Flag

An official website of the United States government

Laporan Pemerdagangan Orang 2023 Malaysia
PEJABAT UNTUK MEMANTAU DAN MEMBANTERAS PEMERDAGANGAN ORANG

Malaysia (Tahap 2 Senarai Pemerhatian)

Walaupun kerajaan Malaysia tidak memenuhi sepenuhnya standard minimum bagi menghapuskan pemerdagangan, ia berusaha keras untuk berbuat demikian. Kerajaan mencapai beberapa pencapaian penting semasa tempoh pelaporan dengan mengambil kira kesan pandemik COVID-19 terhadap keupayaan antipemerdagangannya.  Oleh itu, Malaysia dinaik taraf ke Tahap 2 Senarai Pemerhatian. Pencapaian ini termasuk menjalankan lebih banyak penyiasatan pemerdagangan; mendakwa dan mensabitkan lebih ramai pemerdagang orang; serta mendakwa pegawai yang bersubahat. Kerajaan turut mengenal pasti lebih ramai mangsa; memulakan usaha dan menyediakan pembiayaan bagi meningkatkan kesedaran terhadap pemerdagangan di ladang minyak sawit; dan meningkatkan latihan – termasuk dalam penggunaan pendekatan berpandukan trauma, pengenalpastian mangsa, dan pindaan pada undang-undang antipemerdagangan – untuk pegawai, pihak penguatkuasaan undang-undang, dan penyedia perkhidmatan mangsa. Kerajaan memudahkan kebebasan bergerak untuk mangsa yang menerima perkhidmatan di kemudahan kerajaan dan membenarkan lebih ramai mangsa bekerja; selain meningkatkan dana bagi tempat perlindungan mangsa. Walaupun dengan pencapaian ini, kerajaan masih tidak memenuhi standard minimum dalam beberapa bidang utama. Kerajaan tidak mendakwa dengan secukupnya pemerdagang buruh dalam sektor minyak kelapa sawit atau industri pembuatan sarung tangan pakai buang. Kerajaan tidak melaksanakan SOP secara sistematik di seluruh negara untuk mengenal pasti mangsa secara proaktif, termasuk mangsa buruh paksa, semasa serbuan penguatkuasaan undang-undang atau dalam kalangan populasi rentan yang ditemui oleh pihak berkuasa. Disebabkan ketiadaan prosedur pengenalpastian yang rasmi, pihak berkuasa berkemungkinan menahan, menangkap, dan menghantar pulang sesetengah mangsa pemerdagangan yang tidak dikenal pasti. Penangguhan dalam pendakwaan, kekurangan penyelarasan antara agensi, dan perkhidmatan untuk mangsa yang tidak memadai menjadikan mangsa warga asing tawar hati untuk terus tinggal di Malaysia dan terlibat dalam prosiding jenayah.  Keadaan ini terus menghalang usaha penguatkuasaan undang-undang antipemerdagangan.

CADANGAN YANG DIUTAMAKAN

  • Meningkatkan usaha untuk mengenal pasti mangsa pemerdagangan, termasuk mangsa pemerdagangan buruh dalam kalangan populasi rentan, termasuk pembantu rumah dan pekerja dalam sektor minyak sawit dan pembuatan sarung tangan pakai buang.
  • Melatih pegawai, termasuk polis, pemeriksa buruh, dan pegawai imigresen tentang SOP untuk mengenal pasti mangsa yang merangkumi maklumat tentang penunjuk pemerdagangan.
  • Meningkatkan usaha untuk menyiasat dan mendakwa kes pemerdagangan – yang berbeza daripada penyeludupan migran – termasuk kes yang melibatkan pegawai yang bersubahat dan jenayah buruh paksa.
  • Meluaskan perlindungan buruh untuk pembantu rumah dan menyiasat dakwaan penderaan pembantu rumah.
  • Mendedahkan kepada umum hasil siasatan yang melibatkan pegawai korup untuk meningkatkan ketelusan dan pencegahan serta memastikan pegawai yang melakukan jenayah dipertanggungjawabkan.
  • Meningkatkan kapasiti pihak penguatkuasaan undang-undang untuk menyiasat dan mendakwa kes pemerdagangan, termasuk dengan menambah baik penyelarasan antara agensi.
  • Meluaskan mekanisme untuk menyediakan perkhidmatan kejurubahasaan kepada mangsa.
  • Menambah baik pengurusan kes dan komunikasi dengan mangsa pemerdagangan, termasuk permohonan dan penggunaan jurubahasa dan program Pakar Bantuan Mangsa secara konsisten.
  • Meluaskan usaha untuk memaklumkan pekerja migran tentang hak mereka di bawah undang-undang buruh Malaysia, termasuk hak mereka untuk mengekalkan akses kepada pasport mereka pada bila-bila masa, serta peluang untuk mendapatkan remedi undang-undang terhadap eksploitasi.
  • Memasukkan kenyataan mengenai perlindungan untuk pekerja asing dalam draf kontrak dan MOU dua hala dengan negara sumber buruh.
  • Mengurangkan kelewatan pendakwaan, termasuk dengan menyediakan panduan yang lebih baik untuk pendakwa meneruskan pertuduhan pemerdagangan, dan meningkatkan pengetahuan perundangan mengenai pelbagai jenayah pemerdagangan, terutamanya buruh paksa.
  • Meluaskan kerjasama dengan NGO, termasuk memberi sokongan kewangan atau bukan kewangan kepada NGO untuk menyediakan perkhidmatan pemulihan mangsa.
  • Menghapuskan fi perekrutan atau penempatan yang dikenakan kepada pekerja oleh perekrut dan memastikan sebarang fi perekrutan dibayar oleh majikan.
  • Meningkatkan bilangan mangsa pemerdagangan yang mendapat kelulusan untuk kebebasan bergerak dari tempat perlindungan, meluaskan kebebasan bergerak untuk meliputi pergerakan tanpa ditemani, dan meningkatkan akses mangsa kepada komunikasi dengan orang di luar kemudahan tempat perlindungan.
  • Meningkatkan usaha untuk mengenal pasti mangsa pemerdagangan dalam kalangan pekerja Republik Rakyat China (PRC) bagi projek infrastruktur yang berkaitan dengan kerajaan PRC.

