An official website of the United States government
Official websites use .gov
A .gov website belongs to an official government organization in the United States.
Secure .gov websites use HTTPS
A lock (
) or https:// means you’ve safely connected to the .gov website. Share sensitive information only on official, secure websites.
Perlembagaan menyatakan bahawa “Islam adalah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan damai.” Kerajaan persekutuan dan negeri berkuasa untuk mewajibkan doktrin untuk orang Islam dan mempromosikan Islam Sunni mengatasi semua kumpulan agama yang lain. Bentuk-bentuk Islam yang lain adalah dilarang. Undang-undang hasutan menetapkan ucapan yang “mendorong niat jahat, permusuhan, atau kebencian atas dasar agama” sebagai jenayah. Kerajaan melaksanakan sistem undang-undang yang berselari, dengan hal ehwal sivil tertentu untuk orang Islam diliputi oleh undang-undang syariah. Hubungan antara undang-undang syariah dan sivil masih belum diselesaikan dalam sistem perundangan, dengan kerajaan negeri bertanggungjawab atas undang-undang syariah. Kebanyakan rakyat beragama Islam, dengan agama Buddha, Kristian dan Hindu adalah agama utama lain yang diamalkan.
Kerajaan telah menangkap beberapa orang individu dalam tahun ini kerana penghinaan, termasuk seorang penulis dan pelawak. Individu yang menyimpang daripada tafsiran rasmi Islam terus dikenakan tindakan oleh kerajaan, termasuk “pemulihan” di pusat yang mengajar dan menguatkuasakan amalan Islam yang diluluskan oleh kerajaan. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengumumkan bahawa siasatan awam berkenaan kehilangan seorang pastor Kristian dan isterinya pada tahun 2016 telah mendapati pasangan ini mungkin mangsa “kehilangan paksa” tetapi tidak menemui bukti yang pasangan ini telah diculik oleh “ejen-ejen negara.” Pengerusi Suruhanjaya berkata pihak berkuasa tidak menyiasat kes ini secara “teliti dan serius” dan telah “menjejaskan perkembangan” penyiasatan. Keluarga pihak isteri berkata yang mereka mengharapkan penemuan yang “lebih bermakna” dan sepatutnya “mendesak pihak berkuasa Malaysia” untuk mendedahkan “fakta-fakta” kes tersebut. Panel yang dilantik oleh kerajaan pada tahun 2019 untuk menyiasat penemuan SUHAKAM mengenai “kehilangan paksa” aktivis sosial yang dituduh menyebarkan ajaran Syiah pada tahun 2016 dan kehilangan seorang pastor Kristian pada tahun 2017, tidak mengeluarkan laporan bagi siasatan tahun 2019 itu kerana ia telah diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi. Pada bulan Ogos, pemimpin sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menuntut laporan itu dikeluarkan, manakala isteri pastor Kristian tersebut meneruskan saman sivil terhadap kerajaan mengenai kehilangan suaminya, dan menegaskan laporan kerajaan itu relevan dan memberi kesan terhadap kes itu.
Kerajaan masih selektif dalam mendakwa individu-individu yang dikatakan “menghina” agama Islam, manakala kritikan terhadap agama lain tidak dihiraukan. Terdapat laporan tentang penukaran agama kepada agama Islam secara paksa, khususnya dalam kalangan orang asli. Kumpulan agama Islam bukan Sunni dan beberapa kumpulan agama yang lain masih mengalami masalah untuk mendaftar sebagai pertubuhan amal bukan untung atau untuk membina rumah ibadat. Namun sesetengah kumpulan agama telah mendaftar sebagai syarikat supaya dapat menjalankan aktiviti mereka. Beberapa ahli monarki menggalakkan tafsiran Islam yang mengutamakan menghormati kebebasan atau kepercayaan agama. Fatwa kerajaan Negeri Perlis yang menetapkan individu transgender tidak boleh beribadat di masjid masih dikekalkan.
Pertubuhan hak asasi manusia tempatan dan pemimpin agama masih menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan “Islamisasi” dalam politik, dan merujuk kepada usaha organisasi Islam konservatif yang menggunakan media sosial bagi menggalakkan remaja untuk menerima tafsiran Islam yang lebih konservatif.
Pegawai kedutaan A.S. telah berbincang dengan pegawai kerajaan di Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dan Jabatan Perdana Menteri, antara lainnya, mengenai isu-isu jaminan perlembagaan dalam kebebasan beragama, peningkatan sikap tidak bertoleransi terhadap agama, dan penghormatan terhadap agama minoriti. Pegawai kedutaan turut membincangkan penukaran agama kanak-kanak secara unilateral oleh seorang ibu atau bapa tanpa kebenaran yang satu lagi. Mereka juga membangkitkan lagi kebimbangan kepada pesuruhjaya SUHAKAM dan Badan Peguam Malaysia tentang kehilangan tiga orang Kristian dan seorang aktivis Islam pada tahun 2016 dan 2017. Pegawai kedutaan telah melawat beberapa rumah ibadat yang berlainan agama untuk menunjukkan kepentingan menghormati pluralisme agama. Wakil kedutaan telah bertemu dengan ahli kumpulan agama, termasuk kumpulan minoriti dan mereka yang aktivitinya dihadkan oleh kerajaan, untuk membincangkan sekatan yang dihadapi dan strategi untuk melibatkan kerajaan dalam isu kebebasan beragama. Kedutaan telah memudahkan dan memastikan penyertaan pemimpin dan sarjana daripada agama-agama yang berbeza dalam pelbagai perbincangan dan persidangan yang menggalakkan kebebasan beragama dan toleransi.
Kerajaan A.S. menganggarkan keseluruhan populasi adalah 33.9 juta (pertengahan tahun 2022). Menurut bancian terkini pada tahun 2020, 63.5 peratus daripada populasi Malaysia menganut agama Islam; 18.7 peratus, agama Buddha; 9.1 peratus, Kristian; 6.1 peratus, Hindu; 9 peratus, kumpulan agama lain yang termasuk Konfusianisme, Taoisme, Sikh, Jehovah’s Witnesses, Church of Jesus Christ of Latter-day Saints (Gereja Jesus Christ), dan Baha’i. Hampir semua umat Islam mengamalkan agama Islam Sunni mazhab Syafi’i. Etnik Melayu, yang ditakrifkan dalam perlembagaan persekutuan sebagai orang Islam sejak lahir, membentuk kira-kira 55 peratus daripada populasi. Kawasan luar bandar – khususnya di pantai timur semenanjung – kebanyakannya beragama Islam, manakala negeri Sabah dan Sarawak di pulau Borneo mempunyai bilangan orang bukan Islam yang lebih tinggi. Etnik Cina Malaysia kebanyakannya beragama Buddha; dan ada sesetengahnya yang beragama Kristian dan Islam. Kebanyakannya tinggal di negeri-negeri pantai Barat, khususnya di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka, dan Johor. Kebanyakan etnik India Malaysia beragama Hindu. Namun ada antara mereka yang beragama Islam, Kristian, ataupun Sikh. Terdapat segelintir masyarakat Siam Malaysia yang beragama Buddha dan tinggal di bahagian utara negeri Kedah dan Kelantan. Dua pertiga daripada populasi Kristian di negara ini tinggal di negeri Sabah dan Sarawak di Malaysia Timur.
KERANGKA PERUNDANGAN
Perlembagaan persekutuan menyatakan bahawa “setiap orang berhak untuk menganuti dan mengamalkan agamanya.” Namun kerajaan persekutuan dan negeri berkuasa untuk mengawal atau menyekat penyebaran yang bertujuan untuk menukar agama orang Islam kepada agama lain. Perlembagaan menamakan Islam sebagai “agama Persekutuan” dan memberi kuasa kepada parlimen untuk membuat peruntukan yang mengawal hal ehwal agama Islam. Undang-undang persekutuan membenarkan rakyat dan organisasi untuk menyaman kerajaan atas pelanggaran perlembagaan kebebasan beragama. Kerajaan persekutuan dan negeri berkuasa untuk “mengawal atau menyekat penyebaran apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganut agama Islam.” Perlembagaan mengenal pasti pemerintah tradisional, yang juga dikenali sebagai sultan atau raja, sebagai “Ketua Agama Islam.” Sultan atau raja terdapat di sembilan daripada 13 negeri di negara ini dan merupakan pihak berkuasa Islam yang tertinggi dalam negeri masing-masing menurut perlembagaan. Di empat negeri yang selebihnya dan Wilayah-wilayah Persekutuan, pihak berkuasa Islam yang tertinggi ialah Yang Dipertuan Agong, yang dipilih untuk tempoh lima tahun daripada kalangan sembilan sultan dalam susunan giliran yang ditetapkan. Undang-undang Islam ditadbir oleh setiap negeri dan wilayah persekutuan. Jawatan mufti wujud di setiap negeri untuk menasihati sultan dalam semua perkara tentang undang-undang Islam. Sultan menyelia mahkamah syariah dan melantik hakim bagi mahkamah syariah berdasarkan syor jabatan dan majlis agama Islam negeri masing-masing, yang menguruskan operasi mahkamah syariah tersebut. Di negeri-negeri tanpa sultan dan di Wilayah-Wilayah Persekutuan, Agong memikul tanggungjawab untuk proses ini.
