengan beberapa dilaporkan mengancam untuk memberhentikan pekerja yang enggan datang bekerja, dan tidak menyediakan peralatan perlindungan diri.

Undang-undang kesihatan dan keselamatan kerja merangkumi semua sektor ekonomi kecuali sektor maritim dan angkatan tentera. Undang-undang mewajibkan pekerja menggunakan peralatan keselamatan dan bekerjasama dengan majikan untuk mewujudkan tempat kerja yang selamat dan sihat, tetapi tidak menetapkan hak untuk mengeluarkan diri dari keadaan mudarat atau berbahaya tanpa hukuman. Undang-undang mengenai pampasan pekerja merangkumi pekerja tempatan dan migran tetapi tidak memberikan perlindungan bagi pembantu rumah migran.

Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan – yang terdiri daripada wakil pekerja, majikan, dan kerajaan – membuat dan menyelaraskan pelaksanaan langkah-langkah kesihatan dan keselamatan pekerjaan. Perkara ini memerlukan majikan untuk mengenal pasti risiko dan mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk memberikan latihan keselamatan kepada pekerja, dan mewajibkan syarikat dengan lebih dari 40 pekerja untuk menubuhkan jawatankuasa keselamatan bersama pengurusan dan pekerja.

Menurut statistik Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, sehingga Oktober, 174 pekerja meninggal dunia, 5,705 mendapat kecacatan bukan kekal, dan 226 mendapat kecacatan kekal dalam insiden yang berkaitan dengan pekerjaan.