 

PENDAKWAAN

Kerajaan meningkatkan usaha penguatkuasaan undang-undang. Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, yang dipinda, menjadikan pemerdagangan buruh dan pemerdagangan seks sebagai jenayah dan menetapkan hukuman penjara tiga hingga 20 tahun dan denda, yang cukup berat dan berkenaan dengan pemerdagangan seks, setimpal dengan hukuman yang ditetapkan bagi kesalahan serius lain, seperti rogol. Pegawai penguatkuasaan undang-undang terus menggabungkan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran, yang menghalang keseluruhan penguatkuasaan undang-undang antipemerdagangan dan usaha mengenal pasti mangsa. Pindaan pada Akta Kerja 1955, yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2023, telah menambah peruntukan untuk menjadikan kesalahan buruh paksa oleh majikan yang menggunakan ancaman ugutan, sekatan pergerakan, atau penipuan untuk mendapatkan pekerja atau perkhidmatan satu jenayah.  Undang-undang menetapkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda RM100,000, atau kedua-duanya. Meskipun pindaan ini membuka ruang tambahan untuk mendakwa jenayah pemerdagangan buruh, penalti yang ditetapkan di bawah undang-undang ini jauh lebih ringan berbanding hukuman di bawah Akta ATIPSOM.

Pihak penguatkuasaan undang-undang menjalankan 137 penyiasatan pemerdagangan – 31 bagi pemerdagangan seks, 95 bagi pemerdagangan pekerja, dan sembilan kes pemerdagangan yang tidak ditentukan.  Sebanyak 109 penyiasatan diteruskan dari tempoh pelaporan sebelumnya – 40 bagi pemerdagangan seks, 49 bagi pemerdagangan pekerja, dan 20 kes pemerdagangan yang tidak dinyatakan. Perkara ini menunjukkan peningkatan berbanding 108 penyiasatan pemerdagangan yang dijalankan dalam tempoh pelaporan sebelumnya. Jabatan Peguam Negara menjalankan pendakwaan terhadap 126 pemerdagang yang tertuduh (17 pemerdagang seks, 105 pemerdagang pekerja, dan empat individu untuk pemerdagangan yang tidak dinyatakan).  Bagaimanapun, kerajaan tidak menyediakan data bandingan dalam tempoh pelaporan sebelumnya. Jabatan Peguam Negara mendakwa 86 daripada 126 pemerdagang yang tertuduh di bawah Akta ATIPSOM, dan 40 pemerdagang yang tertuduh di bawah undang-undang lain (23 di bawah Akta Imigresen, 12 di bawah Kanun Keseksaan, empat di bawah Akta Pasport, dan satu di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta), berbanding dengan 31 pemerdagang yang didakwa di bawah Akta ATIPSOM dalam tempoh pelaporan sebelumnya. Mahkamah mensabitkan 32 pemerdagang — 18 bagi pemerdagangan seks dan 14 bagi buruh paksa —di bawah Akta ATIPSOM, Akta Imigresen, Kanun Keseksaan, dan Akta Kerja.  Perkara ini menunjukkan kenaikan daripada 20 pemerdagang yang disabit dalam tahun pelaporan sebelumnya – 13 bagi pemerdagangan seks dan tujuh bagi buruh paksa. Data kerajaan ini mungkin merangkumi pendakwaan yang tidak menepati definisi pemerdagangan orang di bawah undang-undang antarabangsa. Kerajaan melaporkan 55 sabitan dalam tempoh pelaporan sebelumnya, tetapi tidak mengasingkan penyeludupan migran dan pemerdagangan orang.   Bagaimanapun, pengurusan dan pelaporan data telah ditambah baik dan data berasingan dan terperinci ada disediakan dalam tempoh pelaporan semasa. Hukuman mahkamah terhadap pemerdagang adalah antara empat hingga 14 tahun penjara di bawah Akta ATIPSOM, dan sehingga tujuh tahun penjara di bawah Kanun Keseksaan.  Mahkamah boleh menjatuhkan hukuman kurang daripada satu tahun penjara terhadap sesetengah pemerdagang di bawah undang-undang bukan pemerdagangan. Mahkamah turut memberikan restitusi kepada mangsa dalam jumlah antara RM10,000 hingga RM12,000 di bawah Akta Imigresen, RM2,000 di bawah Kanun Keseksaan, dan RM10,000 hingga RM12,000 di bawah Akta Kerja. Mahkamah mensabitkan 13 individu kerana menahan pasport pekerja di bawah Akta Pasport 1966 – berbanding dengan lima individu dalam tempoh pelaporan sebelumnya – tetapi tidak melaporkan sama ada ia menyiasat, mendakwa, atau mensabitkan individu-individu ini untuk jenayah pemerdagangan. Pegawai kerajaan tidak konsisten dalam memahami definisi pemerdagangan dan masih menggabungkan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran, yang menghalang penguatkuasaan undang-undang antipemerdagangan dan usaha mengenal pasti mangsa. Kerajaan kadang kala menyiasat kes-kes buruh paksa sebagai pelanggaran undang-undang buruh yang berbeza dan bukannya kes jenayah pemerdagangan atau tidak menyiasatnya sama sekali. Kerajaan bekerjasama dengan negara Bangladesh, Thailand, dan Amerika Syarikat dalam kes-kes pemerdagangan, termasuk kes pemerdagangan kanak-kanak. Pada bulan Oktober 2022, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan rakan sejawat di Thailand untuk menyiasat dan menahan lima pemerdagang yang dituduh mengeksploitasi mangsa dalam pemerdagangan seks di Lembah Klang.  PDRM membantu memindahkan tiga warga Thai yang ditahan ke Thailand. Kerajaan tidak menangani dengan secukupnya atau meneruskan dakwaan jenayah yang boleh dipercayai mengenai pemerdagangan buruh dalam sektor pembuatan sarung tangan pakai buang dan pengeluaran minyak sawit.