Undang-undang persekutuan mempunyai duluan perlembagaan berbanding undang-undang negeri kecuali dalam perkara berkaitan undang-undang Islam. Pindaan perlembagaan memperuntukkan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai kuasa atas mana-mana perkara dalam bidang kuasa mahkamah syariah. Bagaimanapun, sejak tahun 2018, Mahkamah Persekutuan, yang merupakan mahkamah tertinggi negara, telah memutuskan bahawa ia mempunyai kuasa atas prosedur pihak berkuasa pentadbiran syariah dalam kes yang melibatkan penukaran agama kanak-kanak bawah umur, dan bidang kuasa tersebut tidak boleh dimansuhkan oleh pindaan perlembagaan.
Jabatan Kehakiman Syariah adalah agensi persekutuan yang bertanggungjawab untuk menyelaraskan mahkamah syariah. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merupakan sekretariat tetap bagi Jawatankuasa Fatwa persekutuan, yang dianggotai 14 mufti, iaitu seorang dari setiap negeri dan seorang yang mewakili Wilayah-Wilayah Persekutuan. Jawatankuasa Teknikal Syariah dan Sivil dalam Jabatan Peguam Negara menyelia proses penggubalan undang-undang syariah di peringkat persekutuan. Fatwa tahun 1996, yang disokong oleh undang-undang negeri, menghendaki negara ini untuk hanya mengikuti ajaran Sunni mazhab Syafi’i dan melarang umat Islam daripada memiliki, menerbitkan, atau mengedarkan bahan yang bertentangan dengan ajaran tersebut.
Orang Islam yang ingin menukar agama kepada agama lain mesti terlebih dahulu mendapatkan kelulusan mahkamah syariah untuk mengisytiharkan mereka sebagai “murtad.” Mahkamah Syariah jarang membenarkan permintaan sedemikian, terutamanya untuk mereka yang dilahirkan sebagai Islam dan etnik Melayu, dan keberatan untuk membenarkan penukaran agama bagi mereka yang telah memeluk Islam sebelum ini. Hukuman untuk murtad berbeza mengikut negeri. Di negeri Perak, Melaka, Sabah, dan Pahang, murtad merupakan kesalahan jenayah yang boleh dihukum denda atau penjara. Di Pahang, mahkamah boleh mengenakan sehingga enam sebatan untuk kesalahan murtad. Hukuman maksimum bagi kesalahan murtad di negeri Kelantan dan Terengganu adalah hukuman mati, tetapi mahkamah tidak pernah menjatuhkan hukuman ini, dan keabsahannya masih belum diuji. NGO melaporkan bahawa kebanyakan mereka yang meninggalkan Islam lebih suka berbuat demikian secara rahsia, tanpa kelulusan undang-undang. Di peringkat nasional, mahkamah sivil umumnya akan menyerahkan kuasa kepada mahkamah syariah dalam kes-kes yang berkaitan dengan peninggalan agama Islam. Di sesetengah negeri, mahkamah syariah membenarkan seorang ibu atau bapa untuk mengislamkan anak-anaknya tanpa persetujuan yang seorang lagi. Undang-undang tidak menyekat hak orang bukan Islam untuk menukar kepercayaan dan pegangan agama mereka. Orang bukan Islam yang ingin berkahwin dengan orang Islam mesti memeluk Islam untuk mendapatkan pengiktirafan daripada mahkamah syariah tentang perkahwinan itu secara rasmi.
Orang yang bawah umur (di bawah umur 18 tahun, mengikut undang-undang persekutuan) umumnya tidak boleh memeluk agama lain tanpa kebenaran yang jelas daripada ibu bapa. Namun, ada beberapa undang-undang negeri yang membenarkan penukaran kepada agama Islam tanpa kebenaran ibu bapa, selepas umur 15 tahun. Keputusan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2018 mengenai had perlembagaan bagi pihak berkuasa pentadbiran syariah, khususnya telah menafikan penukaran agama kanak-kanak secara unilateral oleh mahkamah syariah tanpa persetujuan kedua-dua ibu bapa. Penghakiman itu berkata mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan penyeliaan atas keputusan pentadbiran pihak berkuasa Islam negeri. Pada bulan Januari, Mahkamah Persekutuan telah mengeluarkan pandangan yang turut mengesahkan keputusan 2018 tersebut.
Undang-undang hasutan mengawal dan menghukum, antara lain, ucapan yang dianggap bermusuhan terhadap kumpulan etnik, yang termasuk ucapan yang menghina agama, yang paling kerap dikuatkuasakan terhadap ucapan berkenaan Islam. Kanun keseksaan menghukum “kesalahan yang berkaitan dengan agama” termasuk “memudaratkan atau mencemarkan tempat ibadat,” “mengganggu perhimpunan agama,” “menceroboh tempat perkuburan,” atau “mengucapkan perkataan dengan niat sengaja untuk menyakiti perihal keagamaan untuk mana-mana orang.” Sabitan bagi kesalahan ini di bawah undang-undang hasutan dalam kanun keseksaan boleh mengakibatkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, yang jumlahnya tidak ditetapkan dalam kanun keseksaan, atau penjara sehingga 20 tahun jika terdapat kecederaan fizikal atau kerosakan harta benda. Kanun keseksaan juga melarang ucapan yang “menggalakkan niat jahat, permusuhan, atau kebencian atas alasan agama,” dan pesalah akan berdepan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun. NGO melaporkan bahawa pendakwaan untuk penghinaan biasanya melibatkan mereka yang menghina Islam, tetapi penghinaan terhadap mana-mana agama juga boleh didakwa.
Di bawah undang-undang syariah, yang berbeza mengikut negeri, individu yang disabitkan dengan aktiviti ajaran “sesat” berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun, sebat, atau denda RM5,000 kerana “menghina” Islam. Menurut sesetengah undang-undang negeri, orang Islam boleh didenda RM1,000 jika mereka tidak menghadiri “kaunseling” selepas didapati bersalah memakai pakaian yang dianggap tidak sopan oleh pihak berkuasa. Menurut undang-undang syariah di beberapa negeri, individu yang menjual makanan kepada orang Islam yang berpuasa atau orang Islam yang tidak berpuasa juga boleh dikenakan denda, hukuman penjara, atau kedua-duanya sekali.
JAKIM dan pihak berkuasa Islam negeri menyediakan semua khutbah Jumaat untuk jemaah serta menyelia dan meluluskan pelantikan imam di masjid. JAKIM dan pegawai agama Islam negeri mesti meluluskan secara rasmi semua pengajar agama Islam sebelum mereka boleh berdakwah atau berceramah tentang Islam secara terbuka.
Tiada keperluan undang-undang bagi kumpulan agama bukan Islam untuk mendaftar. Namun untuk menjadi pertubuhan amal bukan untung yang diluluskan, semua kumpulan mesti mendaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerajaan dengan mengemukakan kertas kerja yang menunjukkan kepimpinan, tujuan dan peraturan organisasi tersebut, dan dengan membayar yuran. Organisasi-organisasi ini secara perundangan dikehendaki mengemukakan laporan tahunan kepada ROS untuk kekal berdaftar. ROS boleh memeriksa organisasi yang berdaftar dan menyiasat organisasi yang disyaki digunakan untuk tujuan yang “memudaratkan keamanan, kebajikan, ketenteraman atau moraliti awam.”
Undang-undang cukai membenarkan pengecualian untuk kumpulan agama berdaftar bagi derma yang diterima dan potongan cukai untuk penderma individu. Penderma yang memberi zakat kepada pertubuhan agama Islam akan menerima rebat cukai. Penderma kepada pertubuhan amal yang diluluskan kerajaan (termasuk sesetengah kumpulan agama bukan Islam) mungkin menerima potongan cukai atas sumbangan tersebut dan bukannya rebat cukai.