Rasuah dan persubahatan pegawai kerajaan kekal membimbangkan, dan menghalang tindakan penguatkuasaan undang-undang. Kerajaan menahan dan mendakwa empat pegawai kerajaan yang dituduh bersubahat di bawah Akta ATIPSOM; dan pendakwaan masih berjalan pada penghujung tempoh pelaporan. Pada bulan September 2022, pihak berkuasa menahan seorang pegawai polis di bawah Seksyen 14 Akta ATIPSOM kerana mendera pembantu rumah dan menyebabkan kecederaan teruk.  Pendakwaan masih berjalan pada penghujung tempoh pelaporan. Pada bulan sama, mahkamah membebaskan mantan Menteri Dalam Negeri daripada 40 tuduhan rasuah kerana menerima bayaran untuk kontrak pengeluaran visa, yang difailkan pada tahun 2018, disebabkan kekurangan bukti. Kerajaan melaporkan dua pegawai kerajaan telah didakwa kerana menjalankan aktiviti berkaitan dengan pemerdagangan.  Mereka telah ditahan semasa tempoh pelaporan sebelumnya kerana terlibat dalam jenayah berkaitan pemerdagangan, dan pendakwaan masih berjalan pada penghujung tempoh pelaporan. Jabatan Imigresen menyiasat dan menahan 40 pegawai kerajaan atas pertuduhan berkaitan pemerdagangan, yang mana 22 pegawai telah dipecat; satu digantung kerja; empat diberhentikan tugas; dua meletak jawatan; enam didapati tidak bersalah; tiga masih di bawah siasatan; dan satu didakwa atas penyeludupan migran di bawah Akta ATIPSOM pada penghujung tempoh pelaporan. Namun, pengumpulan bukti yang tidak mencukupi menghalang pegawai yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.  Pihak berkuasa hanya memindahkan atau menurunkan pangkat mereka, dan ini membolehkan persubahatan pemerdagangan orang terus berlaku. Kerajaan melengkapkan dan mengeluarkan laporan penyiasatan (dijalankan pada tahun 2019) mengenai penemuan kem migran yang ditinggalkan dan kubur besar yang mengandungi migran dan mangsa pemerdagangan di Malaysia di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia pada tahun 2015.  Laporan ini menyediakan 15 saranan untuk menambah baik perlindungan pekerja migran, kerjasama Thailand-Malaysia, dan latihan antipemerdagangan.   Ia turut menyimpulkan jenayah pemerdagangan dan penyeludupan migran dilakukan oleh sindiket penjenayah asing. Laporan ini dikritik oleh pertubuhan-pertubuhan NGO kerana tidak memasukkan rasuah tempatan di Malaysia sebagai faktor penyumbang.

PDRM berfungsi sebagai agensi penguatkuasaan utama dan mempunyai unit antipemerdagangan khusus.  Jabatan Tenaga Kerja Kementerian Sumber Manusia juga mempunyai pasukan penguatkuasaan pemerdagangan khusus. Pegawai penguatkuasaan undang-undang antipemerdagangan kekurangan sumber untuk menjalankan kewajipan mereka. Sistem keadilan jenayah Malaysia terus mengalami kekangan sumber dan menggunakan standard penyiasatan dan pendakwaan yang tidak seragam.  Perkara ini kadang-kadang menghalang pihak berkuasa kehakiman untuk mengambil langkah-langkah yang perlu dalam kes pemerdagangan. Walaupun kerajaan terus mengendalikan pasukan petugas penguatkuasaan undang-undang antipemerdagangan antara agensi di bawah Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Majlis MAPO), penyelarasan antara agensi masih tidak mencukupi. Hanya dua hakim di negara ini yang memiliki kepakaran dalam undang-undang antipemerdagangan. Kerajaan terus mengendalikan satu mahkamah pemerdagangan khusus di Selangor, tetapi tidak membuat rancangan untuk meluaskan mahkamah pemerdagangan khas ke seluruh negara. Kerajaan meningkatkan latihan antipemerdagangan untuk pegawai penguatkuasaan undang-undang, pendakwa raya, serta pegawai kerajaan yang lain, dan mengeluarkan Garis Panduan Nasional mengenai Penunjuk Pemerdagangan Orang (NGHTI) dalam versi terkini. Kerajaan turut melatih pegawai penguatkuasaan undang-undang, pendakwa raya, pegawai perlindungan, serta hakim dan majistret antipemerdagangan khusus mengenai pindaan baharu pada Akta ATIPSOM.

 

PERLINDUNGAN

Kerajaan mengekalkan usaha perlindungan yang bercampur-campur. Kerajaan mengenal pasti dan mengesahkan 180 mangsa pemerdagangan– 36 dieksploitasi dalam pemerdagangan seks dan 144 dieksploitasi dalam buruh paksa – antara 510 mangsa berpotensi yang dikenal pasti berbanding dengan 96 mangsa yang disahkan antara 373 mangsa berpotensi dalam tempoh pelaporan sebelumnya. Daripada 180 mangsa yang disahkan, pemerdagang mengeksploitasi 23 wanita dan tujuh kanak-kanak perempuan dalam pemerdagangan seks, termasuk seorang mangsa kelainan upaya, serta 58 wanita, 74 lelaki, tujuh kanak-kanak perempuan, dan lima kanak-kanak lelaki dalam buruh paksa. Kerajaan mengeluarkan SOP pengenalpastian mangsa untuk membantu pihak penguatkuasaan undang-undang mengenal pasti mangsa, yang diterima pakai secara rasmi pada bulan April 2020.   Bagaimanapun, kerajaan tidak melaksanakan SOP ini secara sistematik di seluruh negara, khususnya di kawasan luar bandar dan di Sabah dan Sarawak. Kerajaan terus menjalankan serbuan polis secara besar-besaran di premis yang disyaki sebagai pusat seks komersial dan kilang yang disyaki mengamalkan buruh paksa.  Menurut NGO, operasi secara besar-besaran ini untuk mengesan migran yang tidak mempunyai dokumen.  Namun, kerajaan tidak melaporkan mengenal pasti mana-mana mangsa dalam serbuan ini. Pihak berkuasa sering kali bergantung pada mangsa pemerdagangan buruh untuk mengenal pasti diri sendiri. Kerajaan juga tidak menyaring pencari suaka dan pelarian dengan secukupnya untuk penunjuk pemerdagangan. Disebabkan penggunaan SOP pengenalpastian mangsa yang tidak konsisten, pihak berkuasa mungkin telah menahan, menangkap, dan menghantar pulang sesetengah mangsa pemerdagangan yang tidak dikenal pasti, dan menghalang sesetengah mangsa pemerdagangan warga asing serta tempatan daripada menerima perkhidmatan perlindungan. NGO terus melaporkan pihak berkuasa melayan mangsa berpotensi yang dikenal pasti semasa serbuan polis atau imigresen seperti penjenayah, yang mungkin  memberi trauma kepada mangsa.  Akibatnya, mangsa menolak untuk bercakap dengan pihak penguatkuasaan undang-undang.