Di bawah undang-undang syariah, hukuman sebat dibenarkan di setiap negeri. Kesalahan yang boleh dikenakan hukuman sebat, kadang kala bersama dengan pemenjaraan, termasuk hubungan seks sejenis dan pelacuran. Sebatan juga dibenarkan untuk pelbagai jenis kesalahan di bawah peruntukan dalam kanun keseksaan persekutuan seperti rogol, pengedaran dadah, kemasukan secara haram, rasuah, dan jenayah pecah amanah.
Undang-undang melarang penyebaran agama kepada orang Islam oleh orang bukan Islam, dengan hukuman berbeza dikenakan dari negeri ke negeri, termasuk penjara dan sebat. Undang-undang membenarkan orang Islam untuk berdakwah tanpa sekatan.
Kerajaan negeri mempunyai kuasa eksklusif atas peruntukan tanah untuk, dan pembinaan bagi, semua rumah ibadat selain peruntukan tanah untuk semua tanah perkuburan.
Semua rumah ibadat Islam – termasuk masjid dan surau – terletak di bawah kuasa JAKIM dan jabatan agama Islam negeri yang berkaitan. Pegawai-pegawai di jabatan-jabatan ini hendaklah memberi kebenaran untuk pembinaan mana-mana masjid atau surau.
Pengajaran agama Islam adalah wajib bagi kanak-kanak Islam di sekolah kerajaan. Pelajar bukan Islam dikehendaki mengikuti kursus moral dan etika yang bukan keagamaan. Sekolah swasta boleh menawarkan kurikulum agama bukan Islam sebagai pilihan untuk pelajar bukan Islam.
Mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa atas orang Islam dalam hal undang-undang keluarga dan pengamalan agama. Orang bukan Islam tidak mempunyai kedudukan dalam prosiding syariah, dan hal ini membawa kepada beberapa kes apabila keputusan mahkamah syariah menjejaskan orang bukan Islam yang tidak mempunyai keupayaan untuk mempertahankan kedudukan mereka atau merayu keputusan mahkamah. Perkara ini biasanya berlaku dalam keputusan yang melibatkan hak penjagaan, perceraian, pewarisan, pengebumian, dan penukaran agama dalam keluarga berbilang agama. Hubungan antara undang-undang syariah dan sivil masih belum dapat diselesaikan dalam sistem perundangan. Apabila bidang kuasa mahkamah sivil dan syariah bertembung, mahkamah sivil selalunya merujuk kepada mahkamah syariah. Hal ini mewujudkan situasi yang mana penghakiman mahkamah syariah boleh menjejaskan orang bukan Islam.
Dua negeri, Kelantan dan Terengganu, telah menggubal hudud (undang-undang jenayah Islam) untuk orang Islam, walaupun kerajaan persekutuan tidak pernah membenarkan pelaksanaan undang-udang itu. Negeri-negeri ini tidak boleh melaksanakan undang-undang tersebut tanpa meminda perundangan persekutuan dan mendapat persetujuan sultan.
Umur perkahwinan yang sah adalah 16 tahun untuk perempuan Islam dan 18 tahun untuk lelaki Islam, kecuali di negeri Selangor dan Kedah, di mana perempuan Islam dan bukan Islam mesti berumur 18 tahun. Mahkamah Syariah boleh membuat pengecualian untuk perkahwinan sebelum umur tersebut dengan kebenaran ibu bapa. Orang bukan Islam mesti berumur 18 tahun untuk berkahwin tetapi boleh berkahwin seawal usia 16 tahun dengan kelulusan Menteri Besar di negeri mereka, yang memegang kuasa eksekutif tertinggi dalam negeri.
Kad pengenalan kebangsaan menyatakan pegangan agama, dan kerajaan menggunakannya untuk menentukan warganegara mana yang tertakluk pada undang-undang syariah. Kad ini mengenal pasti orang Islam, dengan cetakan pada permukaan kad. Bagi penganut agama lain yang diiktiraf, pegangan agama mereka disulitkan dalam cip pintar di dalam kad pengenalan. Orang Islam yang sudah berkahwin mesti membawa pengenalan foto khas bersama pasangan mereka sebagai bukti perkahwinan.
Mubaligh asing dan pelajar antarabangsa yang mendaftar dalam kursus agama mesti memohon kemasukan dengan Jabatan Imigresen. Kelas-kelas visa ini dikeluarkan kepada pemohon berdasarkan tahun ke tahun dan badan kebangsaan yang mewakili agama masing-masing mesti mengesahkan kelayakan pemohon.
JAKIM menyelaraskan ibadah haji, wakaf, zakat, dan aktiviti agama Islam yang lain.
Garis Panduan Penapisan Filem yang diterbitkan oleh Kementerian Dalam Negeri mengenal pasti beberapa kriteria yang “wajar diperhatikan” oleh kementerian tersebut, termasuk adegan yang menggambarkan gaya hidup di luar “norma budaya dan standard agama.”
Negara ini bukan pihak kepada Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik.
AMALAN KERAJAAN
Pada bulan April, SUHAKAM mengumumkan bahawa siasatan awam tentang kehilangan pastor Kristian Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth Sitepu pada tahun 2016, telah mendapati mereka adalah mangsa “kehilangan paksa” tetapi tidak menemui bukti yang pasangan ini telah diculik oleh “ejen-ejen negara.” Pesuruhjaya SUHAKAM pada waktu itu, Mohd Hishamudin Yunus, yang telah mempengerusikan siasatan, berkata pihak berkuasa gagal menyiasat kes secara “teliti dan serius” yang telah “menjejaskan perkembangan” siasatan. Siasatan SUHAKAM telah mendengar keterangan daripada 26 saksi dan menyemak lebih 129 bahan kes sepanjang 22 hari perbicaraan. Kumpulan NGO Citizens against Enforced Disappearances menyokong “kritikan keras” oleh panel mengenai “kegagalan” Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat kehilangan tersebut.
Menurut SUHAKAM, kerajaan tidak mengeluarkan keputusan daripada panel yang dilantik oleh kerajaan pada tahun 2019 untuk menyiasat penemuan SUHAKAM bahawa unit risikan PDRM, Cawangan Khas (SB PDRM), adalah bertanggungjawab atas “kehilangan paksa” aktivis sosial Islam Syiah Amri Che Mat dan pastor Kristian Raymond Koh pada tahun 2016/17, dan tiada perkembangan telah dibuat dalam siasatan kes-kes tersebut. Pada bulan Ogos, pengarah eksekutif NGO Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Sevan Doraisamy, telah menuntut laporan tersebut dikeluarkan, yang telah disiapkan pada tahun 2019, meskipun kerajaan mengklasifikasikan laporan tersebut di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Isteri Pastor Raymond Koh, Susanna Liew, meneruskan tindakan undang-undang terhadap kerajaan persekutuan dan beberapa pegawai kanan kerana dikatakan gagal menyiasat penculikan suaminya pada tahun 2017 dengan betul, dan menuduh mereka atas kecuaian, pelanggaran, dan konspirasi untuk memudaratkan. Prosiding undang-undang telah diteruskan terhadap Lam Chang Nam, yang didakwa telah memeras ugut wang daripada keluarga Koh dengan menawarkan maklumat mengenai keberadaan Koh.
Walaupun polis digesa oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengesan bekas suami Indira Gandhi dan anak bongsu mereka, yang diculiknya pada tahun 2009, kedua-duanya masih hilang setakat akhir tahun ini. Gandhi, seorang Hindu, sebelum ini berjaya menyaman untuk menafikan tindakan bekas suaminya yang telah menukar agama tiga anak kecil mereka kepada agama Islam secara unilateral. Pada bulan September, Mahkamah Rayuan telah menolak permohonan kerajaan untuk membatalkan saman Gandhi terhadap kerajaan, polis dan Kementerian Dalam Negeri kerana tidak bertindak dalam melaksanakan waran terhadap bekas suaminya, Riduan Abdullah. Berikutan pengumuman mahkamah ini, Ketua Polis Daerah Ipoh, Yahaya Hassan telah meminta orang ramai menghubungi polis dengan sebarang maklumat tentang keberadaan Riduan Abdullah. Setakat akhir tahun, Ketua Polis Negara belum mengumumkan sebarang perkembangan dalam pencarian anak perempuan Gandhi atau maklumat lain dalam kes ini.