Kerajaan mengeluarkan perintah perlindungan penuh untuk semua 180 mangsa yang disahkan dan menyediakan tempat tinggal kepada mereka di tempat perlindungan yang dikendalikan atau dibiayai oleh kerajaan.  Ini berbanding dengan 96 mangsa yang disahkan yang telah diberikan perintah perlindungan penuh dan tempat perlindungan dalam tempoh pelaporan sebelumnya. Mangsa berpotensi juga boleh mendapatkan sumber tempat perlindungan. Pihak berkuasa menyediakan makanan; penjagaan perubatan; aktiviti sosial, keagamaan, dan yang menjanakan pendapatan; keselamatan; serta elaun kepada mangsa – sama ada diberikan setiap bulan atau sekali gus – sebanyak RM120 untuk perbelanjaan sampingan. Di bawah undang-undang, mangsa warga asing dikehendaki terus tinggal di tempat perlindungan kerajaan sepanjang perintah perlindungan mereka; dan mangsa warga tempatan boleh tinggal dengan ahli keluarga atau penjaga. Kerajaan biasanya akan memperbaharui perintah perlindungan untuk mangsa yang disahkan sehingga tamatnya perbicaraan yang berkaitan dengan kes mereka.  Ini menyebabkan sesetengah mangsa terus tinggal di tempat perlindungan selama lebih enam bulan. NGO melaporkan pihak berkuasa penyiasatan tidak memberi waktu yang mencukupi untuk menemu bual mangsa berpotensi di tempat perlindungan bagi mengesahkan mereka adalah mangsa dan memberikan perintah perlindungan selama 90 hari.  Perkara ini menghalang sesetengah mangsa mendapatkan perkhidmatan perlindungan. Pihak berkuasa lebih berkemungkinan tidak memberi perintah perlindungan kepada mangsa warga asing tanpa dokumen.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) membiayai tempat perlindungan untuk mangsa pemerdagangan. Kerajaan mengendalikan lapan tempat perlindungan – lima untuk wanita, satu untuk lelaki, satu untuk kanak-kanak perempuan, dan satu untuk kanak-kanak lelaki – dan membiayai dua tempat perlindungan yang dijalankan oleh NGO – kedua-duanya untuk wanita dan kanak-kanak.  Bagaimanapun, tempat perlindungan tidak tersedia di beberapa bahagian di negara, yang mungkin menghalang pegawai penyiasatan daripada memfailkan kes pemerdagangan di kawasan tersebut. Semasa tempoh pelaporan, kakitangan tempat perlindungan telah memindahkan seorang mangsa wanita transgender dari tempat perlindungan lelaki ke rumah persendirian demi keselamatannya. KPWKM menubuhkan sebuah “pusat transit” di Sarawak yang menyediakan perlindungan sementara untuk mangsa pada bulan Mac 2023, dan rancangan menubuhkan tempat perlindungan yang kekal di Sarawak masih diteruskan.  Bagaimanapun, kerajaan tidak melaporkan penempatan mangsa di tempat perlindungan sementara itu pada penghujung tempoh pelaporan. MAPO meluluskan cadangan NGO untuk menubuhkan “pusat sehenti” untuk pihak berkuasa membawa mangsa dengan segera ke sini selepas meninggalkan situasi pemerdagangan mereka.  Mangsa akan diberikan perlindungan sementara, saringan kesihatan, perkhidmatan jurubahasa, dan kaunseling psikososial sebagai perlindungan sokongan, selain mengumpulkan bukti, dan mengambil keterangan mangsa. Pusat pertama dilaporkan telah menyediakan perkhidmatan untuk 25 mangsa semenjak dibuka pada bulan Disember 2022. Kerajaan melaksanakan SOP yang dihasilkan dalam tempoh pelaporan sebelumnya oleh KPWKM dan persatuan sivil untuk pegawai perlindungan dan kakitangan tempat perlindungan, mengenai penggunaan pendekatan berpandukan mangsa dan trauma apabila menyediakan perkhidmatan untuk mangsa. KPWKM telah menghasilkan kit dengan kerjasama sebuah NGO untuk mangsa yang ditempatkan di tempat perlindungan.  Kandungan kit termasuk produk kebersihan, item peribadi, dan bahan maklumat dalam tujuh bahasa mengenai pemerdagangan dan hak pekerja migran. Kerajaan memperuntukkan RM806,000 bagi dua tempat perlindungan kendalian NGO, satu kenaikan daripada RM785,000 pada tahun 2021. Pusat perlindungan kerajaan kendalian NGO masih kekurangan kakitangan dan bergelut untuk mengekalkan sumber yang mencukupi bagi menyediakan perkhidmatan secara konsisten, termasuk jurubahasa, kakitangan perubatan dan kaunselor kesihatan mental. Walaupun kerajaan menyediakan terjemahan peraturan dan undang-undang tempat perlindungan dalam lima bahasa di tempat perlindungan kerajaan, halangan bahasa terus menjejaskan perkhidmatan kerajaan untuk mangsa di tempat perlindungan dan semasa proses kehakiman, kerana ia tidak mempunyai sistem dan proses rasmi bagi memastikan komunikasi yang betul dan tepat pada masanya dengan mangsa pemerdagangan berpotensi yang tidak bercakap Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris. Kakitangan tempat perlindungan membantu mangsa berkomunikasi, termasuk dengan ahli keluarga di negara lain. Pihak berkuasa melarang mangsa warga asing meninggalkan tempat perlindungan kecuali mereka mendapat pas kebebasan bergerak daripada pihak imigresen. Namun, kerajaan cenderung untuk tidak meluluskan pas ini untuk mangsa pemerdagangan seks wanita. Walaupun kerajaan melaporkan pas kebebasan bergerak membolehkan mangsa meninggalkan pusat perlindungan tanpa ditemani, secara praktikalnya, pergerakan mangsa di luar tempat perlindungan tetap terbatas kepada perjalanan yang ditemani. NGO melaporkan keadaan di tempat perlindungan ini membuatkan mangsa berasa seolah-olah mereka ditahan. Persatuan sivil melaporkan sesetengah pegawai penguatkuasaan undang-undang menasihati mangsa yang sedang menunggu pemindahan ke tempat perlindungan rasmi untuk “menukar cerita mereka” bagi mencepatkan pemindahan. Kerajaan mengeluarkan 172 pas kebebasan bergerak untuk mangsa yang berpotensi dan mangsa yang disahkan pada tahun 2022, yang menunjukkan kenaikan daripada 102 pas yang dikeluarkan pada tahun 2021. Kerajaan membenarkan 25 mangsa untuk terus bekerja, yang menunjukkan kenaikan daripada 11 visa kerja yang diberikan dalam tempoh pelaporan sebelumnya.

Kerajaan melaporkan 180 mangsa memberi keterangan kepada pihak berkuasa semasa penyiasatan, dan 89 antara mereka menjadi saksi dalam pendakwaan. Kerajaan tidak melaporkan data ini dalam tempoh pelaporan sebelumnya; tetapi ia melaporkan 55 mangsa telah terlibat dalam 110 penyiasatan atau pendakwaan pada tahun 2021. Arahan yang dikeluarkan pada tahun 2014 menghendaki pendakwa berjumpa dengan mangsa sekurang-kurangnya dua minggu sebelum perbicaraan untuk membantu mangsa merekodkan keterangan mereka dan memahami proses kehakiman. Pendakwa melaporkan mereka telah berjumpa dengan mangsa, tetapi perkhidmatan jurubahasa yang terhad telah menyukarkan komunikasi yang berkesan. Pendakwa, kakitangan tempat perlindungan, dan pihak penguatkuasaan undang-undang didapati kurang menggunakan perkhidmatan jurubahasa, mungkin kerana waktu menunggu yang lama ketika menyelaraskan ketersediaan masa jurubahasa. NGO melaporkan kes yang mana pendakwa raya gagal menemu bual mangsa untuk perintah perlindungan. Majlis MAPO menyediakan senarai 46 jurubahasa sukarela, yang bertutur dalam 18 bahasa dan mendapat latihan antipemerdagangan daripada NGO, yang tersedia untuk mangsa yang terlibat dalam penyiasatan atau pendakwaan. Walaupun jurubahasa disediakan, mangsa dilaporkan masih tidak memahami sepenuhnya hak mereka dalam proses kehakiman, dan ini menyumbang kepada tekanan dan keengganan mereka untuk terlibat dalam penyiasatan dan pendakwaan, khususnya di kawasan luar bandar di mana perkhidmatan mangsa lebih sukar untuk diakses. Selain itu, kekurangan tempat perlindungan di utara Malaysia menghalang keupayaan pendakwa untuk menemui mangsa yang dipindahkan ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan perkhidmatan. Sesetengah mangsa warga asing dilaporkan keberatan untuk tinggal di Malaysia dan terlibat dalam pendakwaan kerana bimbang masa mereka berada di tempat perlindungan dilanjutkan, tidak selesa dengan keadaan di tempat perlindungan dan menerima ugutan daripada pemerdagang.  Ada mangsa yang turut dilaporkan dilayan seperti penjenayah oleh pihak berkuasa. Walaupun undang-undang membenarkan mangsa memberi keterangan secara jarak jauh, pihak berkuasa umumnya mengharapkan mangsa akan terus berada dalam negara sementara menunggu prosiding perbicaraan. Pindaan tahun 2021 pada undang-undang pemerdagangan memberikan majistret kuasa untuk melanjutkan perintah perlindungan supaya mangsa dapat merekodkan keterangan, yang boleh digunakan sebagai ganti keterangan secara peribadi.  Perkara ini membolehkan mangsa warga asing pulang ke negara asal mereka sebelum perbicaraan.  Kerajaan tidak melaporkan mana-mana mangsa warga asing mengambil pilihan ini semasa tempoh pelaporan. Pendakwa meminta restitusi dalam lapan kes mangsa pemerdagangan buruh yang terlibat dalam prosiding mahkamah, dan memperoleh RM149,535, berbanding dengan RM109,985 yang diperoleh bagi 13 kes pada tahun 2022. Kerajaan tidak melaporkan memberi restitusi untuk mangsa pemerdagangan seks. Mangsa pemerdagangan buruh boleh memfailkan saman sivil terhadap majikan mereka untuk mendapatkan pampasan atau bayaran bagi gaji yang tidak dibayar.  Namun, proses mahkamah yang lama menghalang mangsa daripada memfailkan saman. Majlis MAPO menamatkan projek perintisnya selama 12 bulan – yang dijalankan pada tahun 2021 – untuk menilai proses kerajaan untuk mangsa pemerdagangan buruh mendapatkan bantuan undang-undang dan mengkaji kebolehlaksanaan sistem rujukan alternatif bagi kes pemerdagangan buruh.

Kerajaan melantik lapan Pakar Bantuan Mangsa untuk menyediakan laporan untuk pegawai penyiasatan, memperjuangkan hak mangsa, membantu menyampaikan kebimbangan kepada pihak penguatkuasaan undang-undang, dan menyediakan penjagaan berpandukan trauma untuk mangsa pemerdagangan. Bilangan pakar tidak mencukupi untuk menyokong bilangan mangsa dengan secukupnya, dan kebanyakan pakar berada di Kuala Lumpur dan Selangor. NGO melaporkan pihak berkuasa tidak membenarkan pakar-pakar menyertai pihak penguatkuasaan undang-undang semasa penyiasatan atau serbuan, yang menjejaskan keupayaan pihak penguatkuasaan undang-undang untuk menyaring dan mengenal pasti mangsa sewajarnya. Pakar-pakar hanya boleh membantu mangsa dengan kebenaran pegawai penyiasatan atau Timbalan Pendakwa Raya. Pakar-pakar telah membantu 25 mangsa warga asing, yang menunjukkan penurunan daripada 66 mangsa yang dibantu pada tahun 2021. Laporan warga Malaysia dieksploitasi di luar negara dalam operasi penipuan siber meningkat semasa tempoh pelaporan ini. Kerajaan bekerjasama dengan perwakilan diplomatik asing untuk membiayai dan menyediakan bantuan penghantaran pulang untuk mangsa kembali ke negara asal mereka. Bagaimanapun, NGO melaporkan kerajaan tidak menyediakan perkhidmatan untuk mangsa Malaysia yang dikenal pasti terlibat dalam penipuan siber di luar negara, tidak memfailkan laporan, dan tidak mahu menerima tanggungjawab mengendalikan kes ini, sebaliknya meminta mangsa merujuk kepada Interpol. Ramai mangsa warga asing yang disahkan memilih untuk segera pulang ke negara asal mereka. Pada bulan April 2022, media melaporkan kerajaan bekerjasama dengan pihak penguatkuasaan undang-undang Kemboja untuk melepaskan mangsa Malaysia yang ditahan secara paksa di sebuah kawasan tertutup dan dieksploitasi sebagai pekerja paksa dalam operasi penipuan siber. Pada bulan Oktober 2022, sebuah NGO melaporkan mangsa Malaysia yang dieksploitasi sebagai buruh paksa dalam penipuan siber di Laos didera secara fizikal jika mereka tidak memenuhi kuota yang tidak realistik atau cuba melarikan diri.  Bilangan mangsa warga Malaysia dianggarkan seramai ratusan orang. Pada bulan Disember 2022, media melaporkan pemerdagang mengumpan lapan warga Malaysia dengan tawaran kerja palsu di Emiriah Arab Bersatu (UAE).  Setibanya mereka di sana, telefon dan pasport mereka dirampas dan mereka dieksploitasi sebagai pekerja paksa dalam skim perjudian dalam talian. Pejabat konsul Malaysia di Dubai bekerjasama dengan kerajaan UAE dan sebuah NGO untuk memudahkan penghantaran pulang mangsa yang melarikan diri dan melapor kepada pihak penguatkuasaan undang-undang tempatan di Dubai. Kerajaan tidak menyediakan alternatif undang-undang bagi pemindahan mangsa warga asing ke negara di mana mereka mungkin menghadapi kesukaran atau pembalasan. Undang-undang menghendaki mangsa warga asing tanpa kediaman sah di Malaysia dirujuk kepada pihak imigresen untuk dihantar pulang selepas perintah perlindungan mereka tamat.