Dalam tahun ini, pihak berkuasa telah menangkap beberapa individu kerana penghinaan. Pada 11 April, PDRM telah menahan penulis Malaysia Uthaya Sankar SB, yang dituduh menghina Nabi Muhammad dalam komen di media sosial, apabila dia merujuk kepada hadis (kata-kata atau amalan Nabi Muhammad serta sahabat-sahabatnya) yang menyebut poligami. Polis telah merampas peranti elektronik penulis tersebut dan menyiasatnya di bawah peruntukan kanun keseksaan kerana melanggar sensitiviti agama, dan menyalahgunakan kemudahan serta perkhidmatan rangkaian komunikasi. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, menasihati orang ramai untuk “sentiasa berjaga-jaga dan berhati-hati tentang isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dan bangsa” dan menyeru pengguna media sosial supaya tidak menggunakan platform media sosial untuk mengganggu keharmonian awam. Selepas dibebaskan dengan jaminan pada 12 April, Uthaya mengumumkan di media sosial bahawa dia akan berhenti menulis tentang agama Islam. Setakat akhir tahun ini, PDRM belum lagi membuat pendakwaan.
Pada 10 Julai, polis persekutuan telah menahan Siti Nuramira Abdullah berikutan persembahan komedinya pada 4 Jun di Crackhouse Comedy Club di Kuala Lumpur, di mana dia memperkenalkan dirinya sebagai seorang Islam yang telah menghafal 15 juzuk Al-Quran. Sejurus selepas membuat kenyataan itu, dia menanggalkan tudung dan baju kurung untuk mendedahkan baju dalam. Pada 13 Julai, dia mengaku tidak salah atas dakwaan mengganggu keharmonian masyarakat Islam. Sebaik sahaja dibebaskan atas jaminan pada 19 Julai, dia telah ditangkap dengan serta-merta oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) atas dakwaan menghina Islam, dan kes telah pun difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah. Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, “Kerajaan tidak akan berkompromi atas sebarang tindakan yang menghina agama dan mengancam keharmonian serta perpaduan rakyat. Tindakan akan diambil berasaskan undang-undang.” Pada 20 Julai, JAWI telah membatalkan pendakwaan di mahkamah Syariah dan kembali kepada kes sivil asal, yang membawa denda lebih berat sehingga lima tahun penjara jika didapati bersalah. Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada Mac dan April 2023. Polis turut menangkap teman lelaki Nuramira, iaitu Alexander Navin Vijayachandran, kerana merakam adegan lawaknya dan membuat hantaran baginya di media sosial yang telah tular. Alexander didakwa atas penyalahgunaan kemudahan dan perkhidmatan rangkaian. Kes ini juga masih belum selesai setakat akhir tahun.
Pada 14 Julai, PDRM telah menahan pengasas bersama Crackhouse Comedy Club, iaitu pelawak Rizal van Geyzel, kerana memuat naik tiga video persembahan Siti Nuramira Abdullah dalam talian. PDRM turut mendakwa Rizal melanggar sensitiviti bangsa dan agama dan mendakwa kelab tersebut “menggalakkan liberalisme” dan menghina agama Islam dan orang Melayu dalam persembahannya. Polis turut mendakwa dia dengan penyalahgunaan kemudahan dan perkhidmatan rangkaian komunikasi. Pada 17 Ogos, jawatankuasa pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengesahkan pembatalan lesen perniagaan kelab itu dan van Geyzel disenaraihitamkan daripada mendaftarkan sebarang lesen perniagaan di Kuala Lumpur pada masa akan datang.
Menjadi satu kesalahan untuk seorang ibu atau bapa menukar agama anak mereka tanpa persetujuan yang satu lagi, dan mahkamah akan terus menafikan cubaan untuk menukar agama secara unilateral. Pada 26 Januari, panel hakim tiga orang yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat di Mahkamah Persekutuan, iaitu mahkamah tertinggi negara, telah mengekalkan keputusan pada tahun 2018 yang menolak seorang ibu atau bapa daripada boleh menukar agama anak mereka tanpa persetujuan daripada yang satu lagi. Keputusan ini turut mengatakan bahawa enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor menyatakan bahawa kedua-dua ibu dan bapa mesti bersetuju dengan penukaran agama anak mereka. Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini telah menolak permohonan Majlis Agama Islam Selangor untuk mengakui penukaran agama lima orang anak oleh bapa mereka tanpa pengetahuan ataupun persetujuan si ibu.
Pada bulan Februari, media melaporkan Loh Siew Hong menuduh bekas suaminya telah menukar agama anak-anak mereka daripada agama Hindu kepada Islam. Anak-anak itu adalah sepasang kembar berumur 14 tahun dan seorang anak berumur 10 tahun, berada di bawah jagaan bapa mereka, nenek sebelah bapa, NGO Islam, selain Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis pada waktu-waktu yang berlainan, dari tahun 2019 hingga 2022 selepas Loh dimasukkan ke hospital akibat keganasan rumah tangga. Loh memfailkan petisyen habeas corpus pada 13 Februari untuk mendesak pemulangan anak-anaknya kepada penjagaannya, yang telah dibenarkan oleh mahkamah pada 21 Februari. Sebelum pembicaraan habeas corpus pada 21 Februari, anak-anak itu berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Perlis.
Pada bulan Februari, seorang lelaki menyaman kerajaan untuk mendapat pengisytiharan bahawa dia bukan lagi beragama Islam, atau dengan kata lain, dia tidak pernah beragama Islam. Dia menamakan Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan, Mahkamah Syariah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, dan kerajaan persekutuan sebagai responden dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan olehnya pada 16 Februari. Menurut afidavit, dia mengatakan yang dia telah memeluk agama Islam secara rasmi pada tahun 2010 semata-mata untuk berkahwin dengan isterinya pada waktu itu, yang telah diceraikan kemudiannya.
Pada bulan Mac, seorang wanita gagal mengambil tindakan undang-undang untuk membatalkan penukaran agama secara unilateral terpaksa yang didakwa telah dilakukan semasa zaman kanak-kanaknya. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak petisyen untuk mendapat semakan kehakiman atas penukaran agama itu, yang didakwa telah dilakukan oleh bapanya yang beragama Islam pada tahun 1990, ketika dia berumur 10 tahun.
Pada bulan April, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada Oktober 2021 terhadap seorang ibu yang ingin menukar kembali agama bagi dua anaknya kepada Islam. Wanita itu, yang sebelum ini penganut Buddha dan memeluk agama Islam, sesudah itu dilaporkan telah menukar agama anak-anaknya secara unilateral kepada Islam pada tahun 2016, tanpa persetujuan suaminya yang beragama Buddha semasa prosiding perceraian mereka. Suaminya berjaya mencabar penukaran agama secara unilateral di mahkamah, dan penukaran agama anak-anak tersebut telah dibatalkan akhirnya.
Pada bulan April, Mahkamah Tinggi Syariah menjatuhkan hukuman tujuh hari penjara ke atas Ahli Parlimen (AP) Maria Chin Abdullah atas penghinaan mahkamah kerana telah “menghina” sistem kehakiman Islam dalam siaran akhbarnya pada September 2019 yang menyatakan mahkamah syariah melakukan diskriminasi terhadap wanita Muslim. Hakim telah mengekalkan hukuman dan peguam Maria Chin telah merayu keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi. Pada bulan Ogos, Mahkamah Tinggi membenarkan Maria Chin untuk mencabar keputusan tersebut dengan alasan Mahkamah Tinggi Syariah tidak mempunyai bidang kuasa yang mencukupi dalam kes ini. Pada bulan September, peguam negara merayu keputusan Mahkamah Tinggi tersebut. Setakat akhir tahun ini, kes tersebut masih berjalan.
Aktivis masyarakat sivil mengatakan bahawa kerajaan bersikap selektif dalam mendakwa ucapan yang menghina agama Islam, manakala kritikan terhadap agama lain tidak dihiraukan. Pada bulan Ogos, Peter John Jaban dari Pertubuhan Hak Asasi Manusia Global berkata bahawa terdapat “pilih kasih” dalam mengendalikan kes penghinaan agama selain daripada agama Islam. Dia berkata, tindakan segera akan diambil dan hukuman berat dikenakan ke atas mereka yang didakwa menghina agama Islam, tetapi tidak ke atas mereka yang menghina agama lain.
Setakat akhir tahun ini, mahkamah tinggi belum mengeluarkan kenyataan tentang semakan kehakiman atas aduan penganut Buddha Ong Seng Teng pada tahun 2020 mengenai keengganan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengeluarkan sijil kelahiran yang menyatakan agama Buddha sebagai agama anak lelakinya, yang dilahirkan pada November 2019. JPN menyatakan penolakan itu disebabkan isu agama, kerana isteri Ong (ibu anak lelaki itu) dilahirkan sebagai Islam dan mahkamah syariah tidak pernah meluluskan permohonannya pada tahun 2016 untuk bertukar agama kepada agama Buddha. JPN menolak permohonan keluarga itu untuk meletakkan agama “Buddha” pada sijil kelahiran anak tersebut, dan menyatakan bahawa undang-undang menghendaki anak tersebut didaftarkan dengan agama yang sama dengan agama ibunya.