 

PENCEGAHAN

Kerajaan meningkatkan usaha untuk mencegah pemerdagangan. Majlis MAPO, yang merangkumi lima badan penguatkuasaan, entiti kerajaan yang lain dan empat NGO bermesyuarat sebanyak dua kali dan menyelaraskan usaha antipemerdagangan antara agensi untuk melaksanakan Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang (NAP) kerajaan 2021-2025. Kerajaan mengekalkan peruntukan bajet sebanyak RM4 juta untuk mengendalikan sekretariat Majlis MAPO. NGO menyatakan kerajaan tidak menyediakan pembiayaan yang mencukupi untuk majlis MAPO, yang telah menyekat usaha antipemerdagangan kerajaan. Kerajaan tidak memiliki pangkalan data pusat untuk menjejaki atau menyusun aktiviti penguatkuasaan undang-undang antipemerdagangan di seluruh negara, statistik pengenalan mangsa atau data tentang trend pemerdagangan.  Setiap kementerian menyusun sendiri statistik antipemerdagangan, yang biasanya tidak dikongsikan dengan kementerian lain atau dengan orang ramai. Bagaimanapun, MAPO dan bahagian teknologi maklumat Kementerian Menteri Dalam Negeri telah membangunkan sistem data bersepadu untuk mengumpul semua data pemerdagangan.  Sistem tersebut masih dalam pelaksanaan pada penghujung tempoh pelaporan. Kerajaan menubuhkan kumpulan kerja yang terdiri daripada pegawai MAPO dan perunding NGO untuk mengemas kini NGHTI.  Kumpulan ini menyediakan senarai semak saringan pantas umum bagi penunjuk pemerdagangan; senarai saringan khusus bagi pemerdagangan dalam pelbagai sektor, termasuk industri pembantu rumah dan industri maritim; serta menyediakan panduan untuk pengumpulan bukti. Latihan mengenai sumber ini telah dijalankan semasa tempoh pelaporan. Kumpulan kerja ini juga telah membangunkan versi aplikasi dalam talian NGHTI, tetapi ia tidak beroperasi pada penghujung tempoh pelaporan.

Kerajaan terus berusaha untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap pemerdagangan orang. Kerajaan menyiarkan pengumuman dan mengadakan temu bual di rangkaian televisyen dan radio nasional. Kerajaan turut menggunakan papan iklan, laman web, dan brosur dalam pelbagai bahasa untuk meningkatkan kesedaran. Pegawai buruh meletakkan papan tanda dalam pelbagai bahasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk mendidik pekerja asing tentang hak mereka di Malaysia. Jabatan Tenaga Kerja mengadakan kempen radio bagi mempromosikan program untuk pekerja migran melaporkan penderaan pekerja. Kerajaan menganjurkan dua sesi awam untuk pekerja asing dalam industri minyak sawit mengenai hak undang-undang mereka dan untuk majikan mengenai penunjuk buruh paksa. Kerajaan terus mengendalikan talian utama antipemerdagangan, meskipun pengendali talian utama kurang terlatih dalam hal pemerdagangan. Panggilan ke talian utama telah membawa kepada 14 penyiasatan berbanding tujuh dalam tempoh pelaporan sebelumnya, tetapi kerajaan tidak melaporkan mengenal pasti mana-mana mangsa daripada panggilan talian utama. Kementerian Sumber Manusia (KSM) menguruskan aplikasi telefon pintar untuk pekerja, termasuk pekerja migran, untuk memfailkan aduan kerja. KSM menerima 8,500 aduan melalui aplikasi tersebut dan menyelesaikan 7,906 kes, sementara 142 kes masih belum diselesaikan pada penghujung tempoh pelaporan. Kerajaan tidak melaporkan jika pemeriksa mengenal pasti mana-mana kes ini sebagai pemerdagangan buruh. Kerajaan menjalankan penilaian tentang kesedaran terhadap pemerdagangan orang dan keberkesanan kempen kesedaran awam. Kebanyakan responden dilaporkan memahami tentang pemerdagangan orang dan penyeludupan migran dan mendapati media sosial adalah cara perkongsian maklumat yang paling berkesan. Kerajaan bekerjasama dengan sebuah NGO untuk menghasilkan alatan siber, yang tersedia dalam enam bahasa, untuk berkongsi maklumat antipemerdagangan dan membolehkan mangsa melaporkan kes kepada pegawai penguatkuasaan undang-undang.  Bagaimanapun, ia tidak melaporkan bilangan komunikasi, ataupun mengenal pasti mana-mana mangsa pemerdagangan. Kerajaan tidak mengumumkan talian utama dan alatan siber tersebut kepada umum secara meluas, dan ini mungkin telah menghindar mangsa daripada mendapatkan bantuan. Pihak penguatkuasaan undang-undang tidak memberi respons yang mencukupi kepada laporan, ataupun tidak memadai sama sekali.