Pada bulan Jun, Mufti Negeri Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor menyeru pihak berkuasa agama Islam untuk “segera bertindak” bagi menyekat penyebaran konsep reinkarnasi berikutan video yang tular mengenai seorang penceramah yang berkata roh berpindah daripada si mati kepada orang yang hidup. Mufti menyeru tindakan diambil termasuk melarang individu daripada berceramah dan bersyarah di masjid mengenai reinkarnasi dan mengambil tindakan undang-undang jika mereka berbuat demikian. Dia berkata reinkarnasi adalah kepercayaan sesat yang menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar, kerana ia melanggar Al-Quran dan “sunnah nabawiyah” (amalan nabi).
Pada bulan Jun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman oleh seorang wanita yang ingin mendapat kebenaran untuk menukar agama daripada Islam kepada agama Konfusianisme dan Buddha. Peguam wanita itu memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah tinggi, dan mengatakan bahawa kes ini akan “menguji hak kebebasan beragama untuk orang Islam di Malaysia.” Menurut laporan media, wanita itu yang dilahirkan sebagai orang Islam, memulakan proses meninggalkan Islam melalui sistem mahkamah syariah pada tahun 2018 supaya dibenarkan memeluk agama Buddha dan Konfusianisme. Mahkamah tinggi Syariah dan kemudian mahkamah rayuan telah menolak petisyen itu dan mengarahkan dia menjalani sesi “kaunseling” untuk “mengembalikan kepercayaannya.” Menurut keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada bulan Jun, mahkamah syariah yang akan menentukan kelulusan bagi petisyen untuk meninggalkan Islam oleh orang yang dilahirkan sebagai Islam.
Pada bulan Jun, seorang hakim di Melaka telah mendenda seorang lelaki RM5,000 kerana komen yang dibuat di media sosial pada tahun 2019, yang mengibaratkan sembilan sultan Melayu di negara ini sebagai ketua kampung dan mencadangkan bahawa agama Islam telah diasaskan oleh “penunggang unta di padang pasir.” Pendakwa mendakwanya atas kesalahan itu pada bulan September 2021. Hakim memutuskan bahawa lelaki itu telah “menggunakan peralatan rangkaian” untuk menghantar komen kesat secara salah.
Pihak berkuasa agama negeri umumnya mematuhi garis panduan tentang perkara yang merangkumi perilaku atau kepercayaan Islam yang sesat, yang dilaksanakan di peringkat negara oleh Jawatankuasa Pemandu bagi Menangani Ajaran Sesat. Mereka yang tidak mengikuti tafsiran rasmi Islam akan terus menghadapi tindakan keras oleh kerajaan, termasuk “pemulihan” wajib di pusat-pusat yang mengajar dan menguatkuasakan amalan Islam yang diluluskan kerajaan. Kerajaan melarang individu meninggalkan pusat sedemikian sehingga mereka melengkapkan program itu, yang tempohnya berbeza-beza tetapi selalunya berlangsung selama kira-kira enam bulan. Program kaunseling ini terus dirangka untuk memastikan tahanan akan menerima pakai tafsiran Islam yang rasmi oleh kerajaan.
Pada bulan Ogos, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad memberitahu media bahawa JAKIM telah mengenal pasti lokasi operasi kumpulan “sesat” dari Indonesia bernama Hadi Minallah dalam usaha mereka untuk “mencegah penyebaran ajaran kumpulan ini.” Idris berkata bahawa JAKIM telah menyerahkan laporan kepada Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, untuk menghentikan operasi Hadi Minallah.
Pertubuhan-pertubuhan NGO masih melaporkan kesukaran bagi orang Islam yang cuba untuk menukar agama dan bagi orang bukan Islam yang tersilap mendaftar sebagai orang Islam untuk menukar maklumat agama pada kad pengenalan mereka. Untuk menangani isu ini, sebuah organisasi Kristian dalam negara telah mencipta laman web yang menyediakan sumber untuk warga yang ingin menukar agama mereka pada kad pengenalan kebangsaan mereka.
Dalam kes kerajaan enggan mendaftarkan sesebuah kumpulan agama, kumpulan itu boleh mendaftar sebagai syarikat swasta. Beberapa kumpulan agama melaporkan mendaftar sebagai syarikat secara umumnya agak cepat dan menyediakan asas sah untuk mereka jalankan kegiatan, tidak membataskan aktiviti keagamaan kumpulan itu, dan membolehkan organisasi itu untuk menjalankan aktiviti tertentu seperti mempunyai akaun bank dan memiliki harta. Namun, mendaftar sebagai syarikat tidak melayakkan organisasi tersebut untuk mendapat pengecualian cukai atau pembiayaan kerajaan. Contoh-contoh kumpulan agama yang masih didaftarkan sebagai syarikat termasuk Jehovah’s Witnesses dan Church of Jesus Christ.
Kerajaan masih mengekalkan sekatan atas perhimpunan dan pengamalan agama oleh kumpulan agama Islam bukan Sunni. Kerajaan membataskan keupayaan beberapa kumpulan agama, seperti Church of Jesus Christ untuk mendaftar sebagai pertubuhan amal. Beberapa organisasi agama dan NGO bukan Islam masih menghadapi kesukaran mendaftar, dengan ROS akan menolak atau menangguhkan permohonan tanpa penjelasan atau atas sebab teknikal. Wakil kumpulan agama tetap mengatakan yang ROS tidak mempunyai dasar yang konsisten atau kriteria yang telus untuk menentukan sama ada untuk mendaftarkan kumpulan agama.
Pegawai penguatkuasa agama Islam peringkat negeri tetap dibenarkan mengiringi polis dalam serbuan premis persendirian dan tempat awam dan untuk menguatkuasakan undang-undang syariah bagi orang Islam, termasuk untuk pelanggaran seperti berpakaian tidak senonoh, pengedaran penerbitan yang dilarang, pengambilan alkohol, atau khalwat (berdua-duaan dengan bukan ahli keluarga yang berlainan jantina). Pada bulan Januari, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah telah menahan lapan pasangan Islam kerana disyaki berdua-duaan dengan orang yang berlainan jantina, dalam operasi polis yang dijalankan sempena sambutan Tahun Baharu.
Semua mubaligh asing – Islam dan bukan Islam – yang datang ke negara ini untuk mengadakan ceramah agama, wajib menjalani pemeriksaan latar belakang atas “sebab keselamatan negara” oleh kerajaan, bagi memastikan mereka bebas daripada ajaran “sesat”.
Pada bulan April, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menolak saman fitnah yang difailkan oleh pensyarah Universiti Utara Malaysia Kamarul Zaman Yusoff terhadap tujuh pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP). Kamarul mendakwa bahawa AP Hannah Yeoh dan anggota parti telah memfitnahnya dengan menyebarkan kenyataan palsu yang bersifat keagamaan. Anggota-anggota DAP mengeluarkan kenyataan untuk menyokong Yeoh dan mengkritik Kamarul selepas dia menuduh Yeoh, AP beragama Kristian, menggunakan politik untuk menyebarkan agama Kristian dalam negara. Yeoh berkata bahawa pada tahun 2017, Kamarul telah membuat hantaran di media sosial bahawa “Yeoh mempunyai motif untuk menyebarkan agama Kristian melalui kegiatan politiknya.”
Pegawai kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri tetap mengawasi aktiviti keagamaan Islam, mengedarkan semua teks khutbah untuk diikuti oleh masjid, menggunakan masjid untuk menyampaikan mesej politik, dan mengehadkan luahan umum mengenai agama yang dianggap bertentangan dengan Islam Sunni.
Kerajaan persekutuan dan negeri terus melarang perhimpunan agama dan kegiatan beribadat bagi kumpulan yang dianggap sebagai kumpulan Islam “sesat”, termasuk Syiah, Ahmadiyah, dan al-Arqam. Meskipun pengikut Ahmadiyah di negara ini melaporkan boleh mengekalkan pusat ibadat, pihak berkuasa agama kerajaan tidak membenarkan mereka mengadakan solat Jumaat, kerana ini hanya boleh dilakukan di masjid yang didaftarkan secara rasmi.
Pada bulan Januari, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menyiasat Ibrahim Mat Zin, yang juga dikenali sebagai “raja bomoh” (pawang), berhubungan video di media sosial mengenai upacara untuk menjauhkan banjir. Pengarah JAIPk Mohd Yusop Husin berkata, selain daripada Ibrahim, JAIPk akan memanggil individu-individu lain yang terlibat dalam kejadian itu untuk membantu siasatan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Perak 1992 kerana memfitnah dan menghina agama Islam.