Kerajaan terus menguatkuasakan larangan terhadap syarikat penyumberan luar yang berpangkalan di Malaysia, yang sering menggunakan amalan yang mengekalkan pekerja migran dalam paksaan berasaskan hutang. Akta Agensi Pekerjaan Swasta (PEAA) kerajaan menghendaki semua agensi perekrutan swasta mendapatkan lesen dengan Kementerian Sumber Manusia untuk mengambil pekerja asing, termasuk pembantu rumah. PEAA membataskan fi “penempatan” atau perekrutan yang dibayar pekerja kepada 25 peratus daripada gaji asas bulan pertama untuk pekerja Malaysia yang bekerja di dalam atau di luar Malaysia, dan gaji asas sebulan untuk bukan warganegara. Undang-undang tidak mentakrifkan apa yang membentuk “fi penempatan” dan pihak berkuasa tidak melaksanakan peraturan ini dengan secukupnya. Majoriti pekerja migran di Malaysia membayar fi yang jauh lebih tinggi kepada ejen perekrutan, termasuk di negara asal mereka, yang menjadikan pekerja ini lebih terdedah kepada paksaan berasaskan hutang. Kerajaan juga mewajibkan majikan membayar levi pekerja asing, yang merupakan kos sekali bayar kepada kerajaan untuk mana-mana bukan warga Malaysia yang digaji oleh syarikat, dan bukannya memaksa pekerja menanggung kos tersebut. Kerajaan dilaporkan mendakwa empat agensi pekerjaan dan satu individu di bawah PEAA kerana menjalankan aktiviti perekrutan tanpa lesen. Mahkamah buruh mengarahkan pesalah-pesalah untuk membayar denda RM31,000. Kerajaan terus menggunakan sistem permohonan dalam talian untuk majikan memperbaharui permit kerja sementara pekerja mereka tanpa menggunakan orang tengah. Pada bulan Mac 2022, kerajaan meratifikasikan Protokol ILO 2014 bagi Konvensyen Buruh Paksa untuk membasmi buruh paksa, dan pada bulan September 2022, ia meratifikasikan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP). Pada bulan April 2022, kerajaan menandatangani MOU yang terkini dengan kerajaan Indonesia mengenai perekrutan pembantu rumah. Undang-undang pekerjaan Malaysia masih mengecualikan pembantu rumah daripada beberapa perlindungan terhadap eksploitasi, termasuk waktu kerja maksimum dan gaji minimum kebangsaan.

Persatuan sivil mendapati kerajaan tidak memberi penerangan yang secukupnya kepada pekerja migran tentang hak mereka dan peraturan buruh Malaysia. Kerajaan melaporkan ia menggaji 70 pemeriksa buruh untuk memberi tumpuan kepada pemerdagangan buruh di seluruh negara – kenaikan daripada 44 pemeriksa yang digaji dalam tempoh pelaporan sebelumnya.  Kerajaan menugaskan 22 pemeriksa di Semenanjung Malaysia, 22 di Sarawak, dan 26 di Sabah, di mana terletaknya sebilangan besar ladang kelapa sawit di Malaysia. Kekurangan sumber termasuk pemeriksa buruh tambahan, menghalang usaha kerajaan untuk mengenal pasti pemerdagangan buruh dengan secukupnya dan menguatkuasakan larangan menahan pasport yang dilakukan oleh majikan yang masih berleluasa. Kerajaan menjalankan 61,513 pemeriksaan buruh semasa tempoh pelaporan, yang menunjukkan peningkatan daripada 27,836 pemeriksaan pada tahun sebelumnya. Dalam tempoh pelaporan semasa, mahkamah buruh telah menyelesaikan 14,440 pertikaian kerja, mengarahkan majikan untuk membayar gaji tertahan pekerja berjumlah RM25.9 juta, dan mendenda majikan yang melanggar undang-undang buruh sebanyak RM5.35 juta.  Perkara ini dibandingkan dengan 7,515 pertikaian kerja yang diselesaikan, RM21.6 juta gaji tertahan yang diperintahkan dibayar kepada pekerja, dan denda RM6.28 juta yang dikenakan terhadap majikan pada tahun 2021. Kerajaan memperuntukkan dana dan menjalankan enam sesi pembelajaran mengenai buruh paksa dan penunjuk buruh kanak-kanak di ladang minyak sawit untuk kakitangan pengurusan ladang di Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Kerajaan mula membangunkan rangka kerja kebangsaan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Industri (i-ESG) untuk sektor pembuatan, yang diselarikan dengan standard perekrutan antarabangsa untuk membasmi buruh paksa.  Projek ini masih dijalankan pada penghujung tempoh pelaporan.

Dasar pendaftaran kelahiran Malaysia telah menyebabkan lebih daripada 500,000 individu –termasuk kanak-kanak – tanpa status kewarganegaraan.  Oleh itu, mereka tidak dapat mengakses sesetengah perkhidmatan kerajaan, termasuk pekerjaan yang sah dan sekolah kerajaan, dan ini menjadikan mereka lebih terdedah kepada aktiviti pemerdagangan. Undang-undang tidak membenarkan kerajaan memberikan status suaka atau pelarian kepada orang tanpa kewarganegaraan. Perkara ini telah menyebabkan lebih 183,000 pencari status pelarian dan pencari suaka di Malaysia, termasuk lebih 104,000 orang Rohingya, tidak boleh mendapat pekerjaan yang sah, dan menjadikan mereka lebih mudah dieksploitasi. Dewan Undangan Negeri Sabah merancang penyediaan tempat perlindungan sementara untuk kanak-kanak tanpa status kewarganegaraan.  Tempat yang pertama telah ditubuhkan pada bulan Februari 2023. Kerajaan tidak berusaha untuk mengurangkan permintaan bagi seks komersial.