Pada bulan Jun, ketua polis Negeri Selangor Arjunaidi Mohamed memberitahu media bahawa polis telah menangkap penganjur dan beberapa wanita transgender yang dikatakan polis menari dalam keadaan separuh bogel dan meletupkan bunga api di suatu acara Aidilfitri pada 27 Mei. Dia menambah bahawa kes tersebut disiasat di bawah kanun keseksaan kerana menghina kehormatan seseorang dan melanggar Akta Bahan Letupan dengan menyebabkan letupan yang boleh membahayakan nyawa atau harta, serta Akta Komunikasi dan Multimedia kerana berucap dengan niat untuk “menyakitkan hati, menganiaya, mengancam, atau mengganggu orang lain.” Menurut sumber media, polis telah membebaskan penganjurnya sementara siasatan dijalankan.
Pada bulan Januari, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada Oktober 2021 yang menetapkan bahawa bidang kuasa JAIS tidak merangkumi 29 orang pengikut Ahmadiyah Malaysia, iaitu mereka yang dilahirkan kepada ibu bapa Ahmadiyah dan orang bukan Malaysia yang menjadi pengikut Ahmadiyah kemudiannya. Keputusan Mahkamah Tinggi ini turut merangkumi 10 plaintif tambahan yang tidak dilahirkan sebagai pengikut Ahmadiyah, jika mereka menerima perintah daripada mahkamah syariah yang mengisytiharkan mereka sebagai pengikut Ahmadiyah. Rayuan ini masih belum selesai setakat akhir tahun. Keputusan Mahkamah Tinggi pada tahun 2018 menyatakan bidang kuasa mahkamah syariah tidak merangkumi komuniti Ahmadiyah, memandangkan JAIS enggan mengiktiraf mereka sebagai penganut agama Islam.
Pada bulan Februari, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan bagi kes tahun 2021 apabila NGO Sisters in Islam (SIS) memohon mahkamah untuk membatalkan undang-undang Negeri Selangor yang membolehkan mahkamah syariah menyemak keputusan yang dibuat oleh pihak berkuasa agama negeri. Mahkamah memutuskan bahawa undang-undang itu melanggar perlembagaan dan mengesahkan bahawa mahkamah sivil memiliki kuasa untuk menyemak kes sedemikian.
Pada bulan Mei, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa JAIS telah menahan Abdul Kahar Ahmad dan 16 pengikutnya secara salah pada tahun 2020 kerana menyebarkan ajaran “mazhab sesat” yang telah diharamkan. Pada tahun 2020, JAIS telah mengarah penangkapan Abdul Kahar dan 16 pengikutnya, tetapi pihak berkuasa kemudiannya telah membebaskan Abdul Kahar dan tiga pengikutnya dengan jaminan, manakala 13 lagi masih ditahan. Sumber media melaporkan Abdul Kahar telah “mengisytiharkan taubatnya” pada tahun 2016. Mahkamah juga mengisytiharkan pembatalan peruntukan prosedur di bawah undang-undang syariah Negeri Selangor, kerana ia melanggar hak perlembagaan terhadap kebebasan dan kesaksamaan. Peruntukan itu tidak membenarkan pembebasan seseorang yang ditangkap oleh pegawai penguatkuasaan agama kecuali atas ikatan atau jaminan di bawah perintah hakim atau Ketua Pegawai Penguatkuasaan Agama.
Pada bulan Jun, Lembaga Penapisan Filem berkata bahawa Disney Corporation menolak untuk menayangkan filem “Lightyear” selepas pihak lembaga mencadangkan apa yang dikatakan mereka adalah “suntingan yang berpatutan” untuk mengeluarkan adegan-adegan yang “menggalakkan gaya hidup LGBT.” Pada bulan Ogos, Lembaga Penapisan Filem melarang pawagam daripada menayangkan filem Marvel “Thor: Love and Thunder” atas sebab kandungan LBGT, setelah Disney menolak untuk menyunting adegan-adegan tersebut. Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin, berkata bahawa kerajaan dan JAKIM “komited untuk mengurangkan penyebaran budaya LGBT di negara” dan menyeru rakyat untuk “mengawal diri sendiri” dan untuk ibu bapa menggunakan sistem kawalan ibu bapa bagi menyekat kandungan LGBT di platform penstriman dan media sosial yang tidak dapat dikawal dan ditapis sepenuhnya oleh kerajaan.
Pada bulan November, Kementerian Dalam Negeri melarang buku-buku Heartstopper Volume 2 dan Cekik yang dilaporkan sebagai “menggalakkan budaya LGBT.”
Pada bulan Februari, Mahkamah Tinggi telah membatalkan larangan Kementerian Dalam Negeri ke atas buku Gay is OK! A Christian Perspective dan memutuskan bahawa buku itu tidak mungkin akan “menjejaskan ketenteraman awam.” Kerajaan telah melarang buku itu pada tahun 2020, tujuh tahun setelah ia pertama kali diterbitkan, atas sebab ia mungkin menjejaskan ketenteraman awam, moraliti, dan kepentingan awam.
Kumpulan bukan Islam masih melaporkan kesukaran mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan untuk membina rumah ibadat baharu, yang menyebabkan banyak kumpulan menggunakan bangunan kediaman atau komersial untuk upacara keagamaan mereka. Sumber-sumber melaporkan orang Islam Syiah menggunakan pusat komuniti tempatan yang “bersimpati terhadap situasi mereka” untuk mendapatkan perkhidmatan mereka. Pengikut Ahmadiyah masih menggunakan kemudahan di Kuala Lumpur yang berdaftar sebagai bangunan komersial.
Di sekolah rendah dan menengah kerajaan, perhimpunan pelajar kerap dimulakan dengan bacaan doa Islam oleh seorang guru atau ketua sekolah. Pengkritik meluahkan kebimbangan terhadap suasana dan simbol agama di sekolah. Pemimpin masyarakat dan kumpulan kebebasan sivil berkata guru agama di sekolah kerajaan menekan gadis Islam untuk memakai tudung di sekolah, khususnya di semenanjung Malaysia. Sesetengah sekolah swasta menghendaki gadis Islam memakai tudung yang menutup muka mereka, kecuali mata mereka.
Persekolahan di rumah masih dibenarkan, tetapi sesetengah keluarga masih melaporkan kesukaran untuk mendapatkan kebenaran Kementerian Pendidikan.
Pada bulan Julai, portal dalam talian Free Malaysia Today menyiarkan artikel oleh Amir Faizal Abdul Manan yang mengatakan 16 peratus masa pelajar sekolah rendah diluangkan untuk pendidikan agama Islam, manakala 12 peratus untuk matematik, 7 peratus untuk sains, dan 7 peratus untuk pendidikan seni. Dia berkata angka-angka ini diperoleh berdasarkan jadual pelajar daripada beberapa sekolah kerajaan di dalam dan di sekitar Kuala Lumpur.
Kerajaan masih mengamalkan dasar untuk tidak mengiktiraf perkahwinan antara orang Islam dan orang bukan Islam, dan anak yang dilahirkan daripada penyatuan sebegitu dianggap sebagai tidak sah.
Fatwa Negeri Perlis pada tahun 2021 yang mengisytiharkan “lelaki yang kelihatan seperti wanita,” seperti individu transgender, tidak dibenarkan memasuki masjid atau mengerjakan Haji atau Umrah masih dikekalkan. Wakil-wakil daripada SIS masih berpendapat bahawa fatwa ini adalah bertentangan dengan unsur Islam yang terangkum dalam perlembagaan persekutuan.
Dalam tahun ini, JAKIM tetap membiayai pelbagai projek pendidikan Islam dan projek berkaitan masjid. Antara bulan Julai dan Oktober, JAKIM telah mengadakan 100 “Kelas Agama Komuniti Disayangi” untuk orang Islam di beberapa pusat berlindungan kerajaan di Kuala Lumpur.
Pada bulan September, JAKIM bersama dengan persatuan pekerja masjid, telah menganjurkan dan mengendalikan “kursus pengurusan profesional” untuk 150 pegawai masjid dari Malaysia Barat.
Tiada dana dalam bajet kerajaan yang diperuntukkan khusus bagi kumpulan agama bukan Islam, walaupun beberapa kumpulan agama dilaporkan terus menerima pembiayaan sekali-sekala untuk mengendalikan bangunan kuil dan gereja serta aktiviti lain.
Pada bulan Ogos, Mahkamah Rayuan menolak saman fitnah dan hasutan yang difailkan oleh penganut Kristian Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil Maximilhian terhadap Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Abdul Hadi Awang, yang menerbitkan artikel pada tahun 2016 yang menuduh mubaligh Kristian menyasarkan orang miskin dan tidak berpendidikan dalam komuniti miskin di negeri-negeri seperti Sabah dengan membayar mereka untuk memeluk agama Kristian. Semasa menolak rayuan untuk mengembalikan semula saman fitnah dan hasutan yang asal, panel hakim tiga orang mengatakan bahawa kes tersebut “tidak kukuh” kerana plaintif telah meminta mahkamah untuk mendapati Hadi telah melakukan hasutan tetapi tidak turut mempetisyen peguam negara untuk mendakwa Hadi atas hasutan. Mahkamah berkata yang ia tidak boleh “merampas kuasa perlembagaan pendakwa raya” untuk memutuskan Hadi telah melakukan kesalahan jenayah. Kedua-dua plaintif merayu keputusan tersebut, dan Mahkamah Persekutuan dijadualkan untuk mula menyemak pada bulan April 2023.
Pada bulan Oktober, PDRM, jabatan penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan JAWI telah menyerbu majlis Halloween peribadi yang diadakan di sebuah pusat perniagaan di Kuala Lumpur. Menurut saksi, pihak berkuasa telah mengasingkan tetamu kepada kumpulan Islam dan bukan Islam menurut agama yang terdapat pada kad pengenalan mereka. Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan bin Yahaya, pihak berkuasa kemudiannya telah memeriksa penanda gender pada kad milik 62 orang Islam dan menahan 20 individu dengan penanda gender lelaki di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) kerana menjadi “orang lelaki yang memakai pakaian wanita dan berlagak seperti wanita untuk tujuan tidak bermoral, di mana-mana tempat awam.” Pihak berkuasa telah membebaskan individu-individu tersebut dan meminta mereka kembali untuk siasatan lanjut pada bulan Januari 2023.
Kerajaan terus mengekalkan larangan untuk warga Israel memasuki negara ini tanpa kebenaran Kementerian Dalam Negeri, dan membataskan keupayaan warga Malaysia untuk pergi ke Israel.
Pada bulan Ogos, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, AP Marang, mendakwa dalam hantaran media sosial bahawa orang bukan Islam dan bukan Melayu adalah pelaku rasuah utama yang “mengejar keuntungan haram” dan mengawal ekonomi untuk menghancurkan sistem politik, tadbir urus dan kehakiman negara. Pengerusi biro undang-undang DAP Ramkarpal Singh, AP Bukit Gelugor, menyeru peguam negara untuk mendakwa Hadi atas dakwaan mengganggu keharmonian agama dan menghina dengan niat untuk membuat provokasi kekacauan. PDRM mengesahkan siasatan telah dibuka, tetapi setakat akhir tahun ini, pendakwa masih belum mendakwa Hadi.
Pada bulan Julai, Menteri Idris memberitahu parlimen bahawa acara Oktoberfest tidak patut dibenarkan dalam negara ini “kerana ia akan menyebabkan masalah sosial.” Dia turut berkata “peraturan dan undang-undang Malaysia yang berdasarkan Islam sebagai agama persekutuan” perlu dihormati. Pada tahun 2018, beberapa negeri telah melarang acara Oktoberfest berikutan kritikan Parti Islam Se-Malaysia, yang dianggotai oleh Idris. Pada 6 Jun, Idris turut menasihati orang Islam untuk tidak menyertai pesta budaya Jepun Bon Odori, kerana didakwa “mengandungi unsur-unsur agama lain.”
Sepanjang tahun ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang turut mempengerusikan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam, kerap bertitah berkenaan isu-isu kebebasan dan kepercayaan agama. Sultan telah menjawab kenyataan Menteri Idris mengenai pesta Bon Odori dengan meminta dia datang ke pesta negeri itu untuk “memahami perbezaan antara agama dan budaya.” Jabatan Agama Islam Selangor dan Majlis Bandaraya Shah Alam telah diperintahkan untuk melawati pesta tersebut bagi mendapat pemahaman yang jelas dan memastikan yang ia menghormati agama Islam.
Pada bulan September, berikutan pemergian Ratu Elizabeth II, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan kenyataan bahawa orang Islam dilarang mengucapkan “rest in peace,” kepada orang bukan Islam yang telah meninggal dunia, kerana orang Islam tidak boleh mendoakan pengampunan bagi individu yang berlainan agama.
Pada bulan Oktober, Sultan Sharafuddin bertitah, “Jika komuniti berbilang etnik dan berbilang agama di Malaysia bersedia untuk bekerjasama dan saling menghormati kepercayaan agama masing-masing, Insyallah, semua niat baik dan usaha untuk menghormati agama dan merapatkan hubungan dalam komuniti yang berbilang agama dan budaya dalam negara ini akan tercapai.” Baginda turut mengatakan bahawa sebarang perbincangan atau keputusan mengenai agama perlu mengambil kira hak dan kepentingan orang bukan Islam, selaras dengan perlembagaan persekutuan. Baginda turut menasihati para mufti untuk tidak bertelagah mengenai agama di ruang awam, dan menggalakkan “kesopanan” dalam meluahkan pendapat yang berbeza. “Institusi Diraja akan terus kekal sebagai badan neutral yang mengatasi politik dan memainkan peranan dalam menasihati kerajaan dan institusi agama, khususnya dalam perkara yang memelihara perpaduan bangsa,” katanya.
Pada bulan Januari, pada Hari Agama Sedunia, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden memberitahu media bahawa menyambut hari ini bertentangan dengan syarak (undang-undang berasaskan ajaran Islam) kerana ia meletakkan “Islam setanding dengan agama-agama lain.” Menurut dia pluralisme dan perpaduan agama akan menyebabkan “kekeliruan yang merosakkan kepercayaan dan ajaran agama yang sebenar.”
Seperti tahun-tahun lalu, pertubuhan hak asasi manusia tempatan dan pemimpin agama berkata meskipun masyarakat amat mementingkan kebebasan beragama, ia semakin kurang bertoleransi terhadap kepelbagaian agama.
Pada bulan Januari, Dalai Lama telah menyertai persidangan maya antara agama, yang dianjurkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia dan Pusat Kebudayaan Buddha Tibet Malaysia.
Pada bulan Februari, beribu-ribu orang telah menyertai acara peringatan maya untuk mengingati Pastor Raymond Koh pada ulang tahun kelima kehilangannya. Isteri Pastor Koh, Susanna Liew, telah meluahkan pandangannya terhadap peranan SB PDRM dalam kehilangan suaminya pada tahun 2017. Dia turut membaca surat terbuka kepada Perdana Menteri Ismail Sabri dan Ketua Polis Negara, Acryl Sani, yang menuntut kerajaan mendedahkan kebenaran di sebalik kehilangan suaminya.
Acara peringatan ini turut mengingati Amri Che Mat, yang menurut pihak berkuasa, telah menyebarkan ajaran Syiah, serta Joshua Hilmy, mualaf Kristian, dan isterinya, Ruth Sitepu, yang telah hilang dalam selang masa beberapa bulan pada tahun 2016 dan 2017. Pada bulan April, siasatan SUHAKAM tentang kehilangan Hilmy dan Sitepu telah mendapati mereka mungkin menjadi mangsa “kehilangan paksa”, tetapi tidak menemui bukti yang pasangan ini telah diculik oleh “ejen-ejen negara.” Laporan tersebut mendapati SB PDRM telah gagal untuk menyiasat kehilangan tersebut dengan lengkap, tetapi laporan tidak menemui bukti penglibatan rasmi dalam penculikan itu. Rama Ramanathan daripada kumpulan NGO Citizens Against Enforced Disappearances berkata bahawa siasatan polis “adalah cuai, lambat dan tidak serius” dan bahawa polis dan kerajaan perlu mengambil tindakan.
Pada bulan Mei, Wan Asshima Kamaruddin, yang terlibat dengan NGO Pondok Hijrah Muslimah Malaysia, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dakwaan menulis komen yang menghina agama Kristian di halaman peribadi Facebooknya pada Mac 2021. Hantaran-hantaran tersebut, yang dikatakan oleh Wan Asshima mewakili beberapa kumpulan Islam di semenanjung Malaysia, termasuk klip video 12 minit yang mengugut penganut Kristian bahawa kumpulan Islam akan menutup semua gereja di Sarawak. Pada bulan Jun, Hakim Mahkamah Sesyen Edwin Paramjothy telah menjatuhkan hukuman denda RM13,000 ke atasnya. Dalam pada itu, pada bulan Ogos, Mahkamah Tinggi Kuching telah mengeluarkan injunksi kekal terhadap Was Asshima, untuk menghalangnya daripada “mendorong keganasan terhadap penganut agama Kristian atau agama lain.” Peguam Dominique Ng menyatakan saman sivil tersebut difailkan bagi pihak semua orang Sarawak “bagi mempertahankan kebebasan beragama di Sarawak.”