 

PROFIL PEMERDAGANGAN

Menurut laporan sepanjang lima tahun lepas, pemerdagang orang mengeksploitasi mangsa warga tempatan dan asing di Malaysia, dan pemerdagang turut mengeksploitasi mangsa dari Malaysia di luar negara. Majoriti mangsa adalah antara anggaran 1.5 juta yang mempunyai dokumen dan lebih ramai lagi pekerja migran yang tanpa dokumen di Malaysia. Pekerja asing membentuk kira-kira 20 peratus daripada tenaga kerja Malaysia dan biasanya masuk secara sukarela—selalunya melalui laluan tikus—dari Bangladesh, Burma, Kemboja, Republik Rakyat China, India, Indonesia, Laos, Nepal, Pakistan, Filipina, Sri Lanka, Thailand, dan Vietnam. Lebih satu pertiga daripada semua pekerja asing bekerja dalam sektor pembuatan, dengan yang lain bekerja dalam sektor pembinaan, pertanian, dan pembantu rumah. Majikan, ejen pekerjaan dan subejen haram mengeksploitasi sesetengah migran dalam pemerdagangan buruh terutamanya melalui paksaan berasaskan hutang apabila pekerja tidak dapat membayar fi untuk perekrutan dan kos perjalanan. Sesetengah ejen di negara sumber buruh mengenakan fi yang membebankan pekerja sebelum mereka tiba di Malaysia, dan ejen Malaysia mengenakan fi tambahan selepas ketibaan – dalam sesetengah kes membawa kepada buruh paksa melalui paksaan berasaskan hutang. Sindiket jenayah terancang yang besar terlibat dalam sesetengah kes pemerdagangan. Majikan menggunakan amalan yang menunjukkan buruh paksa, seperti menyekat pergerakan, melanggar kontrak, penipuan gaji, serangan, ancaman pengusiran, pengenaan hutang yang besar, dan penahanan pasport – yang masih meluas – untuk mengeksploitasi sesetengah pekerja migran dalam pemerdagangan buruh di ladang kelapa sawit dan pertanian; di tapak pembinaan; dalam industri elektronik, pakaian dan produk getah; dan di rumah sebagai pembantu rumah. Undang-undang Malaysia membenarkan majikan memegang pasport pekerja dengan izin pekerja, tetapi sukar untuk menentukan sama ada pekerja telah dipaksa oleh pemerdagang.  Sesetengah majikan menyimpan pasport untuk menghalang pekerja bertukar kerja. Menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, lapan daripada setiap 1,000 pekerja ladang kelapa sawit berada dalam situasi buruh paksa, dengan kadar kelaziman yang jauh lebih tinggi di Sarawak berbanding di Semenanjung Malaysia dan Sabah. Laporan sebelum ini mendokumenkan pelbagai penunjuk buruh paksa berkaitan dengan pengeluaran minyak sawit di Malaysia, termasuk amalan paksaan seperti ancaman, keganasan, terma dan syarat pekerjaan yang kurang jelas, kebergantungan pada majikan, kekurangan perlindungan oleh polis, ikatan hutang, fi perekrutan tinggi, dan kerja lebih masa tanpa rela. Sebagai pemegang saham utama, kerajaan memiliki 69.9 peratus saham dalam salah satu syarikat minyak sawit terbesar di dunia semasa tempoh pelaporan. Pemerdagang menggunakan hutang tinggi bagi penyeludupan yang ditanggung oleh pelarian untuk mengenakan mereka paksaan berasaskan hutang. Warganegara Republik Rakyat China (PRC) yang bekerja untuk projek pembinaan kerajaan PRC di Malaysia terdedah kepada pemerdagangan buruh paksa.

Pemerdagang merekrut wanita dan gadis muda warga asing –terutamanya dari Asia Tenggara, dan yang terbaharu dari Nigeria, Tanzania, dan Uganda – kononnya untuk bekerja secara sah di restoran, hotel, dan salun kecantikan di Malaysia, atau untuk perkahwinan yang diatur, tetapi sebaliknya mengeksploitasi mereka dalam pemerdagangan seks. Pelarian, pencari suaka, dan individu tanpa kewarganegaraan yang tidak berkeupayaan untuk mendapatkan pekerjaan yang sah di Malaysia juga terdedah kepada pemerdagangan seks dan buruh. Pemerdagang menawarkan bantuan tipu atau palsu untuk mengumpan pencari suaka Rohingya supaya keluar dari kem pelarian di Bangladesh dan Indonesia untuk dieksploitasi di Malaysia, termasuk wanita dan gadis yang dipaksa terlibat dalam seks komersial. Pemerdagang juga mengeksploitasi sesetengah lelaki dan kanak-kanak, termasuk rakyat Malaysia, untuk seks komersial. Kerajaan Malaysia telah melaporkan, sejak tahun 2020, bahawa kanak-kanak terdedah kepada eksploitasi seksual dalam talian, termasuk beberapa kejadian pemerdagangan seks kanak-kanak. Pemerdagang mengeksploitasi anak yatim dan kanak-kanak Malaysia daripada komuniti pelarian sebagai pengemis paksa. Semakin ramai wanita dan kanak-kanak Malaysia dieksploitasi oleh pemerdagang sebagai buruh paksa. Kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di Sabah terutamanya berisiko terlibat melakukan buruh paksa dalam pengeluaran minyak sawit, industri perkhidmatan, dan sebagai pengemis paksa. Media dan NGO melaporkan pemerdagang menggunakan penipuan dalam talian dan aplikasi dengan menjanjikan kerja bergaji tinggi untuk mengumpan lelaki dan wanita muda Malaysia di luar negara, terutamanya di Kemboja, Laos dan Burma, untuk dieksploitasi sebagai pekerja paksa dalam operasi penipuan siber, termasuk wang kripto, perjudian dalam talian, dan operasi panggilan telefon, atau menjual mereka kepada geng penjenayah untuk melakukan jenayah paksa dan dieksploitasi secara lain. Sesetengah pekerja Indonesia yang singgah di Malaysia secara sah dalam perjalanan ke negara-negara Timur Tengah dieksploitasi oleh pemerdagang sebagai buruh paksa.

Rasuah yang berterusan berkaitan proses untuk warga asing bekerja di Malaysia meningkatkan kos migrasi, dan ini seterusnya menjadikan pekerja migran lebih terdedah kepada pemerdagangan melalui paksaan berasaskan hutang. Pegawai imigresen yang korup memudahkan pemerdagangan dengan menerima rasuah daripada orang tengah dan penyeludup di rentasan sempadan, termasuk di lapangan terbang. Sesetengah pegawai kerajaan mendapat keuntungan daripada rasuah dan penglibatan langsung dalam pemerasan dan eksploitasi migran.

###