Setakat akhir tahun, rayuan kerajaan masih berjalan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada tahun 2021 untuk membenarkan orang bukan Islam menggunakan kata “Allah” dalam rujukan mereka. Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa peraturan melarang orang bukan Muslim menggunakan kata “Allah”, yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri pada 1986 telah melanggar perlembagaan, memandangkan orang Kristian di Malaysia Timur telah menggunakan istilah “Allah” dalam ibadat mereka selama bergenerasi lamanya. Kes yang dirayu adalah berkaitan dengan tindakan seorang Kristian Sarawak yang mengimport CD dengan kata “Allah” dicetak padanya, yang telah dirampas oleh pegawai kastam.
Pada bulan Jun, NGO Sikh Bersatu Malaysia telah mengkritik filem terbitan Malaysia “Mat Kilau” pada tahun 2022, yang digambarkan sebagai “tidak menyenangkan” dan mendiskriminasi terhadap orang Malaysia bukan Islam. Menurut kenyataan tersebut, “Mat Kilau, yang sepatutnya adalah filem sejarah, mengandungi komponen fiksyen yang boleh menyebabkan salah faham mengenai agama dan bangsa.” Filem ini memaparkan orang Sikh sebagai askar British yang bersikap ganas terhadap orang tua, kanak-kanak dan rakyat yang tidak berdaya. “Amalan kaum Sikh melarang mencederakan orang tua, orang ramai, kanak-kanak, wanita, dan orang yang tidak berdaya, meskipun dalam peperangan,” kenyataan itu menambah. Dalam pada itu, meskipun Sultan Sharafuddin mengesyorkan rakyat untuk menonton filem tersebut, baginda mengakui yang masa depan negara bergantung pada perpaduan dan pendukungan agama Islam. Sultan turut berkata, “Hal ini perlu dilakukan tanpa mengabaikan hak serta kebajikan orang bukan Islam di negara ini.”
Orang yang menukar agama, khususnya yang keluar daripada agama Islam, kadang kala akan menghadapi stigma yang teruk. Dalam banyak kes, mereka akan menyembunyikan kepercayaan baharu dan ibadat mereka daripada orang Islam yang lain, termasuk rakan dan saudara mara.
Identiti agama tetap mempengaruhi aspek kehidupan sekular. Wanita Islam yang tidak bertudung atau mematuhi fahaman agama tentang kesopanan sering dimalukan di khalayak ramai dan di media sosial.
Kumpulan agama telah menganjurkan dialog maya antara agama dan perayaan antara budaya sepanjang tahun ini. Pada bulan Julai, Gabungan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan Malaysia, Pure Land Learning College Association, dan Pure Land Amitabha Group Malaysia telah menganjurkan persidangan keamanan antara agama bertajuk “Compassion: The Antidote to Religious Intolerance.” Persidangan ini menggalakkan usaha untuk “mengadakan dialog secara aman dan berharmoni antara penganut-penganut agama.”
Pada bulan Ogos, Persatuan Pemuda Buddha Indonesia dan rakan sekutunya, Persatuan Pemuda Buddha Malaysia, telah menganjurkan forum antara agama bertajuk “Say No to Radicalism and Extremism” untuk mendidik belia mengenai bahaya radikalisme dan ekstremisme, dan untuk berusaha menghasilkan masyarakat yang lebih berharmoni, bertoleransi dan inklusif.
Pada bulan Oktober, orang Muslim, orang bukan Muslim, dan menteri kabinet Negeri Sarawak bersama-sama mendoakan dan meraikan hari lahir Gabenor Sarawak Abdul Taib Mahmud yang ke-86 serta “keamanan, perpaduan dan keharmonian yang diraikan di Sarawak.”
Sepanjang tahun ini, pegawai kedutaan A.S. telah bekerjasama dengan ramai pegawai kerajaan persekutuan dan negeri di Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dan Jabatan Perdana Menteri, selain agensi-agensi lain, mengenai isu kebebasan beragama dan toleransi, termasuk kebimbangan terhadap serangan ke atas agama minoriti. Pegawai kedutaan turut berbincang dengan pesuruhjaya SUHAKAM dan Badan Peguam Malaysia mengenai penukaran agama kanak-kanak secara unilateral oleh seorang ibu atau bapa tanpa kebenaran yang satu lagi serta kehilangan Amri Che Mat, Pastor Raymond Koh, Pastor Joshua Hilmy, dan Ruth Sitepu.
Pegawai kedutaan telah bertemu dengan ahli kumpulan Islam Syiah dan Ahmadiyah, yang menerangkan bagaimana aktiviti keagamaan mereka disekat keras oleh kerajaan selain diskriminasi masyarakat yang masih berterusan. Kedutaan turut bertemu dengan kumpulan Islam Sunni yang aktivitinya dihadkan oleh kerajaan untuk membincangkan strategi bagi melibatkan kerajaan dalam isu-isu kebebasan beragama. Kedutaan telah membolehkan penyertaan pemimpin agama dan sarjana dalam perbincangan dan persidangan yang menggalakkan kebebasan, kepelbagaian, keterangkuman dan toleransi terhadap agama. Pegawai kedutaan telah bertemu dengan aktivis transgender untuk berbincang tentang peluang yang semakin tipis untuk individu transgender beribadat di masjid.
Sepanjang tahun ini, pegawai kedutaan telah melawat rumah-rumah ibadat di sekitar negara untuk menunjukkan sokongan terhadap pluralisme agama dan menghormati pelbagai kepercayaan agama dalam negara.
Kedutaan telah menyiarkan mesej-mesej berkaitan dengan kebebasan beragama di platform media sosial pada Hari Kebebasan Beragama Antarabangsa dan sepanjang tahun. Kebanyakan hantaran media sosial menekankan kepentingan pelbagai agama di negara ini dan kepentingan untuk menghormati kebebasan atau kepercayaan agama.
Artikel pendapat pada bulan April yang ditulis oleh Duta Besar menekankan usaha untuk menyatukan komuniti pelbagai agama semasa bulan Ramadan yang menghadapi kesusahan berikutan pandemik COVID-19. Ia menekankan kepelbagaian dan pluralisme agama di Amerika Syarikat, di mana berjuta-juta orang Islam Amerika dan warga dunia menyambut bulan Ramadan. Ia turut menekankan kepentingan menghormati kebebasan beragama antarabangsa dan menggalakkan semua agama untuk saling menghormati dan memahami. Saluran media aliran utama telah menerbitkan artikel pendapat tersebut dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.
Pada bulan April, kedutaan telah bekerjasama dengan Radio Televisyen Malaysia untuk menghasilkan satu episod bagi program dokumentari Panorama, yang menggambarkan cara kedutaan menyambut bulan Ramadan. Program ini memaparkan unsur menghormati pelbagai budaya dan kepelbagaian, dengan menunjukkan diplomat Muslim Amerika mengadakan jamuan berbuka puasa antara agama untuk rakan-rakan sekerja bukan Islam mereka. Program ini turut menunjukkan sesi berbuka puasa bertemakan pemerkasaan wanita yang diadakan oleh kedutaan di Muzium Kesenian Islam Antarabangsa. Ia menunjukkan temu bual dengan Duta Besar mengenai kepentingan kepelbagaian dan keterangkuman dalam agama.
Pada bulan April juga, kedutaan telah memaparkan pengalaman para peserta program pertukaran menyambut bulan Ramadan di Amerika Syarikat, di platform media digitalnya. Kandungan itu menunjukkan penghormatan terhadap pluralisme di Amerika Syarikat dan usaha untuk meningkatkan pemahaman bersama sambil merapatkan jurang dalam kebudayaan. Para peserta telah berkongsi cabaran berpuasa di negara asing selain berkongsi adat kebudayaan dan agama mereka dengan keluarga tuan rumah di Amerika.
###
Please call: 03-2168-5000
Outside of Office Hours, contact: 03-2168-5000, then press 0 after the prompt
Outside of Malaysia: 011-60-3-2168-5000, then press 0 after the prompt
Emergency Contact – All Locations Get Travel Alerts International Parental Child Abduction Arrest of a U.S. Citizen Death of a U.S. Citizen Victims of Crime Emergency Financial Assistance